Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, October 19, 2009

OPERASI BERSEPADU PATI LEBIH AGRESIF

UTUSAN MALAYSIA, 19 Oktober 2009
Oleh ZULHISHAM ISHAK utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 18 Okt. – Seramai 120,114 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dikesan masih belum berdaftar walaupun tarikh tutup semakin hampir iaitu pada 31 Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi memudahkan pendaftaran, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri akan membuka kaunternya setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Sebaik sahaja tamat tempoh, Operasi Bersepadu PATI yang lebih agresif akan dilaksanakan dan jika ada PATI yang tidak berdaftar dan ditahan, tindakan undang-undang akan dikenakan.

“Kita telah membuat keputusan untuk bertindak tegas dalam perkara ini. Sebelum ini peluang demi peluang telah pun diberikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Beliau berkata, kerajaan sebelum ini banyak bertolak ansur serta memahami masalah PATI termasuk memberi kelonggaran kepada majikan tetapi tidak dihiraukan.

Sebelum ini katanya, kerajaan menetapkan 31 Mei lalu sebagai tempoh pemutihan PATI tetapi atas faktor tertentu, tempoh tersebut dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

“Lanjutan ini untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan. Jika tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas.

“Pada masa sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga minggu lalu seramai 192,723 PATI yang bekerja di negeri ini termasuk tanggungannya sudah pun berdaftar secara sah dengan pihak JIM.

Katanya, sejak Operasi Bersepadu Fasa I dan II dilakukan pada 7 Ogos tahun lalu, seramai 610,104 PATI dikesan termasuk pelarian dan warga asing yang tamat permit kerja. Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,634 PATI dikenal pasti melalui fasa pertama manakala 4,427 orang lagi melalui fasa kedua.

Melalui dua fasa itu juga katanya, jumlah PATI yang bekerja dan tanggungannya yang dikesan ialah 312,837 orang, pelarian (57,197 orang) dan pekerja tamat tempoh (230,000 orang).
Sehubungan itu, katanya, fasa kedua yang bermula pada Februari lalu akan diteruskan hingga hujung tahun ini khususnya di pantai timur Sabah.

No comments: