UTUSAN MALAYSIA, 24 Disember 2008
NASSRUL HAKIM MD. JANI
UTUSAN Malaysia semalam memilih laporan bertajuk 4,749 bakal diberhenti sebagai tajuk utama di muka depan akhbar. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.
Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini. "Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos," jelas beliau.
Sikap bergantung kepada pekerjaan dan kurang minat kepada bidang keusahawanan sebenarnya menjerumuskan seseorang di dalam situasi yang tidak menentu seperti ini.
Kebanyakan individu terutamanya siswazah lebih bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka pekerjaan daripada 'mencipta' pekerjaan sendiri dengan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.
Ini sebenarnya telah mewujudkan tekanan kepada pasaran pekerjaan terutamanya kerajaan yang terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan.
Kita ambil satu ilustrasi untuk membolehkan kita memahami situasi ini. Kita ambil sebuah negara yang kita namakan negara Y. Dalam negara Y ini ada dua jenis majikan iaitu kerajaan atau pun sektor awam dan syarikat atau pun sektor swasta.
Katakan terdapat 70 syarikat di negara Y dan setiap syarikat boleh menampung 10 pengambilan pekerja baru setiap tahun. Dengan itu keseluruhan sektor swasta negara Y boleh menampung seramai 700 orang pekerja baru setiap tahun. Kerajaan berkenaan pula boleh menampung sebanyak 300 orang pengambilan pekerja baru setiap tahun. Jadi jumlah pekerjaan baru yang boleh ditampung oleh kedua-dua sektor kerajaan dan swasta di negara Y ialah seramai 1,000 orang.
Setiap tahun akan muncul kumpulan-kumpulan yang memerlukan pekerjaan dari lepasan sekolah dan lepasan universiti. Katakan pada satu-satu masa dalam pasaran pekerjaan terdapat 1,000 orang yang memerlukan pekerjaan baru. Maka pasaran pekerjaan negara Y dapat menampung rakyatnya yang memerlukan pekerjaan.
Tetapi katakan dalam satu-satu masa terdapat 1,500 orang yang memasuki pasaran pekerjaan maka akan wujud pengangguran seramai 500 orang. Ini adalah kerana pasaran pekerjaan hanya boleh menampung seramai 1,000 orang sahaja.
Kerap kali berlaku kerajaan akan dipersalahkan kerana gagal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Kadangkala kerajaan sesebuah negara akan mewujudkan pekerjaan baru di sektor awam bagi membolehkan ramai rakyat bekerja.
Tetapi keadaan ini sebenarnya tidak baik kepada makro ekonomi sesebuah negara dalam jangka panjang. Ini kerana pekerjaan yang diwujudkan itu sebenarnya tidak diperlukan. Ini hanya akan menambahkan kos kepada kerajaan dan menjadikan kerajaan sesebuah negara itu tidak efisien. Pekerja yang ada terlalu ramai dan kerja pula sedikit. Dan ramai yang akan berehat ketika bekerja.
Tetapi sebenarnya sekiranya rakyat sesebuah negara itu tidak bergantung penuh kepada peluang pekerjaan semata-mata dan 'mencipta' sendiri pekerjaan melalui keusahawanan maka masalah ini akan dapat di atasi. Sekali lagi kita ambil contoh negara Y tadi.
Katakan dari kalangan 500 rakyatnya yang gagal mendapatkan pekerjaan terdapat 250 orang memilih untuk membuka perniagaan maka pengangguran dapat dikurangkan daripada 500 orang kepada 250 orang.
Dan dari 250 orang yang menjalankan perniagaan ini tadi, katakan setiap seorang memerlukan seorang pekerja sebagai pembantu maka mereka pula akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada baki 250 orang yang menganggur tadi. Ini akan mewujudkan pengangguran sifar.
Sebenarnya sekiranya seseorang itu melibatkan diri dengan keusahawanan, mereka bukan sahaja dapat mewujudkan pekerjaan untuk diri sendiri malah dapat memberi pekerjaan kepada orang lain yang bekerja dengan mereka.
Seorang yang berniaga burger di pasar malam contohnya sekurang-kurangnya memerlukan seorang pekerja untuk membantunya menjalankan perniagaan tersebut. Ini adalah lebih baik daripada merungut-rungut di sana sini dan meratapi kegawatan ekonomi yang menyebabkan mereka gagal mendapatkan pekerjaan.
Golongan siswazah sepatutnya telah bersedia untuk menjadi majikan dan bukan mencari majikan. Binalah perniagaan sendiri. Selain mencipta pekerjaan sendiri anda juga boleh memberi pekerjaan kepada orang lain. Kalau kita kaji seseorang yang memilih untuk menjadi usahawan sebenarnya membantu masyarakat, negara dan ekonomi secara keseluruhannya. Mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan meringankan beban kerajaan untuk memikirkan langkah mengatasi pengangguran ini.
Tetapi penulis percaya ramai siswazah yang berasa lebih mulia 'terperuk' di rumah dan memegang gelaran penganggur terhormat dengan duit dalam poket satu sen pun tidak ada daripada bermandi peluh berniaga di pasar malam. Dan masalah ini sebahagian besarnya wujud di kalangan siswazah Melayu yang kurang berminat dengan bidang keusahawanan.
Walaupun selalu orang berkata "berniaga banyak risiko, nanti rugi". Ini menjadikan mereka memilih untuk bekerja makan gaji. Tidak ada risiko rugi. Setiap bulan pasti dapat gaji.
Tetapi apabila situasi sekarang yang menyebabkan majikan terpaksa membuang beribu-ribu pekerja maka kerja makan gaji juga ada risiko diberhenti. Jadi apa bezanya risiko menjadi usahawan dan makan gaji?
No comments:
Post a Comment