Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Saturday, August 30, 2008

BUKTI KESUNGGUHAN KERAJAAN JANA MODAL INSAN

Bajet 2009, BERITA HARIAN
30 Ogos 2009

PERUNTUKAN besar RM2.4 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan menjalankan program latihan kemahiran mencerminkan kesungguhan kerajaan menjana modal insan berteraskan vokasional bagi memacu pembangunan negara. Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin, berkata sektor industri negara yang berkembang pesat memerlukan tenaga mahir dan separa mahir terlatih bagi memacu bidang berdaya saing. “Langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan mengoptimumkan guna tenaga kerja dalam bidang berkaitan terutama membabitkan generasi muda lebih berminat dengan latihan dan vokasional,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Syed Ahmad Hussein, berkata peruntukan itu akan membantu melancarkan aktiviti berkaitan bagi meningkatkan penggunaan sumber tenaga negara. Berikutan usaha itu, katanya, lepasan diploma dan ijazah institusi latihan dan vokasional turut mendapat pengiktirafan dan imbuhan wajar seperti lulusan institusi pendidikan tinggi lain. Sementara itu, dua kesatuan guru menyifatkan langkah menambah sekolah baru membabitkan 110 sekolah rendah dan 181 menengah membantu merealisasikan pelaksanaan persekolahan satu sesi.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata kini kebanyakan sekolah berdepan pelajar terlalu ramai yang menyukarkan pelaksanaan sekolah satu sesi. Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional, Prof Datuk Mohd Ali Hassan, berkata usaha kerajaan itu mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dengan nisbah pelajar dan guru lebih kecil. Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon, berkata berikutan pelaksanaan sekolah satu sesi pula, pelajar mempunyai banyak masa untuk mengikuti kegiatan lain termasuk kokurikulum. Mengenai keutamaan kepada sekolah di Sabah dan Sarawak bagi perluasan Program Pintar, Pengerusi Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bena, berkata geran pelancaran 20 juta Yayasan Pintar diwujudkan bagi tujuan itu bakal memberi nafas baru pembangunan sekolah pedalaman Sarawak.

PASARAN TENAGA BURUH MASIH STABIL

Budget 2009, BERITA HARIAN
30 Ogos 2009

PRESTASI pasaran buruh pada 2008 dijangka kekal stabil didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang memberangsangkan serta menggalakkan. Ini dilihat menerusi peningkatan guna tenaga sebanyak 1.7 peratus kepada 11.6 juta pekerja berbanding 11.4 juta pekerja pada 2007. Peluang pekerjaan baru bagaimanapun dijangka berkurangan daripada 250,600 pada 2007 kepada 196,200 pada 2008 berikutan peningkatan penggunaan teknologi baru, termasuk teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta penambahbaikan dalam proses kerja.
Namun, kadar pengangguran dijangka kekal pada paras 3.2 peratus, sementara tenaga buruh dijangka meningkat kepada 12 juta orang berbanding 11.8 juta pada 2007. Sebanyak 4.4 peratus daripada jumlah penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, berbanding 4.3 peratus pada 2007, manakala 67.1 peratus adalah penduduk dalam kumpulan usia bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun. Kadar penyertaan guna tenaga bagi lelaki dan wanita masing-masing dijangka kekal 87.2 peratus dan 46.2 peratus, dengan kumpulan umur 20-29 tahun adalah penyumbang terbesar merangkumi 31.3 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh, diikuti kumpulan umur 30-39 tahun pada kadar 27.5 peratus.
Keadaan pasaran buruh yang menggalakkan turut ditunjukkan peningkatan kekosongan pekerjaan sebanyak 34.8 peratus kepada 512,300 kekosongan bagi separuh pertama 2008 seperti laporan Bursa Buruh Elektronik (ELX), berbanding 379,967 kekosongan bagi tempoh sama pada 2007. Permintaan bagi pekerjaan profesional seperti pegawai undang-undang, pengurus dan pegawai kanan, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu meningkat ketara sebanyak 125.6 peratus kepada 79,214. Sektor perkhidmatan mencatat jumlah kekosongan tertinggi dengan 161,149 pekerjaan merangkumi 31.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti sektor pembuatan (30.5 peratus) dan pertanian (27.9 peratus). Sehingga akhir Jun 2008 pula, bilangan pencari kerja aktif didaftarkan adalah seramai 190,237 dengan 47.3 peratus adalah pemegang ijazah dan diploma.
Suasana pasaran buruh yang stabil pada 2008 turut dibuktikan penyusutan kadar pemberhentian pekerja, dengan jumlah pekerja yang diberhentikan bagi tempoh enam bukan pertama 2008 berkurangan 37.7 peratus kepada 5,218. Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, kerajaan melaksanakan beberapa langkah, termasuk menggalakkan penggunaan 'Industrialised Building System' (IBS), terutama dalam projek kerajaan serta meningkatkan penggunaan automasi dan jentera dalam sektor pembuatan dan pertanian. Sehingga akhir Mac 2008, jumlah pekerja asing adalah 2.1 juta, iaitu 36 peratus dalam sektor pembuatan, diikuti perladangan (16.1 peratus) dan pembinaan (14.9 peratus).

SEKTOR PEMBINAAN STABIL

BAGET 2009, UTUSAN MALAYSIA
30 Ogos 2009

PRESTASI keseluruhan sektor pembinaan kekal stabil dan dianggar berkembang sebanyak empat peratus pada 2008.

Nilai ditambah sektor pembinaan terus meningkat sebanyak 4.5 peratus disumbang oleh peningkatan aktiviti kejuruteraan awam, kerja pertukangan khas dan sektor kecil kediaman.
Sektor kecil kejuruteraan awam berkembang 6.3 peratus ekoran kerancakan aktiviti sektor minyak dan gas serta pelaksanaan projek di bawah RMK-9 dan pembangunan koridor.

Ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu serta pembinaan Lebuh Raya Senai-Desaru, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 dan projek Landasan Berkembar Elektrik Seremban-Gemas serta Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasik Selatan. Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka bermula pada tahun ini akan meningkatkan lagi kejuruteraan awam.

Pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak dianggar kukuh dengan peningkatan peruntukan dalam melaksanakan beberapa projek seperti pembinaan Jalan Kota Marudu-Ranau, Lingkaran Luar Sandakan Utara, Jalan Kota Samarahan-Gempeh dan menaik taraf Jalan Kuching-Sibu.

Aktiviti sektor kecil kediaman turut naik 3.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2008 dipacu oleh pelaksanaan dalam perumahan kos rendah dan sederhana termasuk 36,000 buah rumah mampu milik oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd.

Liberalisasi peraturan di bawah Jawatankuasa Pelaburan Asing bagi pembelian hartanah oleh warga asing dan promosi juga menyumbang kepada perkembangan sektor kecil industri kediaman.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan sistem penyampaian dalam sektor pembinaan termasuk mempercepatkan kelulusan, mempermudahkan proses dan memperkenalkan sistem kawal selia kendiri. Pusat setempat telah ditubuhkan di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepatkan kelulusan projek berimpak tinggi serta yang mempunyai potensi menarik pelaburan asing. Langkah ini membolehkan urusan memproses oleh PBT, kerajaan negeri dan persekutuan dilaksanakan secara serentak dan seterusnya memendekkan proses kelulusan daripada 357 hari kepada maksimum 120 hari.

Sebagai tambahan, Sistem Perakuan Kelayakan Menduduki digantikan dengan Perakuan Siap dan Pematuhan agar jurutera, arkitek dan pelukis pelan bangunan berdaftar dapat mengesahkan kelayakan bangunan serta mempercepatkan proses penyerahan hartanah yang telah siap.

Dari sudut permintaan, prestasi jualan bagi pelancaran unit kediaman baru meningkat 26.5 peratus sebahagiannya disumbang oleh beberapa langkah kerajaan dalam menggalakkan pemilikan rumah. Sebagai tambahan kepada pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah, pengecualian duti setem 50 peratus telah diberikan ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM250,000.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga dibenarkan membuat pengeluaran bulanan dari Akaun 2 bagi mengurangkan beban kewangan mereka. Kerajaan juga mewujudkan dana berjumlah RM50 juta sebagai jaminan kepada Bank Islam Malaysia dan Bank Simpanan Nasional dalam memberi pinjaman kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Friday, August 29, 2008

KERANGKA BUMBUNG SEKOLAH RUNTUH

Oleh AZIAN AZIZ
Utusan Malaysia, 29 Ogos 2008

SHAH ALAM 28 Ogos - Kerangka bumbung bangunan tambahan tiga tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 di sini yang sedang dalam pembinaan runtuh malam tadi.
Bangunan yang mula dibina pada Oktober 2007 itu terletak bersebelahan dengan sederet bangunan bilik darjah satu tingkat di sekolah tersebut.
Bagaimanapun kejadian runtuh yang hanya disedari ketika sesi persekolahan sebelah pagi bermula tidak melibatkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut pagi ini mendapati beberapa pekerja sedang meruntuhkan kesemua kerangka bumbung bangunan tersebut dipercayai untuk tujuan keselamatan.
Kenderaan polis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pelajaran juga kelihatan keluar dan masuk ke kawasan sekolah.
Usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada pihak sekolah tidak berjaya berikutan tidak mendapat kerjasama, malah wartawan juga tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah.
Kenyataan Pengarah Pelajaran Selangor juga gagal diperoleh kerana beliau sedang berkursus di luar negara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat laporan mengenai kejadian runtuhan tersebut selepas dimaklumkan pihak sekolah pagi ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, kerangka bumbung bangunan tersebut runtuh akibat strukturnya yang tidak kuat.

"Setakat ini pihak polis tidak membuka kertas siasatan kerana kejadian itu tidak berlaku sebarang kecederaan dan kematian tambahan pula bumbung yang runtuh itu melibatkan bangunan yang belum siap dibina," katanya.

Tuesday, August 12, 2008

BAYAR KONTRAKTOR DUA KALI SEBULAN

Harian Metro 12 Ogos 2008

PUTRAJAYA: Kontraktor tempatan yang terbabit dalam projek kerajaan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju membuat pembayaran dua kali sebulan bagi membantu aliran tunai mereka yang berdepan masalah akibat kenaikan mendadak bahan binaan baru-baru ini.Selain kemudahan itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kerajaan bersetuju membenarkan lanjutan tempoh siap sehingga tiga bulan bagi projek yang masih dalam pembinaan.“Kerajaan yakin langkah yang dilaksanakan itu akan membolehkan kontraktor menyiapkan projek kerajaan dengan sempurna mengikut tempoh ditetapkan.

“Kelancaran pelaksanaan projek pembangunan penting bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pembinaan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan menyemak semula harga kontrak projek pembangunan yang sudah dimeterai dengan kontraktor pembinaan bagi membantu mereka menampung kesan kenaikan harga bahan binaan.

Beliau berkata, kerajaan memutuskan kontrak tertentu yang sudah dimeterai dengan syarikat pembinaan akan diberi variasi harga berdasarkan kenaikan luar biasa harga bahan pembinaan terutama keluli dan simen.

Tuesday, August 05, 2008

3000 KONTRAKTOR KELAS F DI PERAK HADAPI KESUKARAN

UTUSAN MALAYSIA 5 OGOS 2008

KUALA KANGSAR 4 Ogos - Kira-kira 3,000 kontraktor kelas F di negeri ini mengeluh dan berkemungkinan besar terpaksa gulung tikar ekoran kurang mendapat tawaran kerja atau tender daripada kerajaan negeri.

Naib Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Perak, Megat Ahmad Shaarani Megat Sharuddin berkata, sejak pembangkang memerintah lima bulan lalu, nasib kumpulan kontraktor terbabit ibarat 'telur di hujung tanduk'.

''Sebahagian besar daripada kami bergantung kepada projek-projek pembangunan di peringkat negeri tetapi sekarang mereka merasakan sukar mendapat tawaran kerja sebab tidak ada projek baru dijalankan.

''Memang diakui ketika ini kontraktor kelas F begitu terhimpit dengan kekurangan mendapat kerja di Perak di samping tekanan harga bahan binaan yang tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru, Megat Ahmad Shaarani berharap kesulitan kontraktor kelas F itu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri kerana ia bukan sahaja dapat membantu kontraktor terlibat tetapi pada masa sama meneruskan pembangunan negeri.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, pihaknya terpaksa berunding dengan beberapa kementerian untuk mendapatkan projek kecil yang sesuai dengan kontraktor kelas F.
Menurut beliau, pihak persatuan mendapat persetujuan daripada Kementerian Kerja Raya yang bersedia memberikan kuota 10 peratus projek yang sesuai dengan kontraktor terbabit sejak bulan lepas.

Kata beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mencari peluang kerja.

Jelasnya, selain itu, pihaknya akan berunding dengan agensi berkaitan seperti Mara, UDA dan Bank Rakyat bagi membantu kontraktor-kontraktor kelas F di Perak. ''Kami juga sebenarnya berdepan dengan masalah sebut harga yang terlalu rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan harga bahan binaan seperti simen, kayu, bata, pasir, besi dan alat pendingin hawa.

''Malah, dua ahli kami di Kuala Kangsar terpaksa menyerahkan semula projek kepada pihak yang berkenaan setelah mendapati perbelanjaan bahan yang diperlukan tidak mencukupi dengan tawaran sebut harga," jelasnya.