Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, October 28, 2009

MAJIKAN ASING PERLU TAWAR GAJI TINGGI

KERAJAAN negeri diingat supaya memastikan pelabur asing yang melabur di negeri masing-masing mempunyai keupayaan untuk menawarkan gaji lebih tinggi setanding dengan kemahiran pekerja di negara ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, tidak seharusnya wujud tanggapan di kalangan pelabur untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dengan bayaran yang rendah.

"Kalau ada majikan yang datang ke negara ini dengan harapan untuk memberi gaji RM500 hingga RM600, mereka mesti kecewa. Jangan datang hanya untuk mencari pekerja dengan gaji rendah.

"Saya harap pelabur yang akan datang, termasuk di Selangor atau Pulau Pinang, ialah mereka yang mempunyai daya untuk mendapatkan pekerja yang bergaji tinggi selaras dengan dasar yang diumumkan Perdana Menteri dalam bajet baru-baru ini untuk menjadi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai langkah kerajaan untuk menangani masalah kekurangan pekerja ekoran dasar pembekuan kemasukan pekerja asing ke negara ini. Subramaniam berkata, semua pihak termasuk negeri di bawah pembangkang perlu lebih proaktif untuk meningkatkan taraf ekonomi negara.

Menjawab soalan asal Kok, Dr Subramaniam, berkata kerajaan bersedia memberi kelonggaran pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor industri pembuatan seperti subsektor elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, sarung tangan dan plastik supaya industri itu dapat terus beroperasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, pembekuan pengisian jawatan tertentu oleh pekerja asing masih kekal malah kerajaan menetapkan beberapa jawatan yang tidak boleh diisi pekerja asing.

ASPEK PEMBINAAN JAMBATAN GANTUNG TIMBULKAN PERSOALAN

BERITA HARIAN, 27 Oktober 2009

KAMPAR: Cara pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Kampar, di Kuala Dipang, dekat sini yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian. Kerajaan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.

"Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan...ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan. Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan guru dan pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan. Murid berkenaan adalah sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk.

"Daripada pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya. Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lalu dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini. Seorang lagi bapa murid, Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.

Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat, bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan Perak.

"Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau.

"Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi. - Bernama

Tuesday, October 27, 2009

KERAJAAN KAJI SENARAIHITAM KONTRAKTOR LAMBAT BUAT BAYARAN

TERKINI UTUSAM MALAYSIA
26/10/2009 9:42pm

KUALA LUMPUR 26 Okt. — Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menyenaraihitamkan kontraktor utama yang mendapat kontrak kerajaan tetapi lambat membayar sub-kontraktor, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini.

Kemungkinan juga kontraktor sedemikian tidak boleh lagi menyertai tender bagi projek kerajaan, katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (NAFAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. - Bernama

Saturday, October 24, 2009

INTIPATI BAJET SULUNG NAJIB

Oct 23, 09 8:13pm

Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':
1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.
2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.
3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.
4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.
5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.
6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.
7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.
8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).
9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.
10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.
11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.
12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.
13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.
14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.
15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.
16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.
18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.
19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.
20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.
21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.
22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.
23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.
25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.
26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.
27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.
28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.
29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.
BERNAMA

INTIPATI SEKTOR NIAGA BAJET 2010

Berikut ialah intipati Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini.

  • Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010
  • Perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.
  • Penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus
  • Pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661
  • TNB akan membelanjakan RM5 bilion untuk melaksanakan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pada 2010.
  • Usaha sama awam-swasta akan meliputi kompleks imigresen, kastam dan kuarantin bersepadu di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM dan pusat MATRADE
  • 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.
  • Kerajaan akan memperuntukkan RM899 juta untuk meningkatkan industri pelancongan
  • Kerajaan akan meningkatkan insentif cukai kepada para penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan rakyat asing, dengan pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.
  • Pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualikan cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012
  • Penjawat awam dibenar membuat pinjaman untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun
  • Merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri
  • Memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah MITI
  • Menyegerakan Pensijilan Halal oleh JAKIM menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP.
  • Menyediakan RM24 juta untuk membangunkan produk sistem antipenyeludupan produk Halal di tiga pintu masuk utama dan tiga pelabuhan utama.
  • Memperuntukkan RM137 juta untuk meningkatkan dan memperbaiki infrastruktur saliran dan perparitan di jelapang padu membabitkan 180,000 petani
  • Memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan Projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi meningkatkan keupayaan bekalan air untuk Skim Pengairan Padi di Besut
  • Memperuntukkan RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.
  • Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang.
  • Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.
  • Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta.
  • Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka.
  • Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang.
  • Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.
  • Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp, dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bankinya untuk penjenaman dan promosi.
  • Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari.
  • Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk TEKUN dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
  • Memperuntukkan RM20 juta untuk mempergiatkan aktiviti kesedaran hijau dan amalan mesra alam sekitar.
  • Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain.
  • Mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka, dengan RM50 juta untuk syarikat pengeluar dan RM10 juta untuk syarikat pengguna. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka memberi faedah kepada lebih 140 syarikat dan dimulakan pada 1 Jan 2010.
  • Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Dis, 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan.
  • Pengecualian duti setem kepada pembeli yang membeli bangunan dengan sijil GBI mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Disember 2014.
  • Mempekenal insurans asas dan skim takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
  • Memperluas liputan takaful dan insurans mikro kepada peniaga kecil, dengan manfaat perlindungan daripada RM10,000 kepada RM20,000, pada premium serendah RM20 sebulan.
  • Pasaran saham akan diliberalisasikan lagi untuk meningkatkan kecekapan.
  • Meliberalisasi aturan perkongsian komisyen antara broker saham dan remisier dengan membenarkan perkongsian pembrokeran fleksibel pada kadar minimum 40 peratus dan meliberalisasikan sepenuhnya perkongsian komisten berkuat kuasa 1 Januari, 2011.
  • Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat perancangan kewangan dan kewangan korporat.
  • Semua syarikat senaraian awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat pemerokeran saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
  • Insentif cukai sedia ada untuk perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
  • Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen pembangunan kewangan Islam.
  • Pengecualian cukai ke aras keuntungan bank dariapda operasi luar negara.
  • Potongan berganda perbelanjaan yang ditanggung untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa.
  • Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penubuhan syarikat-syarikat pembrokeran Islam* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penerbitan sekuriti* Kerajaan akan menggalakkan semua institusi perbankan dan kewangan yang mematuhi syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim Ar-Rahnu.
  • Kerajaan akan memastikan koridor pembangunan serantau dimajukan mengikut jadual. Setakat ini 126 daripada 195 projek perancangan di pelbagai peringkat pelaksanaan. Pelaburan yang dirancang berjumlah RM221 bilion sudah mengatasi sasaran perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM145 bilion.
  • Kerajaan akan memperuntukkan RM3.5 bilion untuk kemudahan asas dan infrastruktur serta program latihan dan projek sosio ekonomi untuk menyokong pelaksaan projek sektor swasta.
  • Kerajaan kini dalam peringkat awal menyiapkan kajian pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kadar itu akan dikurangan berbanding cukai perkhidmatan dan jualan semasa.
  • Cukai pendapatan bagi 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh mulai 2009 akan dibenar dibayar secara ansuran dalam lima tahun.
  • Cukai lima peratus akan dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Jan, 2010.
  • Cukai perkhidmatan RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj serta RM25 setahun bagi setiap kad tambahan mulai 1 Jan, 2010.
  • RM100,000 dikenakan untuk setiap AP untuk pemegang kad AP terbuka berkuatkuasa 1 Jan, 2010. Sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automatif.
  • Akan memperkenal skim insurans asas dan takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
  • Akan memperluas liputan insurans mikro dan takaful untuk peniagaan kecil mendapat manfaat daripada perlindungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
  • Pasaran saham diliberalisasikan untuk kecekapan.
  • Membenarkan penyertaan ekuiti asing 100 peratus dalam kewangan korporat dan perancangan kewangan.
  • Semua syarikat senarai awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat broker saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
  • Insentif cukai semasa untuk majukan perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
  • Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen kewangan Islam.
  • Pengecualian cukai ke atas keuntungan perbankan yang diperoleh menerusi operasi luar negara.
  • Mulai 1 Jan 2010, kerajaan bersetuju membenarkan agensi kerajaan mengekalkan 50 peratus sewa yang diterima manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan dalam perolehan kerajaan.
  • Kerajaan akan laksana sistem pengurusan subsidi bahan api pada awal 2010.
  • Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan kepada 26 peratus daripada 27 peratus berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
  • Kadar cukai maksimum koperasi akan dikurangkan kepada 26 peratus manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin akan dikurangkan kepada 26 peratus.
  • Pengecualaian cukan persendirian akan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
  • Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi pendapatan pekerja Malaysia dan pekerja asing yang menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia sebanyak 15 peratus berbanding maksimum 26 peratus untuk seluruh negara.
  • RM14.8 bilion diperuntuk untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik.
  • Kerajaan akan terbitkan Sukuk 1Malaysia bernilai RM3 bilion.
  • Kerajaan akan mewujudkan Skim Persaraan 1Malaysia yang diurus oleh KWSP.

BERNAMA

Thursday, October 22, 2009

MBMMBI MAMPU BELA PELAJAR TERCICIR

BERITA HARIAN, 22 Oktober 2009
Oleh Zanariah Abd Mutalib bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.

“PPSMI akan mengakibatkan prestasi bagi dua subjek itu merosot jika ia diteruskan. Murid yang gagal sebelum ini terutama di luar bandar bukan disebabkan mereka tidak pandai tetapi kerana mereka tidak faham (pengajaran dalam bahasa Inggeris) dan ibu bapa juga tidak boleh membantu kerana mereka juga tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Semalam, akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.

“Buku yang lama itu kita boleh cetak semula dan sukatan pelajaran pun tidak perlu banyak diubah. Bagi pengajaran Bahasa Inggeris pula, kita memang memerlukan guru yang benar-benar mahir dan menambah alat bantuan mengajar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.

“Selepas ini, kita juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.

INOVASI BARU SIAPKAN BANGUNAN SEMINGGU

BERITA HARIAN, 22 Oktober 2009
Oleh Nik Sukry Ramli niksukry@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Inovasi dalam sektor pembinaan menyaksikan pengenalan satu lagi produk bermutu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mampu menyiapkan bangunan dalam masa seminggu. Teknologi IBS dinamakan ‘Fibre Reinforces Composite’ menggunakan bahan seperti sekam padi, hampas kelapa sawit dan fiber itu selain mudah dipasang, ia juga tidak mudah terbakar, tahan basah, tidak berkulat dan tidak akan dimakan anai-anai.

Syarikat Bintang Kencana Sdn Bhd yang memperkenalkan inovasi itu membuktikan keberkesanan penggunaan bahan berkenaan apabila diberikan tanggungjawab oleh Kementerian Pelajaran Malaysia menyiapkan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan, Port Dickson, Negeri Sembilan kurang dari tempoh tujuh hari.

Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata keupayaan syarikat milik Bumiputera itu menyiapkan bangunan terbabit dalam tempoh singkat mampu mengurangkan masalah kesesakan pelajar di dalam kelas.

“Sebahagian daripada 200 bangunan baru untuk prasekolah yang dirancang di beberapa sekolah terpilih sudah mula dibangunkan dan ada antaranya masih dalam pembinaan.

“Kita jangkakan semua bangunan itu boleh digunakan serentak menjelang 2010 memandangkan pendaftaran pelajar baru (prasekolah) bermula Disember ini. Kita juga bercadang untuk membina lebih bangunan prasekolah jika mendapat peruntukan tambahan,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Simbolik Bangunan PraSekolah Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengarah Urusan Bintang Kencana, Ahmad Raziff Abu Bakar dan Guru Besar sekolah itu, Saniah Abdul Samad.

Sementara itu, Ahmad Raziff berkata, masalah kelewatan pembinaan atau bangunan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dapat dielakkan melalui penggunaan sistem IBS dengan kos yang lebih rendah. Katanya, Bintang Kencana sebelum ini sudah menyiapkan lima bangunan sekolah baru dalam masa kurang setahun.

Monday, October 19, 2009

OPERASI BERSEPADU PATI LEBIH AGRESIF

UTUSAN MALAYSIA, 19 Oktober 2009
Oleh ZULHISHAM ISHAK utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 18 Okt. – Seramai 120,114 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dikesan masih belum berdaftar walaupun tarikh tutup semakin hampir iaitu pada 31 Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi memudahkan pendaftaran, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri akan membuka kaunternya setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Sebaik sahaja tamat tempoh, Operasi Bersepadu PATI yang lebih agresif akan dilaksanakan dan jika ada PATI yang tidak berdaftar dan ditahan, tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Kita telah membuat keputusan untuk bertindak tegas dalam perkara ini. Sebelum ini peluang demi peluang telah pun diberikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Beliau berkata, kerajaan sebelum ini banyak bertolak ansur serta memahami masalah PATI termasuk memberi kelonggaran kepada majikan tetapi tidak dihiraukan.

Sebelum ini katanya, kerajaan menetapkan 31 Mei lalu sebagai tempoh pemutihan PATI tetapi atas faktor tertentu, tempoh tersebut dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

“Lanjutan ini untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan. Jika tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas.

“Pada masa sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga minggu lalu seramai 192,723 PATI yang bekerja di negeri ini termasuk tanggungannya sudah pun berdaftar secara sah dengan pihak JIM.

Katanya, sejak Operasi Bersepadu Fasa I dan II dilakukan pada 7 Ogos tahun lalu, seramai 610,104 PATI dikesan termasuk pelarian dan warga asing yang tamat permit kerja. Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,634 PATI dikenal pasti melalui fasa pertama manakala 4,427 orang lagi melalui fasa kedua.

Melalui dua fasa itu juga katanya, jumlah PATI yang bekerja dan tanggungannya yang dikesan ialah 312,837 orang, pelarian (57,197 orang) dan pekerja tamat tempoh (230,000 orang).
Sehubungan itu, katanya, fasa kedua yang bermula pada Februari lalu akan diteruskan hingga hujung tahun ini khususnya di pantai timur Sabah.

22, 083 ANAK PENEROKA TERLIBAT

UTUSAN MALAYSIA, 19 Oktober 2009

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

NILAI 18 Okt. – Seramai 22,038 anak peneroka Felda di seluruh negara mengikuti Skim Latihan Kemahiran Generasi Baru kepada anak peneroka bagi memantapkan penguasaan ilmu sejak 2005.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh itu Felda juga memperuntukkan RM26.5 juta bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik serta kemahiran di peringkat sijil dan diploma.

Menurutnya, antara penekanan sektor pekerjaan yang diberikan keutamaan termasuklah kejururawatan, keusahawanan, perakaunan, perhotelan, pelancongan, maritim serta petroleum dan gas.

“Sejak skim ini diperkenalkan pada 2005, seramai 22,038 pelatih yang gagal masuk ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) dibantu supaya dapat meneruskan pengajian di pusat pengajian yang ditetapkan.

“Sepanjang tahun ini saja, seramai 2,085 pelatih sudah melaporkan diri, manakala Felda sudah membelanjakan RM26.5 juta atau 74.1 peratus daripada peruntukan RM35.8 juta bagi melaksanakan skim itu kepada generasi baru peneroka,” kata Ahmad.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa Felda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, Felda sedang merancang menambah tiga lagi program menerusi skim itu dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Pada masa sama kita juga turut membantu lebih 2,000 pelajar yang kini sedang meneruskan pengajian di 20 IPTA seluruh negara,” kata Ahmad.

BURUH MAUT JATUH TINGKAT 16

UTUSAN MALAYSIA, 19 Oktober 2009

KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Seorang buruh warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah bangunan yang sedang dibina di Kampung Ladang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa yang dikenali sebagai Soedjito, 36, cedera parah selepas terhempas di tingkat satu.

Rakan mangsa, Kaspin Usop, 40, berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat lalu bergegas ke tingkat tersebut.

"Pada mulanya, saya ingat tong gas yang kami guna untuk memasak meletup namun terkejut kerana ia masih dalam keadaan baik.

"Setelah memeriksa, baru saya temui mayat Soedjito," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. Katanya, mangsa dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja-kerja pembinaan di tingkat 16 bangunan itu.

Sementara itu, penyelia tapak projek, Aznan Musa, 39, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika berada di rumahnya di Pasir Panjang.

"Mangsa ada menunjukkan perubahan apabila selalu menghubungi anaknya di Jawa tetapi tidak sangka pula dia akan pergi," katanya lagi.

Saturday, October 03, 2009

TERKEJUT SEJADAH TEGAK SEPERTI SEDANG SOLAT

UTUSAN MALAYSIA, 3 September 2009

BUKIT MERTAJAM 2 Okt. - Sepasang suami isteri yang berselisih pendapat mengenai arah kiblat di rumah mereka di Taman Haji Mohd. Amin di sini terkejut apabila sejadah di bilik sembahyang mereka tiba-tiba tegak menyerupai orang sedang solat.

Kejadian aneh itu berlaku kira-kira pukul 9.45 malam, tidak lama selepas Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, dan isterinya, Zainab Ramli, 26, berbincang mengenai kedudukan sebenar kiblat rumah mereka berbanding di masjid berhampiran.

Sebelum kejadian, Zainab sempat menghamparkan sejadah tersebut untuk menunjukkan arah kiblat yang biasa digunakannya tetapi Mohamad Shuhaimi menyifatkan kedudukan itu tidak begitu tepat.

Menurut Mohamad Shuhaimi, selepas berbincang dalam bilik berkenaan, dia pergi ke ruang tamu sebelum memandikan anak perempuannya manakala Zainab pula pergi menggosok pakaian.

''Tidak lama kemudian, Zainab tiba-tiba meluru kepada saya dalam keadaan muka pucat dan terkejut sebelum memberitahu sejadah yang dihamparkan tadi sudah tegak seperti orang sedang solat antara dua sujud," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Mohamad Shuhaimi berkata, dia mengucap berkali-kali apabila melihat sendiri keadaan sejadah tersebut yang menyerupai seorang wanita bersolat. Melihat peristiwa aneh itu, Mohamad Shuhaimi menghubungi keluarga terdekat dan jiran-jiran yang kemudian datang menyaksikan sendiri kejadian tersebut.

''Ada beberapa jiran yang datang dengan kompas untuk membuat ukuran dan mengakui bahawa kedudukan sejadah itu tepat menghala ke arah kiblat," katanya. Mohamad Shuhaimi yang bekerja sebagai penghantar surat memberitahu, sejadah tersebut yang sudah sedikit lusuh, merupakan hantaran perkahwinan isterinya ketika mereka mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.

Katanya, berita mengenai kejadian itu tersebar begitu cepat sehingga ada orang awam dari merata tempat termasuk Kuala Lumpur yang sanggup datang untuk menyaksikannya.

''Bagaimanapun kira-kira pukul 2.30 petang tadi, saya secara perlahan-lahan melipat sejadah tersebut atas nasihat dua pegawai daripada Jabatan Agama Islam negeri yang datang ke rumah kami," katanya. Katanya, ia bagi mengelak daripada berlaku perkara khurafat yang boleh menyesatkan akidah umat Islam.

Mohamad Shuhaimi berkata, dia dan isteri percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu dan menganggapnya sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.