Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, December 25, 2008

INDUSTRI PEMBINAAN DIGESA GUNA IBS

UTUSAN MALAYSIA, 23 Disember 2008

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meminta semua pihak dalam industri pembinaan tempatan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana sistem itu mampu menjimatkan 35 peratus daripada kos pembinaan dan menjimatkan masa sehingga 50 peratus.

Pengerusi CIDB Tan Sri Ir Jamilus Hussein berkata, bagi memastikan saranan itu berjaya, CIDB merancang mewujudkan pelan induk dalam tempoh terdekat bagi memastikan sistem itu yang mampu mengurangkan tenaga pekerja asing, dilaksanakan.

"Jika industri pembinaan tempatan tidak dinaik taraf kepada IBS, maka selama-lamanya kita akan bergantung kepada tenaga pekerja asing dan ia merupakan satu pembaziran terutama dalam ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa," katanya Pada sidang media selepas Majlis penyampaian Zakat Perniagaan CIDB 2007, di sini hari ini.

IBS merupakan sistem pembinaan yang menggunakan teknik, produk dan komponen yang disediakan di luar tapak, dan dipasang di tapak binaan. Ia berintensifkan teknologi mekanisme dan automasi. Jamilus berkata, antara langkah yang diambil CIDB untuk mengurangkan tenaga asing adalah meningkatkan kapasiti dan keupayaan kakitangan dalam sektor binaan menerusi program latihan kepada sekurang-kurangnya 100,000 pekerja mahir bermula tahun ini.

"Strategi latihan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir tempatan, selari dengan saranan kerajaan untuk mengurangkan 70,000 tenaga kerja asing dalam sektor binaan daripada 320,000 sekarang kepada 250,000 orang menjelang tahun 2015," katanya.

Mengenai nilai projek yang diberikan CIDB tahun ini, beliau menjangkakan jumlahnya kira-kira RM50 hingga RM60 bilion yang melibatkan pelaksanaan projek susulan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sementara itu, Jamilus berkata, CIDB membayar zakat perniagaan berjumlah RM1.215 juta bagi tahun 2007 kepada 14 pusat zakat negeri di seluruh negara, hari ini. Jumlah itu berkurangan berbanding 2006 yang bernilai RM1.5 juta, berikutan pendapatan CIDB yang susut serta kurangnya projek pembangunan 2007 berbanding tahun sebelumnya. Pada majlis itu, CIDB turut meraikan dan memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dari Asrama Baitul Ummah, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

KEUSAHAWANAN JALAN ATASI PENGANGGURAN

UTUSAN MALAYSIA, 24 Disember 2008
NASSRUL HAKIM MD. JANI

UTUSAN Malaysia semalam memilih laporan bertajuk 4,749 bakal diberhenti sebagai tajuk utama di muka depan akhbar. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.

Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini. "Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos," jelas beliau.

Sikap bergantung kepada pekerjaan dan kurang minat kepada bidang keusahawanan sebenarnya menjerumuskan seseorang di dalam situasi yang tidak menentu seperti ini.
Kebanyakan individu terutamanya siswazah lebih bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka pekerjaan daripada 'mencipta' pekerjaan sendiri dengan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.

Ini sebenarnya telah mewujudkan tekanan kepada pasaran pekerjaan terutamanya kerajaan yang terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan.
Kita ambil satu ilustrasi untuk membolehkan kita memahami situasi ini. Kita ambil sebuah negara yang kita namakan negara Y. Dalam negara Y ini ada dua jenis majikan iaitu kerajaan atau pun sektor awam dan syarikat atau pun sektor swasta.

Katakan terdapat 70 syarikat di negara Y dan setiap syarikat boleh menampung 10 pengambilan pekerja baru setiap tahun. Dengan itu keseluruhan sektor swasta negara Y boleh menampung seramai 700 orang pekerja baru setiap tahun. Kerajaan berkenaan pula boleh menampung sebanyak 300 orang pengambilan pekerja baru setiap tahun. Jadi jumlah pekerjaan baru yang boleh ditampung oleh kedua-dua sektor kerajaan dan swasta di negara Y ialah seramai 1,000 orang.

Setiap tahun akan muncul kumpulan-kumpulan yang memerlukan pekerjaan dari lepasan sekolah dan lepasan universiti. Katakan pada satu-satu masa dalam pasaran pekerjaan terdapat 1,000 orang yang memerlukan pekerjaan baru. Maka pasaran pekerjaan negara Y dapat menampung rakyatnya yang memerlukan pekerjaan.

Tetapi katakan dalam satu-satu masa terdapat 1,500 orang yang memasuki pasaran pekerjaan maka akan wujud pengangguran seramai 500 orang. Ini adalah kerana pasaran pekerjaan hanya boleh menampung seramai 1,000 orang sahaja.

Kerap kali berlaku kerajaan akan dipersalahkan kerana gagal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Kadangkala kerajaan sesebuah negara akan mewujudkan pekerjaan baru di sektor awam bagi membolehkan ramai rakyat bekerja.

Tetapi keadaan ini sebenarnya tidak baik kepada makro ekonomi sesebuah negara dalam jangka panjang. Ini kerana pekerjaan yang diwujudkan itu sebenarnya tidak diperlukan. Ini hanya akan menambahkan kos kepada kerajaan dan menjadikan kerajaan sesebuah negara itu tidak efisien. Pekerja yang ada terlalu ramai dan kerja pula sedikit. Dan ramai yang akan berehat ketika bekerja.

Tetapi sebenarnya sekiranya rakyat sesebuah negara itu tidak bergantung penuh kepada peluang pekerjaan semata-mata dan 'mencipta' sendiri pekerjaan melalui keusahawanan maka masalah ini akan dapat di atasi. Sekali lagi kita ambil contoh negara Y tadi.
Katakan dari kalangan 500 rakyatnya yang gagal mendapatkan pekerjaan terdapat 250 orang memilih untuk membuka perniagaan maka pengangguran dapat dikurangkan daripada 500 orang kepada 250 orang.

Dan dari 250 orang yang menjalankan perniagaan ini tadi, katakan setiap seorang memerlukan seorang pekerja sebagai pembantu maka mereka pula akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada baki 250 orang yang menganggur tadi. Ini akan mewujudkan pengangguran sifar.
Sebenarnya sekiranya seseorang itu melibatkan diri dengan keusahawanan, mereka bukan sahaja dapat mewujudkan pekerjaan untuk diri sendiri malah dapat memberi pekerjaan kepada orang lain yang bekerja dengan mereka.

Seorang yang berniaga burger di pasar malam contohnya sekurang-kurangnya memerlukan seorang pekerja untuk membantunya menjalankan perniagaan tersebut. Ini adalah lebih baik daripada merungut-rungut di sana sini dan meratapi kegawatan ekonomi yang menyebabkan mereka gagal mendapatkan pekerjaan.

Golongan siswazah sepatutnya telah bersedia untuk menjadi majikan dan bukan mencari majikan. Binalah perniagaan sendiri. Selain mencipta pekerjaan sendiri anda juga boleh memberi pekerjaan kepada orang lain. Kalau kita kaji seseorang yang memilih untuk menjadi usahawan sebenarnya membantu masyarakat, negara dan ekonomi secara keseluruhannya. Mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan meringankan beban kerajaan untuk memikirkan langkah mengatasi pengangguran ini.

Tetapi penulis percaya ramai siswazah yang berasa lebih mulia 'terperuk' di rumah dan memegang gelaran penganggur terhormat dengan duit dalam poket satu sen pun tidak ada daripada bermandi peluh berniaga di pasar malam. Dan masalah ini sebahagian besarnya wujud di kalangan siswazah Melayu yang kurang berminat dengan bidang keusahawanan.

Walaupun selalu orang berkata "berniaga banyak risiko, nanti rugi". Ini menjadikan mereka memilih untuk bekerja makan gaji. Tidak ada risiko rugi. Setiap bulan pasti dapat gaji.
Tetapi apabila situasi sekarang yang menyebabkan majikan terpaksa membuang beribu-ribu pekerja maka kerja makan gaji juga ada risiko diberhenti. Jadi apa bezanya risiko menjadi usahawan dan makan gaji?

Tuesday, December 09, 2008

RISIKO BERGANTUNG PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 5 Disember 2008

SEPERTI yang kita sedia maklum, terdapat ramai warga asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Malaysia umpama lubuk emas bagi mereka. Hal ini kerana peluang-peluang pekerjaan di sektor-sektor perladangan, pembinaan, perindustrian dan lain-lain tidak banyak diisi oleh tenaga kerja tempatan.

Tidak dinafikan bahawa memang ada usaha untuk memperbanyakkan lagi tenaga kerja tempatan dalam sektor-sektor berkenaan, tetapi masih belum lagi mencukupi. Kekosongan-kekosongan ini menyebabkan para majikan dalam sektor terbabit terpaksa mengimport tenaga kerja dari luar.

Umum mengetahui gejala seperti ini memang telah dan sedang berlaku di negara ini. Apa yang ingin saya bincangkan di sini bukanlah berkisar mengenai perkara yang telah dan sedang berlaku itu, tetapi impaknya dalam jangka masa panjang di negara ini.

Terdapat empat isu utama yang amat menggusarkan hati saya selaku remaja di negara ini yang mana isu-isu terbabit jika tidak diselesaikan akan menimbulkan impak negatif pada masa hadapan. Isu-isu tersebut ialah sosiobudaya, keselamatan, kesihatan dan ekonomi.

Warga asing umpama tetamu yang bertandang ke rumah dan kita selaku rakyat negara ini umpama tuan rumah. Apa yang saya lihat ialah warga asing ini seolah-olah sudah lupa siapa 'tetamu' dan siapa 'tuan rumah'. Mereka sewenang-wenangnya melakukan apa yang mereka mahu di negara ini.

Rakyat negara ini mempunyai adat dan budaya tersendiri. Mereka juga begitu. Tapi malangnya, kebanyakan warga asing ini tidak mengikuti adat, budaya dan nilai murni sama ada dari negara asal mereka mahupun dari negara yang mereka tumpang ini.

Mereka buat apa sahaja yang mereka suka, sesuka hati mereka tanpa memikirkan sensitiviti rakyat negara ini. Cara mereka berpakaian, cara mereka bergaul dan cara mereka bersuka-ria sedikit sebanyak mempengaruhi rakyat negara ini tidak kira apa bangsanya atau berapa umurnya. Jika perkara ini dibiarkan, dibimbangi adab dan tatasusila rakyat negara ini yang sememangnya dahulu terkenal dengan lemah-lembut dan sopan-santunnya akan dicemari dengan budaya yang tidak bermoral.

Bayangkan jika hari ini seorang remaja perempuan berpakaian seksi kerana terpengaruh dengan cara berpakaian warga asing perempuan yang sememangnya cenderung untuk berpakaian yang terdedah, bagaimana pula cara berpakaian beliau pada suatu masa nanti jika apa yang berlaku hari ini tidak diubah? Bagaimana pula pakaian generasi pada masa tersebut? Bagaimana pula sosiobudaya mereka? Banyak kemungkinan yang boleh berlaku yang mana kebanyakannya menjurus ke arah negatif.

Isu kedua ialah dari aspek keselamatan.
Tidak semua warga asing yang datang ke negara ini memang betul-betul mahu mencari rezeki dengan cara yang sah. Ada di antara mereka yang melakukan kerja-kerja sambilan dengan menjadi perompak dan penyamun.

Masalah seperti ini memberikan lebih bebanan kepada pihak berkuasa. Ini kerana, tidak cukup dengan perompak dan penyamun tempatan, beban tugas yang digalas oleh pihak berkuasa di negara ini diberatkan lagi dengan aktiviti-aktiviti 'perompak dan penyamun import' ini.
Para penduduk di sesuatu kawasan yang mana sama-sama diduduki warga asing selalunya tidak berasa aman. Ini kerana, penduduk tempatan terpaksa lebih berwaspada terhadap sebarang risiko yang bakal terjadi.

Selain itu terdapat juga kemungkinan ada di antara warga asing ini merupakan pengintip yang sedang mengumpulkan maklumat-maklumat penting negara ini seperti mana yang pernah dibuat oleh pengintip tentera Jepun sebelum Tanah Melayu terlibat dalam Perang Dunia Ke-2. Sejarah tidak mustahil akan berulang lagi jika kita semua lalai dan leka bertelingkah antara satu sama lain hanya untuk perkara-perkara picisan yang sememangnya tidak perlu dipertelingkahkan.

Seterusnya, isu ketiga pula ialah kesihatan.
Malaysia adalah antara negara yang prihatin dengan taraf kesihatan rakyatnya. Setiap bayi yang lahir akan divaksinkan secara berkala sehinggalah pada peringkat umur tertentu. Ini adalah langkah pencegahan bagi mengelakkan sebaran dan jangkitan patogen dari jenis tempatan daripada terus merebak.

Perlu dijelaskan di sini bahawa program imunisasi yang dijalankan hanyalah untuk melawan patogen dari jenis tempatan. Bukan jenis dari luar Malaysia. Lain pula kisahnya di negara-negara membangun yang lain yang mana rakyatnya bermigrasi ke negara ini untuk mencari rezeki.

Negara-negara tersebut kurang prihatin akan kesihatan rakyatnya yang mana program imunisasi hanya dapat dinikmati mereka yang mampu sahaja, ia tidak menyeluruh. Tambah menimbulkan masalah lagi apabila jenis bagi patogen negara-negara berkenaan tidak sama dengan apa yang ada di sini.

Maka, apabila warga asing yang tidak divaksinkan ini menjadi 'perumah' bagi patogen dan datang ke Malaysia untuk sesuatu tempoh kerana mencari rezeki, patogen dari jenis asing ini dengan mudahnya dapat mengancam kesihatan rakyat negara ini yang mana tidak diimunisasikan dengan vaksin untuk melawan patogen dari jenis asing ini. Jika kita sensitif dengan perkara-perkara mengenai kesihatan, kita akan dapati bahawa wujudnya kes-kes penyakit berjangkit yang baru yang mana sebelum ini tidak pernah wujud pun di negara ini. Dari mana datangnya semua ini?

Tidak dinafikan memang ada usaha pihak yang berkenaan menetapkan syarat bahawa pekerja asing yang bekerja di negara ini perlu melalui pemeriksaan kesihatan dan divaksinkan. Tetapi soalnya, sejauh mana pelaksanaannya? Ini kerana, jika ia dilaksanakan secara menyeluruh, bagaimana pula boleh wujud kes-kes penyakit baru di negara ini?

Apa yang membimbangkan dan merisaukan saya ialah, dengan kebanjiran warga asing dari macam-macam negara, Malaysia akan menjadi tempat di mana patogen-patogen dari jenis asing bercampur dan seterusnya tersebar di kalangan rakyat negara ini. Jika sampai ke peringkat itu, program imunisasi seperti yang ada sekarang nampaknya sudah tidak berguna lagi.

Isu keempat pula ialah ekonomi.
Warga asing banyak mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor-sektor perladangan, pembinaan dan perindustrian. Kita juga maklum bahawa ekonomi dunia agak tidak begitu stabil sejak kebelakangan ini.

Cuba bayangkan apabila pekerja-pekerja asing ini beramai-ramai melakukan mogok. Cuba fikirkan apa impaknya kepada ekonomi negara apabila perkara seperti ini berlaku.
Kelihatannya seperti mustahil perkara sedemikian akan berlaku di negara yang aman ini. Tetapi jangan kita lupa, setenang-tenang air di sungai, jangan disangka tiada buaya.

FAKHRUL DREAMLORD
Pontian, Johor

Saturday, December 06, 2008

RM2 BILION HASIL BAYARAN LEVI PEKERJA ASING

BERITA HARIAN, 5 Disember 2008

KERAJAAN memperoleh lebih RM2 bilion melalui bayaran levi pekerja asing yang bekerja di negara ini sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung. Beliau berkata, kutipan levi tertinggi dicatatkan di Semenanjung dengan jumlah sebanyak RM1.9 bilion manakala Sabah, RM128,545,311 dan Sarawak, RM91,056,126. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Edmund Chong Ket Wah (BN-Batu Sapi) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Jelasnya, sehingga September lalu, lebih dua juta pekerja asing bekerja secara sah di negara ini, dengan majoritinya iaitu seramai 749,173 orang bekerja dalam sektor perkilangan.

“Seramai 347,730 orang bekerja di sektor perladangan, sektor pembinaan (307,779 orang), pembantu rumah (296,334), sektor perkhidmatan (211,057) dan n sektor pertanian seramai 184,602 orang,” katanya. Menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) yang ingin tahu jumlah pekerja asing mewakili golongan profesional dan kesan keadaan pekerjaan dalam negara, Chor berkata:

“Golongan profesional rakyat asing tidak termasuk kategori senarai pekerja asing kerana mereka berada dalam kategori Pegawai Dagang. "Kehadiran Pegawai Dagang tidak mempunyai kesan dari segi peluang pekerjaan rakyat tempatan kerana semua mereka dibawa masuk oleh syarikat dan mereka ini juga pakar dalam bidang tertentu," katanya. Beliau berkata, kehadiran pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan juga tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Friday, December 05, 2008

ILMU PENGETAHUAN TERAS UTAMA PEMBANGUNAN

BERITA HARIAN, 4 Disember 2008

PEMBANGUNAN Iskandar Malaysia akan membuka satu lagi episod baru dalam sejarah moden Johor Darul Takzim. Sekiranya diteliti dari sudut sejarah, Johor dibangunkan dan dimodenkan lebih awal berbanding negeri lain di Semenanjung. Kesan peninggalan kehebatan pemerintahan Kesultanan Melayu Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar kira-kira 140 tahun lalu dapat dilihat apabila menyusuri wilayah Tanjung Puteri.

Kedudukan geografi negeri ini memberi kelebihan besar dari aspek ekonomi di samping faktor kesuburan tanah dan kepelbagaian kaum yang banyak terbabit dalam perniagaan bagi merancakkan perkembangan ekonomi Johor. Projek berimpak tinggi seperti Iskandar Malaysia sewajarnya dilihat sebagai agenda nasional oleh pemimpin negara dan menjadi kemestian kepada teknokrat dan birokrat negara untuk sama-sama menyumbang tenaga dan fikiran sebaik mungkin untuk menjadikan Iskandar sebagai metropolis yang kukuh dan lestari. Secara asasnya, pembangunan fizikal dan infrastruktur lengkap dan moden adalah menjadi kewajipan dalam menarik pelabur dan peniaga untuk menanam modal. Namun, aspek keilmuan sangat penting untuk dijadikan teras utama yang tidak boleh dilepas pandang dalam pembangunan wilayah ini.

Sejarah mengajar kita mengenai tamadun besar seperti tamadun Islam di Baghdad, tamadun Inggeris dan tamadun Amerika meletakkan aspek ilmu sebagai kerangka asas pembangunan negara. Masyarakat England misalnya meletakkan kerangka ilmu di Oxford dan Cambridge sebagai titik permulaan pembentukan negara moden England apabila Raja Inggeris pada 1167 memanggil pulang pelajar dari England yang menuntut di universiti di Paris apabila berlaku ketegangan dalam hubungan dua hala negara berkenaan. Banyak negara yang dibina atas kerangka ilmu yang lemah akan mengalami keusangan (obsolescence) yang cepat dan wujudnya pelbagai masalah seperti masalah sosial dan penyakit masyarakat seperti jenayah, rasuah dan kecurian. Dalam meletakkan ilmu sebagai kerangka asas pembangunan Iskandar, ada beberapa unsur yang boleh dijadikan panduan berguna.

Pertama, strategi pembangunan ilmu yang betul dengan mengambil kira semua kelas masyarakat di wilayah ini, terutama Bumiputera agar tidak ketinggalan. Ini membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat hasil positif daripada strategi yang dirangka. Pembangunan ilmu yang lengkap membolehkan hasil kajian yang dijalankan menyokong aktiviti kehidupan seharian seperti dalam bidang perniagaan, kesihatan, keselamatan jalan raya dan hubungan kaum. Baru-baru ini Berita Harian melaporkan, keputusan universiti luar negara untuk melabur RM700 juta di Iskandar Malaysia harus dilihat dari aspek positif untuk mewujudkan kerangka ilmu dalam wilayah pembangunan Iskandar ini.

Bagaimanapun, harus diingatkan, pengurusan universiti luar negara yang membuka cawangan di Iskandar Malaysia adalah diuruskan secara korporat, iaitu berorientasikan keuntungan untuk survival organisasi mereka. Ia tidak dapat dielakkan oleh universiti berkenaan kerana mereka perlu bersaing dengan sengit di negara sendiri, disamping faktor globalisasi yang memerlukan mereka mencari peluang perniagaan di negara Asia pula. Peranan kerajaan untuk memastikan universiti luar negara dan masyarakat setempat mendapat faedah yang setimpal amat diharapkan.

Misalnya, kerajaan boleh mewujudkan geran penyelidikan bersama antara universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan universiti luar negara yang mempunyai cawangan di Malaysia bagi mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif. Aspek kedua adalah menerapkan budaya ilmu sebagai cara hidup masyarakat. Dalam masyarakat yang mempraktis ilmu, jujur adalah kunci utama penggerak aktiviti masyarakat. Jujur yang dimaksudkan adalah jujur kepada diri sendiri, kerajaan, alam sekitar dan orang lain.

Oleh itu, masyarakat Jepun boleh dianggap masyarakat berilmu disebabkan mereka hampir mempunyai sifat berkenaan. Tambahan pula, dalam dunia moden yang menjalankan perniagaan secara online, sifat jujur adalah tunjang dalam menjalankan perniagaan seharian di alam maya. Prasarana dan teknologi adalah aspek ketiga dalam mewujudkan masyarakat berilmu. Fungsi utama teknologi adalah untuk memudahkan urusan masyarakat disamping menjimatkan kos dan masa.

Justeru, pengajaran boleh diambil daripada masyarakat maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman. Mereka menjadikan ilmu sebagai cara hidup masyarakat dan mempraktiknya sebaik mungkin dalam membangunkan negara. Pembangunan fizikal yang lengkap dan moden adalah penting untuk menarik pelabur tetapi aspek ilmu yang diterapkan dalam masyarakat akan dapat membantu meletakkan Iskandar Malaysia di persada antarabangsa dengan lebih kukuh lagi.

DR SARAJUL FIKRI MOHAMED
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
UTM Skudai, Johor.

Thursday, December 04, 2008

TENAGA PENGAJAR KEMAHIRAN KONTRAK WAJAR DISERAP

BERITA HARIAN, 4 Disember 2008

HASRAT kerajaan mensasarkan lebih 40,000 tenaga mahir setahun menjelang 2015 melalui Jabatan Tenaga Kerja Manusia (JTM) dengan membina lapan institusi latihan lagi sebelum 2011, seperti disiarkan akhbar ini, pada 11 November lalu, amat dibanggakan.

Persoalannya, adakah pihak atasan JTM tahu kedudukan sebenarnya berapa ramai antara tenaga pengajar Gred J 29 dan J 17 di institusi JTM seluruh negara yang menyandang jawatan secara kontrak dan sambilan walaupun ada yang sudah bertugas lebih lima tahun. Mereka ini yang dipertanggungjawabkan mengajar kebanyakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berbentuk teori dan praktikal dalam bidang kemahiran. Besar kemungkinan tujuan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pengajar, pihak institusi JTM mengambil langkah mengisi beberapa jawatan kakitangan kontrak dan sambilan Gred 29 dan J 17.

Dengan kelayakan yang ada, mereka dapat mengajar dalam bidang yang ditetapkan. Malangnya, tenaga pengajar ini tidak diberikan peluang untuk menghadiri kursus bagi meningkatkan mutu kemahiran mereka dalam mana-mana bidang kemahiran. Bagaimana hendak mengajar berkemahiran sedangkan tenaga pengajar tidak pernah menghadiri kursus sepanjang tempoh lima tahun bertugas. Alasannya jawatan mereka ialah kontrak dan sambilan tidak layak untuk menghadiri kursus. Bidang kemahiran bukan semudah dikatakan, malah tenaga pengajarnya perlu berilmu dan berpengalaman melaksanakan bentuk teori dan praktikal dalam bidang itu baru boleh melahirkan pelatih berkemahiran yang boleh diterima sebagai pekerja industri.

Pihak JTM perlu mengambil inisiatif atas jasa dan khidmat tenaga pengajar Gred J 29 dan J 17 yang lama bertugas di institusi JTM yang melahirkan ramai pelatih peringkat diploma dan sijil di seluruh negara. Mereka perlu disokong dan diberikan peluang mengisi kekosongan jawatan tetap mengikut kelayakan yang diperlukan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kemudian diberi peluang menghadiri kursus dalam bidang kemahiran masing-masing dari semasa ke semasa.

PESARA KERAJAAN,
Prai, Pulau Pinang.

Wednesday, December 03, 2008

JOHOR: 400 PEKERJA KILANG DIBERHENTI BERPERINGKAT

BERITA HARIAN , 3 Disember 2008
Mustapha Ismail bhnews@bharian.com.my

Pengurusan didakwa ambil 1,500 tenaga kerja baru rakyat asing BATU PAHAT: Kementerian Sumber Manusia diminta segera campur tangan bagi menyelesaikan masalah dihadapi kira-kira 400 pekerja tempatan kilang Sharp Manufacturing Malaysia (SMM) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sri Gading Satu, di sini yang berhadapan tindakan pemberhentian kerja beramai-ramai yang dilakukan secara berperingkat, bermula semalam. Bagaimanapun, apa yang dikesalkan ialah pemberhentian pekerja terbabit dipercayai ada kaitan dengan tindakan pengurusan kilang mengambil 1,500 tenaga kerja baru di kalangan rakyat asing.

Wakil pekerja, Huzaini Zaini, berkata pekerja terbabit dimaklumkan mengenai tindakan diambil pihak pengurusan itu melalui satu surat kepada agensi pengambilan tenaga kerja, Qaibermax (M) Sdn Bhd. Beliau berkata, pengambilan tenaga kerja di kalangan warga Indonesia dan Myanmar bagi menggantikan pekerja rakyat tempatan di kilang itu turut dipercayai diuruskan agensi terbabit, sejak Oktober lalu. Katanya, notis pemberhentian kerja yang ditandatangani Pengarah Pengurusan dan Kewangan SMM, Y Chiba mula diserah kepada pekerja terbabit secara berperingkat, bermula 24 November lalu.

"Seramai 66 pekerja pekerja kumpulan pertama itu, menerima notis masing-masing pada 24 November lalu dan dimaklumkan kontrak kerja mereka ditamatkan berkuat kuasa semalam.

"Notis seterusnya dikeluarkan SMM pada Khamis lalu dan kali ini ia membabitkan pemberhentian beberapa lagi pekerja berstatus kontrak bermula pada 5, 13, 16 dan 24 Disember.

"Bagaimanapun, kami berpendapat tindakan berkenaan jelas melanggar Akta Kerja 1955 yang melarang majikan memberhentikan pekerja tempatan, untuk memberi laluan kepada pekerja asing," katanya. Huzaini berkata, pihaknya berusaha mendapat maklumat lanjut mengenai tindakan pemberhentian kerja berkenaan, termasuk mengemukakannya kepada seorang anggota Exco Kesatuan Pekerja SMM.

Beliau berkata, tindakan diambil pengurusan SMM itu jelas bertentangan dengan Akta Pekerja 1955 yang melarang majikan memberhentikan pekerja rakyat tempatan, bagi memberi laluan kepada warga asing. "Masalah ini turut dirujuk kepada beberapa pihak lain, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja, Abd Aziz Kaprawi bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Abd Aziz ketika ditemui wakil pekerja terbabit berkata, tindakan diambil pengurusan SMM itu jelas melanggar serta bertentangan dengan peraturan ditetapkan dalam akta berkenaan.

RAZALI KOMITED MAJU PENDIDIKAN NEGARA

BERITA HARIAN, 3 Disember 2008

MENDENGAR berita pemergian Datuk Razali Ismail kira-kira jam 6.45 petang Jumaat lalu melalui RTM begitu mengejutkan kerana beliau baru saja memegang jawatan itu Timbalan Menteri Pelajaran, tidak sampai pun setahun. Negara kehilangan seorang pejuang pendidikan yang begitu komited dan sentiasa memikirkan untuk membina dan membangun dunia pendidikan agar setanding dengan negara maju. Allahyarham memang 'orang pendidikan' kerana sebagai bekas pendidik yang bermula sebagai seorang guru di dalam bilik darjah dan pernah menjawat jawatan di dalam beberapa pentadbiran utama Kementerian Pelajaran, khususnya dalam bidang perguruan, maka pelantikannya dilihat seolah-olah sirih pulang ke ganggang.

Apa lagi dengan adanya Pelan Induk Pendidikan Negara (PIPP) yang menjadi teras pembangunan bidang pendidikan kini dengan bersandarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka selain Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran sedia ada, Allahyarham adalah antara nadi kepada kelangsungan pelaksanaan PIPP. Allahyarham bergerak ke seluruh pelosok negara dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa yang dilihat akan memacu dan merealisasikan kelangsungan dan kelestarian dunia pendidikan. Allahyarham juga dilihat sangat sinonim kepada bidang perguruan apatah lagi pernah menjawat jawatan Naib Pengetua Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengetua Maktab Perguruan Kuala Terengganu dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), meletakkan hasrat dan harapan agar 'proses kemenjadian seorang guru' seperti yang dihasratkan akan menjadi kenyataan.

Saya masih ingat ketika Maktab Perguruan Kota Bharu menjadi tuan rumah kepada Perbahasan Piala ASB pada 1993 bagi Zon Tengah dengan penulis pada waktu itu bersama-sama pasukan pembahas dari Institut Bahasa Kuala Lumpur, tewas kepada tuan rumah pertandingan untuk ke peringkat akhir dengan jumlah mata yang amat tipis. Allahyarham datang dan menenangkan pasukan kami lantaran sengitnya pertandingan ketika itu.

Kata-kata Allahyarham kepada pasukan penulis masih diingati dan menjadi panduan sehingga kini iaitu 'yang menang belum tentu akan terus mencapai kemenangan jika mereka gagal menyambung usaha dan yang tewas tidak semestinya akan sentiasa tewas kerana mereka yang belajar dari kegagalan dan bangkit semula untuk berjaya adalah pemenang sebenar. Apa yang penting ialah apakah yang akan dapat kita sumbangkan kepada negara selepas ini' Kata-kata semangat Allahyarham itu terus menjadi ingatan kepada kami sampai kini.

Berkat kata-kata perangsang itu, penulis dan rakan yang lain berjaya sebagai pendidik hinggalah ke hari ini. Kini, Allahyarham sudah tiada dan pemergiaannya ketika bermain badminton (permainan yang amat diminati oleh Allahyarham sejak dulu) bersama-sama pegawai di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland kira-kira jam 6.35 petang, 28 November 2008 membuktikan betapa rapatnya Allahyarham dengan dunia pendidikan hingga ke akhir hayat. Negara kehilangan sebutir permata pendidikan yang kilauannya adalah asli dan menjadi penyuluh ke arah kemajuan dan kesejahteraan.

Pemergian Allahyarham seolah-olah mengulangi kisah sedih yang berlaku pada 25 Disember 1965 apabila Ketua Penasihat Pelajaran termuda ketika itu, Allahyarham Aminuddin Baki (berusia 36 tahun) kembali ke rahmatullah secara mengejut sedangkan Allahyarham adalah anak Melayu pertama dilantik ke jawatan tertinggi pendidikan negara. Seperti yang diungkapkan oleh cerdik pandai dulu, orang yang berjasa hidupnya tidak lama tetapi akan dikenang sampai bila-bila.

Belangsungkawa untuk keluarga Allahyarham, semoga ditempatkan bersama roh orang beriman. Al-fatihah.

MOHD SALEH ISMAIL, Kaunselor Berdaftar,
SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban, NS.

Monday, December 01, 2008

BADAN KHAS TINGKAT KOLEJ KOMUNITI

BERITA HARIAN, 1 Disember 2008
Paiman Selamat bhnews@bharian.com.my

Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti akan dapat membantu Kolej Komuniti menjadi sebuah institusi pengajian berkualiti, mencakupi pelbagai bidang kemahiran dan kejuruteraan di negara ini. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penubuhan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti bertujuan menggalakkan hubungan serta kerjasama antara kolej komuniti dan masyarakat setempat dalam kawasan Parlimen berkenaan.

"Jawatankuasa ini bertindak sebagai satu badan yang berperanan sebagai 'penghubung' kerana program yang ditawarkan oleh kolej komuniti akan dimanfaatkan sepenuhnya masyarakat setempat dalam kawasan Parlimen terbabit. "Selain itu, fungsinya sebagai pusat memberi nasihat mengenai dasar dan strategi pembangunan kolej komuniti serta memudahcara pemberian biasiswa, dermasiswa, pinjaman dan hadiah daripada pihak swasta kepada pelajar yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penasihat Kolej Komuniti Segamat, Segamat 2 dan Ledang Kementerian Pengajian Tinggi, di sini, kelmarin. Mohamed Khaled berkata, kerjasama dalam jawatankuasa yang terdiri daripada wakil rakyat, pemimpin masyarakat, sekolah dan swasta akan membantu Kolej Komuniti memelihara hubungan dengan masya-rakat bagi menambah nilai kualiti pendidikan mereka.

Beliau berkata, jawatankuasa terbabit akan menyokong peranan kolej komuniti sebagai pusat untuk menjalankan tugas meningkatkan kemahiran dan kemudahan bagi ujian serta nasihat kepada pelajarnya dalam semua peringkat umur dan status pendidikan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

100,000 MURID TAHUN SATU GAGAL KUASAI 3M MEMBIMBANGKAN

BERITA HARIAN, 1 Disember 2008

LAPORAN akhbar ini keluaran 27 November lalu menyatakan kira-kira 100,000 murid Tahun Satu tidak dapat menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sudah tentu mengejutkan kita, apatah lagi berdasarkan data itu jumlahnya mewakili 23 peratus keseluruhan murid Tahun Satu. Bayangkan kaitan laporan ini dengan kadar keciciran bakal berlaku pada peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) kelak.

Berdasarkan keadaan semasa, kira-kira 500,000 murid Tahun Enam menduduki UPSR berbanding hanya kira-kira 400,000 calon pada peringkat SPM. Ia bermakna kira-kira 20 peratus pelajar tidak berupaya menyambung pengajian ke peringkat minimum untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Berdasarkan data ini, adalah menyedihkan jika kerajaan meneruskan cadangan dasar PPSMI iaitu dasar Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Dengan kadar keciciran masih tinggi dan kadar kegagalan penguasaan 3M pada peringkat rendah, sudah tentu lebih sukar bagi murid-murid sebegini hendak menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran ada menyatakan betapa PPSMI sebenarnya kelihatan berjaya, berdasarkan keputusan UPSR tahun ini apabila lebih ramai murid menjawab dalam bahasa Inggeris berbanding tahun sebelumnya.

Namun, adakah dengan keputusan sedemikian, kita mahu dan rela menggadai nasib pelajar di kawasan luar bandar dan sosio ekonomi rendah, yang menurut pengkaji implikasi dasar PPSMI seperti dibuat Dr Isahak Haron menunjukkan masalah itu begitu nyata di kalangan mereka.

Saya percaya, penerusan dasar ini akan menjerumuskan lebih ramai lagi golongan pelajar yang gagal menguasai 3M sedari awal, sukar menguasai subjek dalam bahasa Inggeris yang akan terus tercicir dan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.
ADI PUTERA, Rawang, Selangor.

Thursday, November 27, 2008

AJAR SUBJEK TEKNIK, VOKASIONAL DARI TING. 1

UTUSAN MALAYSIA, 26 November 2008
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

PORT DICKSON 25 Nov. - Mata pelajaran Teknik dan Vokasional akan diajar bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah menengah teknik di seluruh negara menjelang 2010. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, sebelum ini, mata pelajaran berkenaan hanya diajar kepada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah aliran tersebut. Menurut beliau, langkah memperkenalkan mata pelajaran itu di peringkat awal lagi adalah untuk membolehkan para pelajar menyalurkan kreativiti selain menanamkan minat terhadap bidang yang mereka ingin ceburi.

''Kementerian kini bersiap sedia untuk memperlengkapkan tenaga pengajar selain meningkatkan lagi beberapa infrastruktur asas bagi melaksanakan program teknik dan vokasional,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Guru-Guru Vokasional dan Kemahiran 2008 di sini malam tadi.
Katanya lagi, menjelang tahun depan, pihaknya berharap segala keperluan pelajar dapat disediakan dengan teratur kerana ia merupakan satu agenda di bawah Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional di Kementerian Pelajaran.

''Kesemua guru yang terlibat akan diberi latihan berasaskan kecekapan. Setakat ini, seramai 300 guru telah mengikutinya dan ia akan diperluaskan bukan sahaja melibatkan tenaga pengajar di sekolah teknik, malah meliputi guru-guru di sekolah teknik harian,'' jelas beliau. Selaras dengan pelaksanaan itu, Razali memberitahu, pembelajaran dalam kedua-dua bidang berkenaan juga akan dilanjutkan bagi program matrikulasi atau diploma sebagai satu langkah bagi membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran mereka pada tahap tertinggi.

Beliau berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar memandangkan ia memenuhi kehendak mereka yang lebih cenderung ke arah bidang-bidang kemahiran serta praktikal.

''Aktiviti-aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya dapat memberikan satu kepuasan kepada mereka yang lebih berminat ke arah bidang-bidang seumpama itu,'' katanya.

IPTA BAZIR BANYAK WANG KERAJAAN???

UTUSAN MALAYSIA, 27 November 2008
Oleh Wan RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 26 Nov. - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini didakwa membazirkan banyak wang kerajaan apabila hanya lima peratus bahan penyelidikan yang dihasilkan pensyarah atau penyelidik setakat ini benar-benar dimanfaatkan.

Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah, sebahagian besar penyelidikan yang tidak dimanfaatkan kini tersimpan di stor dan tidak digunakan untuk pembangunan negara. Beliau hairan mengapa keadaan itu berlaku sedangkan mengikut pemerhatiannya, banyak penyelidikan tersebut mempunyai nilai komersial.

''Pada saya kemungkinan perkara ini berlaku kerana ramai pensyarah atau penyelidik melakukan penyelidikan hanya untuk mendapat kenaikan pangkat tanpa menyedari ia bermanfaat jika dikomersialkan.

''Ini satu pembaziran wang kerajaan. Kalau pensyarah nak buat penyelidikan, buatlah tetapi bukan semata-mata untuk kenaikan pangkat. Ia tidak berfaedah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Terengganu 2008 (Tibec 2008) di sini hari ini. Hadir sama Pengurus Besar Perhubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh; Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaaffar dan pegawai kanan UiTM.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, menyedari hakikat itu, UiTM kini mahu semua pensyarah dan penyelidik di institusi tersebut agar melakukan banyak penyelidikan untuk dikomersialkan.
Menurutnya, UiTM juga akan mewajibkan semua pensyarah mengkomersialkan penyelidikan tanpa mengambil kira kenaikan pangkat masing-masing.

''Kalau ini kita amalkan, ia bukan sahaja membantu kerajaan malah memesatkan lagi sektor perniagaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

''Kita boleh buat kerjasama dengan golongan usahawan dan mereka yang berminat boleh memajukan hasil penyelidikan yang kita lakukan," katanya.

KEMASUKAN PEKERJA ASING DI BAWAH KDN

UTUSAN MALAYSIA, 27 November 2008
Oleh WAN SYAMSUL AMLY

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kemasukan pekerja asing di negara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad menjelaskan, rakyat seharusnya memahami konsep itu dan tidak meletakkan 100 peratus isu kebanjiran pekerja asing berpunca daripada kementeriannya. Tegasnya, agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen sendiri memainkan peranan utama dalam memastikan malah mengawal kemasukan setiap pekerja asing.

''Isu kebanjiran ini menjadi skop kuasa KDN. Kita tidak ada kuasa untuk mengawal keluar masuk pekerja asing yang bekerja di sini.

''Masyarakat perlu faham sempadan kuasa setiap kementerian malahan kita sendiri tidak tahu mengapa kebanjiran serta kelonggaran kawalan kemasukan pekerja asing ini boleh berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas celahan ahli Parlimen, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat semalam yang melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Malah Mohamad Aziz turut menempelak Noraini kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu. Tambah Noraini, kementeriannya tidak pernah berhasrat untuk 'lari' daripada masalah itu malah bersedia pada bila-bila masa bekerjasama dengan KDN atau mana-mana agensi untuk memastikan isu itu dapat diselesaikan dengan segera. Katanya lagi, kementeriannya juga tidak pernah mengambil langkah 'lepas tangan' dalam isu kebajikan pekerja tempatan dan asing.

''Kita tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pekerja dalam apa juga masalah yang ada di negara ini. Itu tanggungjawab dan ia tertakluk juga kepada pekerja asing.

''Kita akan menjaga kebajikan pekerja asing yang tertipu dan telah masuk di negara ini. Persoalannya pihak mana yang meluluskan kemasukan mereka jika terjadinya kebanjiran seperti sekarang?," ujarnya.

Hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing dan angka itu bermakna nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan. Jumlah itu menjadikan hampir separuh daripada lebih 252,600 pekerjaan yang diwujudkan di negara ini setiap tahun diisi oleh pekerja asing.

Jumlah pekerja asing berdaftar di negara ini ialah 2.2 juta, jika dicampur yang bergerak secara haram, jumlahnya menghampiri empat juta orang. Mengikut sektor, sebahagian besar pekerja asing diambil bekerja dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 36 peratus, diikuti perladangan (24.6 peratus), pembantu rumah (15.7 peratus), pembinaan (14.2 peratus) dan selebihnya dalam sektor lain.

Kerajaan mensasarkan menjelang 2015, hanya 1.5 juta warga asing bekerja di negara ini.

PEKERJA ASING: JANGAN SALAHKAN KERAJAAN

UTUSAN MALAYSIA, 27 November 2008

PUTRAJAYA 26 Nov. - Kerajaan tidak wajar dijadikan sasaran kritikan ekoran masalah kebanjiran pekerja asing sedangkan sebenarnya ia dicetuskan oleh kehendak pihak majikan sendiri yang masih terlalu bergantung kepada sumber tenaga negara luar. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, masalah itu juga bukan disebabkan kerajaan tidak bertindak mengurangkan kelulusan permit kemasukan pekerja asing.

Sebaliknya, kata beliau, ia berpunca dari tindakan majikan yang mencari jalan mudah dengan membawa masuk pekerja asing secara haram jika permohonan mereka tidak diluluskan.
''Isu pekerja asing terlalu banyak tumpuannya sehingga dikatakan seolah-olah KDN menjadi punca sebenarnya. Sebenarnya sejak saya masuk (memegang portfolio KDN), permit telah banyak dikurangkan.

''Ini bukan masalah kerana kerajaan tidak kurangkan tetapi apabila dikurangkan (kemasukan pekerja asing), dia (majikan) bawa masuk pekerja haram pula, kita ada 1.2 juta pekerja haram, cuba anda beritahu saya siapa yang membawa masuk mereka itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Kualiti dan Integriti peringkat kementerian tersebut di Puspanita Puri di sini hari ini. Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof. Syed Hamid mengulas isu kebanjiran pekerja asing yang dibangkitkan oleh seorang penyokong kerajaan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Datuk Mohamad Aziz (BN - Sri Gading) melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Beliau turut membidas Kementerian Sumber Manusia kerana sehingga kini tiada tindakan konkrit untuk menyelesaikan masalah kebajikan pekerja asing sehingga menyebabkan pekerja tempatan tidak menikmati kadar imbuhan gaji yang munasabah.

Menurut Syed Hamid, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi ia tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat kerana boleh menjejaskan sektor-sektor penting seperti perladangan dan pembinaan.

''Kalau tengok secara objektif, kita tidak usah pohon dan saya lihat kita akan hanya benar-benar berjaya kurangkan pekerja asing sekiranya majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,

''Tetapi antara ribuan permohonan yang saya terima, apabila ditanya mengapa tidak ambil pekerja tempatan, macam-macam alasan diberikan," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid juga menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan program pemutihan sekali lagi bagi menyelesaikan masalah kebanjiran pekerja haram.

''Tiap-tiap kali buat pemutihan, pekerja haram akan bertambah ramai memasuki negara ini," katanya. Bagaimanapun beliau menjelaskan, majikan perlu menukar sikap dan minda dengan tidak lagi mengambil pekerja asing manakala rakyat Malaysia tidak sewajarnya terlalu memilih pekerjaan.

ATASI ISU PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 26 November 2008
Oleh NIZAM YATIM

Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini. Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.

‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.
‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat. Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.

Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan. Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.

Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).

Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.

WARGA ASING RAIH KEMEWAHAN DI NEGARA KITA

UTUSAN MALAYSIA, 27 November 2008

Semua pihak menyambut baik sikap terbuka Kementerian Sumber Manusia yang bersedia mengkaji cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung pembatalan permit pekerja asing yang belum datang ke Malaysia, mengikut keperluan majikan dalam setiap industri.

Menurut Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, langkah tersebut bersesuaian dengan dasar kerajaan yang sentiasa menggalakkan majikan akan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat masing-masing.

Menurut statistik, sehingga 31 Julai 2008, jumlah pekerja asing di negara kita adalah seramai 2.1 juta orang. Dengan jumlah tersebut, para pekerja asing yang berada di Malaysia telah menghantar pulang wang sebanyak RM9.124 bilion ke negara asal mereka sejak Januari hingga akhir Jun lalu.

Lima negara yang paling ramai sekali mengirim pekerja untuk bekerja di Malaysia ialah Indonesia Nepal, India, Vietnam dan Bangladesh. Jika direnung angka tersebut membawa dua mesej penting untuk renungan kita bersama.

Pertama, negara memang kekurangan tenaga kerja tempatan terutama dalam sektor kritikal. Kedua, kita memiliki tenaga kerja mencukupi tetapi terpaksa mengimport orang luar atas alasan peluang dalam bidang pekerjaan yang dibuka tidak diminati rakyat kita.

Ketika banyak sektor menggalakkan penggunaan khidmat pekerja asing, ramai warga kita yang bergelar graduan masih juga terus menganggur. Jawapannya sudah pasti kebergantungan ini memang tidak dapat dielakkan terutama permintaan yang amat tinggi dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembantu rumah. Kehadiran ramai pekerja warga asing turut membantu menjana ekonomi negara kerana mereka turut mengeluarkan perbelanjaan harian yang banyak sehingga meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Namun begitu perlu diingat bahawa mereka juga membawa keluar berbilion ringgit wang kita ke negara mereka. Kita tentu pernah membaca cerita seorang warga Bangladesh yang bekerja di sebuah kilang elektronik.

Beliau menyatakan bahawa hasil wang yang dikumpul sejak 10 tahun bekerja di negara ini, dia sudah berjaya membuka sebuah kedai pakaian dan membeli sebidang tanah di negaranya yang kini diuruskan ibu dan adiknya.

Hakikatnya, ramai lagi orang luar sepertinya yang berjaya sampai ke tahap itu.
Biarpun terpaksa melalui pelbagai ranjau di peringkat awal untuk bekerja di sini, sudah ramai pekerja warga asing yang menumpang kemakmuran dan kekayaan bumi Malaysia.

Biarpun pada dasarnya kerajaan mahukan 40,000 jawatan dalam sektor swasta negara ketika ini diisi dengan dengan pekerja tempatan, namun disebabkan faktor sikap, hasrat itu tidak dapat direalisasikan.

Para graduan, khususnya yang masih lagi menganggur nampaknya tidak memiliki sikap berlumba-lumba untuk menyertai banyak peluang yang terbuka dalam pelbagai sektor yang kini disertai warga asing.

Tiga faktor utama telah dikenal pasti yang menjadi penyebab masalah pengangguran di kalangan graduan di negara kita ialah tiada pengalaman bekerja, kelemahan berbahasa Inggeris dan bidang pengajian tidak sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Sikap majikan pula yang lebih senang menggunakan khidmat pekerja warga asing atas alasan mereka tidak banyak kerenah mengenai gaji dan kebajikan pekerja turut menyumbang kepada situasi negatif ini.

Sebagai contoh, sektor perladangan terutama membabitkan pertanian berasaskan komoditi kini dibanjiri pekerja warga asing. Tanpa disedari tindakan itu merugikan mereka sendiri apabila terpaksa membayar kos yang tinggi kepada pekerja terbabit.

Ketika kenaikan harga sawit dan getah sekarang pekerja warga asing berlumba-lumba mendapatkan pekerjaan dengan tawaran dan terma kerja menarik daripada majikan.
Kisah seorang graduan yang mendedahkan dia memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan dengan bekerja sebagai penoreh getah, baru-baru ini wajar dijadikan iktibar.

Namun, berapa ramai daripada kalangan graduan menganggur yang sanggup memegang pisau toreh dan bergelumang bau busuk getah sekerap setiap hari. Rasa malu dengan orang di sekeliling yang menyindir apabila terpaksa bekerja sebagai petani atau penoreh walaupun menggenggam segulung ijazah menyebabkan mereka terus berada dalam dilema.

Kenapa kita tidak mahu mengambil contoh masyarakat Jepun yang mana lulusan universiti di negara matahari terbit itu diberikan jawatan rendah ketika memulakan tugas dalam sesebuah organisasi.

WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan.

50,000 PEKERJA MALAYSIA PULANG 2009

BERITA HARIAN, 27 November 2008

Kira-kira 50,000 rakyat Malaysia yang kini sedang bekerja di Singapura dijangka pulang ke tanah air pada awal tahun depan disebabkan krisis ekonomi global yang berupaya menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesuatu negara itu. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata beliau pasti setiap majikan akan mengurangkan pekerja ketika berhadapan krisis ekonomi itu dalam usaha mereka untuk menjimatkan kos operasi. Chua berkata, ketika ini terdapat hampir 11 juta pekerja di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 2.1 juta adalah pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor.

“Pekerja asing tanpa izin pula dianggarkan kira-kira 300,000 hingga 800,00 orang. Cuba anda bayangkan, kita ada lebih kurang 2.6 juta pekerja asing di Malaysia dan angka ini sudah melebihi masyarakat India di negara ini.

“Jika negara kita dibanjiri pekerja asing yang bekerja di semua sektor, bagaimana rakyat kita yang bekerja di luar negara mahu mendapat peluang pekerjaan apabila mereka terpaksa kembali ke sini disebabkan krisis global ekonomi,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pemantauan Dasar Kerajaan pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. Chua berkata, kadar pengangguran dikalangan rakyat tempatan akan meningkat sekiranya pekerja asing terus membanjiri negara ini.

“Saya percaya, sekiranya majikan tempatan turut berhadapan dengan situasi yang sama, mereka juga mahu mengurangkan pekerja... apa yang saya yakin jika mereka membuang pekerja, jangan berhentikan pekerja tempatan sebaliknya berhentikan pekerja asing.

“Mereka perlu utamakan pekerja tempatan kerana saya khuatir sekiranya berlaku pengurangan pekerja... majikan akan mengutamakan pekerja asing kerana kos mereka murah... ini tidak adil dan tidak wajar,” katanya. Chua berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan menetapkan gaji minimum dalam beberapa sektor termasuk perladangan dan pembinaan bagi menarik minat pekerja tempatan.

“Kerajaan perlu segera berbuat demikian kerana kita tidak mahu rakyat menjadi penganggur di negara sendiri, manakala pekerja asing pula mempunyai pekerjaan. Kita tidak mahu langkah pengurangan tenaga asing menjadi kenyataan politik saja,” katanya.

Saturday, November 22, 2008

BATAL PERMIT PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 21 November 2008

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan segera membatalkan permit yang dikeluarkan kepada pekerja asing yang belum datang ke Malaysia sebagai langkah membantu pekerja tempatan yang hilang pekerjaan mendapatkan kerja lain. Setiausaha Agungnya, G. Rajasekaran berkata, ketika ini kira-kira 1,000 pekerja asing baru masuk ke negara ini setiap hari.

Katanya, jika kerajaan dapat menghentikan pengaliran masuk pekerja asing maka langkah itu boleh menjana kira-kira 30,000 peluang pekerjaan setiap bulan. Beliau menyifatkan aliran masuk pekerja asing adalah kerana wujudnya 277 agensi pekerja asing berlesen yang membawa masuk pekerja dengan jumlah besar dan tindakan itu memburukkan situasi pasaran kerja di negara ini.

Rajasekaran berkata, krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat sudah mula menunjukkan kesan di negara ini.

''Menurut Pelan Tindakan Negara Bagi Pengangguran yang diumumkan kerajaan semalam, kira-kira 190,000 hingga 270,000 peluang pekerjaan baru perlu diwujudkan setiap tahun untuk dua tahun akan datang.

''Industri kecil dan sederhana akan menjadi tulang belakang dalam mewujudkan bilangan besar pekerjaan baru,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana Malaysia dijangka menerima tempias krisis kemelesetan ekonomi global, maka ada kemungkinan bilangan pekerjaan baru tidak mencukupi dan ekoran itu kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat antara empat dan lima peratus berbanding 3.6 peratus pada masa ini.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN MISI UTAMA

BERITA HARIAN, 22 November 2008

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan perlu menjadikan pelaburan dalam pembangunan modal insan sebagai agenda utama kementerian itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, pelaburan dalam modal insan bukan saja dapat menghasilkan warga kerja berilmu dan berfikiran strategik, tetapi turut membentuk sumber manusia yang peka dengan perubahan semasa.

"Setiap warga kementerian baik awam ataupun tentera mestilah dilatih supaya memiliki kemahiran bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa.

"Saya sedar membangunkan tenaga kerja relevan dengan peredaran semasa dunia antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi kementerian Pertahanan pada masa ini," katanya dalam teks ucapan pada Majlis Sambutan Hari Kualiti dan Integriti di kementerian itu di sini, semalam.

Teks ucapan itu dibacakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop. Abdullah berkata, dengan adanya tenaga kerja yang terlatih dan komited, Kementerian Pertahanan akan dapat mengekalkan monopolinya sebagai penggubal dasar, penasihat dan pelaksanaan dasar kerajaan dalam hal ehwal keselamatan negara.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan meletakkan sejumlah peruntukan demi memastikan pembangunan modal insan yang dirancang dapat diaplikasi dengan lebih berkesan.

"Insentif diberikan kepada anggota tentera terutama berpangkat rendah," katanya.

Tuesday, November 18, 2008

RM128J PERKASA GOLONGAN BELIA FELDA

UTUSAN MALAYSIA, 18 November 2008

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM128 juta pada tahun depan bagi memperkasakan golongan belia Felda membabitkan pelbagai program termasuk melatih mereka membaiki pesawat terbesar di dunia.

Peruntukan bagi membangunkan generasi kedua dan ketiga tanah rancangan tersebut antara lainnya membabitkan pembiayaan latihan kemahiran, pendidikan, pembinaan jati diri, pengupayaan persatuan belia, kemudahan perumahan dan keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan terbesar adalah bagi projek perumahan di bawah skim Perumahan Warga Felda berjumlah RM65 juta di Felda Pasak, Felda Jengka 11 dan Felda Triang 3, Pahang. Kata beliau, ia bertujuan memenuhi keperluan generasi kedua dan ketiga untuk memiliki kediaman di tanah rancangan masing-masing.

Menurutnya, sebanyak RM35 juta akan disalurkan bagi latihan kemahiran kepada 5,000 belia Felda di seluruh negara dengan sejumlah 300 orang daripada mereka menjalani latihan kemahiran teknikal tinggi di MAS Engineering Training Center (METC).

Sambil melahirkan rasa gembira, Najib berkata, pelatih dari kalangan belia Felda tersebut bakal menjadi jurutera yang mampu membaiki pesawat-pesawat Malaysian Airline System Berhad (MAS) termasuk menyenggara pesawat Airbus 380.

"Langkah ini bertujuan supaya anak-anak Felda berjaya dalam semua lapangan sehingga ke peringkat antarabangsa dan inilah yang terangkum dalam visi mereka.

"Visi anak Felda bukan dengan badan yang kurus kering kerana menagih dadah dan tidak mempunyai harga diri tetapi mereka perlu menjadi contoh kepada belia yang lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum dan Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malik dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusuf Noor.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM17 juta untuk membiayai belia-belia cemerlang yang sedang menjalani pengajian di dalam dan luar negara.

"Peruntukan ini adalah untuk membiayai seramai 36 pelajar yang sedang menjalani pengajian di universiti luar negara termasuk dua orang di United World College di Wales.

"Selain itu, seramai 69 orang sedang mengikuti pengajian A-Level di institusi-institusi pengajian tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, Felda juga memperkenalkan projek terbaru iaitu program Edible Garden (Taman Tanaman Makanan) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meningkatkan penggunaan tanah-tanah di sekitar rumah peneroka bagi mengusahakan tanaman sayur-sayuran.

"Program terbaru akan dilaksanakan bermula akhir tahun ini, kita hendak galakkan rumah-rumah peneroka lebih cantik dengan tanaman sayur-sayuran.

"Ini bagi menambah pendapatan dan boleh menjadi penyumbang kepada penghasilan sayur-sayuran untuk keperluan negara," katanya.

Bagi membina jati diri generasi baru Felda, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM540,000 bagi menjalankan program-program seperti Kursus Imam Muda, Kem Bina Remaja, Sukan Warga Felda dan Tilawah Tahunan Al-Quran dan Nasyid.

Menurutnya, sebanyak RM450,000 akan disalurkan kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) serta Majlis Belia Felda Wilayah-Wilayah dan persatuan belia rancangan bagi meneruskan usaha pengupayaan persatuan belia.

Katanya, sebanyak RM200,000 pula diperuntukkan tahun depan untuk meneruskan program Tunas Mekar yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha membina golongan usahawan di kalangan siswazah belia Felda.

Monday, November 17, 2008

CEMERLANG UPSR PERLU BERTERUSAN

BERITA HARIAN, 17 November 2008

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah diumumkan dan Terengganu sekali lagi mencipta sejarah untuk sekian kalinya kekal cemerlang dalam UPSR. Sekalipun tidak dapat mengekalkan kedudukan teratas tetapi masih mampu mengatasi negeri lain yang pastinya jauh lebih maju.

Untuk mengekalkan rekod terbaik ini bukanlah suatu kerja dan usaha mudah tetapi menuntut banyak pengorbanan daripada semua pihak baik guru, Jabatan Pelajaran Negeri sehinggalah ke peringkat lebih atas iaitu kerajaan negeri. Pastinya pengorbanan yang dicurahkan guru khususnya guru tahun enam bukan sedikit tetapi sebenarnya sepanjang masa persekolahan baik pagi mahupun ke malam. Malah, pada hari cuti pun kelas tambahan turut diadakan demi kecemerlangan pendidikan anak murid Terengganu.

Tanyalah siapa saja, tidak kira kecil ataupun besar, muda mahupun tua, pasti mereka mengatakan sekolah di Terengganu terang benderang pada waktu malamnya kerana kelas tambahan diadakan. Kalau tidak masakan keputusan diumumkan menunjukkan 14.4 peratus atau kira-kira 3,408 orang daripada keseluruhan calon seramai 24,130 menduduki UPSR di Terengganu mendapat 5A dan jauh mengatasi negeri lain.

Kejayaan melahirkan pelajar cemerlang dalam UPSR ini menarik minat Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehingga meminta pelajar dari negeri lain mencontohi usaha dan semangat juang pelajar Terengganu.

Bagaimanapun, usaha terbaik perlu dilakukan agar murid pintar seramai 3,408 mendapat 5A ini tidak tersisih dan mendapat pendidikan yang sebaiknya agar sejarah tetap tercipta dalam peperiksaan awam yang lain terutama dalam Penilain Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ADNAN AWANG,
Dungun, Terengganu.

GUNA KEMAHIRAN TINGKATKAN TARAF HIDUP

UTUSAN MALAYSIA, 17 November 2008

Golongan berpendapatan rendah perlu menggunakan kemahiran dan kebolehan masing-masing bagi membantu meningkatkan taraf hidup sekali gus keluar daripada garis kemiskinan. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis bantuan termasuk ilmu kemahiran bagi membolehkan golongan itu memperbaiki kehidupan mereka. Beliau berkata, golongan tersebut juga tidak perlu terlalu bergantung pada bantuan kerajaan kerana masih ramai yang perlu dibantu oleh kerajaan.

''Hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar hanya akan tercapai sekiranya golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya ini sentiasa berusaha mempertingkatkan taraf hidup mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini hari ini.
Seramai 43 penerima bantuan terdiri daripada golongan miskin dan ibu tunggal di sekitar Parlimen Tasek Gelugor menerima sumbangan dalam bentuk pembangunan semula perumahan keluarga miskin, pengurangan beban tanggungan keluarga dan bantuan ihsan penduduk miskin.

Untuk bantuan itu, kerajaan menerusi bantuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyalurkan bantuan kira-kira RM50,000 dan dibahagi mengikut kriteria dan kategori penerima.

Nor Mohamed berkata, salah satu cara untuk keluar daripada belenggu kemiskinan ialah melalui ilmu pengetahuan. Ujarnya, pendidikan anak penting bagi membantu golongan kurang berkemampuan mengubah nasib mereka.

"Jika anak kita diberi pendidikan yang sempurna, saya yakin suatu hari nanti mereka mampu mengubah kehidupan keluarga," tegas beliau.

Tambahnya, ibu bapa perlu menabung untuk kepentingan pendidikan anak-anak selain sebagai bekalan di hari tua kerana kerajaan tidak boleh selama-lamanya menanggung beban dan memberi bantuan.

Sunday, November 16, 2008

PROGRAM PERKASA BELIA TAHUN DEPAN

UTUSAN MALAYSIA, 16 November 2008

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggariskan tiga program utama yang akan dilaksanakan mulai tahun depan dalam usaha memperkasakan golongan belia tempatan. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, tiga program utama itu adalah Satu Komuniti Satu Persatuan, Belia Benci Jenayah dan Radio Belia.

''Pendekatan kita dalam melaksanakan ketiga-tiga program ini adalah dengan memberi tumpuan kepada belia di peringkat akar umbi. ''Ia bukan hanya menyalurkan maklumat mengenai usaha kerajaan memperkasakan golongan belia sebagai pemimpin masa depan tetapi juga menambah bilangan penyertaan mereka dalam pergerakan belia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Ke-26 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh. Persidangan tersebut berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Ismail Sabri memberitahu, bagi program Satu Komuniti Satu Persatuan, ia memberi tumpuan dalam mewujudkan pertubuhan belia yang membabitkan peringkat mukim, kampung dan komuniti.

''Bagi Belia Benci Dadah, program ini memberi maklumat tepat mengenai perakuan jenayah dan usaha mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti tidak sihat.

''Radio Belia pula akan menjadi saluran alternatif kepada belia untuk menyampaikan idea, pandangan dan pendapat terhadap apa jua isu semasa dalam suasana santai," jelasnya.

TIDAK MAMPU, BUKAN TAK MINAT

UTUSAN MALAYSIA, 16 November 2008
YUSRI SAHAT

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menolak dakwaan kononnya kontraktor kelas F bumiputera tidak berminat melaksanakan projek rumah kos rendah, sebaliknya kos pembinaan yang tinggi menyebabkan golongan itu tidak mampu melaksanakan projek tersebut.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Che Wan Khalid Mohammad berkata, projek tersebut yang dilaksanakan secara tidak berkelompok menyebabkan kos pembinaannya menjadi tinggi selain kesan kegawatan ekonomi global.

''Saya difahamkan, Syarikat Perumahan Negara (SPN) ingin memberikan projek membina rumah kos rendah kepada kontraktor kelas F untuk melaksanakannya.

''Bagaimanapun, maklum balas yang saya terima ialah mereka berminat tetapi tidak mampu menanggung beban kos pembinaan kerana projek-projek tersebut tidak berkelompok," katanya kepada pemberita di Wisma Kontraktor Melayu Pahang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Syarikat Perumahan Negara (SPN) baru-baru ini bahawa kebanyakan kontraktor kelas F bumiputera tidak tertarik untuk melaksanakan projek perumahan mesra rakyat.

Che Wan Khalid berkata, kenaikan harga minyak dan bahan binaan baru-baru ini menyebabkan ramai kontraktor kelas F bumiputera mengalami kerugian dalam projek yang dijalankan.
''Apabila projek perumahan yang mahu dilaksanakan merata-rata, secara tidak langsung ia meningkatkan kos pembinaan khususnya dalam aspek penghantaran bahan binaan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta Kementerian Kerja Raya mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor di bawah persatuan itu memperoleh projek kerajaan.

''PKMM telah menghantar senarai kontraktor berkebolehan kepada Kementerian Kerja Raya. Namun hanya sebilangan yang terpilih untuk menerima projek kerajaan. ''Oleh itu, kami amat berharap jumlah berkenaan dapat ditingkatkan bagi membantu kontraktor bumiputera," katanya.

Che Wan Khalid turut merayu kementerian itu mencari mekanisme terbaik bagi memudahkan kontraktor kelas F memperoleh keuntungan daripada projek pembinaan yang melebihi RM10 juta.

Beliau difahamkan kontraktor bumiputera pada masa ini adalah seramai 40,000 orang dan daripada jumlah itu, seramai 31,861 orang yang mendaftar dengan PKMM merupakan kontraktor bumiputera kelas F.

BELIA KURANG CEBURI PEMBINAAN - Kerajaan Belanja Besar Bina Institut Kemahiran

BERITA HARIAN, 16 November 2008
Zainab Mohd Yatim bhnews@bharian.com.my

Malaysia mempunyai kapasiti untuk tenaga kerjanya meningkatkan kepakaran dari segi teknikal dan vokasional dalam industri pembinaan, tetapi keupayaan itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata keadaan ini berlaku kerana sektor pembinaan negara ini masih berada pada tahap konvensional menyebabkan golongan belia kurang tertarik untuk menyertai sektor itu.

"Kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan institut kemahiran seperti Institut Giat Mara, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Akademi Binaan Negara yang mampu melahirkan pekerja yang kreatif dan mahir. "Bagaimanapun, kemudahan disediakan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencetus anjakan kepakaran kerana generasi muda," katanya selepas melawat pusat Pertandingan Kemahiran Asean Ketujuh (ASC) yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini, di Akademi Binaan Malaysia (ABM), di sini, semalam.

Menjelaskan mengenai perjalanan pertandingan ASC, Mohd Zin berkata, beliau berpuas hati dengan penganjuran yang menyaksikan lebih 200 ahli profesional muda tempatan dalam bidang industri, perkhidmatan dan vokasional di seluruh negara berkumpul menunjukkan kebolehan, bakat dan keupayaan masing-masing.

Friday, November 14, 2008

442,936 DUDUKI SPM 53,633 DUDUKI STPM

UTUSAN MALAYSIA, 10 November 2008

Seramai 442,936 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,331 calon adalah dari sekolah swasta dan 28,507 lagi merupakan calon persendirian perseorangan.

Menurut beliau, seramai 388,079 atau 87.6 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran dan sekolah kerajaan negeri manakala 16,019 calon (3.6 peratus) lagi terdiri daripada calon tajaan badan tertentu.

''Sebanyak 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negara untuk calon-calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini," katanya dalam kenyataan akhbar.

Sementara itu seramai 53,633 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 751 buah pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 12 November hingga 4 Disember 2008.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, daripada jumlah tersebut, 46,325 orang adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (1,723 orang), calon persendirian individu (5,123 orang) dan calon sekolah kerajaan negeri (462 orang).

KEPUTUSAN UPSR LEBIH BAIK

UTUSAN MALAYSIA, 14 November 2008
THOMAS CHONG

Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.

‘‘Sebanyak 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran berbanding purata 60.5 peratus untuk tempoh 2003-2007.

‘‘Seramai 488,567 pelajar atau 96.3 peratus daripada jumlah calon pula mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Alimuddin berkata, hanya terdapat empat mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dari segi jumlah pelajar yang mendapat A iaitu Matematik, Bahasa Inggeris SJK, Bahasa Cina (pemahaman) dan Bahasa Tamil (pemahaman). Menurutnya, lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (penulisan) Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris SK, Bahasa Melayu (pemahaman) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Cina (penulisan) dan Bahasa Tamil (penulisan) pula mencatatkan peningkatan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mendapat gred A.

‘‘Dari segi pelajar yang memperoleh minimum gred C pula, mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu (penulisan) SJK dan Bahasa Inggeris SK. ‘‘Tiada satu pun mata pelajaran yang mencatatkan penurunan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mencapai gred A hingga C,” katanya.

Dalam pada itu, lebih separuh daripada jumlah calon pelajar berkenaan menggunakan bahasa Inggeris bagi menjawab peperiksaan Sains dan Matematik. Daripada 511,875 sampel yang diambil, 159,234 (31.1 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam menjawab soalan Sains.

Alimuddin berkata, keputusan di kalangan calon orang kurang upaya (OKU) turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.

‘‘Sebanyak 1.27 peratus daripada jumlah calon terencat akal memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding hanya 1.19 peratus pada tahun lalu. ‘‘Jumlah calon buta yang mendapat semua A pula meningkat daripada kosong kepada 3.33 peratus. Calon cacat lain daripada kosong kepada 0.33 peratus, calon rabun daripada kosong kepada 1.33 peratus dan calon spastik daripada 1.23 peratus kepada 4.26 peratus.

‘‘Calon bisu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran, bagaimanapun, menurun daripada 66.67 peratus kepada 50 peratus manakala masih tiada calon pekak yang mendapat semua A pada tahun ini,” katanya.

Ditanya mengapa analisis keputusan keseluruhan UPSR tahun ini dibandingkan dengan keputusan purata lima tahun lalu dan bukan dengan keputusan tahun lepas, Alimuddin berkata, perbandingan dengan lima tahun lepas dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat.

‘‘Selain itu, tahun 2003 juga merupakan tahun di mana kita memulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya.

85% TENAGA KERJA KITA DI SINGAPURA DAKWA DITIPU

UTUSAN MALAYSIA, 14 November 2008

Hampir 85 peratus rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Singapura mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pekerjaan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, mereka mengadu dibayar gaji rendah dan diberi kerja yang berlainan daripada apa yang dijanjikan oleh agensi pekerjaan sebelum ke negara itu.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat 500,000 tenaga kerja Malaysia di Singapura dan sebahagiannya datang dari Sabah dan Sarawak.

"Kita telah menerima 2,400 aduan yang kebanyakannya penduduk Sabah dan Sarawak. Bagi mengatasi masalah ini, kita minta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenal pasti agensi-agensi pekerjaan ini.

"Agensi-agensi pekerjaan ini boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JTK Sabah di sini hari ini.

Beliau yang tidak menjelaskan jumlah sebenar tenaga kerja dari Sabah dan Sarawak di Singapura berkata, pada masa ini hanya satu agensi pekerjaan yang beroperasi di negeri ini berdaftar secara sah. Sehubungan itu katanya, bagi mencegah agensi-agensi haram berkenaan daripada terus beroperasi, orang ramai diminta melapor kepada JTK negeri jika melihat iklan mereka.

"Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut di bawah Agensi Pekerjaan Swasta dan jika agensi haram ini membuat iklan, boleh didenda RM3,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup untuk kira-kira 60,000 rakyat Sabah yang masih menganggur.
Subramaniam berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk menyerapkan mereka dalam pasaran kerja tempatan kerana dianggarkan 300,000 rakyat asing bekerja secara haram di Sabah.

"Jika 60,000 rakyat Sabah yang menganggur ini dapat mengisi peluang pekerjaan yang dimonopoli 300,000 pekerja asing tidak sah, masalah pengangguran akan selesai," katanya.
Beliau memberitahu, Sabah pada ketika ini mempunyai 74,000 rakyat asing yang bekerja secara sah.

Dalam pada itu kata Subramaniam, kementeriannya akan turut menyediakan program-program untuk membantu golongan muda di sini bagi mewujudkan tenaga kerja mahir. Katanya, proses melahirkan tenaga kerja mahir akan ditumpukan dalam bidang tertentu khususnya kehendak pasaran kerja masa kini.

Tuesday, November 11, 2008

PENDIDIKAN TIGA ALIRAN SEKOLAH TEKNIK DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN

BERITA HARIAN, 11 November 2008
Khairina Yasin kayrina@bharian.com.my

PELUANG pendidikan tiga aliran yang ditawarkan sekolah menengah teknik (SMT) seluruh negara kini menjadi pilihan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila 85,825 permohonan diterima setakat ini bagi memasuki tingkatan empat ke sekolah itu, tahun depan. Jumlah permohonan yang direkodkan sehingga 5 November lalu itu dijangka terus meningkat berikutan tempoh permohonan yang masih dibuka sehingga 15 Januari depan. Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun, berkata daripada jumlah itu, 31,229 memohon aliran vokasional, 31,060 (teknik) dan 23,536 (kemahiran).

Katanya, jumlah permohonan itu disifatkan luar biasa kerana permohonan bagi kemasukan tingkatan empat di SMT baru dibuka, pada akhir Oktober lalu. “Melihat trend permohonan kali ini, kita menjangkakan peningkatan mendadak dicatat dari segi jumlah permohonan, malah mampu mencecah lebih 200,000 permohonan, sekali gus mengatasi rekod tahun lalu dengan 208,841.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan ibu bapa terhadap aliran pengajian di SMT yang menekankan kepada aspek kemahiran dan vokasional, justeru menjadi pilihan ramai lulusan PMR untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan menengah tinggi.

“Malah, pencapaian itu juga mencerminkan kecenderungan tinggi pelajar terhadap aliran teknik, vokasional dan kemahiran yang ditawarkan di SMT. Ini membuktikan usaha kami dalam memantap dan memperkasakan SMT semakin menampakkan kejayaan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Berdasarkan unjuran tahun depan, seramai 32,440 lulusan PMR akan ditawarkan tempat memasuki tingkatan empat di 90 SMT seluruh negara. Daripada jumlah itu, katanya, 15,600 tempat disediakan untuk aliran vokasional, diikuti teknik (12,180) dan kemahiran (4,660). Beliau menjelaskan, permohonan calon berjaya boleh disemak pada tarikh yang akan diumumkan iaitu dua minggu selepas pengumuman keputusan PMR 2008.

Lapan kursus ditawarkan bagi aliran teknikal, iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, Ekonomi Rumah Tangga (ERT) (Pengurusan Makanan), ERT (Pengajian Pakaian), Pertanian (Sains Pertanian) dan Pertanian (Pengajian Agroteknologi).

Bagi aliran vokasional, antara kursus ditawarkan Pengaturcaraan Komputer, Automotif, Elektrik dan Elektronik, Katering, Pengurusan Teknologi Pejabat, Pengurusan Perniagaan, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan dan Binaan Bangunan.

Pilihan bidang dalam Mekanikal, Awam, Elektrik, ERT dan Pertanian pula ditawarkan menerusi aliran kemahiran.

LEBIH 40,000 TENAGA MAHIR SETAHUN

BERITA HARIAN, 11 November 2008
S Anand Kumar anand@bharian.com.my

Jabatan Tenaga Manusia (JTM) berupaya melahirkan lebih 40,000 tenaga mahir setahun menjelang 2015 dengan pembinaan lapan lagi institusi latihannya sebelum 2011. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata ketika ini, seramai 22,000 pelajar sedang mengikuti pelbagai program kemahiran sama ada pada peringkat diploma atau sijil di 22 institut latihan JTM seluruh negara.

Subramaniam berkata, penambahan sebanyak lapan institut latihan JTM itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). “Beberapa program baru akan ditambah seperti program latihan dalam sektor perkhidmatan, perhotelan dan perladangan.

“Apabila lapan institusi itu siap, ia dapat menambah kapasiti Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) sebanyak 5,000 orang kepada 27,000 orang,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen ILJTM ke-13 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.

Subramaniam berkata, JTM juga menjalankan kursus separuh masa sama ada berbentuk teori atau praktikal dalam meningkatkan kemahiran pekerja industri. Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, katanya, ILJTM sudah melatih 61,177 peserta daripada 1,824 syarikat yang mengikuti kursus jangka pendek.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, bagi tempoh 2006-2010, jumlah guna tenaga dalam ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan tahunan purata sebanyak 1.9 peratus, daripada 10.9 juta pekerja pada 2005 kepada 12 juta pekerja pada 2010.

“Pertumbuhan ini selaras dengan jangkaan pengembangan dalam ekonomi, terutama dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan, yang secara kolektif akan menyumbang sebanyak 95 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020,” katanya.

KAJI MATA PELAJARAN INOVASI DI SEKOLAH

UTUSAN MALAYSIA, 11 November 2008

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Pelajaran mengkaji kemungkinan memperkenalkan mata pelajaran berkaitan inovasi di sekolah bagi melahirkan pelajar yang dapat berfikir dan mempunyai sikap suka mengambil tahu.

Perdana Menteri berkata, kemahiran berfikir seharusnya dikuasai oleh pelajar sejak usia muda bagi mengelak mereka daripada hanya cenderung dengan aktiviti membaca, mengambil peperiksaan dan kemudian lulus.

‘‘Kita perlu memikirkan program untuk membantu pelajar supaya apabila sampai ke universiti mereka sudah mempunyai kemampuan bagi melakukan inovasi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sunday, November 09, 2008

PERSEDIAAN ROHANI TINGKAT KEYAKINAN HADAPI PEPERIKSAAN

BERITA HARIAN, 8 November 2008
Oleh Dr Aminudin Mansor

UNSUR kerohanian memainkan peranan penting ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Pengukuhan dalaman itu amat berkesan disisip dengan teknik dan strategi pembacaan, mengambil nota serta perbincangan dalam kumpulan. Semua itu akan menjadi tonggak utama untuk mencapai kejayaan terutama menjelang peperiksaan.

Strategi berkesan dan menggunakan kemudahan bantuan pembelajaran seperti perpustakaan turut membantu dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu bapa mesti memainkan peranan penting memberi semangat dan motivasi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Selain persiapan fizikal dan mental, anak juga dinasihat mengukuhkan persiapan rohani termasuk sentiasa mengingati Allah dengan tidak meninggalkan sembahyang, membaca al-Quran, berpuasa dan berzikir. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyenangi hamba maka dia diuji supaya Allah mendengar permohonannya (kerendahan dirinya)." (Hadis riwayat al-Baihaqi) Amalan berdoa setiap kali selepas bersembahyang adalah amalan yang baik.

Justeru, digalakkan selain berusaha dengan memperbanyakkan ulang kaji, pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan bertawakal serta memohon pertolongan Allah.

Bagaimanapun, kata-kata 'usaha tangga kejayaan' harus dijadikan panduan kepada pelajar kerana tanpa mengulang kaji pelajaran, bagaimana pelajar akan dapat menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Ibu bapa juga mesti mendoakan kejayaan anak. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga doa yang mustajab, tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Sesungguhnya, Imam Al-Ghazali menjelaskan, ada tiga perkara yang apabila diberikan kepada pemuda, sesungguhnya ia sudah memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat iaitu hati yang sentiasa bersyukur, lidahnya sentiasa berzikir dan dirinya sentiasa bersabar menghadapi ujian. Persiapan saat akhir juga tidak digalakkan dan ibu bapa seharusnya mengawasi aktiviti anak supaya tidak terlepas waktu belajar. Pada masa sama, ibu bapa perlu memberi perhatian supaya anak mempunyai waktu tidur yang cukup sebagai persiapan fizikal menghadapi peperiksaan.

Dalam menghadapi peperiksaan ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri, menanam keazaman yang kuat, berani menempuh ujian dan peperiksaan serta ikhlas dalam amal. Semuanya itu akan membina minda dan peribadi Muslim yang unggul ke arah kejayaan. Selain itu, ada beberapa rahsia ke arah kecemerlangan antaranya yakin pertolongan Allah, berfikiran positif, bercita-cita tinggi serta bersiap sedia menghadapi segala rintangan dan halangan.

Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau. Baginda bersabda: Katakanlah, aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul)." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad) Emosi anak juga perlu diberi perhatian kerana ia bakal membentuk kekuatan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

Jangan terlalu meletakkan pengharapan tinggi kepada anak hingga menimbulkan rasa tertekan di jiwa mereka. Peperiksaan adalah cara menilai pencapaian anak dalam pelajaran. Oleh itu, persiapan menghadapi peperiksaan penting supaya mendapat kejayaan cemerlang. Namun, tujuan utama menuntut ilmu ialah bagi meraih kejayaan di dunia serta akhirat. Di samping mencari kejayaan dunia, ilmu pengetahuan seharusnya mendekatkan pelajar kepada Allah seterusnya menyumbang kepada ummah.

Friday, November 07, 2008

LATIH 100,000 PEKERJA SETAHUN

BERITA HARIAN, 7 November 2008
Oleh S Anand Kumar
Kumaranand@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melatih kira-kira 100,000 tenaga kerja mahir tempatan dalam tempoh setahun, selaras usaha kerajaan mengurangkan buruh asing dalam sektor binaan.

Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kementerian akan menyediakan peruntukan RM100 juta kepada CIDB bagi membolehkan tenaga kerja berkenaan menguasai segala kemahiran dalam sektor pembinaan. Beliau berkata, ketika ini hampir 320,000 pekerja asing bekerja dalam sektor pembinaan di negara ini dan kementerian akan mengurangkan angka itu secara berperingkat.

“CIDB akan melatih tenaga mahir menerusi enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara. Saya percaya, langkah ini adalah pendekatan untuk mengurangkan tenaga asing dalam sektor pembinaan,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ketujuh yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 November ini di ABM, Jalan Chan Sow Lin dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Dr Abdul Munit Kasmin; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Hamzah Hasan. Malaysia akan menyertai semua 19 bidang kemahiran yang dipertandingkan membabitkan 38 peserta bagi merebut pingat emas, perak dan gangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata bagi memastikan Sistem Binaan Industri (IBS) dapat dimanfaat sepenuhnya dalam sektor binaan tempatan, kementerian mewujudkan pusat kajian IBS dan makmal untuk kajian komponen sistem berkenaan.

“Ini adalah makmal IBS terbesar di negara ini dan ia dijangka beroperasi Mac tahun depan. Sekarang kita menghantar sampel komponen IBS ke Singapura untuk kajian. Kos membangunkan makmal ini sebanyak RM30 juta,” katanya.

442,936 DUDUKI SPM MULAI 11 NOVEMBER

UTUSAN MALAYSIA
7 November 2008

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Seramai 442,936 calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 11 November ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, 10,331 calon sekolah swasta dan 28,507 lagi calon persendirian perseorangan.

''Kita juga mempunyai 388,079 atau 87.6 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran dan calon sekolah kerajaan negeri manakala 16,019 atau 3.6 peratus lagi terdiri daripada calon tajaan badan tertentu,'' kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negara untuk calon-calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Katanya, segala maklumat mengenai masa peperiksaan, peringatan kepada calon dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan telah pun diedarkan melalui jadual waktu peperiksaan. Beliau menambah, calon perlu membawa bersama kad pengenalan masing-masing pada setiap masa peperiksaan dijalankan.

''Ini adalah untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,'' ujarnya. Beliau juga mengingatkan semua calon supaya membuat persediaan awal untuk mengelakkan berlaku keadaan atau kejadian yang tidak diingini sehingga boleh menghalang mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

Katanya, sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir atau kebakaran, sebarang pindaan kepada jadual waktu peperiksaan dan perubahan pusat peperiksaan akan berlaku melalui hebahan media massa.

Beliau mengingatkan calon SPM supaya tidak terpedaya dengan penyebaran soalan bocor yang dihebahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

RM100 JUTA LATIH 100,000 TENAGA MAHIR

UTUSAN MALAYSIA, 7 November 2008
Oleh HASNURUL MOHAMED

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk melatih 100,000 tenaga mahir tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka akan dilatih selama setahun di enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara.

"Kita mempunyai enam ABM iaitu di Sungai Petani, Terengganu, Wilayah Tengah, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Ketika ini kita mempunyai 320,000 orang tenaga buruh asing yang perlu dikurangkan melalui peningkatan modal insan khususnya anak muda kita sendiri yang memerlukan latihan teknikal dan vokasional," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pertandingan Kemahiran ASEAN ke-7 yang akan diadakan di sini, dari 14 hingga 16 November ini. Seramai 197 peserta akan mengambil bahagian dalam 19 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Katanya, langkah awal untuk menimbulkan minat terhadap industri pembinaan perlu dilakukan apabila 10,000 kanak-kanak sekolah dibawa dan didedahkan tentang pertandingan kemahiran yang akan diadakan pada minggu hadapan.

Beliau menambah, perkara yang mempunyai hubung kait dengan kemahiran teknikal dan vokasional sebenarnya memberi kekuatan kepada ekonomi negara.

Thursday, November 06, 2008

PENDATANG ASING TANPA IZIN 'KUASAI' KAMPUNG

Oleh RAHIMAH MOHAMED
UTUSAN MALAYSIA, 6 November 2008

Penduduk Kampung Usaha Jaya, Johor Bahru di sini kesal dengan sikap segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berlagak seperti penduduk tetap kampung itu sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penduduk, Alfizan Md. Zaini, 36, berkata, memandangkan bilangan PATI yang semakin bertambah sejak akhir ini maka kerenah mereka semakin menjadi-jadi.

"Ada yang semakin berani mendirikan rumah dengan sewenang-wenangnya di kawasan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, baru-baru ini pihak yang bertanggungjawab ada menyuarakan akan mengambil alih kampung tersebut dan memberikan rumah atau pampasan kepada penduduk warga tempatan.

"Tetapi bagi PATI ini, mereka turut berjuang bermati-matian untuk menuntut hak yang sama dengan penduduk tempatan iaitu inginkan pampasan atau rumah," tambahnya. Seorang lagi penduduk lain, Ismail Putih, 47, pula memberitahu, kebanyakan PATI terbabit didapati turut mengubah suai rumah mereka iaitu dari papan sehinggalah ke rumah batu.

"Ada juga yang sengaja membina sebuah lagi rumah, bersebelahan rumah mereka dengan niat jika berlaku pembancian di kampung itu, rumah baru mereka akan turut dikira," katanya. Menurut Ismail, walaupun pada hakikatnya warga Indonesia itu sudah maklum bahawa mereka tidak akan mendapat hak yang sama apabila berpindah nanti, namun ia tidak diendahkan. "Malah mereka bersikap mengalahkan penduduk tempatan," tambahnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati majoriti penduduk Kampung Usaha Jaya terdiri dari warga Indonesia yang telah menetap bertahun-tahun lamanya.

Wednesday, November 05, 2008

PERLAKSANAAN SISTEM IBS KURANGKAN PERGANTUNGAN KEPADA PEKERJA ASING

Zakaria Mohd Yusof
BERITA HARIAN, 5 November 2008

USAHA kerajaan meluluskan peruntukan RM9.2 billion dikhususkan untuk mengaplikasi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) seperti diumumkan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed menggambarkan kerajaan serius menjadikan IBS sebagai komponen utama projek pembinaan.

Konsep IBS ini membabitkan komponen binaan siap disediakan di kilang dan dibawa ke tapak binaan untuk dipasang, dijangka mampu menukar persepsi masyarakat terhadap sektor binaan yang sering dilihat sebagai industri cemar, bahaya dan sukar walaupun persepsi ini sebenarnya tidak terkecuali juga kepada kebanyakan sektor lain. Penggunaan IBS juga jika dipraktikkan secara menyeluruh, dipercayai mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia, sekali gus mampu mengatasi kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Namun, hakikat bentuk projek yang pelbagai dari segi saiz, bermula dari kerja kecil kepada projek yang pelbagai reka bentuk ketika ini, ia dilihat masih tidak mampu diaplikasikan kepada semua pelaksanaan projek, terutama projek pengubahsuaian. Kontraktor binaan terutama bersaiz kecil berasakan konsep IBS masih terlalu asing kepada mereka kerana kurang pendedahan dan pengetahuan.

Tambahan pula, buat masa ini rata-rata projek yang dilaksanakan di peringkat daerah, konsep IBS belum menjadi pendekatan mesra, sama ada dari segi reka bentuk, kaedah pembinaan atau untuk mendapatkan sumber bekalan mengikut kesesuaian. Kecuali ada faktor penarik berupa insentif berterusan kepada kontraktor yang serius menjadikan konsep IBS sebagai amalan kerja mereka, usaha menggunakan konsep IBS ini diragui berjaya.

Justeru, dicadangkan perkara berikut yang difikirkan mampu menjadi faktor penarik kepada penggunaan IBS di sektor binaan ini;
  • Pusat penyediaan sumber bekalan ke atas komponen binaan diwujudkan di setiap negeri atau daerah bagi memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan. Insentif bersesuaian hendaklah diberikan kepada pembekal persendirian yang sanggup mendirikan kilang bagi mengeluarkan komponen berkaitan.
  • Mewujudkan lebih banyak 'Kontraktor Pemasang' bagi menjayakan konsep IBS pada pelbagai peringkat kelas dan gred kontraktor di setiap negeri dan daerah. Bagi memastikan tenaga kerja tempatan digunakan secara optimum, 'Kontraktor Pemasang' hendaklah diwajibkan hanya menggunakan pekerja tempatan yang dilatih di institusi latihan tajaan kerajaan.
  • Bagi menggalakkan lagi penggunaan IBS, kerajaan harus menyediakan insentif sewajarnya kepada kontraktor yang diambil untuk menjadi 'Kontraktor Pemasang'. Setiap 'kontraktor pemasang' yang diiktiraf hendaklah dikategorikan sebagai 'Kontraktor Istimewa' yang melayakkan mereka memperoleh insentif dengan diberi keutamaan untuk mendapat projek kerajaan secara berterusan yang dilaksanakan di setiap daerah.
  • 'Kontraktor Istimewa' turut dibenarkan melaksanakan projek melebihi nilai dibenarkan mengikut kelas atau gred kontraktor.
  • Cadangan supaya setiap projek mesti mempunyai 70 peratus komponen berkonsepkan IBS dimulakan dengan projek kerajaan.
  • Promosi berterusan di setiap negeri atau daerah hendaklah dilaksanakan dalam bentuk taklimat atau seminar ke arah pembudayaan konsep IBS di sektor binaan. Galeri IBS hendaklah diwujudkan di setiap negeri.
  • Menganjurkan pertandingan reka bentuk bangunan berkonsepkan IBS tercantik peringkat negeri.
  • Berusaha untuk menerapkan konsep IBS ini dalam kurikulum di setiap institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang wujud di negara ini.

Apa yang penting, dengan mengaplikasikan IBS ini, ia bukan sekadar mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia, tetapi hendaklah memastikan tenaga kerja tersebut terdiri dari kalangan belia-belia yang telah dilatih di institusi latihan kemahiran.

Tuesday, November 04, 2008

PENGAJAR IKBN TIDAK BERDISIPLIN

BERITA HARIAN, 4 November 2008

KAMI pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tertekan dengan sikap segelintir pengajar IKBN yang suka melemparkan kata kesat kepada kami seperti 'beruk’, `kuda kayu’, `muka macam penyamun’ dan lain-lain lagi. Seorang kawan kami cuba menasihati pengajar yang suka melemparkan kata kesat, namun disepak dan ditumbuk seperti ‘anjing’ dalam kelas.

Apakah itu cara pembelajaran di IKBN Bukit Mertajam? Untuk tidak memanjangkan isu itu, kami menasihatinya agar tidak melaporkan kepada polis.

Kami tidak faham peraturan di IKBN itu, pengarah benarkan pelatih bermain mercun pada bulan puasa tetapi pegawai pula menghukum. Begitu juga dengan sambutan bulan kemerdekaan, pelatih bukan Melayu dibenarkan, manakala pelatih Melayu dipaksa ikut program, kalau tidak kena denda.

Sebenarnya pengajar IKBN itu sendiri ramai yang tidak berdisiplin, pakaian tak kemas serta mempersendakan Negaraku pada perhimpunan bulanan di atas pentas di belakang pengarah dengan menyanyi tidak ikut rentak dan mengilai.

Pelatih Tertekan

Monday, November 03, 2008

VOKASIONAL PERLU DIROMBAK, DINAIK TARAF

Zakaria Mohd Yusof
BERITA HARIAN, 3 November 2008

DUA minggu lalu, lebih 450,000 calon selesai menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara. Seminggu dari sekarang, bilangan yang hampir serupa akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kalau PMR menjadi peperiksaan bagi menentukan bentuk aliran yang diikuti, sama ada aliran sains, sastera atau teknikal mengikut kecenderungan masing-masing, SPM pula dikira lebih penting kerana ia akan menentukan masa depan sebenar hampir setengah juta pelajar.

Yang lulus cemerlang dipercayai akan memberi jaminan kedudukan penerusan akademik yang lebih sempurna dengan kemudahan kewangan dan biasiswa. Jika sebaliknya, ia menjadi menjadi igauan kepada kumpulan ini berhubung arah kehidupan dan hala tuju selepas ini.

Alangkah beruntungnya negara sekiranya pelajar seramai ini, selain memburu kecemerlangan yang diidamkan, mereka turut mampu berfikir jauh, mempunyai wawasan serta jati diri yang tinggi. Mereka mempunyai semangat berkobar-kobar dan menyedari bahawa dalam waktu yang sudah tidak jauh tempohnya, perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tidak lagi dipikul pemimpin sedia ada.

Namun, persoalannya berapa peratus daripada mereka yang pandangannya menjangkau sejauh ini. Apa lagi menginsafi bahawa tugas dan tanggung jawab yang menanti pasti akan digalas mereka, sama ada mereka suka atau sebaliknya. Jika tidak, pasti mereka bakal menjadi penonton yang tiada nokhtahnya. Sebaliknya, sejauh mana rasa tanggungjawab ini diterapkan kepada pelajar ketika 11 tahun persekolahan mereka sehingga memungkinkan mereka mempunyai wawasan yang jelas lagi jitu?

Di samping negara mengharapkan kepada kumpulan pemikir berkualiti yang mampu membawa negara ke titik kecemerlangan, negara juga tetap memerlukan insan yang tinggi tahap kemahiran untuk menjadi pelaksana kepada cita-cita negara. Ia hakikat yang perlu diterima oleh pelbagai pihak.

Oleh itu, sudah tiba waktunya persepsi kepada pencapaian dalam pendidikan di peringkat persekolahan dinilai semula atau dilakukan reformasi secara menyeluruh. Kecemerlangan yang menjadikan akademik semata-mata sebagai kayu ukur kepada tahap kecerdikan dan tahap kejayaan perlu dirombak supaya kecemerlangan yang ditonjol mengambil kira elemen akademik dan potensi diri.

Justeru, subjek seperti reka cipta, kemahiran hidup dan subjek berbentuk kemahiran teknikal dan vokasional atau seumpamanya perlu dinaik taraf. Subjek ini hendaklah diformulakan supaya tidak lagi dilihat sebagai subjek 'kelas dua' bahkan setanding dengan subjek sains. Anugerah kecemerlangan dalam majlis penyampaian kecemerlangan pelajar hendaklah meliputi kecemerlangan dalam tahap kemahiran melalui subjek berbentuk vokasional. Inisiatif ini hendaklah dimulakan seawal di sekolah rendah.

Mempunyai barisan guru yang komited dan sanggup berkorban semata-mata untuk memastikan anak murid memperoleh tahap akademik cemerlang saja tidak memadai. Ia diibaratkan hanya melatih nakhoda untuk melayari bahtera yang canggih tetapi tanpa anak kapal berkemahiran.

Justeru, perlulah ada keseimbangan di antara kedua-duanya sejak dari awal persekolahan lagi. Sudah tiba waktunya kita menilai keadaan itu dengan serius. Usaha kerajaan memperkasakan pendidikan vokasional seperti yang dicadangkan perlu dijayakan segera tanpa dilengahkan lagi. Pendedahan kepada kemahiran vokasional perlu dipupuk seawal tingkatan satu.

Komitmen guru harus diteruskan dengan turut dijuruskan ke arah membimbing dan mendorong kumpulan pelajar lemah akademik agar harga diri semua pelajar mampu ditingkatkan. Guru juga harus mampu mengenal pasti kumpulan pelajar yang berkaitan untuk diberi dorongan bersesuaian.

Maklumat berhubung kewujudan ratusan institusi latihan kemahiran dalam negara perlu dijadikan topik dalam mata pelajaran tertentu. Adalah baik sekiranya diwujudkan segera subjek kerjaya agar semua aspek kemahiran yang menjadi keperluan negara disampaikan secara terus dan tersusun.

Dengan bilangan pelajar yang mencecah setengah juta setiap tahun yang menduduki peperiksaan, harus tidak timbul lagi persoalan mengharapkan pihak lain untuk merealisasikan agenda pembangunan negara. Tambahan pula negara mempunyai ratusan institusi latihan kemahiran yang saban tahun mencari-cari pelatih untuk memenuhi kuota pengambilan.

Persoalan seterusnya, adakah di kalangan guru menyedari kewujudan ratusan institusi latihan kemahiran yang menawarkan pelbagai bentuk kemahiran sebagai penerusan daripada apa yang dipelajari di sekolah?

Di samping memberi penerangan kepada pelajar berhubung kursus yang ditawarkan di universiti tempatan, adakah guru turut mampu memberi penerangan jelas berhubung bentuk kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan kemahiran yang diwujudkan kerajaan, khusus untuk kumpulan insan yang berpotensi.

Artikel - Artikel..