Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, November 03, 2008

LEPASAN SEKOLAH PERLU SERTAI KURSUS KEMAHIRAN

UTUSAN MALAYSIA
3 November 2008

KOTA KINABALU 2 Nov. - Para pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi diminta segera memohon untuk masuk ke pusat-pusat latihan kemahiran di negeri ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Jainab Ahmad berkata, mereka tidak boleh cepat berputus asa kerana peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang masih terbuka luas.

Menurut beliau, lepasan sekolah perlu sedar bahawa kerjaya yang memerlukan kemahiran termasuk dalam sektor perhotelan dan pelbagai sektor perkhidmatan lain menyediakan banyak peluang pekerjaan pada masa ini.

"Saya meminta agar belia kita atau lepasan sekolah mengikuti kursus yang ditawarkan di mana-mana pusat latihan termasuk Pusat GiatMara. "Dengan mengikuti khusus yang ditawarkan, pelajar dapat mempersiapkan diri dengan pelbagai latihan kemahiran sekaligus memudahkan mereka mendapat peluang pekerjaan kelak," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Graduasi Pusat Giat Mara Sepanggar di sini semalam.

Menurut Jainab, dengan menyertai kursus di pusat-pusat latihan kemahiran itu juga, para belia dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan masalah sosial. "Apa yang dapat dilihat pada hari ini, lepasan institusi latihan yang menawarkan latihan berbentuk kemahiran teknikal lebih mudah mendapatkan pekerjaan.

"Ini kerana mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran lebih menjurus kepada satu-satu bidang tertentu yang amat diperlukan dalam sektor perindustrian negara kita," katanya.

Beliau berkata, di kawasan Dewan Undangan Negeri Sepanggar saja terdapat empat buah hotel dan resort yang memerlukan ramai pekerja berkemahiran. "Banyak peluang pekerjaan boleh direbut, yang penting kesungguhan, keyakinan dan usaha, anak-anak kita ini mampu menjadi orang yang berguna.

"Bukan itu sahaja, kerajaan sentiasa memberikan banyak peluang kepada para pelajar dalam melahirkan generasi bertaraf profesional dalam hidup mereka," katanya.

Jainab turut menggesa agar GiatMara memperbanyakkan kursus yang ditawarkan sejajar dengan perkembangan industri semasa. "GiatMara mempunyai potensi besar dalam melatih pelajar-pelajar kita, justeru saya harap pusat ini boleh memperkenalkan banyak lagi kursus yang sesuai dengan permintaan ekonomi dan pembangunan negeri ini," katanya.

No comments:

Artikel - Artikel..