Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, January 30, 2009

MAUT KEMPUNAN AIR KELAPA MUDA

HARIAN METRO, 30 Januari 2009
Zaid Salimam@hmetro.com.my

MARANG: “Mak cik reda walaupun dia meninggal dalam keadaan menyayat hati,” kata Pekan Mohd Nor, 44, ibu kepada Mustaffa Mat Muda, 20, yang maut selepas motosikalnya dipercayai dirempuh Mat Rempit di Kilometer 23 dekat Kampung Kelulut di sini, malamtadi.

Bagaimanapun, katanya, dia terkilan kerana hajat arwah menikmati air kelapa muda tidak kesampaian. Sebelum kejadian, dia berkata, arwah keluar tergesa-gesa menyebabkannya terlupa menikmati minuman itu. Selepas keluar rumah kira-kira jam 4.30 petang, dia tidak mengetahui destinasi dituju arwah sehingga menerima berita sedih itu yang dimaklumkan jiran.

“Mak cik sangka dia hanya cedera ringan tapi terkejut apabila dalam perjalanan ke hospital, dimaklumkan Mustaffa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang berasal dari Kampung Gong Nangka dekat sini.

Dia yang ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berkata kehilangan arwah begitu dirasainya kerana dia periang dan bijak berjenaka.

“Mak cik juga terkilan kerana arwah tidak dapat menyambung kursus di Shah Alam, Selangor pada 15 Februari ini selepas mengikuti program Ujian Tanpa Musnah di Kolej Teras Timur di Kuala Dungun.

“Dia sedang membuat persiapan menyambung pengajian di Sirim Berhad di Shah Alam,” katanya. Jenazah arwah dikebumikan di Sentul Patah di sini, malam tadi. Rakan sekolej arwah, Mohd Shahril Amri, 21, dari Kampung Bukit Payong, berkata sebelum pulang bercuti Khamis lalu, arwah menunjukkan sikap pelik apabila enggan meraikan majlis makan malam bersama guru serta rakan kolej.

“Sebelum pulang bercuti, dia sempat memberitahu saya yang dia tidak akan bersama lagi dengan mereka. Saya tidak menyangka kata-katanya itu petanda dia akan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya. Sepanjang mengenali arwah, kata Mohd Shahril, dia seorang yang ringan tulang menyebabkan pemergiannya begitu dirasai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Abdul Rahin Mat Zin yang dihubungi, berkata kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi seorang remaja dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan motosikal Mustaffa kira-kira jam 6.50 petang.

“Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat,” katanya.

HENTIKAN PERMIT BARU PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 30 Januari 2009

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Jabatan Imigresen supaya tidak lagi mengeluarkan permit baru untuk pekerja asing pada masa hadapan.

Kata beliau, syor ini sebagai jalan keluar kepada krisis pekerjaan di negara ini dengan memberi lebih banyak peluang kepada pekerja tempatan berkhidmat di kawasan sendiri. Langkah ini juga kata beliau, mampu mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing dan menyedarkan mereka kepentingan menggaji pekerja tempatan dalam syarikat mereka.

''Cadangan ini juga sangat sesuai untuk memperbaiki peratusan pekerja tempatan yang bekerja di kilang-kilang di sekitar negeri ini. Menerusi inisiatif ini, ia secara tidak langsung mewujudkan peningkatan terhadap pekerja tempatan selain berupaya menangani masalah pembuangan pekerja di kalangan rakyat tempatan," kata beliau di sini semalam.

Ketika ditanya pemberita berhubung soal pembaharuan permit, Mohamad menjelaskan bahawa, ia bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

''Pekerja asing yang memenuhi segala syarat yang ditetapkan untuk bekerja di sini akan dibenarkan untuk memperbaharui permit mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar para belia mengambil langkah menyertai program-program kemahiran anjuran kerajaan supaya dapat memantapkan kemahiran diri selain menimba ilmu terutamanya dalam bidang pembinaan.

''Belia boleh mendapatkan kemudahan latihan serta pendedahan asas yang baik seperti yang ditawarkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Ini bukan sahaja dapat membantu belia untuk memajukan diri, malah membuka peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan pada masa depan," jelas Mohamad.

Ketika ini IKBN menawarkan tempat kepada 200 pelatih baru di negeri ini untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran.

PELUANG BAGI WANITA ASING HILANG KERJA (?)

BERITA HARIAN, 30 Januari 2009
Azman Mahmood bhnews@bharian.com.my

Papa tawar jadi pembantu rumahKUALA LUMPUR: Pekerja wanita warga asing daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, terutama dari Indonesia yang diberhentikan berpeluang terus bekerja di negara ini sebagai pembantu rumah. Ini berikutan kesediaan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) menimbang pengambilan pekerja dari negara itu jika ada permintaan majikan tempatan.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata Papa sedia menawarkan peluang itu bagi mengelakkan mereka menjadi pendatang tanpa izin kerana tidak pulang ke negara asal selepas diberhentikan kerja walaupun tamat kontrak. Katanya, langkah itu hanya boleh dilakukan jika ada permintaan dan pengambilan dibuat mengikut kelayakan, manakala latihan asas akan diberikan mengenai tugas pembantu rumah. Bagaimanapun, Papa hanya menawarkan peluang itu jika mereka berminat dan mendaftar dengan agensi pembantu rumah asing yang berdaftar dengan persatuan.

"Kita juga sedia berbincang dengan kerajaan dan Kedutaan Indonesia mengenai perkara itu, termasuk menukar status kerja atau berkaitan kontrak baru sebagai pembantu rumah," katanya semalam.

Beliau berkata, jika kerajaan membenarkan tenaga kerja itu disalurkan kepada sektor pembantu rumah, ia dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan rakyat asing di negara ini. Katanya, keperluan tenaga kerja di sektor itu akan semakin mendesak dalam tempoh lima tahun akan datang kerana rakyat tempatan tidak berminat menjadi pembantu rumah.

"Papa sendiri semakin sukar memenuhi permintaan majikan yang memerlukan khidmat pembantu rumah terutama dari Indonesia kerana ejen di sana mengenakan yuran tinggi sehingga mencecah RM5,000 seorang tidak termasuk yuran yang ditetapkan ejen di Malaysia.

"Kalau Papa dibenarkan mengambil pekerja wanita asing yang diberhentikan kerja, kita boleh menawarkan yuran lebih rendah kepada majikan kerana kos pengurusan menjadi lebih rendah dan menjimatkan seperti urusan dokumentasi dengan imigresen atau menukar status kerja kerana mereka sudah berada di Malaysia," katanya.

Wednesday, January 28, 2009

JANGAN BERI MUKA MAJIKAN PENTINGKAN DIRI

UTUSAN MALAYSIA, 28 Januari 2009
ZAKARIA MOHD. YUSOF
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai, Johor.

SEKALI lagi isu warga asing menjadi topik utama media tempatan. Sejak beberapa tahun lalu, seruan untuk menghentikan pekerja asing sering kedengaran. Malang sekali suara-suara ini timbul mengikut musim tanpa ada tindakan dan dasar perancangan sumber manusia yang jelas.

Akhirnya apa yang kita lihat, pekerja asing masih berleluasa memunggah khazanah di bumi ini. Ironinya, kitalah yang mengundang mereka ke sini.

Umum mengetahui kebergantungan kepada warga asing hanya sebagai penyelesaian jangka pendek yang merugikan negara dalam tempoh panjang, apalagi dalam keadaan semua pihak terkesan oleh ekonomi semasa.

Namun, khidmat warga asing masih menjadi intaian majoriti majikan lantaran bayaran upah jauh lebih murah. Apalagi, komitmen warga tempatan yang seringkali diragui terutama dalam sektor kolar biru. Sudah sampai masanya untuk kita memikirkan dengan serius bilakah polemik ini akan berakhir.

Benar, kita perlu memikirkan masa depan perusahaan tetapi kita tidak harus terleka dengan menganggap warga asing adalah segala-galanya dan mempunyai tanggapan yang negatif kepada pekerja tempatan.

Kita tentunya ingin menjadi warga yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara, mempunyai jati diri yang tinggi.

Sesungguhnya, penyelesaian tidak harus diletakkan kepada kerajaan semata-mata. Sesudah sekian lama meraih keuntungan yang besar di waktu senang, sudah sampai masanya syarikat-syarikat besar tempatan berkorban dan mencari penyelesaian. Majikan juga perlu mengambil kira kepentingan negara.

Memberi peluang kepada warga tempatan adalah satu cara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sekalipun langkah ini mengakibatkan syarikat terpaksa memperolehi pulangan yang lebih kecil. Sesuatu yang malang sekiranya ada pengusaha yang mengambil langkah mudah dan menjadikan kemelut ekonomi sebagai kambing hitam untuk memberhentikan pekerja tempatan dan sebaliknya mengekalkan warga asing semata-mata untuk mengurangkan kos operasi.

Tindakan begini tentulah tidak bijak, tidak memiliki rasa tanggungjawab, jauh sekali menunjukkan rasa cinta kepada negara. Sekiranya inilah tindakan singkat yang diambil oleh pengusaha, tidak keterlaluan kalau kita kategorikan mereka ini sebagai golongan yang hanya mementingkan diri. Hanya sanggup meloloskan diri dari belenggu ekonomi secara bersendirian dan membiarkan pihak lain menyelesaikan kemelut yang mereka cipta secara tidak langsung.

Sekiranya pemberhentian pekerja tempatan terus dibuat tanpa menjejaskan pekerja asing, maka sangat perlu untuk kerajaan mengambil langkah lebih tegas terhadap pengusaha. Pilihan dan kelonggaran yang telah diberi sekian lama dengan membenarkan membawa masuk warga asing rupa-rupanya telah menyebabkan setengah pengusaha berada di zon yang amat selesa dan meraih untung berlipat kali ganda tanpa mahu memikul tanggungjawab sosial. Golongan ini perlu disedarkan segera.

Alangkah beruntungnya negara sekiranya perancangan sumber daya manusia dilaksanakan dengan teliti sejak lima tahun lalu dan diguna pakai sepenuhnya sewaktu saat-saat getir ketika ini. Kita bukan sebuah negara yang ketandusan sumber tenaga manusia. Tidak seharusnya timbul persoalan mengharapkan pihak lain untuk merealisasikan agenda pembangunan negara.

Sayangnya sistem pendidikan kita masih menekankan kepada peperiksaan dan bukan berorientasikan pekerjaan di lapangan. Akibatnya, kita melahirkan insan yang mempunyai ilmu tetapi tidak mampu mendapatkan pekerjaan.

Kita melahirkan puluhan ribu tenaga kerja berkemahiran setiap tahun tetapi masih terkapai-kapai menentukan haluan kehidupan lantaran mempunyai persepsi yang negatif. Ia menjadi alasan yang paling mudah untuk majikan menjadikan warga asing sebagai pilihan. Akhirnya, jutaan pekerja luar menjadikan negara kita lubuk wang, sedangkan orang kita sekadar menjadi pemerhati dengan penuh sopan.

Justeru, perancangan pembangunan sumber manusia hendaklah dilaksanakan dengan lebih berkesan. Cadangan untuk menyediakan jumlah siling pekerja asing mengikut sektor seperti dicadangkan kerajaan penghujung tahun lalu umumkan segera sebagai panduan kepada majikan.

Usaha berperingkat-peringkat tersebut hendaklah didokumenkan juga mengikut sektor dan mengikut tempoh yang tertentu dengan jelas. Cukuplah dengan apa yang kita sering sebutkan yang warga asing ini turut menyumbang dalam pembangunan negara.

Kita sebenarnya terikut-ikut dengan rentak majikan yang kurang jati diri, yang sentiasa menimbulkan keraguan dengan kebolehan warga tempatan. Kerajaan harus tegas dalam melayan kehendak majikan seperti ini.

Moga lima tahun akan datang semua sektor bakal ditunjangi oleh orang kita atau kita masih dengan melodi yang sama.

Tuesday, January 27, 2009

SARAWAK LONGGARKAN UNDANG-UNDANG IMIGRESEN PEKERJA ASING

20 Januari, 2009 18:47 PM
By: Ramjit

KUCHING, 20 Jan (Bernama) -- Sarawak akan melonggarkan dasar imigresennya untuk membuka negeri itu bagi kemasukan pekerja asing separuh mahir secara yang terkawal untuk diambil bekerja dalam pelbagai sektor sebagai persediaan kepada pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Beliau bagaimanapun, berkata kemasukan pekerja asing akan ditentukan oleh permintaan untuk tenaga kerja yang khusus, termasuk dalam industri perladangan kelapa sawit dan pembinaan.

"Malah di Sarawak, kami tidak lihat rakyat asing "merayau-rayau mencari pekerjaan" dari satu pekerjaan berasaskan sektor kepada pekerjaan lain manakala majikan tempatan dibenarkan untuk mengimport pekerja asing dari semasa ke semasa mengikut kuota yang diperuntukkan oleh jabatan imigresen," katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Perniagaan Sarawak di sini.

Sekiranya para pekerja asing ini tidak berkelakuan baik atau kurang produktif, ia terpulang kepada majikan untuk menghantar mereka balik ke negara asal mereka," katanya, dengan merujuk kepada undang-undang imigresen Sarawak yang berautonomi, yang sekarang ini menyekat rakyat Malaysia dari Semenanjung mendapatkan pekerjaan di sini memandangkan mereka perlu untuk memohon permit kerja tahunan.

Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang membawa tema "Ke arah Kemampanan Pembangunan Untuk Kekayaan, Pertumbuhan dan Kestabilan Berterusan", telah dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

Industri berintensifkan tenaga yang utama dalam Score dijangka mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan bagi pekerja mahir, teknikal dan profesional menjelang 2030, apabila negeri itu menjalani fasa kedua transformasinya.Bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Menteri itu berkata rakyat Sarawak yang bekerja di luar dan berdepan dengan pengangguran disebabkan kemelesetan global sekarang boleh kembali bekerja di negeri itu sekiranya kemahiran mereka menepati kehendak pekerjaan yang tersedia.

BERNAMA

MTUC SOKONG BEKU PENGAMBILAN PEKERJA ASING

BERNAMA, 22 Januari, 2009 19:38 PM
By: Ramjit

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik hasrat kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.Setiausaha Agungnya G. Rajasegaran berkata langkah itu wajar dilaksanakan memandangkan kini, dua sektor tersebut menggunakan khidmat kira-kira sejuta pekerja asing. Rajasegaran berkata kerajaan juga sepatutnya membatalkan serta-merta permit kerja warga asing yang belum tiba di Malaysia.

"Memandangkan warga asing ini masih berada di negara asal mereka, lebih baiklah mereka dimaklumkan tentang pembatalan itu supaya mereka tidak terus datang ke sini sebagai penganggur dan menambahkan lagi bebanan kita," katanya kepada Bernama.

Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamid bahawa masanya sudah tiba bagi pekerja asing dihantar pulang ke negara asal masing-masing, Rajasegaran berkata pelaksanaan langkah itu tidak semudah yang diucapkan. Beliau berkata pekerja asing terikat dengan kontrak dan selagi mereka mematuhi terma dan syaratnya, mereka tidak boleh dibuang kerja.

Sebuah agensi pengambilan pekerja asing mendakwa langkah Malaysia untuk menghantar pulang pekerja asing ke negara asal mereka akan melibatkan perbelanjaan besar kerana pampasan perlu dibayar kepada pekerja yang kontrak mereka masih sah. Pengurusnya, yang hanya mahu dikenali sebagia Nathan, berkata agensi itu mengambil antara 50 dan 100 pekerja setiap bulan, kebanyakannya dari India.

"Walaupun kami ada kira-kira 1,000 permit yang telah diluluskan, kami tak akan gunakan kuota ini sepenuhnya berikutan keadaan ekonomi semasa," katanya.Beliau berkata setiap pekerja asing perlu membayar sekitar RM8,000 kepada agensi itu untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia dan jumlah termasuk bagi bayaran tambang kapal terbang dan levi.

BERNAMA

MBM MAHU KERAJAAN BEKUKAN SEGERA PENGAMBILAN PEKERJA ASING

Thursday, 18 December 2008
KENYATAAN AKHBAR
SETIAUSAHA AGUNG MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Belia Malaysia (MBM) merupakan sebuah badan induk kepada 40 buah pertubuhan utama di Malaysia menyokong penuh usaha kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing untuk semua sektor di Negara ini sebagai langkah untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

MBM amat terkejut dengan laporan yang disiarkan dalam media bahawa setiap bulan hampir 3000 penganggur berdaftar dengan kementerian berkenaan. MBM yakin, kadar pengangguran ini akan terus meningkat disebabkan kesan ekonomi global yang dialami di seluruh dunia.

Langkah kementerian untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing itu bukan sahaja boleh memberi ruang kepada belia tempatan untuk merebut peluang kerja tetapi ianya juga boleh mengurangkan kadar gejala sosial dalam masyarakat kita ini.

MBM memuji langkah yang diambil oleh Jabatan Tenaga Rakyat dengan mengadakan saluran pendaftaran secara online tetapi MBM merasakan langkah itu masih lagi tidak dapat membantu rakyat yang menganggur terutamanya mereka yang tiada kemudahan internet. Masih ramai lagi rakyat Malaysia tidak mengetahui fungsi Jabatan Tenaga Rakyat dalam membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan. MBM mahu jabatan ini menggunakan saluran media untuk mempromosikan peranan serta fungsi jabatan kepada masyarakat.

MBM juga turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa kesatuan dan NGO agar pekerja-pekerja asing yang telah tamat kontrak mereka dihantar pulang dengan segera tanpa perlu disambung perkhidmatan mereka.

Jika langkah ini tidak diambil dengan segera, MBM percaya Negara akan menghadapi masalah kadar pengangguran yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia dan ini akan menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat. Keadaan ini akan menjadi bertambah buruk ekoran lebihan pekerja asing dalam Negara yang sudah tamat kontrak tetapi masih lagi menetap di sini. Oleh itu, MBM mahu Kementerian Sumber Manusia berkerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesan dan mengenalpasti pekerja asing ini yang semakin bermaharajalela di Negara ini bagaikan Negara mereka sendiri.

Kini, kekayaan Negara sedang dialir keluar melalui 2.1 juta pekerja asing dan MBM pasti jumlah itu sebenarnya kurang berbanding dengan jumlah sebenar pendatang asing dalam Negara ini. Jika kerajaan mengambil langkah itu dengan segera, ianya akan dapat mengurangkan pengaliran keluar wang Negara. Langkah itu juga akan dapat meningkatkan ekonomi Negara secara tidak langsung melalui perbelanjaan oleh rakyat Malaysia yang telah mengisi kekosongan kerja yang sebelum ini diisi oleh rakyat asing.

MBM juga menyeru agar rakyat Malaysia yang sedang menganggur merebut dan mengambil peluang yang ada ini dengan proaktif dan tidak terlalu memilih pekerjaan. Kerajaan telah mengadakan pelbagai kursus kemahiran kepada masyarakat dalam usaha membantu mereka mendapatkan pekejaan tetapi usaha kerajaan ini akan menjadi sia-sia sekiranya ia dipandang sepi oleh rakyat Malaysia.

MBM berharap pihak majikan lebih mengutamakan rakyat tempatan dalam usaha membantu kerajaan menangani masalah pengangguran ini dan mereka boleh menggunakan saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam mencari pekerja tempatan. Majikan ini seharusnya menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan membantu rakyat Malaysia dan bukannya menafikan hak-hak mereka untuk mendapatkan perkerjaan yang kini diisi oleh orang luar.

Sekian. Terima kasih.

MENGGERAK BELIA MALAYSIA
TAJUDIN AHMAD A.I.S
Setiausaha Agung

PEKERJA ASING TUTUP PELUANG RAKYAT TEMPATAN

UTUSAN MALAYSIA, 27 Januari 2009

SAYA bersetuju dengan langkah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mahu menghantar pulang pekerja asing di negara ini berdasarkan kepada perkembangan ekonomi semasa.

Kerajaan perlu memikirkan kepentingan ribuan pekerja tempatan yang kehilangan dan bakal kehilangan pekerjaan dalam masa terdekat ini. Persaingan mendapatkan pekerjaan semakin mendesak.

Akan tetapi ramai pekerja tempatan tidak akan mampu bersaing dengan pekerja asing memandangkan upah pekerja asing lebih murah berbanding pekerja tempatan. Malah majikan lebih gemar menggunakan khidmat pekerja asing memandangkan mereka lebih mudah mengerah tenaga pekerja asing.

Kebanjiran pekerja asing di negara ini begitu ketara dan menutup banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia sendiri. Penglibatan pekerja asing dalam sektor pekerjaan di negara ini meliputi semua aspek pekerjaan, tidak kira sektor perkhidmatan mahupun pembuatan hatta pembinaan sekalipun.

Sedangkan khidmat pekerja asing hanya diperlukan dalam sektor yang kritikal untuk mendapatkan pekerja. Tetapi majikan di Malaysia lebih gemar menggunakan khidmat pekerja asing yang lebih murah dan lebih mudah dikerah. Seharusnya kerajaan menyemak semula kehadiran pekerja asing dalam sektor yang bukan kritikal.

Paling menyedihkan ramai pekerja asing bekerja di pelbagai sektor tetapi rakyat tempatan terpaksa menganggur. Namun demikian, rakyat Malaysia harus mengetepikan dan membuang sikap memilih kerja dalam menghadapi kegawatan ekonomi ini. Ramai di kalangan pekerja tempatan enggan bekerja di sektor perladangan dan pembinaan. Sudah tiba masanya pekerja tempatan menggantikan pekerja asing di sektor perladangan dan pembinaan.

Ini memerlukan kerjasama dan pertimbangan majikan untuk menyuntik minat pekerja tempatan bekerja di sektor ini. Ramai yang enggan bekerja dalam sektor pembinaan dan perladangan atas sebab gaji murah dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

ASKZEE
Sarawak

Monday, January 26, 2009

LESEN KELAS F HIDUP SEMULA - BANTU KONTRAKTOR KECIL DAPATKAN PROJEK KERAJAAN PUSAT

BERITA HARIAN, 26 Januari 2009
Mohd Azrone Sarabatin azrone@bharian.com.my

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) mengkaji untuk menghidupkan semula lesen Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kelas F yang dibekukan sejak empat tahun lalu dengan permulaan di Sabah sebelum diperluaskan ke seluruh negara. Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata ia berikutan kewujudan banyak peluang mendapatkan tender Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Bajet 2009 dan Projek Rangsangan Ekonomi untuk negeri itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

"Kajian untuk menghidupkan semula lesen berkenaan akan dibuat secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas melancarkan Gerak Usahawan Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen (MPUP) Tawau di Dewan Masyarakat Tawau di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi MPUP Tawau yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Noh berkata, kementerian sedia mengaktifkan semula 5,000 daripada 31,000 lesen Kelas F di seluruh negara yang tidak aktif bagi membolehkan mereka merebut pelbagai projek kerajaan Pusat. Bagaimanapun katanya, mereka tertakluk kepada tiga syarat iaitu tidak disenaraihitamkan oleh PKK, mempunyai tenaga kerja dan tidak mengalibabakan projek.

Dalam pada itu, Noh berkata, MECD memberi amaran kepada pemilik dan pengusaha pengangkutan awam di seluruh negara supaya tidak menggunakan khidmat pendatang tanpa izin sebagai pemandu bagi mengelak permit mereka ditarik balik. "Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan melakukan pemantauan di seluruh negara dan tindakan segera akan diambil kepada mereka yang menggunakan khidmat pendatang terbabit.

"Jika syarikat itu memiliki 20 kenderaan dan satu daripadanya didapati menggunakan khidmat pendatang tanpa izin sebagai pemandu, semua permit kenderaan itu akan ditarik balik serta-merta.

"MECD juga akan membuka permohonan kepada individu untuk mendapatkan permit teksi bagi memastikan ia tidak dimonopoli syarikat tertentu dengan tumpuan kepada pemandu kedua (belum memiliki kenderaan awam itu)," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Noh berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah meluluskan sebanyak RM19.1 untuk pembiayaan pinjaman perniagaan Bumiputera merangkumi RM6.9 juta untuk Lahad Datu, RM6.3 juta (Tawau) dan Semporna (RM5.89 juta) sepanjang tahun ini.

"Kementerian juga akan mempertimbangkan untuk meluluskan permit bas mini desa kepada individu dan syarikat untuk memantapkan pengangkutan awam di kawasan itu," katanya.

PEKERJA ASING TAK MAHU PULANG

UTUSAN MALAYSIA, 26 Januari 2009

“Kami tak mahu keluar dari Malaysia’’. Itu adalah luahan beberapa orang pekerja asing yang telah berkhidmat di negara ini sejak lebih tiga tahun lalu. Ternyata, rasa selesa dan mudah memperoleh rezeki di Malaysia mendorong mereka untuk terus tinggal di sini.

Bagi mereka, melakukan kerja-kerja berat tidak menjadi masalah asalkan pendapatan yang diperoleh mampu menampung kehidupan seharian dan dapat dihantar ke kampung halaman. Seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Jashimudin, 28, memberitahu, pendapatan yang diperoleh selama tinggal di Malaysia adalah lebih daripada mencukupi untuk perbelanjaan seharian.

‘‘Gaji sebanyak RM800 boleh tampung perbelanjaan saya dan juga untuk keluarga di Bangladesh,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini. Ditanya sama ada dia bersedia kembali ke Bangladesh jika diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi, Jashimudin pantas menjawab: “Saya tidak mahu pulang’’.

Jashimudin telah bekerja di negara ini selama sembilan tahun dan tidak bersedia untuk pulang ke negara asal kerana selesa dengan keadaan di Malaysia. Perkara yang sama diluahkan oleh tiga rakyat Filipina yang berharap tidak diberhentikan jika masalah kegawatan ekonomi tidak dapat dibendung oleh kerajaan.

“Saya sudah bekerja selama enam tahun di Malaysia. Walaupun gaji yang saya dapat hanya RM400, namun sudah cukup memadai,’’ kata Gloria, 40, yang bekerja sebagai pembantu rumah di ibu kota. Rakan-rakannya, Teresa, 48 dan Gwyneth, 27, masing-masing telah empat tahun bekerja di negara ini sependapat dengan Goria dan tidak bersedia balik ke negara asal sekiranya diminta berbuat demikian.

“Kami memang belum bersedia untuk keluar dari Malaysia. Sekiranya terpaksa, kami akan meminta pampasan untuk menjalani kehidupan seterusnya,’’ kata Teresa, turut di sokong oleh Gwyneth. Seorang mekanik warga Filipina, Andrew, 24, seboleh-boleh tidak mahu kembali ke negara asal sekiranya keadaan ekonomi di negara ini tidak mengizinkannya tinggal lama di sini. Dia yang memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan amat bergantung kepada pekerjaan di Malaysia untuk menampung keperluan di kampung halaman.

“Tetapi jika tidak ada pilihan, saya terpaksa balik ke negara asal dan akan cuba mencari rezeki di sana,’’ katanya.

Sementara itu, seorang tukang jahit warga Myanmar, Matt Yee, 25, memberitahu sumber pendapatan di negara boleh diperoleh dengan mudah.

“Saya sudah cukup selesa dengan kehidupan di Malaysia. Di sinilah mata pencarian saya,’’ katanya sambil berharap kerajaan tidak mengambil langkah memberhentikan pekerja asing. Ditanya mengenai penyertaan rakyat Malaysia dalam sektor pekerjaan yang menawarkan gaji rendah, katanya, mereka kurang berminat untuk berbuat demikian.

“Saya tidak kisah melakukan pekerjaan seperti itu walaupun berat asalkan dapat mencari pendapatan yang mencukupi untuk diri dan keluarga,’’ katanya.

Kerajaan baru-baru ini tidak menolak kemungkinan terpaksa menghantar balik pekerja asing dan membekukan pengambilan baru bagi memastikan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia tidak tertutup.

Sunday, January 25, 2009

ELAK PEKERJA ASING JADI BEBANAN

MINGGUAN MALAYSIA, 25 Januari 2009

ADAKAH selama ini kerajaan membuat kajian terperinci dan analisis yang betul mengenai kadar keperluan pekerja asing di negara ini?

Adakah perbincangan dari semasa ke semasa antara kerajaan dan majikan di sektor perkhidmatan, pembuatan, perkilangan, pertanian dan peladangan dilangsungkan untuk mencari jawapan kepada persoalan pertama tadi?

Atau dasar pengambil pekerja asing yang diperkenalkan lebih 10 tahun lalu dan nampak 'sempurna' di atas kertas menjadi satu-satunya garis panduan yang digunapakai selama ini tanpa ada keperluan untuk melihat kemungkinan wujudnya sebarang penyelewengan sehingga menyebabkan berlakunya limpahan pekerja asing di negara ini.

Ramai tertanya-tanya adakah angka lebih 2 juta itu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan di negara ini dan benar-benar membantu merangsang sektor ekonomi. Atau angka tersebut melebihi paras keperluan sebenar sekali gus memberi kesan kepada peluang serta ruang untuk mendapatkan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan.

Hakikatnya angka terkini pekerja asing di negara yang masuk secara sah memberi gambaran bahawa kajian terperinci dan analisis yang lengkap tidak dijalankan oleh kerajaan bersungguh-sungguh bersangkutan dengan pengambilan pekerja asing.

Ini terbukti apabila berlakunya kegawatan ekonomi di peringkat global yang memberi kesan kepada Malaysia termasuk pemberhentian pekerja secara beramai-ramai, kerajaan tampil dengan idea-idea jangka pendek. Sedangkan sebelum setiap peraturan serta dasar pengambil pekerja asing dikuatkuasakan, semua aspek termasuk kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi mesti diambil kira untuk memastikan kesannya terhadap pertumbuhan negara tidak begitu besar.

Maksudnya, proses merangka pengambilan pekerja asing mesti dijalankan secara berterusan sambil melihat keperluan jangka panjang serta tidak meminggirkan pelbagai kemungkinan termasuk akan berlakunya kemelesetan ekonomi di peringkat global dan domestik. Keperluan lain yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan ialah membuat kajian mengenai peratusan pertumbuhan sektor-sektor yang menggaji kumpulan tersebut dan dijadikan perbandingan dalam menentukan keperluan sebenar tenaga kerja asing di Malaysia.

Begitu juga dengan peratusan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor-sektor yang dibenarkan menggunakan khidmat pekerja asing. Perbandingan seperti ini juga akan memberi jawapan kepada semua pihak sejauh mana dasar pengambilan pekerja asing yang diperkenalkan oleh kerajaan dipatuhi oleh majikan dan agensi

Hakikatnya semacam ada ketagihan tegar pekerja asing di pihak majikan pelbagai sektor di negara ini sehingga kumpulan itu membina jumlah yang tinggi iaitu mencecah lebih 2 juta orang. Itu belum termasuk lagi pekerja asing yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan menyelinap di sana sini sehingga menjadi antara faktor menyumbangnya peningkatan kadar jenayah di Malaysia.

Namun isu kebanjiran pekerja asing biar pun telah diketahui kesannya dari pelbagai sudut tidak pernah berjaya diselesaikan sepenuhnya atau cuba dimuktamadkan jalan penyelesaiannya. Seolah-olah keperluan sebenar pekerja asing di kalangan majikan-majikan di negara ini tidak dicatur sebaik mungkin sebaliknya kemasukan mereka dibuat sewenang-wenangnya gara-gara keghairahan pihak tertentu ingin mengaut keuntungan 'atas angin'.

Kesukaran untuk membezakan antara keperluan dan keuntungan menyebabkan ada sektor yang tidak perlu menggunakan khidmat pekerja asing turut berbuat demikian - mengusutkan lagi permasalahan tenaga kerja asing di negara ini.

Industri kecil dan sederhana (IKS) misalnya semakin bergantung kepada pekerja asing biar pun secara realitinya anak-anak tempatan boleh saja digunakan untuk menghidupkan industri tersebut. Apatah lagi IKS itu sendiri sarat dengan bantuan pembiayaan dan penyediaan kemudahan oleh kerajaan - tidak ada alasan untuk majikan-majikan yang terlibat dalam sektor tersebut menggaji pekerja asing sebaliknya langkah bersungguh-sungguh mencari tenaga kerja tempatan mesti dimanfaatkan.

Keadaan itu amat berbeza dengan negara-negara lain termasuk di Jepun di mana pekerja-pekerja IKS-nya terdiri daripada warga tempatan termasuk wanita dan warga emas yang masih mempunyai tenaga untuk menyertai sektor tersebut.

Dalam keadaan banyak negara semakin berusaha memanfaatkan sepenuhnya keringat rakyat sendiri, Malaysia melawan arus dengan membiarkan kemasukan pekerja asing dilakukan secara berleluasa sehingga menjejaskan peluang rakyat negara sendiri untuk menyertai sektor pekerjaan.

Alasan yang sering ditawarkan oleh majikan ''rakyat Malaysia tidak gemar bekerja di sektor-sektor berat''. Penduduk di negara ini juga tidak mahu melakukan kerja-kerja 3D - dirty, danger, difficult. Maknanya rakyat Malaysia amat rendah keupayaannnya tetapi tinggi 'darjatnya' sehingga enggan bergelumang dalam kerja-kerja yang kotor, bahaya dan sukar.
Memilih

Soalnya benarkah begitu? Adakah rakyat Malaysia terlalu memilih kerja dan sanggup menganggur daripada bekerja di sektor-sektor yang sekarang ini didominasi oleh pekerja asing? Adakah kaji selidik yang komprehensif telah dijalankan untuk membuktikan pandangan seperti itu terutamanya dalam keadaan kadar pengangguran di negara ini mencatatkan penambahan dalam peratusan.

Kegawatan ekonomi global yang bahangnya mula dirasakan di Malaysia adalah masa yang amat sesuai untuk diukur dan dikaji cita rasa pekerjaan di kalangan rakyat negara ini terutamanya lepasan universiti yang angkanya juga semakin membimbangkan.

Tempoh ini juga perlu diberi perhatian jika ingin dibuat penanda aras di paras manakah sebenarnya keperluan pekerja asing di negara ini dan adakah selayaknya ia dikurangkan kepada peratusan tertentu. Bayangkanlah jika 20 peratus peluang pekerjaan yang diwujudkan di negara ini setiap tahun jatuh ke tangan pekerja asing, bermakna rakyat Malaysia terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan di tanah air sendiri dan seringkali pekerja luar diberi keutamaan kerana faktor gaji yang lebih rendah.

Sebab itu dalam suasana ekonomi yang tidak sihat dan jumlah pekerja (termasuk pekerja asing) diberhentikan bertambah dari hari ke hari, maka satu percaturan dan perkiraan yang bijak perlu dilaksanakan oleh kerajaan supaya kelak kita tahu dan sedar bahawa negara sebenarnya masih boleh dibangunkan biar pun jumlah pekerja asing dikurangkan separuh daripada yang sedia ada.

Malah inilah masanya untuk dibuktikan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya boleh memberi sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan negara dengan dibantu oleh kehadiran pekerja asing pada paras yang amat munasabah dan bukannya melimpah ruah seperti sekarang ini sehingga apabila tiba cuti umum, bandar raya Kuala Lumpur misalnya dilitupi dengan wajah-wajah asing sehingga mewujudkan suasana amat tidak selesa di kalangan rakyat tempatan.

Jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menegaskan bahawa pekerja asing akan dihantar pulang secara berperingkat, maka laksanakanlah dasar tersebut bersungguh-sungguh. Jika kerajaan mengingatkan para majikan di pelbagai sektor supaya memberhentikan pekerja asing terlebih dahulu sebelum berbuat demikian terhadap pekerja tempatan maka pemantauan rapi mesti dibuat untuk memastikan peringatan tersebut dipatuhi.

Begitu juga dengan keghairahan syarikat-syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing membawa masuk pekerja asing mesti dikawal supaya cakap-cakap kononnya ada syarikat yang membawa masuk 5,000 pekerja asing sehari tidak kedengaran lagi. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh lebih 260 syarikat penyumber luar yang beroperasi di seluruh negara mesti diawasi sepenuhnya untuk memastikan ia tidak menjadi salah satu punca kebanjiran pekerja asing di negara ini yang semestinya menimbulkan masalah jika timbul cadangan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal akibat kegawatan ekonomi.

Di sebalik tindakan itu, negara kita sebenarnya masih memerlukan tenaga pekerja asing tetapi apa yang perlu dilakukan ialah dengan mengambil pekerja mahir dalam bidang tertentu yang amat diperlukan seperti pembinaan. Proses ini hendaklah dilakukan secara terancang dan terperinci untuk mengelak kehadiran pekerja asing dalam jumlah yang melebihi keperluan.
Selama ini, kerajaan sudah membazirkan masa dan wang dengan menggaji pekerja asing bagi menampung keperluan di sektor tertentu, sedangkan ramai di kalangan penduduk tempatan boleh melakukannya.

Pengaliran wang ke luar negara yang dibawa oleh pekerja asing yang bekerja di Malaysia itu akan berterusan selagi kita tidak mengorak langkah menampung segala kelompongan dalam pekerjaan itu dengan pekerja tempatan.

Malah, negara juga akan terus rugi jika tidak mempunyai pekerja tempatan yang mahir, kerana semua kerja itu dilakukan pekerja asing. Oleh itu, kerajaan juga seharusnya menggalakkan pekerja tempatan dengan menyediakan insentif menarik selain memperkenalkan teknologi terkini dalam pengurusan kerjanya.

Pada masa sama, warga tempatan perlu membuang sikap suka memilih pekerjaan dan berasa bangga dapat menyumbang tenaga membangunkan negara. Peraturan digariskan kerajaan dari segi pengambilan pekerja asing juga perlu dipatuhi. Majikan atau agensi pembekal pekerja asing sewajarnya membawa masuk mereka berdasarkan kepada permintaan dan bukan bertindak sesuka hati tanpa kawalan.

Sebagai contoh, jika sebuah syarikat memerlukan 100 pekerja untuk sektor tertentu, permit yang dipohon hanya untuk pekerja sejumlah itu saja. Malangnya, apa yang berlaku, ada segelintir majikan membawa masuk lebih pekerja daripada jumlah permintaan dan kemudian diberikan kepada majikan lain dengan bekerja sektor yang tidak berkaitan.

Ini akhirnya mengheret kepada masalah lain yang membebankan kerajaan untuk menyelesaikannya. Apa yang penting, peraturan itu adalah sebagai langkah terbaik bagi memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing pada masa depan.

Saturday, January 24, 2009

SEKTOR BINAAN DIBERI KEUTAMAAN

BERITA HARIAN, 24 Januari 2009
Ahmad Farizal Hajat bhbiz@bharian.com.my

SEKTOR pembinaan adalah antara yang akan diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam merangka pakej rangsangan ekonomi kedua, kata Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Perdana Menteri berkata, sektor itu adalah amat penting kerana ia mempunyai kesan penggandaan yang tinggi kepada ekonomi secara keseluruhannya.

"Sektor pembinaan ini penting sebagai pemangkin kepada ekonomi kerana ia mempunyai kesan penggandaan yang tinggi. Justeru, pakej rangsangan kedua akan turut membabitkan sektor pembinaan kerana ia bukan saja akan memberi kesan kepada sektor itu, malah kepada ekonomi secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis bersama penggiat industri pembinaan dan Pameran Sistem Pembinaan Perindustrian Malaysia (IBS), di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Sri Dr Abdul Munit Kasmin.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mengumumkan butiran mengenai liberalisasi dalam sektor perkhidmatan tidak lama lagi. "Saya akan mengadakan mesyuarat mengenai sektor perkhidmatan tidak lama lagi dan selepas itu kita akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai apa yang dipersetujui," katanya sambil menambah kerajaan akan mengambil kira apa yang dilaksanakan oleh negara lain supaya Malaysia akan kekal kompetitif.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, program IBS yang diperkenalkan menerusi pelan tindakan 'IBS Roadmap 2003-2010' telah memperbaiki industri pembinaan negara dari segi peningkatan produktiviti, kualiti, pengurangan kos serta pergantungan kepada pekerja asing. atanya, program itu turut menghasilkan peluang pertumbuhan ekonomi baru terutama dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), hasil daripada aktiviti pembuatan komponen binaan IBS.

"Penggunaan IBS sangat besar faedahnya yang mana antara lain tempoh masa binaan boleh disingkatkan manakala kos dapat dikurangkan. Sebagai contoh, pembinaan asrama penuh, ia boleh siap dalam tempoh 12 minggu saja dan kos pembinaan hanya menelan belanja antara RM6 juta hingga RM10 juta," jelasnya. Najib berkata, ketika ini ada 303 projek kerajaan bernilai RM9.2 bilion di seluruh negara boleh dilaksanakan menggunakan teknologi IBS

PENDATANG TANPA IZIN DIBENAR PULANG

Berita Harian, 24 Januari 2009
Johan Afandi johan@bharian.com.my

Semua pendatang tanpa izin yang berada di negara ini, kini dibenarkan pulang ke negara masing-masing tanpa dikenakan sebarang tindakan sebagai satu langkah kerajaan mengelakkan kebergantungan kepada pekerja asing ketika menghadapi kegawatan ekonomi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam, berkata langkah berkenaan sama seperti yang pernah dilakukan kerajaan melalui program pengampunan semula selama empat bulan pada Oktober 2004.

"Ada hampir 1.2 juta pendatang tanpa izin di negara ini, majoritinya dari Indonesia dan kita berharap melalui langkah ini, ia akan dapat menggalakkan mereka pulang ke negara asal," katanya.

Sebelum ini, lebih 400,000 pendatang tanpa izin pulang selepas kerajaan mengadakan program penghantaran pulang selama empat bulan bermula Oktober 2004.

Melalui program berkenaan juga, kerajaan dapat menjimatkan lebih RM2 juta kerana tidak perlu mengadakan operasi menahan pendatang tanpa izin berkenaan sebelum diadili di mahkamah dan seterusnya, dihantar pulang ke negara asal.

100,000 PEKERJA MAHIR GUNA IBS

UTUSAN MALAYSIA, 24 Januari 2009

Kerajaan menyasarkan untuk melatih 100,000 tenaga mahir sepanjang tahun ini menerusi dasar menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 250,000 menjelang 2015. Katanya, penggunaan IBS atau kaedah pasang siap tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai, sebaliknya melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir.

"Setakat ini, kerajaan meluluskan 404 projek yang menggunakan IBS dengan kos RM9.4 bilion. "Selain itu, sistem yang menggunakan IBS iaitu pemasangan di tapak binaan, komponen pra-tuang serta pra-fabrikasi didapati lebih menjimatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penggiat Industri Pembinaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mohd. Zin menambah, kerajaan berharap pelaksanaan dasar menggalakkan IBS dalam sektor binaan akan benar-benar berjaya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Ini kerana, katanya, selain ia mengurangkan kos dan mempercepatkan tempoh pembinaan, sistem itu tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

"Diharap langkah memperluaskan IBS lama-kelamaan akan mencapai matlamat sifar pekerja asing dalam sektor pembinaan," ujarnya.

SISTEM BINAAN BERINDUSTRI DIPERLUAS

UTUSAN MALAYSIA, 24 Januari 2009
WAN NAJIB WAN DAUD pengarang@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang terbukti mampu menjimatkan kos dan memendekkan tempoh binaan akan diperluaskan. Ini termasuk mewajibkannya dalam semua projek kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk menerima pakai IBS secara meluas.

Sehingga 8 Januari lalu, 303 projek kerajaan bernilai RM9.2 bilion menggunakan sistem itu.
Menurutnya, Surat Pekeliling Bilangan 7/2008 yang diedarkan sebelum ini mewajibkan penggunaan 70 peratus kandungan IBS dalam semua projek kerajaan.

"Saya percaya industri binaan akan mula menampakkan kesan menggunakan IBS dalam jangka masa terdekat," katanya kepada pemberita sempena Pameran Antarabangsa IBS Malaysia di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini. IBS merupakan sistem binaan menggunakan teknik, produk dan komponen yang disediakan di luar tapak dan dipasang di tapak binaan. Ia berintensifkan teknologi mekanisme dan automasi.

Menurut Najib, projek sebuah sekolah berasrama penuh bakal dicuba pembinaannya melalui kaedah IBS. Anggaran kos tidak termasuk tapak dan infrastruktur yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya ialah RM6 juta hingga RM10 juta.

Beliau berkata, industri pembinaan penting kepada pembangunan negara dan penggunaan IBS amat besar faedahnya serta menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi.

"Saya percaya industri pembinaan akan mendapat manfaat besar jika industri itu menerima faedah hasil dari pakej rangsangan kedua kelak berikutan pengenalan IBS di dalam sektor tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, Kabinet akan mengkaji dan menentukan mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan mengambil kira pelbagai faktor sebelum ia dipersetujui.

Katanya, mesyuarat mengenai isu itu dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Ia membabitkan beberapa kementerian.

"Kita akan mempertimbangkan banyak faktor kerana ia memberi kesan kepada sektor perkhidmatan di negara ini. Kerajaan juga akan melihat apa yang negara lain tawarkan," katanya.

Friday, January 23, 2009

FIKIRKAN ALTERNATIF SEBELUM HENTIKAN PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 23 Januari 2009
NOR JAMALULLAIL TAMRI
Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor

POLEMIK pemberhentian pekerja ekoran kegawatan ekonomi kini semakin hangat. Banyak pihak mengutarakan agar pekerja asing diberhentikan dan dihantar pulang demi menjaga kepentingan pekerja tempatan.

Namun semua pihak perlu melihat pro dan kontra sebelum tindakan itu boleh diambil. Saya terlibat secara langsung dengan urusan sumber manusia di sebuah kilang antarabangsa.
Banyak kerenah membabitkan pekerja tempatan yang ada ketikanya sangat tidak komited untuk memberi khidmat terbaik berbanding pekerja asing.

Antaranya, ramai pekerja tempatan sering tidak hadir dengan alasan cuti sakit. Itu tidak termasuk cuti kecemasan yang diambil tanpa alasan kukuh. Ramai juga yang suka mengambil cuti tahunan dan ditambah dengan cuti sakit atau kecemasan selepas cuti tahunan tamat.
Sementara itu, ramai juga yang suka melengah-lengahkan kerja untuk membolehkan mereka berpeluang membuat kerja lebih masa tanpa memikirkan kerugian yang dihadapi oleh syarikat.
Sikap suka bersembang sewaktu kerja dan rehat lebih daripada masa yang diperuntukan juga sering menjadi amalan pekerja tempatan.

Keadaan itu berbeza dengan pekerja asing kerana mereka amat jarang mengambil cuti terutama cuti kecemasan atau cuti sakit. Paling menyenangkan, pekerja asing biasanya datang pada waktu yang tepat kerana mereka tiada alasan untuk bermalas-malas.

Walaupun tahap pendidikan mereka agak rendah berbanding pekerja tempatan tetapi disiplin diri mereka sangat tinggi. Mereka bekerja bersungguh-sungguh kerana tujuan utama datang ke Malaysia adalah untuk mencari nafkah. Sekiranya pemberhentian dan penghantaran pulang pekerja asing dilaksanakan, banyak perkara perlu diberi perhatian.

Kerajaan hendaklah memikirkan masalah syarikat jika pekerja asing dihantar pulang terutama daripada segi kerugian yang akan ditanggung dalam jangka pendek.

Sekiranya kita mahu menggunakan tenaga kerja tempatan, saya ingin cadangkan agar mereka diberi motivasi secukupnya untuk menyedarkan mereka mengenai komitmen kerja. Langkah ini boleh dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi agensi-agensinya dengan kerjasama pihak kilang.

Selain itu, pihak kilang harus diberi pekerja separuh mahir yang dilatih mengikut keperluan syarikat dengan dibiayai oleh kerajaan. Syarikat mestilah memberi gaji yang setimpal. Saya rasa masalah gaji tidak menjadi masalah untuk sebahagian syarikat jika mereka memikirkannya secara jangka panjang.

Pihak penyedia latihan haruslah bertanggungjawab terhadap mutu pekerja dengan menyiarkan lebih banyak maklumat berkenaan etika kerja cemerlang di sektor pembuatan bukan hanya etika untuk pekerja kolar putih sahaja seperti yang kerap disiarkan oleh media massa.
Selain itu, kerajaan juga perlu melantik pegawai penilai untuk pekerja di bawah sesebuah kementerian dalam usaha mengawal selia mutu pekerja tempatan.

Pegawai penilai ini perlu bertindak segera jika pihak syarikat membuat sebarang rungutan atau komen terhadap pekerja.

Sementara itu, elok juga diadakan satu sistem penukaran pekerja ke syarikat lain jika tidak boleh menunjukkan prestasi yang baik. Mereka mungkin boleh bekerja dengan lebih baik di syarikat baru. Contohnya, ada pekerja yang tidak boleh bekerja di kilang plastik kerana alah kepada bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan plastik. Jadi, dia boleh dipindahkan ke kilang pengeluaran lain.

Sekiranya pemantauan ini dilakukan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja malah akan turut menguntungkan kilang terbabit. Bagaimanapun saya akur bahawa semua cadangan ini tidak akan berhasil sekiranya kita sendiri sebagai pekerja tempatan tidak mengubah cara bekerja.

PEKERJA KITA CUKUP ISI KEKOSONGAN

UTUSAN MALAYSIA, 23 Januari 2009

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Ekonomi negara tidak akan terjejas walaupun pekerja asing dihantar pulang ke negara asal mereka. Ini kerana pekerja tempatan sudah boleh memenuhi permintaan dalam pelbagai bidang termasuk sektor perkilangan dan industri.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, malah setiap tahun terdapat kira-kira 400,000 rakyat tempatan yang mahir dalam pelbagai bidang membuat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, statistik juga menunjukkan kira-kira 150,000 pemohon adalah graduan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk sektor perkilangan atau industri teknologi.

‘‘Negara kita mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi untuk mengisi apa jua bidang pekerjaan sehingga tidak perlu bergantung kepada tenaga pekerja asing.

‘‘Cadangan kerajaan untuk menghantar balik pekerja asing tidak akan memberi beban atau masalah kepada negara kita dalam menghadapi situasi kegawatan ekonomi global,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

KERAJAAN KURANGKAN PEKERJA ASING SECARA BERPERINGKAT

BERITA HARIAN, 23 Januari 2009

PUTRAJAYA: Kerajaan akan berusaha mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini secara berperingkat bagi membuka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, kata Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Kabinet juga mengarahkan semua pihak berkuasa berkaitan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekerja asing tanpa izin di seluruh negara. Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji langkah pengurangan pekerja asing itu tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelak sektor tertentu terjejas.

“Perkara ini hendaklah dikaji pertamanya daripada segi hasrat kita mengurangkan secara berperingkat bilangan pekerja asing kerana tidak mahu menjejaskan mana-mana sektor ekonomi. “Keduanya, kita hendak melihat bagaimana majikan sama ada kilang, pekedai atau restoran dapat memberi keutamaan (kerja) kepada pekerja tempatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Kebangsaan, di sini, semalam. Beliau berkata akibat terlalu mudah mendapat tenaga kerja asing, ada majikan yang mengetepikan pekerja tempatan semata-mata kerana mahu keuntungan berlebihan.

“Kita hendak sarankan supaya rakyat tempatan diberi keutamaan daripada segi pekerjaan dan Kabinet juga mengarahkan supaya penguatkuasaan terhadap pekerja asing tidak sah dipertingkatkan bukan saja di Sabah tetapi juga di Semenanjung," katanya. Najib berkata ada tempat tertentu yang didapati menggunakan pekerja asing tanpa izin yang memerlukan tindakan lebih tegas. Dalam perkembangan lain, Najib juga berkata sebanyak RM5 bilion daripada peruntukan RM7 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi pada November lalu sudah dipindahkan kepada kementerian dan agensi berkaitan. Katanya, baki RM2 bilion lagi akan disalurkan minggu depan dan mahu supaya semua agensi mengambil tindakan segera melaksanakan projek yang diluluskan.

Mengenai mesyuarat MTMD, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk disalurkan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkaitan pencegahan dadah untuk meningkatkan kempen kesedaran mengenai bahaya dadah sintetik seperti syabu dan ketamin. Beliau berkata pola penggunaan dadah jenis itu membentuk ancaman baru yang amat serius dan berpindah daripada dadah jenis biasa. “Pemindahan daripada dadah bentuk tradisi kepada sintetik adalah satu fenomena yang perlu dibanteras dan kita akan teruskan usaha ini bukan saja daripada segi penguatkuasaan tetapi juga kempen kesedaran yang perlu kita pakej semula,” katanya.

Thursday, January 22, 2009

HENTIKAN PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 22 Januari 2009
Norliza Abd. Rahman
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 21 Jan. – Sudah tiba masanya pengambilan pekerja asing terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dihentikan segera, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Langkah itu katanya, selaras dengan keadaan ekonomi semasa negara yang turut merasai kesan kemelesetan ekonomi global.

“Majikan patut memberhentikan pekerja asing terlebih dahulu, hantar mereka balik ke negara asal dan jangan ambil lagi. Mereka sepatutnya menggunakan sumber tenaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Syed Hamid, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memperketatkan lagi permohonan berhubung keperluan pekerja asing di negara ini.

KDN juga, jelas beliau, dalam proses menghantar pulang seramai mungkin pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Akhbar semalam mendedahkan mengenai kemungkinan banyak syarikat terpaksa menghentikan pekerja tempatan ekoran kemelesetan ekonomi global ketika ini.
Tindakan tersebut menyebabkan ribuan rakyat tempatan hilang pekerjaan tetapi pekerja asing masih diambil bekerja.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, majikan sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menghentikan pekerja asing terlebih dahulu dan bukannya pekerja tempatan.

GENERASI KEDUA FELDA DAKWA HIDUP DAIF

JOHOR BAHRU: Sekumpulan 20 generasi kedua Felda Endau, Mersing, mendakwa majoriti penduduk di penempatan berkenaan hidup di bawah paras kemiskinan dan mahu kerajaan segera bertindak bagi membantu mereka. Kumpulan berkenaan yang hadir di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini, kelmarin, bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman turut mendakwa bahawa penempatan Felda tertua di Johor itu amat daif serta ketinggalan berbanding penempatan Felda lain. Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) cawangan Felda Endau, Abdul Razak Abu Bakar, berkata penempatan itu dibuka pada 1959 dan mempunyai 255 peneroka dengan setiap peneroka mendapat 2.88 hektar tanah.

Beliau berkata, sepatutnya setiap peneroka mendapat empat hektar tanah tetapi kawasan seluas 282.03 hektar yang dimajukan Felda di peringkat empat pada 1985, sehingga kini gagal diserahkan kepada peneroka. "Dengan keluasan yang ada, pendapatan bersih yang diperoleh setiap peneroka hanya di bawah RM700 dan masih di tahap kemiskinan tegar. Jika program tanam semula dibuat, pinjaman sara hidup diperoleh masih di bawah RM700 sebulan berbanding RM1,000 yang diterima peneroka lain," katanya selepas menyerahkan memorandum itu, di sini. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Nasional, Mazlan Aliman.

Sehubungan itu, kumpulan peneroka berkenaan mendesak kerajaan negeri mengadakan perbincangan segera dengan Felda bagi memuktamadkan kawasan peringkat empat sebagai lot tambahan bagi mencukupkan hak empat hektar tanah untuk setiap peneroka. Selain itu, Abdul Razak juga mahu kerajaan memberikan perhatian serius kepada nasib generasi kedua Felda berkenaan yang tidak memiliki pendapatan atau kediaman tetap dan terus menetap di rumah ibu bapa mereka.

HENTI AMBIL PEKERJA ASING: KDN

BERITA HARIAN, 22 Januari 2009
Saufi Hamzahsofeeham@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang untuk menghentikan pengambilan pekerja asing di sektor pembuatan dan perkhidmatan dalam keadaan negara menghadapi kemungkinan kelembapan ekonomi. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pekerja asing khususnya yang tidak ada pekerjaan dihantar pulang manakala khidmat warga asing bagi kedua-dua sektor itu wajar dihentikan.

"Kita patut mula menghantar mereka (pekerja asing) pulang dan majikan jangan memintas (ingkar) keputusan kita dengan mewujudkan kontrak perkhidmatan (baru) atau menggunakan sumber luar.

"Dalam penyata pembayaran (gaji), tiada pekerja asing tetapi sebenarnya mereka mengupah pekerja asing untuk menyediakan perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini, semalam. Syed Hamid diminta mengulas pemberhentian ramai pekerja asing berikutan kelembapan ekonomi yang boleh menyebabkan gejala sosial termasuk peningkatan kadar jenayah. Katanya, pengambilan pekerja asing patut dihentikan dan semua pihak tidak lagi memohon mendapatkan pekerja asing.

"Kita lebih berminat menghantar mereka pulang, mereka patut dihantar pulang. Tiada lagi alasan, kita mesti sayangkan negara kita dan saya berdepan pelbagai tekanan," katanya. Beliau juga berkata, keputusan kerajaan sebelum ini amat jelas supaya semua stesen minyak beroperasi secara layan diri tetapi masih ramai khidmat pekerja asing digunakan.

Wednesday, January 14, 2009

USAH BIAR PENDATANG 'BESAR KEPALA'

BERITA HARIAN, 14 Januari 2008

LAPORAN akhbar ini kelmarin menjelaskan bahawa sehingga Ogos tahun lalu, seramai 65,000 pekerja asing yang tinggal lebih masa dihantar pulang ke negara mereka selepas menyerah diri kepada Jabatan Imigresen. Perkembangan ini sangat menarik kerana menurut jabatan itu, sebagai tindakan susulan, mereka bersedia menangani masalah pendatang asing selanjutnya terutama bagi mereka yang berada di negara kita secara tidak sah. Dianggarkan 2.2 juta pekerja asing berada di negara kita sekarang, manakala lebih 600,000 lagi tinggal secara haram. Dalam pada itu, ada sejumlah 1.2 juta pekerja asing dari Indonesia iaitu jumlah teramai jika dibandingkan dengan negara lain.

Apa yang dilakukan Jabatan Imigresen ini mestilah disertai dengan kerjasama semua pihak. Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun ekonomi kita, kita berharap dapat mengurangkan pergantungan kita terhadap pekerja asing demi kebaikan penduduk di negara kita. Pengaliran keluar wang kita ke negara asing memang sudah dimaklumi semua pihak tetapi atas sebab tertentu, kita terpaksa mengharapkan tenaga mereka untuk melangsaikan pelbagai jenis kerja yang kita tidak tahu buat, tidak mahu buat dan tidak kita sukai.

Dalam pada itu, kita juga terpaksa bertarung dengan risiko dan peningkatan kes jenayah yang kita kaitkan dengan pendatang asing apatah lagi bagi mereka yang berada di negara kita secara tidak sah. Kadang-kadang orang tempatan yang tidak pernah melakukan jenayah pun mengambil kesempatan melakukan jenayah kerana mereka menganggap yang akan dituduh dan dicari ialah orang asing.

Kelonggaran menangani pendatang atau pekerja asing sebenarnya mendatangkan masalah kepada kita sendiri. Kemasukan mereka menerusi pelbagai saluran, malah yang memegang pasport palsu pun tidak kita ketahui dengan mudah. Malah, kepadatan mereka di sesuatu tempat sudah mengubah landskap tempatan sehingga di sesetengah tempat, kita seolah-olah berada di Jakarta. Jika musim cuti, merekalah yang memenuhi bandar dan pekan dengan pelbagai gelagat yang melucukan dan juga menyakitkan mata memandang. Jika kita mengikut cara negara Jepun menangani masalah pekerja asing mungkin kita tidak akan menghadapi pelbagai masalah yang menjadi rungutan orang ramai. Pekerja asing di sana diletakkan di bawah pengawasan kementerian undang-undang. Malah, setiap pelawat sama ada pelajar mahupun pekerja mesti mendapatkan kad yang didaftarkan di pejabat kerajaan tempatan iaitu tempat pelawat atau pekerja asing tinggal.

Jika seseorang tidak mempunyai kad itu, mereka akan sukar membuat pelbagai urusan termasuklah memperoleh bekalan elektrik, menyewa rumah dan juga untuk membuat kerja sambilan. Malah, untuk memastikan orang asing tidak terbabit dengan pelbagai salah laku, pihak polis pula akan melantik seorang jiran, penduduk tempatan sebagai mata-mata untuk mengawasi gerak-geri orang asing di tempat mereka. Berbeza dengan negara kita, pekerja asing tinggal di segenap ceruk kampung, bandar sampailah ke hutan sehingga membentuk satu kelompok masyarakat yang jauh sekali budayanya dengan budaya kita.

Oleh itu, ketegasan pihak tertentu dalam menangani masalah ini amat dialu-alukan. Di kampung umpamanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Rela tidak semestinya duduk diam membiarkan orang asing menjalankan aktiviti tanpa pemantauan.

M JASNI MAJED
Bukit Kapar, Selangor.

Monday, January 12, 2009

65,000 PEKERJA ASING DIHANTAR PULANG

BERITA HARIAN, 12 Januari 2009
Norfatimah Ahmad tim@bharian.com.my

Lebih ramai pendatang serah diri sejak Ogos KUALA LUMPUR: Lebih 65,000 pekerja asing tanpa izin yang menyerah diri kerana tinggal melebihi tempoh di negara ini dihantar pulang sejak Ogos lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam. Beliau berkata, jumlah itu suatu pencapaian baik bagi Jabatan Imigresen selepas memperkenalkan sistem kompaun serta penubuhan mahkamah khas yang bertanggungjawab mengendalikan kes membabitkan pekerja asing.

"Mekanisme sedia ada dengan pelaksanaan sistem yang mudah mendorong pekerja asing yang melakukan kesalahan menyerah diri dan sejak Ogos lalu dianggarkan kira-kira 500 pekerja asing tanpa izin berbuat demikian di seluruh negara setiap hari".

"Jabatan Imigresen juga bersiap sedia pada bila-bila masa jika kerajaan mengarahkan supaya melaksanakan tindakan susulan tertentu untuk mengurangkan jumlah pekerja asing tanpa izin yang dianggarkan lebih 600,000," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Setakat ini, kebanjiran warga asing di negara ini mencecah 2.2 juta dengan jumlah tertinggi dari Indonesia iaitu 1.2 juta yang masuk secara sah, manakala lebih setengah juta memasuki negara ini secara haram selain hampir 10,000 tahanan di depoh tahanan imigresen.

Kehadiran mereka turut menyumbang kepada aliran keluar mata wang asing dan dianggarkan RM17.2 bilion dihantar menerusi bank tempatan ke luar negara tahun lalu dengan lebih 90 peratus atau RM15.5 bilion dikirim warga asing.

Mahmood berkata, jumlah pekerja asing tanpa izin yang menyerah diri itu membabitkan rakyat pelbagai negara termasuk India, Bangladesh, China, Pakistan dengan jumlah paling ramai adalah dari Indonesia.

Artikel - Artikel..