Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, January 23, 2009

FIKIRKAN ALTERNATIF SEBELUM HENTIKAN PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 23 Januari 2009
NOR JAMALULLAIL TAMRI
Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor

POLEMIK pemberhentian pekerja ekoran kegawatan ekonomi kini semakin hangat. Banyak pihak mengutarakan agar pekerja asing diberhentikan dan dihantar pulang demi menjaga kepentingan pekerja tempatan.

Namun semua pihak perlu melihat pro dan kontra sebelum tindakan itu boleh diambil. Saya terlibat secara langsung dengan urusan sumber manusia di sebuah kilang antarabangsa.
Banyak kerenah membabitkan pekerja tempatan yang ada ketikanya sangat tidak komited untuk memberi khidmat terbaik berbanding pekerja asing.

Antaranya, ramai pekerja tempatan sering tidak hadir dengan alasan cuti sakit. Itu tidak termasuk cuti kecemasan yang diambil tanpa alasan kukuh. Ramai juga yang suka mengambil cuti tahunan dan ditambah dengan cuti sakit atau kecemasan selepas cuti tahunan tamat.
Sementara itu, ramai juga yang suka melengah-lengahkan kerja untuk membolehkan mereka berpeluang membuat kerja lebih masa tanpa memikirkan kerugian yang dihadapi oleh syarikat.
Sikap suka bersembang sewaktu kerja dan rehat lebih daripada masa yang diperuntukan juga sering menjadi amalan pekerja tempatan.

Keadaan itu berbeza dengan pekerja asing kerana mereka amat jarang mengambil cuti terutama cuti kecemasan atau cuti sakit. Paling menyenangkan, pekerja asing biasanya datang pada waktu yang tepat kerana mereka tiada alasan untuk bermalas-malas.

Walaupun tahap pendidikan mereka agak rendah berbanding pekerja tempatan tetapi disiplin diri mereka sangat tinggi. Mereka bekerja bersungguh-sungguh kerana tujuan utama datang ke Malaysia adalah untuk mencari nafkah. Sekiranya pemberhentian dan penghantaran pulang pekerja asing dilaksanakan, banyak perkara perlu diberi perhatian.

Kerajaan hendaklah memikirkan masalah syarikat jika pekerja asing dihantar pulang terutama daripada segi kerugian yang akan ditanggung dalam jangka pendek.

Sekiranya kita mahu menggunakan tenaga kerja tempatan, saya ingin cadangkan agar mereka diberi motivasi secukupnya untuk menyedarkan mereka mengenai komitmen kerja. Langkah ini boleh dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi agensi-agensinya dengan kerjasama pihak kilang.

Selain itu, pihak kilang harus diberi pekerja separuh mahir yang dilatih mengikut keperluan syarikat dengan dibiayai oleh kerajaan. Syarikat mestilah memberi gaji yang setimpal. Saya rasa masalah gaji tidak menjadi masalah untuk sebahagian syarikat jika mereka memikirkannya secara jangka panjang.

Pihak penyedia latihan haruslah bertanggungjawab terhadap mutu pekerja dengan menyiarkan lebih banyak maklumat berkenaan etika kerja cemerlang di sektor pembuatan bukan hanya etika untuk pekerja kolar putih sahaja seperti yang kerap disiarkan oleh media massa.
Selain itu, kerajaan juga perlu melantik pegawai penilai untuk pekerja di bawah sesebuah kementerian dalam usaha mengawal selia mutu pekerja tempatan.

Pegawai penilai ini perlu bertindak segera jika pihak syarikat membuat sebarang rungutan atau komen terhadap pekerja.

Sementara itu, elok juga diadakan satu sistem penukaran pekerja ke syarikat lain jika tidak boleh menunjukkan prestasi yang baik. Mereka mungkin boleh bekerja dengan lebih baik di syarikat baru. Contohnya, ada pekerja yang tidak boleh bekerja di kilang plastik kerana alah kepada bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan plastik. Jadi, dia boleh dipindahkan ke kilang pengeluaran lain.

Sekiranya pemantauan ini dilakukan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja malah akan turut menguntungkan kilang terbabit. Bagaimanapun saya akur bahawa semua cadangan ini tidak akan berhasil sekiranya kita sendiri sebagai pekerja tempatan tidak mengubah cara bekerja.

1 comment:

Anonymous said...

pemberhentian pekerja asing membawa kepada satu era dimana perubahan kehilangan sumber didalam sektor perkilangan, pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan. Negara Malaysia amat menumpukan kepada sektor ini untuk membantu perkembangan ekonomi dan aset kepada sesuatu perusahaan. Pekerja asing perlu dipandang sebagai satu aset yg tidak kurang pentingnya dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara yang memerlukan ruang " win win situation" keadaan kebanjiran pekerja asing di negara ini bukanlah satu masaalah yang rumit kerana ia sentiasa dikawal oleh badan atau pihak kerajaan dan beberapa syarikat bekalan dan urusan pekerja asing. Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah adakah syarikat yang dilantik oleh kerajaan tidak mampu untuk mengurus, membekal pekerja asing.

Artikel - Artikel..