Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, June 15, 2009

SYARAT SIJIL ISO BUKTI KERAJAAN UTAMA KUALITI PROJEK

BERITA HARIAN, 15 Jun 2009

PENGUMUMAN yang dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor supaya projek pembinaan kelas A diberikan kepada kontraktor memiliki sijil Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) adalah satu usaha positif dan memperlihatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali bertolak ansur dalam hal berkaitan kualiti projek dilaksanakan.

Ini bertujuan untuk memastikan negara luar yang selama ini menaruh kepercayaan kepada kontraktor tempatan tidak tergugat ekoran beberapa kejadian runtuh yang berlaku beberapa hari lalu. Kontraktor hendaklah menerima ketetapan ini dengan hati terbuka dan berusaha untuk memastikan mereka memiliki persijilan berkenaan.

Apa yang lebih penting ialah persijilan yang dimiliki benar-benar menggambarkan kemampuan sebenar kontraktor berkenaan. Ini penting bagi memulihkan keraguan yang mungkin timbul gara-gara beberapa insiden runtuh yang berlaku, seterusnya memastikan imej industri pembinaan tidak terus dipandang negatif.

Bagaimanapun, di samping pemilikan persijilan itu, kerajaan diharapkan akan terus memantau proses pelaksanaan projek kerana pemilikan persijilan semata-mata masih belum menjamin pelaksanaan projek dilakukan dengan sempurna. Penyeliaan secara rapi di tapak projek dan diselia penyelia bertauliah saja yang mampu memastikan projek disiapkan dengan sempurna.

Justeru, dalam menentukan pemilikan persijilan ISO, elemen berikut perlu dimasukkan dalam prosedur kerja kontraktor berkenaan.

1. Menyediakan set dokumen tender dan lukisan binaan yang lengkap dan terperinci yang disediakan berdasarkan kepada Kaedah Pengukuran Setara yang ditetapkan.

2. Komponen yang sering berlakunya ketidaksempurnaan bila bangunan itu disiapkan seperti mendapan tanah, kebocoran pada bumbung dan paip, kelembapan pada lantai dan dinding hendaklah diberi perhatian teliti sama ada pada peringkat reka bentuk mahupun pembinaan.

3. Kerja penyeliaan hendaklah dilakukan penyelia yang berpengetahuan dan berkemahiran. Sudah sampai masanya untuk kerajaan mewajibkan hanya penyelia bertauliah saja dilantik sebagai penyelia tapak.

4. Pelatih yang mengikuti kemahiran berkaitan dengan sektor binaan di institusi latihan kemahiran awam hendaklah dibekalkan modul khas berkaitan penyeliaan projek sebagai modul tambahan. Ini bagi memastikan bilangan penyelia yang mencukupi bagi menampung keperluan projek. Adalah dijangkakan setiap projek memerlukan bilangan penyelia yang tidak sedikit.

5. Penyelia hendaklah benar-benar memahami pelan projek dan mempunyai pengetahuan dalam kaedah pemantauan yang berkesan.

6. Proses penyeliaan hendaklah disertai dengan sistem penyampaian laporan yang betul bagi m
emastikan proses pelaksanaan kerja mengikut apa yang ditentukan dalam pelan dan spesifikasi.

Tanpa penyeliaan betul oleh mereka yang benar-benar layak di tapak pembinaan, dikhuatiri kejadian tidak diingini akan terus berulang dan hasrat kerajaan untuk mempromosi kontraktor tempatan keluar negara akan turut terjejas.

PROF MADYA Sr ZAKARIA MOHD YUSOF
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
UTM, Skudai, Johor.

Thursday, June 11, 2009

BUMBUNG RUNTUH PERSOAL KREDIBILITI INDUSTRI BINAAN

BERITA HARIAN, 10 Jun 2009
Oleh Abdul Halim Yusoff halem@bharian.com.my

MEMANG tidak perlukan jurutera atau arkitek untuk faham bahawa beban berat keterlaluan sebagai punca utama sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, yang baru setahun digunakan runtuh pada Selasa lalu. Jika pergi hampir dengan timbunan runtuhan itu, kita dapat lihat kepingan zink yang kerap dipasang pada rumah biasa, digunakan pada rekaan bumbung termoden space design atau sistem bumbung tanpa sokongan tiang di stadium bernilai RM292 juta itu. Stadium itu adalah sebahagian Kompleks Sukan Gong Badak yang keseluruhannya bernilai hampir RM500 juta.

Ketika baru siap dibina, rekaan space design di stadium itu adalah pertama seumpamanya di Asia sekali gus menjadikannya monumen kebanggaan penduduk negeri ini. Mengikut terma kejuruteraan, space frame dibina daripada penyokong yang bercantum daripada sudut rekaan geometrinya menggunakan tiub besi. Bingkai berseginya yang berstruktur tegap membantu menguatkan fungsi sokongannya.

Komponen ringan itu mampu membidang jarak yang lebar dengan beberapa sokongan dan menimbulkan lengkungan untuk membentuk kesan visual. Bagaimanapun, istilah komponen ringan membangkitkan persoalan. Adakah zink yang biasa kita lihat dipasang di rumah yang disokong dengan banyak tiang dan alang itu cukup ringan seperti ‘polycarbonet’, bahan yang sepatutnya dan dipercayai lebih sesuai digunakan untuk rekaan canggih seperti itu. Mungkin perubahan saat akhir penggunaan komponen yang menjadi resipi kepada petaka pada 2 Jun itu. Berdasarkan dokumen yang diperoleh Berita Harian, banyak pihak terutama daripada kalangan arkitek dan jurutera sudah mempertikaikan rekaan sebegitu, malah ada yang mendakwa penggunaan rekaan itu diputuskan pada saat akhir daripada rekaan asal menggunakan piawai kejuruteraan yang diterima pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, ada pihak lain berpendapat rekaan membabitkan kos tinggi itu bukannya tidak boleh dibuat, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa dan kerja pemasangan perlu dilakukan tenaga pakar menggunakan bahan lebih sesuai. Tetapi, mungkin atas sandaran menjimatkan kos, komponen asal yang ringan dan tahan lasak seperti ‘polycarbonet’ tetapi mahal, dikatakan digantikan dengan zink biasa.

Stadium yang dirasmikan pada 10 Mei 2008 itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu terdiri daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd manakala arkitek ialah Senibahri Arkitek dan MAA Associates serta dibantu beberapa perunding dilantik jawatankuasa pelantikan juruperunding kerajaan negeri, iaitu Protech Consultant dan AZN Engineers. Semua syarikat berkenaan menafikan terbabit dalam pembinaan dan rekaan struktur bumbung space frame itu.

Malah, arkitek utama projek itu Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad mendakwa syarikatnya, Senibahri Arkitek tidak diberikan maklumat dan butiran mengenai rekaan dan bahan yang digunakan untuk pembinaannya. Beliau juga menulis kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mempersoalkan penggunaan rekaan itu dan mencadangkan penggunaan bumbung bersokongan tiang seperti yang biasa digunakan dan mahu komponen bahan memenuhi spesifikasi tertentu. Jurucakap Protect Consultant juga mengesahkan kontraktor tempatan hanya terbabit dalam kerja awam dan struktur utama.

Rekaan space frame bumbung tidak termasuk dalam kontrak asal dan diletakkan sebagai projek 'reka dan bina' kerana membabitkan kepakaran khusus dan subkontraktor Korea Selatan dipilih berdasarkan kepakaran mereka.

Namun demikian, jurucakap itu berpendapat rekaan space frame bukanlah silap kerana sudah tentu ia dibuat setelah mengambil kira perkiraan kejuruteraan yang disahkan pihak perunding bebas. Bagaimanapun, masalah mungkin timbul dalam kerja pemasangan dan kualiti bahan bumbung di kawasan yang bersimetri. "Masalah lain ialah penyelenggaraan. Dalam tempoh kecacatan, ia tanggungjawab kontraktor, tetapi mereka di Korea, tentu mengambil masa untuk ke sini," katanya mengulas kenapa tiada penyelenggaraan dibuat walaupun Menteri Besar Datuk Ahmad Said sudah memberitahu JKR Terengganu masalah di stadium itu sejak setahun lalu.

Daripada insiden malang itu, maka timbul persoalan mengenai tahap kepakaran kontraktor dan hala tuju industri pembinaan tempatan. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung itu sangat memalukan kerana masyarakat antarabangsa mungkin beranggapan peserta industri kita tidak cukup berkelayakan.

Berikutan peristiwa memalukan ini mencetuskan persoalan mengenai sejauh manakah kemampuan sebenar industri binaan negara dan secara langsung menjejaskan usaha mempromosi kepakaran kontraktor tempatan ke luar negara.

Seperti dikatakan Pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Madya Zakaria Mohd Yusof, antara sebab projek gagal ialah tidak mempunyai kefahaman dan kemahiran yang mendalam terhadap projek yang dilaksanakan. Selain itu ketiadaan perancangan rapi pada meliputi penggunaan sumber seperti keperluan bahan binaan, tenaga kerja dan perancangan aliran tunai projek serta ketiadaan komitmen mendesak menyebabkan terjadinya projek secara sambil lewa dan sering mendapat lanjutan daripada pemilik.

Di antara punca mengapa ia berlaku ialah:

1) Kebanyakan kontraktor datang dari latar belakang selain dari bidang pembinaan. Justeru, tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.

2) Membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender tanpa mengambil kira risiko bakal dihadapi.

3) Pengiraan tender yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos pelaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran sumber ketara.

4) Gagal menentukan masa penyiapan projek yang munasabah serta gagal mengenal pasti kemungkinan masalah yang boleh menjejaskan tempoh penyiapan.

5) Teknik pemantauan yang tidak sempurna di sepanjang tempoh pelaksanaan projek sama ada kontraktor yang terlalu bergantung kepada kontraktor kecil atau perunding yang dilantik tidak melaksanakan tugas dengan sempurna.

Dengan mengambil kira semua faktor berkenaan, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor yang dilantik mempunyai rekod yang memuaskan. Pemilihan berdasarkan kepada 'kenalan rapat' hendaklah sekali-kali dielakkan, kecuali kepada yang betul-betul mempunyai rekod cemerlang.

Pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender terendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan Juruukur Bahan berkelayakan, sementara perunding atau pihak yang bertanggung jawab memantau projek itu hendaklah sentiasa memberi ingatan segera kepada kontraktor sekiranya projek yang dilaksanakan menunjukkan tanda berlakunya kelewatan serta mengarahkan kontraktor membentangkan jadual perancangan pemulihan.

Selain itu, tempoh tanggungan kecacatan yang dikenakan kepada kontraktor hendaklah disemak dan munasabah mengikut skala projek. Ini bagi memastikan pelaburan kerajaan mendapat jaminan dan pulangan terbaik. Dicadangkan kecacatan struktur hendaklah bersifat sepanjang hayat atas dasar keselamatan pengguna. Tanggungan tempoh kecacatan selama satu atau dua tahun hanyalah sebagai jaminan kepada kecacatan kecil saja yang tidak membabitkan struktur.

Perlu kita ingat bahawa faktor kejayaan dan kegagalan sesuatu projek bukanlah terletak kepada kontraktor semata-mata. Sinergi semua pemain dalam pasukan pembina amatlah dituntut. Pemilik projek menerusi perunding yang dilantik hendaklah turut berperanan melaksanakan tugas sebagai perunding secara profesional dengan mengutamakan kepentingan pemilik projek yang telah mengeluarkan peruntukan besar, apatah lagi projek kerajaan yang menggunakan dana rakyat. Dengan itu diharap tidak lagi berlaku struktur canggih membabitkan belanja beratus juta roboh hanya selepas setahun digunakan.

Saturday, June 06, 2009

KEMAS KINI MEKANISME KAWAL SELIA DAN AUDIT BANGUNAN



6 Jun 2009


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

rencana@utusan.com.my

KEJADIAN bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, Selasa lalu lalu mengingatkan kita kepada insiden bumbung makmal komputer sebuah sekolah yang runtuh, lima tahun lalu. Apa yang membezakannya barangkali hanyalah nilai kerugian. Makmal komputer itu pastinya tidak dibina sehingga mencecah RM300 juta berbanding stadium tersebut. Namun kedua-dua insiden itu memalukan negara kerana ia sepatutnya tidak terjadi di sebalik ketinggian teknologi dan nilai kos pembinaan yang telah dilaburkan.

Seperti kejadian bumbung makmal sekolah tersebut, punca insiden runtuhan di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin juga dengan cepat dikaitkan dengan unsur politik. Tuduhan terhadap kerajaan negeri mula kedengaran apabila segelintir pihak mengaitkannya dengan amalan rasuah. Kononnya ia berlaku kerana kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu tidak melalui saringan yang ketat. Sebaliknya diberikan kepada mereka yang berada dalam kerajaan atau lebih tepat "kroni Barisan Nasional (BN)".

Namun apa pun puncanya - walaupun mungkin tiada kena mengena dengan amalan kronisme - kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos. Bukan sekadar beban kos kerugian melibatkan wang berjuta ringgit tetapi lebih parah, ia membabitkan kos "integriti, maruah dan keyakinan rakyat". Hakikatnya daripada aspek kejuruteraan, kejadian bumbung runtuh boleh berlaku disebabkan pelbagai punca. Antaranya kerana kegagalan mengikut spesifikasi pembinaan yang betul sehingga menyebabkan struktur binaan bumbung gagal menampung beban.

Runtuhan juga boleh berlaku disebabkan kesilapan reka bentuk bumbung atau penggunaan bahan binaan yang salah atau tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan. Punca lain ialah apabila kontraktor tidak mengikut pelan asal pembinaan. Mungkin kerana perlu menyesuaikan dengan perubahanperubahan tertentu semasa pembinaan. Jika runtuhan stadium itu berpunca daripada apa yang disebutkan di atas itu, adalah jelas ia merupakan kecuaian pihak kontraktor dalam aspek pengurusan pembinaan.

Maka kerajaan sewajarnya tidak teragakagak untuk mengambil tindakan termasuk menyenaraihitamkan kontraktor terbabit kerana mengabaikan aspek keselamatan. Bayangkan jika runtuhan itu berlaku ketika puluhan ribu penonton berada di dalam stadium berkenaan.

Justeru itu, kita mengharapkan siasatan berhubung nahas itu disegerakan dan bersifat telus untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Jawatankuasa khas yang terdiri daripada 10 pakar kejuruteraan dan tanah yang diamanahkan untuk menyiasat insiden itu dijangka menyerahkan laporan lengkap dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Hasil siasatan bukan sahaja dapat menentukan punca sebenar kejadian malah mampu menutup tuduhan-tuduhan yang tidak adil terhadap kerajaan.

Bagaimanapun seperkara yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana ia dibenarkan beroperasi sedangkan Sijil Siap Kerja untuk bumbung belum dikeluarkan. Sijil pengesahan itu biasanya dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila kerja-kerja pemulihan telah siap atau selepas tempoh membaiki kecacatan.

Perkara yang didedahkan sendiri oleh Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ghazali Hashim itu sangat memeranjatkan memandangkan tanpa Sijil Siap Kerja, stadium itu tidak sewajarnya digunakan. Apatah lagi kelemahan struktur bumbung itu juga dikesan sejak perasmian Sukma 2008, setahun lalu.

Oleh itu, pihak yang gagal bertindak ke atas laporan itu serta yang membenarkan stadium digunakan meskipun tanpa Sijil Siap Kerja, wajar bertanggungjawab ke atas insiden tersebut. Tindakan perlu dikenakan ke atas mereka.

Apa yang pasti, kejadian runtuhan bumbung stadium secara tiba-tiba itu meningkatkan kesedaran banyak pihak terhadap pentingnya mekanisme kawal selia dan audit sesebuah bangunan.

Maka tidak hairanlah apabila kerajaan Terengganu kelmarin bertindak mengarahkan JKR memeriksa keselamatan tiga lagi projek mega di negeri itu. Langkah tersebut turut diambil oleh beberapa kerajaan negeri lain.

Malah, beberapa kelemahan yang wujud dalam sektor pembinaan juga mula diberi perhatian oleh kerajaan. Antaranya prosedur pelantikan kontraktor terutamanya bagi projek-projek awam telah diperketatkan.

Begitu juga dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melebarkan kuasa supaya merangkumi aspek penyelenggaraan, keselamatan serta sistem pengurusan sesebuah kemudahan sukan termasuk di peringkat negeri. Ia boleh dilaksanakan menerusi pertimbangan kerajaan untuk menyemak Akta Pembangunan Sukan 1997 seperti yang disebut oleh Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini.

Walau apa pun tindakan susulan, kita sangat mengharapkan insiden serupa tidak lagi berulang.

Dalam kedua-dua kejadian runtuhan bumbung di makmal komputer sekolah dan stadium berkenaan, kita bernasib baik kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Namun, ia bukan jaminan bahawa tiada yang akan menjadi korban sekiranya kejadian serupa berlaku lagi pada masa depan.

Friday, June 05, 2009

TIADA MAKLUMAT LENGKAP REKAAN BUMBUNG STADIUM

BERITA HARIAN, 5 Jun 2009
Sean Augustine bhkt@bharian.com.my

KUALA TERENGGANU: Butiran terperinci berhubung rekaan dan bahan binaan bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’ untuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh Selasa lalu, tidak pernah diberikan kepada arkitek utama projek itu, Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul Baharin berkata, walaupun syarikatnya Senibahri Arkitek tidak bertanggungjawab terhadap struktur bumbung itu, beliau sudah menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakstabilan rekaan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) tahun lalu dan sekali lagi pada awal tahun ini. Katanya, beliau membuat aduan itu kerana sesiapa saja boleh mengenal pasti bahawa struktur bumbung itu semakin melendut dan berubah daripada bentuk asalnya.

Kerja mereka bentuk, membuat dan memasang struktur bumbung space frame itu dilaksanakan kontraktor dari Korea Selatan, manakala bahagian lain stadium termasuk bumbung yang tidak terjejas dengan kejadian kelmarin, dilaksanakan oleh Senibahri Arkitek. Mengulas lanjut, Raja Kamarul Baharin berkata, adalah penting untuk syarikatnya ketika itu mendapat butiran mengenai rekaan dan bahan binaannya bagi membolehkan jurutera menentukan kesesuaiannya.

"Saya tak dapat menjelaskan sama ada bumbung yang dibina itu sesuai untuk stadium berkenaan atau kenapa ia runtuh kerana saya tidak mendapat maklumat lengkap bagi memastikan ketepatan rekaannya.

"Saya yakin kejadian malang itu dapat dielakkan jika semua butiran mengenai rekaan itu diberikan kepada kami," katanya ketika dihubungi di Makkah, semalam. Raja Kamarul Baharin berkata, pada mulanya beliau tidak mahu mengulas, tetapi memutuskan sebaliknya sekarang apabila sebuah stesen televisyen kelmarin menunjukkan gambarnya apabila melaporkan mengenai kejadian runtuhan bumbung itu. Katanya, laporan itu bersifat negatif kerana seolah-olah menunjukkan beliau bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.

"Saya ada banyak lagi (pendedahan) untuk dilontarkan, tetapi biarlah saya meluahkan kepada Suruhanjaya Siasatan yang saya harap lembaga siasatan turut memanggil Senibahri Arkitek," katanya.

Stadium bernilai RM292 juta dan dirasmikan pada 10 Mei 2008 itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu terdiri daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd manakala arkitek ialah Senibahri Arkitek dan MAA Associates.

RINTIHAN KONTRAKTOR KELAS F KEPADA CEO TNB

FORUM
UTUSAN MALAYSIA, 5 Jun 2009

KEPADA Datuk Seri Che Khalib, CEO TNB, kami selaku kontraktor kelas F bahagian utara tanah air dengan dukacitanya ingin memaklumkan kepada pihak Datuk Seri beberapa masalah yang dihadapi:

Pembayaran projek
Kami dengan ini memohon agar pembayaran setiap projek dipercepatkan selepas tuntutan dibuat. Untuk perhatian kepada Datuk Seri, setiap tuntutan yang dibuat oleh pihak kami mengambil masa yang sangat lama untuk dijelaskan.

Kadang-kadang sehingga 4 hingga 5 bulan. Perkara ini amat menyusahkan kontraktor.
Seperti yang Datuk Seri sedia maklum, kontraktor kelas F seperti kami tidak mempunyai pusingan modal yang banyak.

Disebabkan keadaan ini, kami tidak dapat melakukan kerja lain kerana kekurangan modal untuk projek seterusnya. Lebih menyedihkan, kami amatlah bergantung kepada bayaran tersebut untuk keperluan seharian.

Inden lambat
Ini juga merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh kontraktor. Apabila pihak kontraktor telah ditawarkan dengan sesuatu kerja, inden yang dikeluarkan adalah sangat lambat. Ia memakan masa sehingga dua bulan.

Kami berharap sangat agar Datuk Seri memandang serius hal-hal seperti ini. Jangan sesekali memandang rendah kepada kontraktor seperti kami. Kelewatan membayar tuntutan akan memburukkan lagi hubungan kontraktor dengan TNB.

Kami menaruh harapan yang amat tinggi kepada Datuk Seri Che Khalib.

Thursday, June 04, 2009

KONTRAKTOR SAMBIL LEWA PUNCA PROJEK GAGAL SIAP

BERITA HARIAN (Wilayah), 4 Jun 2009

KOTA KINABALU: Sabah dikesan tidak terkecuali daripada masalah projek kecil gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian ditetapkan kerajaan berikutan sikap sambil lewa kontraktor kelas F sambilan. Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, mendakwa masalah itu tidak berlaku sekiranya dijayakan kontraktor sepenuh masa yang mahukan hasil kerja berkualiti untuk memastikan terus mendapat tender bagi jangka panjang. Beliau berkata, laporan itu diterima daripada beberapa pegawai kanan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang mendapat tender projek di bawah pentadbiran jabatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor terbabit dikenal pasti bukan anggota PKMM cawangan Sabah. Sehubungan itu, beliau berkata, PKMM Sabah menyokong langkah Kementerian Kerjaraya menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan adalah golongan sepenuh masa bagi memastikan kualiti kerja.

"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah projek kecil yang gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian yang turut berlaku di Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ahad lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata negara mempunyai kira-kira 31,000 kontraktor kelas F ketika ini dan mereka seharusnya menjadikan bidang itu sebagai bidang utama dan bukan sumber pendapatan sambilan. Katanya, bilangan kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu perlu dikecilkan dengan hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa dan benar-benar serius melakukan kerja mereka.

Awadnir berkata, PKMM Sabah menyokong cadangan pengecilan jumlah kontraktor yang kini keseluruhannya 45,000 orang di seluruh negara dengan cara menubuhkan konsortium dan bergabung. Menerusi sistem itu, katanya, mereka bukan saja mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan spesifikasi, malah menyelamatkan kontraktor kecil kurang modal daripada gulung tikar.

"Saya yakin kontraktor kecil di Sabah tiada halangan menubuhkan konsortium dan bergabung untuk menjayakan sesuatu projek. Langkah itu juga tidak menjejaskan pendapatan kontraktor kecil sepenuh masa," katanya.

PUNCA PROJEK GAGAL SIAP IKUT JADUAL - CARA ATASINYA

UTUSAN MALAYSIA, 4 Jun 2009

KEKESALAN yang dilahirkan oleh Menteri Kerja Raya berhubung projek-projek pembangunan yang lambat siap atau tidak dapat disiapkan (terbengkalai), sebenarnya bukanlah isu baru di negara ini.

Selain boleh menjejaskan nama baik agensi kerajaan berkaitan, ia juga akan memberi kesan kepada bakal pengguna. Biasanya akan melibatkan orang ramai apabila memperkatakan tentang projek-projek pembangunan oleh kerajaan.

Kegagalan demi kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kemampuan sebenar kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Dalam perkara ini, punca kegagalan pelaksanaan projek perlu diteliti dan antara sebabnya ialah:
Pertama, ramai kontraktor yang tidak faham dengan mendalam tentang projek yang mereka laksanakan. Keadaan itu menyebabkan mereka gagal menjangka masalah-masalah yang bakal dihadapi.

Kedua, tiada perancangan rapi di peringkat awal projek. Perancangan sepatutnya meliputi sumber iaitu keperluan bahan binaan, tenaga kerja, keperluan peralatan serta perancangan aliran tunai projek.

Ketiga, tiada komitmen mendesak dalam diri sesetengah kontraktor. Akibatnya terhasillah "projek sambil lewa" dan mereka kemudiannya mengharap tempoh dilanjutkan.

Keadaan-keadaan di atas itu berlaku disebabkan kebanyakan kontraktor datang daripada latar belakang bukan dalam bidang pembinaan. Justeru, mereka tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.

Kedua, mereka membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender projek berkenaan.

Ketiga, perhitungan harga yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos perlaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran yang ketara.

Keempat, mereka gagal menentukan masa penyiapan projek dengan munasabah dan gagal mengenal pasti masalah-masalah yang mungkin timbul.

Kelima, mereka terlalu bergantung kepada sub kontraktor dan tidak menyediakan teknik pemantauan yang sempurna.

Bagaimanapun, kelemahan-kelemahan tersebut boleh diatasi sekiranya semua pihak mengambil sikap sentiasa peka dengan semua keadaan. Maka, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor-kontraktor yang dilantik benar-benar mempunyai pengalaman. Mereka perlu mempunyai rekod yang memuaskan sebelum dilantik menjadi kontraktor.

Selain itu, pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender paling rendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan oleh Juruukur Bahan berkelayakan.

Kerajaan juga mesti memastikan kontraktor menyediakan jadual perancangan projek secara terperinci sebelum kebenaran memiliki tapak. Dan ia hendaklah merangkumi kesemua kategori projek dan kelas kontraktor.

Selain itu, pihak yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan sesuatu projek hendaklah sentiasa memberi ingatan kepada kontraktor sekiranya projek menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya kelewatan.

Pihak berkenaan seharusnya mengarahkan kontraktor terbabit untuk membentangkan jadual pemulihan bagi mengelakkan berlaku kelewatan yang lebih buruk.

Kerajaan sendiri perlu mencadangkan tempoh penyiapan yang munasabah sebagai asas untuk kontraktor menyiapkan projek dan bukannya berdasarkan kepada cadangan oleh kontraktor.

Selain itu, peraturan yang lebih ketat dalam pemberian lesen kepada kontraktor pada masa depan perlu dilakukan. Ini kerana kita memerlukan kontraktor yang benar-benar berwibawa.

PROF. MADYA ZAKARIA MOHD YUSOF
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia

Wednesday, June 03, 2009

SIASAT SEGERA BUMBUNG RUNTUH

UTUSAN MALAYSIA, 2 Jun 2009
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerajaan negeri menyiasat segera punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu yang berlaku pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi menentukan punca berlakunya runtuhan itu sama ada ia disebabkan bencana atau kecuaian pihak-pihak tertentu.

"Inilah hal-hal yang kadang kala kita tidak berpuas hati. Dalam kes ini satu siasatan perlu dijalankan untuk kita menentukan apakah puncanya. Adakah ini berpunca kerja-kerja kontraktor ataupun konsultan.

"Kita juga boleh persoalkan sama ada kerja-kerja pengesahan oleh pihak berkuasa dibuat secara teratur. Mungkin juga ia berpunca oleh sebab lain. Perkara-perkara ini harus diteliti oleh kerajaan negeri,'' katanya selepas majlis penutupan Program Titian Gemilang V di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.
Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Muhyiddin menegaskan, kerajaan negeri dalam siasatannya juga perlu menentukan sama ada stadium yang baru berusia setahun itu masih dalam jaminan.

"Ini di bawah kerajaan negeri dan mereka perlu membuat siasatan secara lebih menyeluruh. Stadium ini masih baru dan tidak mungkin berlaku kerosakan begitu teruk. Apa punca sebenar? Wallahualam.

"Bagi saya jika berlaku kerosakan kecil di sana-sini mungkin tidak menjadi isu tetapi masalahnya berlaku keruntuhan. Keadaan ini sebenarnya tidak menggambarkan profesionalisme kecuali disebabkan bencana,'' tambahnya.

JURURUNDING BEBAS AKAN DILANTIK CARI PUNCA RUNTUH

UTUSAN MALAYSIA, 2 Jun 2009

KUALA TERENGGANU 2 Jun - Kerajaan negeri akan menyiasat punca kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan melantik jururunding bebas untuk menilai dan mencari punca bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh. Menurutnya, pemeriksaan ke atas Stadium Tertutup di kompleks sukan berkenaan turut akan dilakukan bagi memastikan kekukuhannya.

''Saya masih belum menerima maklumat bagaimana kejadian runtuhan ini boleh berlaku kerana setakat ini belum ada siasatan yang dijalankan.

''Saya berasa dukacita dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika melawat stadium berkenaan di sini hari ini.
Ahmad berkata, pihaknya juga masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kontraktor yang membina dan mereka bentuk bumbung yang melibatkan kos kira-kira RM38 juta itu.

''Saya dimaklumkan kontraktor yang dilantik melalui tender itu adalah kontraktor dari Korea," ujarnya. Beliau memberitahu, stadium berkenaan akan ditutup sehingga kekukuhan strukturnya diperiksa dan kerja-kerja pembaikan dilakukan. Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka dilakukan oleh pihak kontraktor berkenaan kerana stadium itu masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.


''Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas," katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kejadian itu berlaku akibat pembinaan stadium yang disegerakan bagi membolehkan ia digunakan untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.

Ahmad berkata, semasa penganjuran Sukma 2008, stadium berkenaan digunakan selepas menerima Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.

''Selepas itu kita menerima kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan stadium ini bagi penganjuran acara-acara sukan," jelasnya.

RUNTUHAN BUMBUNG STADIUM MEMALUKAN NEGARA

UTUSAN MALAYSIA, 3 Jun 2007

KUALA TERENGGANU 2 Jun - Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini sebagai kejadian yang memalukan negara. Menurutnya, kejadian itu boleh menimbulkan imej negatif bahawa kontraktor Malaysia tidak berwibawa walaupun pembinaannya melibatkan kontraktor asing.
'
'Stadium ini baru dibina setahun yang lalu. Kejadian runtuhan ini memalukan imej negara.
''Nanti orang kata di Malaysia, bangunan yang sedang dibina pun ada benda jatuh, bangunan sudah siap pun boleh jatuh bumbungnya, bangunan yang nak diruntuhkan pun runtuh juga. Nanti ia jadi satu imej," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang separuh daripada bumbungnya runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi ini. Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Berikutan kejadian itu katanya, selepas ini kerajaan akan memberi penekanan terhadap piawaian amalan kerja dalam memilih kontraktor serta perunding untuk projek-projek besar.
Shaziman berkata, pihaknya akan meminta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memastikan amalan itu dipatuhi.

''Dari segi pemilihan jururunding dan kontraktor, kita mesti pilih berdasarkan kemampuan. Katakan projek yang besar, kena pastikan jururunding itu ada kapasiti manakala kontraktor pula mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," ujarnya. Beliau turut mengarahkan CIDB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian mengapa bumbung stadium berkenaan runtuh.

''Saya tidak mahu menunding jari dan menyalahkan mana-mana pihak. Kejadian ini baru berlaku. Saya mahu mendapat laporan yang terperinci," jelasnya.

Tuesday, June 02, 2009

BUMBUNG STADIUM GONG BADAK RUNTUH

MALAYSIAKINI
Abdul Rahim Sabri Jun 2, 09 11:03am

Bumbung utama Stadium Bolasepak Gong Badak, Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu tahun lalu, runtuh kira-kira jam 7.30 pagi ini.Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ahmad Tengku Hussein ketika dihubungi hari ini.

Menurut lamanweb Mampat, kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta kancul dan empat buah motosikal tertimbus. Sementara itu, seorang wartawan sambilan - Sazali Mohd Nor - yang dihubungi di tempat kejadian berkata, stadium yang berusia kira-kira setahun ini berkapasiti menampung kira-kira 50,000 penonton. Menurutnya, stadium mempunyai dua bumbung - bumbung tinggi di sebelah kiri dan bumbung rendah di sebelah kanan. Sazali berkata, yang runtuh adalah kesemua bahagian bumbung tinggi di sebelah kiri.

Sementara itu, sumber yang mengetahui mengenai projek tersebut, berkata beliau tidak terperanjat dengan kejadian tersebut. Menurutnya, juruperunding-juruperunding yang terbabit dalam projek tersebut telah lama menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan bumbung utama stadium yang dibuat oleh kontraktor asing.

"Walaupun sudah setahun memintanya dari kontraktor asing tersebut, difahamkan mereka masih belulm menerimanya," katanya. Sumber itu berkata, projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, beberapa anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dilihat memasuki bahagian bangunan yang runtuh itu bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap. Menteri Besar Datuk Ahmad Said turut meninjau tempat kejadian pagi ini dan beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di pejabatnya pada jam 4 petang ini. Menurut beberapa saksi, runtuhan dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja.

Asmadi Hashim berkata ketika kejadian, beliau berada di rumahnya yang terletak kira-kira 400 meter dari stadium berkenaan. "Saya mendengar satu letupan kuat dan menyangka ia adalah enjin kapal terbang kerana Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) terletak berhampiran stadium itu," katanya.

Sementara itu, dua pekerja yang sedang memasang tiang lampu di sekitar stadium berkenaan terkejut selepas mendengar letupan berkenaan. Mohd Zaidi Ahmad yang bekerja hanya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian itu, kemudian bergegas bagi memastikan tiada yang terkorban.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM270 juta dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Stadium berkenaan menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan perlawanan bola sepak Liga Super.

58,000 DIJANGKA TERJEJAS SEKOLAH LEWAT SIAP

BERITA HARIAN, Mutakhir 2 Jun 2009

KUALA KRAI: Kira-kira 58,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dijangka tidak dapat belajar dengan selesa tahun depan berikutan kegagalan pemaju yang diberi kontrak membina bangunan-bangunan sekolah berkenaan menyiapkannya mengikut jadual.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata daripada 128 sekolah menengah yang sedang dalam pembinaan di seluruh negara ketika ini, 58 didapati tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pemaju dan kerajaan sebelum ini.

"Kalau dikira 1,000 bagi setiap sekolah bermakna dengan 58 buah sekolah itu dianggarkan 58,000 orang pelajar tidak dapat mengikuti pengajian dengan selesa tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Permuafakatan Pendidikan PPD Kuala Krai di sini, hari ini.

Kira-kira 200 orang guru, guru besar dan pengetua hadir pada majlis itu yang juga perjumpaan sulung beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan warga pendidik. Puad juga mendedahkan bagaimana sebuah syarikat pembinaan yang mendapat kontrak membabitkan 26 sekolah yang bernilai kira-kira RM300 juta, tidak dapat menyiapkan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Kami tidak akan berkompromi lagi, kami sudah beri masa yang cukup, kenapa sambung lagi kontrak mereka. Kami ada bukti cukup, yang kontraktor itu gagal menyiapkan dalam masa yang dijanjikan dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah," katanya. - Bernama

80 PERATUS PROJEK JKR LEWAT

UTUSAN MALAYSIA, 2 Jun 2009
YUSRI SAHAT utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 1 Jun - Sebanyak 80 peratus projek di bawah Kementerian Kerja Raya sepanjang tahun lalu dikenal pasti mengalami kelewatan sehingga mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung peningkatan kos, pembaziran masa serta tenaga.

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pihaknya akan memperketatkan amalan pemberian Pelanjutan Masa (EOT) supaya kadar kelewatan projek dapat dikurangkan kepada 50 peratus tahun ini.

''Kadar kelewatan ini adalah tinggi tetapi ia bukan berpunca daripada kesilapan JKR semata-mata sebaliknya disebabkan pelbagai faktor,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini. Shaziman berkata, kelewatan sesuatu projek banyak berpunca daripada faktor luaran termasuk pengambilan tanah, kenaikan harga bahan binaan, ketidakmampuan kontraktor atau pemindahan utiliti.

Bagaimanapun jelasnya, walau apa juga alasan yang diberikan, rakyat tetap menyalahkan JKR berikutan kelewatan sesuatu projek tanpa mengambil kira faktor-faktor luaran tersebut.
Sehubungan itu, tambah beliau, JKR perlu mengatasi masalah tersebut menerusi koordinasi yang efektif dengan jabatan-jabatan lain supaya sesuatu projek tidak tergendala.

''Misalnya, JKR perlu bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum melaksanakan sesuatu projek supaya tidak timbul masalah berbangkit yang akhirnya menyusahkan rakyat,'' jelasnya.

Beliau juga mengingatkan semua JKR negeri supaya berhati-hati dalam meluluskan Arahan Perubahan Kerja (VO) dalam projek-projek kerajaan bagi mengelakkan implikasi kewangan yang lebih besar.

''JKR perlu berbincang dengan agensi pelanggannya supaya setiap VO yang diluluskan betul-betul memberi manfaat kepada rakyat,'' jelasnya. Beliau menambah, VO merupakan perubahan spesifikasi yang terpaksa dilakukan dan tidak mengikuti pelan asal sesuatu projek.

AMARAN KONTRAKTOR GAGAL SIAP SEKOLAH

UTUSAN MALAYSIA, 2 Jun 2009
NORZAINURA ABDUL MAJID utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 1 Jun - Siapkan ikut jadual atau kontrak ditamatkan.
Itu amaran Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi kepada syarikat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan bangunan sekolah baru di seluruh negara yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, kelewatan menyiapkan sekolah berkenaan akan mendatangkan masalah kepada pendaftaran pelajar baru tahun depan yang semakin meningkat. Beliau berkata, daripada 58 buah sekolah kebangsaan (SK) di seluruh negara yang sedang dibina dan sepatutnya siap tahun ini, masih ada sembilan sekolah lagi gagal disiapkan mengikut jadual.

"Begitu juga dengan sekolah menengah (SM) iaitu daripada 128 buah yang dibina, masih ada 54 buah lagi tidak dapat disiapkan mengikut jadual," katanya. Beliau berkata demikian setelah melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SMSBP) bersama beberapa pegawai tinggi kementerian itu di Jalan Tanjong Labuh dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada GLR Builders Sdn. Bhd., untuk meyakinkan Kementerian Pelajaran sama ada ia mampu menyiapkan pembinaan sekolah berasrama penuh pertama di daerah ini atau kontrak mereka ditamatkan. Beliau berkata, pembinaan sekolah yang membabitkan kos RM46.5 juta di kawasan seluas 20 hektar itu sepatutnya siap September ini, tetapi kini hanya 49.9 peratus sahaja telah disiapkan dengan kelewatan ialah 12.38 peratus.

Sambil melahirkan perasaan amat dukacita dengan apa yang berlaku, Mohd. Puad meminta kontraktor terbabit mencari jalan penyelesaian secepat mungkin atau tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan GLR Builders, Datuk Ismail Ibrahim yang turut hadir di tapak projek berkenaan berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan sekolah berkenaan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Masalah itu dakwanya berpunca daripada kelewatan empat bulan memulakan projek dari tarikh yang sepatutnya sehingga menyebabkan ia tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

STADIUM SULTAN MIZAN RUNTUH

BERITA HARIAN, Mutakhir 2 Jun 2009

KUALA TERENGGANU: Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, yang baru setahun digunakan, runtuh jam 9.30 pagi tadi. Runtuhan itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa tetapi sebuah kereta dan empat motosikal yang diletakkan di sekitar stadium itu ranap. Runtuhan itu membabitkan bumbung sepanjang 80 meter meliputi kawasan grandstand termasuk pentas diRaja.

KONTRAKTOR BERMASALAH PUNCA PROJEK BERMASALAH

BERITA HARIAN, 2 Jun 2009
Minda Pengarang

LANGKAH Kementerian Kerja Raya untuk menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F, yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan, terdiri daripada mereka yang menyertai bidang itu secara sepenuh masa bagi memastikan hasil kerja yang lebih berkualiti pada masa depan, amat dialu-alukan.

Malah, kerajaan juga perlu mengetatkan lagi pengeluaran lesen kontraktor kelas F bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mahu menjadi kontraktor diberikan permit, bukan menjadikannya sebagai kerja sampingan. Kontraktor yang menjadikan kerja itu sebagai sampingan inilah yang banyak menimbulkan masalah sehingga menyebabkan projek terbengkalai, tiada kualiti atau lebih teruk lagi, meng’alibaba’kan projek untuk mendapat keuntungan cepat dan kemudian ‘berusaha’ pula mendapat projek baru hingga menghimpit peluang kontraktor tulen.

Statistik Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sehingga April tahun ini menunjukkan 31,569 kontraktor kelas F yang berdaftar, satu jumlah yang agak besar. Selain menetap syarat untuk memilih kontraktor kelas F sepenuh masa, kerajaan juga mungkin perlu memberi keutamaan kepada konsortium kontraktor kelas F untuk diagihkan projek. Dengan cara ini, akan menggalakkan mereka untuk bergabung membentuk konsortium dan pada masa sama, mengecilkan lagi jumlah kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu.

Kerajaan selama ini menggalakkan kontraktor kecil menubuhkan konsortium kerana langkah itu akan memberikan mereka kekuatan untuk berdaya saing dalam pasaran global. Langkah ini juga akan membentuk kedudukan dan keupayaan kewangan yang kukuh serta kebolehan melaksanakan sebarang projek dengan baik.

Sebelum lesen kelas F diberikan, mereka juga hendaklah mengikuti modul kursus, latihan serta ujian yang bersesuaian. Ini kerana berdasarkan tinjauan melalui kursus yang dilaksanakan oleh sebuah institusi pengajian tinggi sebelum ini, lebih 60 peratus kontraktor kelas F tidak tahu membaca pelan. Bagi menggalakkan pemegang lesen kelas F mengembangkan perniagaan, mereka juga perlu meningkatkan kelas daripada kelas F ke kelas lebih tinggi iaitu E atau D. Di samping itu, kerajaan hendaklah meletakkan syarat agar mereka lebih mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek yang ditawarkan.

Berdasarkan maklumat, hanya 17,000 daripada 40,000 kontraktor kelas F di negara ini masih aktif dan mendapat faedah daripada bantuan kerajaan. Bagi membantu lebih banyak kontraktor kelas berkenaan mendapat tawaran projek, kerajaan sebelum ini sudah mengambil inisiatif mewajibkan 10 peratus daripada nilai kontrak yang bernilai RM10 juta ke atas diagihkan kepada kontraktor kelas itu. Kita percaya dengan pelbagai insentif yang diberikan kerajaan, akan mendorong mereka untuk menjadi kontraktor kelas F sepenuh masa, bukan lagi meminjam lesen, menjadi ‘ali baba’ dan sebagainya.

Monday, June 01, 2009

BIDANG KONTRAKTOR BUKAN KERJA SAMPINGAN - SHAZIMAN

Berita Harian, 1 Jun 2009

ALOR SETAR: Bidang kontraktor seharusnya dijadikan sebagai profesyen utama dan bukannya kerja separuh masa atau sampingan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor. Beliau berkata, bilangan kontraktor yang terlalu ramai, iaitu lebih 45,000 perlu dikecilkan, antaranya dengan cara hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa yang benar-benar serius melakukan kerja mereka. Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 31,000 kontraktor terdiri daripada kelas F.

"Yang separuh masa ni diharap akan lama-kelamaan keluar daripada sektor ini. Kalau nak jadi kontraktor dalam bidang binaan terutamanya, kena serius dan jadikan ia sebagai punca utama pendapatan individu berkenaan.

"Kebanyakan kontraktor separuh masa ni buat kerja ambil ringan dan hasilnya kurang berkualiti... ada juga bagi orang lain pegang lesen dan ini budaya yang tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Kontraktor Melayu Kedah, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Shaziman mengalakkan kontraktor kecil menubuhkan konsortium kerana langkah itu akan memberikan mereka sinergi untuk berdaya saing di pasaran global, keupayaan kewangan kukuh serta kebolehan melaksanakan sebarang projek.

Katanya, kontraktor yang memiliki jentera juga boleh mendaftar dengan persatuan supaya kemudahan yang dimiliki boleh dikongsi atau disewa kepada kontraktor yang tidak mempunyai peralatan berkenaan.

"Dengan penggabungan sumber-sumber itu, ia dapat mengeratkan kerjasama di antara kontraktor di samping menjimatkan kos projek dan penyewaan jentera," katanya. Shaziman turut menekankan bahawa persatuan amat penting dan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menentukan hala tuju industri binaan negara.

"Sebarang permasalahan yang timbul di dalam industri boleh disalurkan kepada persatuan sebelum perkara berkenaan disampaikan kepada kementerian," katanya. - Bernama