Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Saturday, December 26, 2009
RM200J PULIH 'PROJEK SAKIT'
IPOH 25 Dis. - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara tahun depan.
Pengerusi SPNB, Senator Datuk Azian Osman berkata, projek tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja senarai projek terbengkalai diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
''Kita akan memastikan projek pemulihan rumah terbengkalai yang dilaksanakan oleh SPNB itu disiapkan dengan sebaik-baiknya.
''SPNB terpaksa memulihkan projek itu tanpa mendapat keuntungan kerana ia merupakan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu rakyat," katanya. Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Baucer Pakaian Sekolah peringkat Parlimen Ipoh Timur di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini.
Sebanyak 388 pelajar miskin menerima baucar itu.
Azian berkata, sejak ditubuhkan, SPNB berjaya memulihkan hampir 70 projek rumah terbengkalai di seluruh negara sehingga tahun ini. Terdahulu dalam ucapannya, beliau mahu setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Ipoh Timur menjadi ejen kerajaan dalam membantu membasmi kemiskinan.
PMR: 28,188 PELAJAR PEROLEH SEMUA A
PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lalu. Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.
Beliau berkata, calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.
"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lalu," katanya.
Thursday, November 05, 2009
UTM BANTU MANGSA GEMPA BUMI PADANG
Oleh Khairina Yasin kayrina@bharian.com.my
PRIHATIN terhadap penderitaan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menghantar delegasi 13 kakitangan dan mahasiswa bagi memberi bantuan kemanusiaan ke daerah itu, baru-baru ini. Diketuai Timbalan Pengarah Tanggungjawab Sosial Universiti, Dr Mohd Ariffin Abu Hassan, delegasi itu merangkumi tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan awam, kakitangan teknikal, pakar terapi dan pembantu perubatan. Dr Mohd Ariffin berkata, UTM bekerjasama dengan Universitas Bung Hatta (UBH), Padang bagi memudahkan urusan penghantaran bantuan dan keperluan lain dapat disampaikan tepat kepada mangsa gempa bumi itu.
“Kita menerima notis singkat daripada pihak pengurusan universiti untuk menghantar bantuan dan persiapan juga dibuat dalam tempoh singkat termasuk menyediakan keperluan, peralatan dan logistik. “Menerusi bantuan ini, sejumlah RM65,000 diperuntukkan bagi membeli kelengkapan seperti generator, pam, ubat dan khemah kepada mangsa yang memerlukan,” katanya. Beliau menjelaskan, kehadiran delegasi UTM disambut baik mangsa yang sememangnya menantikan bantuan.
Katanya, sejumlah 40 khemah diedarkan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal, khususnya di perkampungan pinggir Padang antaranya Kampung Lubuk Laweh. “Selain itu, pendedahan berkaitan kaedah menangani trauma dan tekanan turut diberikan kepada mangsa di Kampung Kelurahan Kurao oleh Timbalan Pengarah Pusat Kaunseling dan Kerjaya UTM, Prof Madya Syed Mohd Syafik Syed Mansor.
“Kita juga mendapat sokongan daripada Pusat Kesihatan Masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan selain berusaha menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa dan penduduk kampung terbabit serta pelajar UBH.
“Biarpun berdepan masalah kelewatan mendapatkan air bersih berikutan kurang peralatan, selain bekalan yang dibeli lambat tiba, kita berjaya mengatasinya berkat komitmen tinggi kakitangan dan mahasiswa,” katanya.
Selain itu, UTM yang diwakili Prof Dr Mohd Zaimi Majid turut menyerahkan kemudahan generator kepada Rektor UBH, Prof Dr Ir Hafrijal Syandri. Sementara itu, Menteri Urusan Peranan Wanita Indonesia, Prof Dr Meutia Hatta ketika meninjau kerosakan di UBH mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTM atas keprihatinan menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.
PENDIDIKAN TEKNIKAL, VOKASIONAL DIPERKASA
Oleh Saiful Hamzah
SISTEM pendidikan negara perlu terus melengkapkan pelajar dengan kemahiran relevan dan latihan untuk menyediakan mereka apabila berdepan landskap saingan global. Gabungan usaha sama dengan pemimpin industri yang menawarkan pekerjaan, latihan dan kaunseling kerjaya bagi menyediakan pelajar ke alam pekerjaan sebenar nyata membuahkan hasil amat memuaskan. Dengan perubahan kepada pekerjaan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan, kerajaan perlu berusaha meningkat dan membangunkan bakat yang ada. Dalam konteks ini, peluang menjalin kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT), perniagaan dalam sektor swasta dan kerajaan mesti dimanfaatkan sepenuhnya.
Ketika ini, sistem Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di Malaysia berupaya menyediakan modal insan dan tenaga kerja yang dihasilkan menerusi graduan pada peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan di politeknik. Graduan politeknik dan vokasional ini menyediakan pekerja mahir dan separuh mahir serta kelas pertengahan.
Kelebihan TVET tidak dinafikan kerana pengajian yang ditawarkan menyediakan keseimbangan di antara kemahiran umum dan khusus, latihan teori dan amali, tumpuan kepada industri, skim latihan untuk pelajar dan pengajian sepanjang hayat. Kewujudan politeknik kini menjadi tumpuan ibu bapa yang merasakan anak mereka boleh mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian sama ada pada peringkat sijil mahupun diploma. Sememangnya 49 program peringkat diploma, 22 program peringkat sijil, 12 program asas dan lima program kemahiran khas serta satu program diploma lanjutan yang ditawarkan menerusi TVET tidak pernah menghampakan belia yang dahagakan ilmu kemahiran. Ditambah pula dengan 21 program peringkat sijil dan 89 program berdasarkan permintaan, ia mampu menyediakan asas modal insan yang baik untuk pertumbuhan industri.
Sudah sampai masanya program yang ditawarkan politeknik itu sendiri dinilai menerusi sistem bintang sebagai dorongan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang dijangka bermula 2010 dan mengenal pasti politeknik terbaik serta menubuhkan pusat kecemerlangan teknologi dan bidang yang menjadi kekuatan. Penyediaan tenaga pengajar hebat yang mempunyai pengalaman dalam sektor industri turut menjadi faktor penting sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan menarik minat pelajar.
Sehingga ini, seramai 449 pensyarah dari 381 syarikat diambil sejak program kerjasama dengan industri itu bermula. Ini termasuk 61 pensyarah daripada 59 syarikat tahun ini dan 210 pensyarah dari politeknik menunggu panggilan untuk mengajar tahun depan. Pensyarah jemputan dari industri pula menyuntik semangat pelajar apabila pada tahun lalu seramai 523 orang dipanggil manakala 605 orang pada 2009.
Persoalannya sekarang adakah pelbagai perubahan yang dilakukan mampu menjamin kerjasama utuh antara institusi dan institusi pengajian dan bagaimanakah industri dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti memberi sumbangan ke arah membangunkan dan mengubah keperluan modal insan yang celik teknologi dan intelek bagi menghadapi daya saing ekonomi.
Kerajaan tidak boleh menafikan kepentingan bekerjasama dengan industri yang menjanjikan faedah dan kebaikan. Antaranya meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja, meningkatkan daya boleh pasaran dan daya keusahawanan di kalangan graduan, pemindahan pengetahuan dan penyelidikan dan pembangunan dan membolehkan politeknik dan kolej komuniti memiliki daya saing bertaraf antarabangsa.
Kemahiran amat diperlukan untuk membolehkan graduan terus bersaing dalam pasaran pekerjaan di negara ini. Lebih-lebih pada ketika ekonomi Malaysia yang mengalami transformasi daripada latar belakang sektor pertanian yang kukuh dan berasaskan pengeluaran kepada ekonomi pelbagai sektor. Ini semua menjadi cabaran kepada graduan bagi memastikan kemahiran mereka terus kekal dan relevan apatah lagi dalam membangunkan kemahiran dalam k-ekonomi, ada peranan yang perlu dimainkan pelajar, IPT, majikan serta pembuat dasar.
Mahu tidak mahu, pelaburan yang begitu signifikan dalam pendidikan untuk membangunkan sumber manusia pastinya perlu dipastikan berbaloi. Petunjuk terbaru termasuk industri pengeluaran, pertumbuhan eksport, keadaan pasaran buruh dan peningkatan sentimen pengguna, langkah kepada kestabilan ekonomi domestik memberikan harapan.
Dalam erti kata lain, arah aliran pekerjaan dalam ekonomi pelbagai sektor di Malaysia amat memerlukan modal insan berkemahiran. Sampai masanya Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan penubuhan dua jabatan baru iaitu Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti sebagai usaha penjenamaan semula serta transformasi terhadap institusi pengajian itu sekali gus membawanya ke tahap yang lebih tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kertas Kabinet mengenai cadangan itu akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membolehkan kedua-dua jabatan baru itu ditubuhkan. Pada masa ini, kedua-dua jabatan berkenaan digabungkan sebagai Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sejak 1 Januari 2005. Beliau berkata, penjenamaan semula itu berupaya memberi peluang kepada belia termasuk ‘mat rempit’ yang tercicir dari sistem pendidikan diterapkan dan terbabit dalam industri kreatif.
Kertas Kabinet itu antara lain akan menentukan hala tuju semua politeknik dan kolej komuniti di negara ini dan menyokong usaha kerajaan untuk menjana ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti”. Ketika ini negara menawarkan lebih 100,000 tempat untuk kursus jangka pendek yang ditawarkan semua kolej komuniti setiap tahun. Masa sudah sampai bagi pelajar politeknik mendapat peluang mengikuti kursus bertaraf diploma, berbanding sijil di semua 27 politeknik.
Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan mewujudkan sistem ranking bagi 27 politeknik bertujuan memantau prestasi dan pencapaian dalam usaha meningkatkan pembabitan politeknik dalam penyelidikan dan pembangunan. Atas alasan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan dalam politeknik dan sememangnya sampai masa bagi institusi pengajian berkenaan membabitkan diri. Banyak usaha lain sedang dilakukan bagi menunjukkan kekuatan politeknik dan memberi peluang untuk pelajar mendapat kelulusan tertinggi. Transformasi ialah mahu menjadikan politeknik satu aliran yang kuat, kukuh untuk pelajar selain hanya dalam bidang akademik. Selepas dapat diploma, pelajar politeknik kena masuk universiti dan sampai masanya negara mewujudkan sistem lengkap untuk pelajar politeknik.
“Politeknik sebagai satu institusi di mana sebahagian besar program yang ditawarkan adalah tahap diploma dan kita mempunyai 80,000 pelajar iaitu 40 peratus pemegang diploma. Kita merasakan politeknik tidak perlu menekankan latihan kemahiran. Peringkat sijil patut diberi kepada Institut Kemahiran Mara dan lain-lain manakala politeknik sepatutnya memberi pengkhususan dalam kursus diploma untuk mengukuhkan status lulusan,” katanya.
Sehubungan itu, kerjasama dengan pihak industri tidak boleh diketepikan dan sememangnya untuk memastikan mereka menjalankan peranan dengan betul dan keberkesanan program mereka. Sektor industri memerlukan tenaga kerja mahir dan kerajaan akan terus mengadakan dialog bagi memastikan kerjasama lebih kukuh pada masa depan.
Wednesday, November 04, 2009
PENAMBAHBAIKAN DI INSTITUSI KEMAHIRAN
JASIN 3 Nov. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memastikan peruntukan RM438juta yang disediakan dalam Bajet 2010 disalur kepada institusi latihan yang memerlukan penambahbaikan kemudahan atau program latihan sedia ada. Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya sedang merangka pelan rancangan bagi memastikan peruntukan tersebut memenuhi keperluan.
Katanya, kementerian akan memastikan peruntukan disalur kepada institusi latihan Mara atau pusat latihan kemahiran di bawah kerajaan negeri yang memerlukan kemudahan baru atau penubuhan pusat latihan baru.
''Selain memberi tumpuan kepada institusi kemahiran Mara, kita juga akan memberikan (peruntukan) ini kepada institusi kemahiran yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan secara menyeluruh meliputi semua bidang,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan ke-25 penubuhan Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin di sini hari ini. Selain itu menurut Hasan, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu usah berterusan diambil dalam melahirkan lebih ramai golongan anak muda yang berkemahiran dan menepati kehendak pasaran kerja dalam bidang tersebut pada masa depan.
Katanya, peruntukan Bajet 2010 yang diterima kementerian akan disalurkan kepada institusi kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang terlibat antaranya Institut Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Belia Negara bagi meningkatkan pengurusan latihan dan menaik taraf institusi tersebut pada masa depan.
''Kita turut menyediakan RM100 juta kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri terutama dalam bidang teknikal, hospitaliti dan perabot.
''Jika perlu, kita akan naik taraf institusi latihan yang dirasakan perlu atau menambah program latihan yang sesuai mengikut keperluan," katanya.
Sementara itu, Hasan berkata, kementerian berharap lebih banyak program kerjasama dan perkongsian pintar dapat diwujudkan antara syarikat swsta dengan institusi latihan kemahiran sedia ada. Usaha itu, katanya, amat penting dilaksanakan bagi memastikan golongan anak muda mendapat ilmu kemahiran dari swasta malah ia juga menguntungkan pihak terbabit dari aspek pengambilan tenaga mahir.
Wednesday, October 28, 2009
MAJIKAN ASING PERLU TAWAR GAJI TINGGI
"Kalau ada majikan yang datang ke negara ini dengan harapan untuk memberi gaji RM500 hingga RM600, mereka mesti kecewa. Jangan datang hanya untuk mencari pekerja dengan gaji rendah.
"Saya harap pelabur yang akan datang, termasuk di Selangor atau Pulau Pinang, ialah mereka yang mempunyai daya untuk mendapatkan pekerja yang bergaji tinggi selaras dengan dasar yang diumumkan Perdana Menteri dalam bajet baru-baru ini untuk menjadi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai langkah kerajaan untuk menangani masalah kekurangan pekerja ekoran dasar pembekuan kemasukan pekerja asing ke negara ini. Subramaniam berkata, semua pihak termasuk negeri di bawah pembangkang perlu lebih proaktif untuk meningkatkan taraf ekonomi negara.
Menjawab soalan asal Kok, Dr Subramaniam, berkata kerajaan bersedia memberi kelonggaran pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor industri pembuatan seperti subsektor elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, sarung tangan dan plastik supaya industri itu dapat terus beroperasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, pembekuan pengisian jawatan tertentu oleh pekerja asing masih kekal malah kerajaan menetapkan beberapa jawatan yang tidak boleh diisi pekerja asing.
ASPEK PEMBINAAN JAMBATAN GANTUNG TIMBULKAN PERSOALAN
KAMPAR: Cara pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Kampar, di Kuala Dipang, dekat sini yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian. Kerajaan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.
"Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan...ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan. Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan guru dan pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan. Murid berkenaan adalah sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.
Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk.
"Daripada pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya. Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lalu dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini. Seorang lagi bapa murid, Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.
Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat, bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan Perak.
"Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau.
"Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi. - Bernama
Tuesday, October 27, 2009
KERAJAAN KAJI SENARAIHITAM KONTRAKTOR LAMBAT BUAT BAYARAN
26/10/2009 9:42pm
KUALA LUMPUR 26 Okt. — Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menyenaraihitamkan kontraktor utama yang mendapat kontrak kerajaan tetapi lambat membayar sub-kontraktor, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini.
Kemungkinan juga kontraktor sedemikian tidak boleh lagi menyertai tender bagi projek kerajaan, katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (NAFAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. - Bernama
Saturday, October 24, 2009
INTIPATI BAJET SULUNG NAJIB
Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':
1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.
2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.
3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.
4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.
5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.
6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.
7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.
8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).
9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.
10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.
11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.
12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.
13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.
14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.
15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.
16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.
18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.
19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.
20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.
21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.
22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.
23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.
25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.
26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.
27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.
28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.
29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.
BERNAMA
INTIPATI SEKTOR NIAGA BAJET 2010
- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010
- Perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.
- Penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus
- Pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661
- TNB akan membelanjakan RM5 bilion untuk melaksanakan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pada 2010.
- Usaha sama awam-swasta akan meliputi kompleks imigresen, kastam dan kuarantin bersepadu di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM dan pusat MATRADE
- 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.
- Kerajaan akan memperuntukkan RM899 juta untuk meningkatkan industri pelancongan
- Kerajaan akan meningkatkan insentif cukai kepada para penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan rakyat asing, dengan pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.
- Pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualikan cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012
- Penjawat awam dibenar membuat pinjaman untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun
- Merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri
- Memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah MITI
- Menyegerakan Pensijilan Halal oleh JAKIM menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP.
- Menyediakan RM24 juta untuk membangunkan produk sistem antipenyeludupan produk Halal di tiga pintu masuk utama dan tiga pelabuhan utama.
- Memperuntukkan RM137 juta untuk meningkatkan dan memperbaiki infrastruktur saliran dan perparitan di jelapang padu membabitkan 180,000 petani
- Memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan Projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi meningkatkan keupayaan bekalan air untuk Skim Pengairan Padi di Besut
- Memperuntukkan RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.
- Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang.
- Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.
- Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta.
- Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka.
- Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang.
- Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.
- Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp, dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bankinya untuk penjenaman dan promosi.
- Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari.
- Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk TEKUN dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
- Memperuntukkan RM20 juta untuk mempergiatkan aktiviti kesedaran hijau dan amalan mesra alam sekitar.
- Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain.
- Mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka, dengan RM50 juta untuk syarikat pengeluar dan RM10 juta untuk syarikat pengguna. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka memberi faedah kepada lebih 140 syarikat dan dimulakan pada 1 Jan 2010.
- Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Dis, 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan.
- Pengecualian duti setem kepada pembeli yang membeli bangunan dengan sijil GBI mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Disember 2014.
- Mempekenal insurans asas dan skim takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
- Memperluas liputan takaful dan insurans mikro kepada peniaga kecil, dengan manfaat perlindungan daripada RM10,000 kepada RM20,000, pada premium serendah RM20 sebulan.
- Pasaran saham akan diliberalisasikan lagi untuk meningkatkan kecekapan.
- Meliberalisasi aturan perkongsian komisyen antara broker saham dan remisier dengan membenarkan perkongsian pembrokeran fleksibel pada kadar minimum 40 peratus dan meliberalisasikan sepenuhnya perkongsian komisten berkuat kuasa 1 Januari, 2011.
- Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat perancangan kewangan dan kewangan korporat.
- Semua syarikat senaraian awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat pemerokeran saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
- Insentif cukai sedia ada untuk perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
- Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen pembangunan kewangan Islam.
- Pengecualian cukai ke aras keuntungan bank dariapda operasi luar negara.
- Potongan berganda perbelanjaan yang ditanggung untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa.
- Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penubuhan syarikat-syarikat pembrokeran Islam* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penerbitan sekuriti* Kerajaan akan menggalakkan semua institusi perbankan dan kewangan yang mematuhi syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim Ar-Rahnu.
- Kerajaan akan memastikan koridor pembangunan serantau dimajukan mengikut jadual. Setakat ini 126 daripada 195 projek perancangan di pelbagai peringkat pelaksanaan. Pelaburan yang dirancang berjumlah RM221 bilion sudah mengatasi sasaran perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM145 bilion.
- Kerajaan akan memperuntukkan RM3.5 bilion untuk kemudahan asas dan infrastruktur serta program latihan dan projek sosio ekonomi untuk menyokong pelaksaan projek sektor swasta.
- Kerajaan kini dalam peringkat awal menyiapkan kajian pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kadar itu akan dikurangan berbanding cukai perkhidmatan dan jualan semasa.
- Cukai pendapatan bagi 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh mulai 2009 akan dibenar dibayar secara ansuran dalam lima tahun.
- Cukai lima peratus akan dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Jan, 2010.
- Cukai perkhidmatan RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj serta RM25 setahun bagi setiap kad tambahan mulai 1 Jan, 2010.
- RM100,000 dikenakan untuk setiap AP untuk pemegang kad AP terbuka berkuatkuasa 1 Jan, 2010. Sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automatif.
- Akan memperkenal skim insurans asas dan takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010.
- Akan memperluas liputan insurans mikro dan takaful untuk peniagaan kecil mendapat manfaat daripada perlindungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
- Pasaran saham diliberalisasikan untuk kecekapan.
- Membenarkan penyertaan ekuiti asing 100 peratus dalam kewangan korporat dan perancangan kewangan.
- Semua syarikat senarai awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat broker saham menyediakan opsyen e-pembayaran.
- Insentif cukai semasa untuk majukan perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.
- Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen kewangan Islam.
- Pengecualian cukai ke atas keuntungan perbankan yang diperoleh menerusi operasi luar negara.
- Mulai 1 Jan 2010, kerajaan bersetuju membenarkan agensi kerajaan mengekalkan 50 peratus sewa yang diterima manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan dalam perolehan kerajaan.
- Kerajaan akan laksana sistem pengurusan subsidi bahan api pada awal 2010.
- Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan kepada 26 peratus daripada 27 peratus berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
- Kadar cukai maksimum koperasi akan dikurangkan kepada 26 peratus manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin akan dikurangkan kepada 26 peratus.
- Pengecualaian cukan persendirian akan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010.
- Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi pendapatan pekerja Malaysia dan pekerja asing yang menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia sebanyak 15 peratus berbanding maksimum 26 peratus untuk seluruh negara.
- RM14.8 bilion diperuntuk untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik.
- Kerajaan akan terbitkan Sukuk 1Malaysia bernilai RM3 bilion.
- Kerajaan akan mewujudkan Skim Persaraan 1Malaysia yang diurus oleh KWSP.
BERNAMA
Thursday, October 22, 2009
MBMMBI MAMPU BELA PELAJAR TERCICIR
Oleh Zanariah Abd Mutalib bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.
“PPSMI akan mengakibatkan prestasi bagi dua subjek itu merosot jika ia diteruskan. Murid yang gagal sebelum ini terutama di luar bandar bukan disebabkan mereka tidak pandai tetapi kerana mereka tidak faham (pengajaran dalam bahasa Inggeris) dan ibu bapa juga tidak boleh membantu kerana mereka juga tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Semalam, akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.
Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.
“Buku yang lama itu kita boleh cetak semula dan sukatan pelajaran pun tidak perlu banyak diubah. Bagi pengajaran Bahasa Inggeris pula, kita memang memerlukan guru yang benar-benar mahir dan menambah alat bantuan mengajar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.
“Selepas ini, kita juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.
INOVASI BARU SIAPKAN BANGUNAN SEMINGGU
Oleh Nik Sukry Ramli niksukry@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Inovasi dalam sektor pembinaan menyaksikan pengenalan satu lagi produk bermutu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mampu menyiapkan bangunan dalam masa seminggu. Teknologi IBS dinamakan ‘Fibre Reinforces Composite’ menggunakan bahan seperti sekam padi, hampas kelapa sawit dan fiber itu selain mudah dipasang, ia juga tidak mudah terbakar, tahan basah, tidak berkulat dan tidak akan dimakan anai-anai.
Syarikat Bintang Kencana Sdn Bhd yang memperkenalkan inovasi itu membuktikan keberkesanan penggunaan bahan berkenaan apabila diberikan tanggungjawab oleh Kementerian Pelajaran Malaysia menyiapkan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan, Port Dickson, Negeri Sembilan kurang dari tempoh tujuh hari.
Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata keupayaan syarikat milik Bumiputera itu menyiapkan bangunan terbabit dalam tempoh singkat mampu mengurangkan masalah kesesakan pelajar di dalam kelas.
“Sebahagian daripada 200 bangunan baru untuk prasekolah yang dirancang di beberapa sekolah terpilih sudah mula dibangunkan dan ada antaranya masih dalam pembinaan.
“Kita jangkakan semua bangunan itu boleh digunakan serentak menjelang 2010 memandangkan pendaftaran pelajar baru (prasekolah) bermula Disember ini. Kita juga bercadang untuk membina lebih bangunan prasekolah jika mendapat peruntukan tambahan,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Simbolik Bangunan PraSekolah Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengarah Urusan Bintang Kencana, Ahmad Raziff Abu Bakar dan Guru Besar sekolah itu, Saniah Abdul Samad.
Sementara itu, Ahmad Raziff berkata, masalah kelewatan pembinaan atau bangunan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dapat dielakkan melalui penggunaan sistem IBS dengan kos yang lebih rendah. Katanya, Bintang Kencana sebelum ini sudah menyiapkan lima bangunan sekolah baru dalam masa kurang setahun.
Monday, October 19, 2009
OPERASI BERSEPADU PATI LEBIH AGRESIF
Oleh ZULHISHAM ISHAK utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 18 Okt. – Seramai 120,114 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dikesan masih belum berdaftar walaupun tarikh tutup semakin hampir iaitu pada 31 Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi memudahkan pendaftaran, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri akan membuka kaunternya setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.
“Sebaik sahaja tamat tempoh, Operasi Bersepadu PATI yang lebih agresif akan dilaksanakan dan jika ada PATI yang tidak berdaftar dan ditahan, tindakan undang-undang akan dikenakan.
“Kita telah membuat keputusan untuk bertindak tegas dalam perkara ini. Sebelum ini peluang demi peluang telah pun diberikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Beliau berkata, kerajaan sebelum ini banyak bertolak ansur serta memahami masalah PATI termasuk memberi kelonggaran kepada majikan tetapi tidak dihiraukan.
Sebelum ini katanya, kerajaan menetapkan 31 Mei lalu sebagai tempoh pemutihan PATI tetapi atas faktor tertentu, tempoh tersebut dilanjutkan hingga hujung bulan ini.
“Lanjutan ini untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan. Jika tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas.
“Pada masa sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Hishammuddin berkata, sehingga minggu lalu seramai 192,723 PATI yang bekerja di negeri ini termasuk tanggungannya sudah pun berdaftar secara sah dengan pihak JIM.
Katanya, sejak Operasi Bersepadu Fasa I dan II dilakukan pada 7 Ogos tahun lalu, seramai 610,104 PATI dikesan termasuk pelarian dan warga asing yang tamat permit kerja. Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,634 PATI dikenal pasti melalui fasa pertama manakala 4,427 orang lagi melalui fasa kedua.
Melalui dua fasa itu juga katanya, jumlah PATI yang bekerja dan tanggungannya yang dikesan ialah 312,837 orang, pelarian (57,197 orang) dan pekerja tamat tempoh (230,000 orang).
Sehubungan itu, katanya, fasa kedua yang bermula pada Februari lalu akan diteruskan hingga hujung tahun ini khususnya di pantai timur Sabah.
22, 083 ANAK PENEROKA TERLIBAT
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my
NILAI 18 Okt. – Seramai 22,038 anak peneroka Felda di seluruh negara mengikuti Skim Latihan Kemahiran Generasi Baru kepada anak peneroka bagi memantapkan penguasaan ilmu sejak 2005.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh itu Felda juga memperuntukkan RM26.5 juta bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap akademik serta kemahiran di peringkat sijil dan diploma.
Menurutnya, antara penekanan sektor pekerjaan yang diberikan keutamaan termasuklah kejururawatan, keusahawanan, perakaunan, perhotelan, pelancongan, maritim serta petroleum dan gas.
“Sejak skim ini diperkenalkan pada 2005, seramai 22,038 pelatih yang gagal masuk ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) dibantu supaya dapat meneruskan pengajian di pusat pengajian yang ditetapkan.
“Sepanjang tahun ini saja, seramai 2,085 pelatih sudah melaporkan diri, manakala Felda sudah membelanjakan RM26.5 juta atau 74.1 peratus daripada peruntukan RM35.8 juta bagi melaksanakan skim itu kepada generasi baru peneroka,” kata Ahmad.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa Felda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, Felda sedang merancang menambah tiga lagi program menerusi skim itu dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Pada masa sama kita juga turut membantu lebih 2,000 pelajar yang kini sedang meneruskan pengajian di 20 IPTA seluruh negara,” kata Ahmad.
BURUH MAUT JATUH TINGKAT 16
KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Seorang buruh warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah bangunan yang sedang dibina di Kampung Ladang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa yang dikenali sebagai Soedjito, 36, cedera parah selepas terhempas di tingkat satu.
Rakan mangsa, Kaspin Usop, 40, berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat lalu bergegas ke tingkat tersebut.
"Pada mulanya, saya ingat tong gas yang kami guna untuk memasak meletup namun terkejut kerana ia masih dalam keadaan baik.
"Setelah memeriksa, baru saya temui mayat Soedjito," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. Katanya, mangsa dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja-kerja pembinaan di tingkat 16 bangunan itu.
Sementara itu, penyelia tapak projek, Aznan Musa, 39, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika berada di rumahnya di Pasir Panjang.
"Mangsa ada menunjukkan perubahan apabila selalu menghubungi anaknya di Jawa tetapi tidak sangka pula dia akan pergi," katanya lagi.
Saturday, October 03, 2009
TERKEJUT SEJADAH TEGAK SEPERTI SEDANG SOLAT
BUKIT MERTAJAM 2 Okt. - Sepasang suami isteri yang berselisih pendapat mengenai arah kiblat di rumah mereka di Taman Haji Mohd. Amin di sini terkejut apabila sejadah di bilik sembahyang mereka tiba-tiba tegak menyerupai orang sedang solat.
Kejadian aneh itu berlaku kira-kira pukul 9.45 malam, tidak lama selepas Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, dan isterinya, Zainab Ramli, 26, berbincang mengenai kedudukan sebenar kiblat rumah mereka berbanding di masjid berhampiran.
Sebelum kejadian, Zainab sempat menghamparkan sejadah tersebut untuk menunjukkan arah kiblat yang biasa digunakannya tetapi Mohamad Shuhaimi menyifatkan kedudukan itu tidak begitu tepat.
Menurut Mohamad Shuhaimi, selepas berbincang dalam bilik berkenaan, dia pergi ke ruang tamu sebelum memandikan anak perempuannya manakala Zainab pula pergi menggosok pakaian.
''Tidak lama kemudian, Zainab tiba-tiba meluru kepada saya dalam keadaan muka pucat dan terkejut sebelum memberitahu sejadah yang dihamparkan tadi sudah tegak seperti orang sedang solat antara dua sujud," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Mohamad Shuhaimi berkata, dia mengucap berkali-kali apabila melihat sendiri keadaan sejadah tersebut yang menyerupai seorang wanita bersolat. Melihat peristiwa aneh itu, Mohamad Shuhaimi menghubungi keluarga terdekat dan jiran-jiran yang kemudian datang menyaksikan sendiri kejadian tersebut.
''Ada beberapa jiran yang datang dengan kompas untuk membuat ukuran dan mengakui bahawa kedudukan sejadah itu tepat menghala ke arah kiblat," katanya. Mohamad Shuhaimi yang bekerja sebagai penghantar surat memberitahu, sejadah tersebut yang sudah sedikit lusuh, merupakan hantaran perkahwinan isterinya ketika mereka mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.
Katanya, berita mengenai kejadian itu tersebar begitu cepat sehingga ada orang awam dari merata tempat termasuk Kuala Lumpur yang sanggup datang untuk menyaksikannya.
''Bagaimanapun kira-kira pukul 2.30 petang tadi, saya secara perlahan-lahan melipat sejadah tersebut atas nasihat dua pegawai daripada Jabatan Agama Islam negeri yang datang ke rumah kami," katanya. Katanya, ia bagi mengelak daripada berlaku perkara khurafat yang boleh menyesatkan akidah umat Islam.
Mohamad Shuhaimi berkata, dia dan isteri percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu dan menganggapnya sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.
Sunday, September 27, 2009
USAHAWAN: PAKAR BUDU
Oleh Haspaizi Mohd Zain bminggu@harian.com.my
Hamidah guna resipi tradisi warisan bapa untuk hasilkan makanan unik berkualiti tinggi, mendapat permintaan ramaiBUDU sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga. Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.
“Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, (Mohd Asri Mokhtar, 42,) menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu.
“Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial,” katanya ketika dikunjungi Berita Minggu. Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.
Sehubungan itu, bagi menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam, sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun. Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin khas dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu. Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.
Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.
“Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya,” katanya.
Bahan asas untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis usang. Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.
Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand. Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan.
“Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman.
“Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini,” katanya.
Kebanyakan pekerja adalah wanita terdiri daripada suri rumah yang ditugaskan di bahagian pembungkusan termasuk kerja mengisi budu yang siap dimasak ke dalam bot sebelum dipasarkan. Beliau mengakui menghadapi masalah mendapatkan bekalan ikan bilis terutama menjelang musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan disebabkan ombak besar dan angin kencang. Bagi mengatasi masalah bekalan ikan tidak menentu pada musim tengkujuh, beliau terpaksa mengimport ikan bilis segar daripada negara jiran, Thailand.
PELAJAR MANGSA RAGUT MENINGGAL
Oleh HAMDAN TAWADI utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 26 Sept. - Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini yang terlantar koma selama seminggu selepas cedera parah di kepala dalam kejadian ragut, akhirnya menemui ajal petang semalam.
Tan Shu Fang, 17, pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini 2 itu, meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Dalam kejadian pada 17 September lalu, mangsa bersama ibunya, Leong Akooi, 52, yang sedang berjalan kaki ke sebuah bank berdekatan rumah mereka di Taman Ungku Tun Aminah di sini, tersungkur apabila beg tangannya tiba-tiba direntap dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Mangsa yang cedera parah di kepala, pengsan manakala ibunya pula mengalami lebam di badan.
Menceritakan kembali kejadian itu, Akooi berkata, mereka berdua leka berbual mengenai peperiksaan Shu Fang sehingga tidak menyedari kehadiran penjenayah terbabit.
"Shu Fang begitu yakin dan bersungguh-sungguh akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
"Tiba-tiba seorang lelaki merentap beg tangan anak saya menyebabkan kami berdua jatuh ke tanah dan bila saya bangun, saya lihat anak saya pengsan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Taman Peringatan Nirvana di sini hari ini.
Akooi berkata, orang awam yang kebetulan berada di kawasan tersebut telah menghantar mereka ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Dia yang tidak dapat menahan kesedihan berkata, Shu Fang adalah pelajar pintar dan sering mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Dia juga mempunyai ramai kawan walaupun agak pendiam. Saya kini tinggal seorang anak lelaki dan pemergian Shu Fang menyedihkan kami semua.
"Saya mahu mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dihukum dengan setimpal," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau berharap polis dapat menangkap suspek secepat mungkin dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Taman Ungku Tun Aminah supaya kejadian sama tidak berulang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut.
"Kita akan berusaha memburu suspek secepat mungkin, apatah lagi melibatkan kematian," katanya di sini hari ini.
FELDA PERKENAL FEKRA BAGI RAIH KEUNTUNGAN TERBAIK
KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Felda akan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Felda (Fekra) bermula Januari depan dalam usaha mencapai keuntungan dan perkhidmatan terbaik.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Yusof Noor berkata, ia melibatkan tiga bidang utama iaitu skim penanaman semula, rancangan pelaksanaan projek perumahan dan rancangan pembangunan masyarakat.
''Pegawai dan kakitangan yang secara tidak langsung atau langsung terlibat dalam bidang ini akan diberi fokus utama oleh Felda agar mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh tertentu," katanya pada majlis hari raya bersama media dan pemimpin di Felda Residence di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, pelaksanaan sistem itu akan membolehkan sebarang projek yang dijalankan siap dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau yakin sekiranya sistem Fekra dilaksanakan dengan baik ia akan mencapai sasaran keuntungan yang lebih tinggi selain dapat menghasilkan produktiviti berganda dengan kualiti yang baik.
"Contohnya, bagi rancangan projek perumahan, kita akan memantau dan menilai prestasi bermula daripada kerja-kerja kontraktor sehinggalah kepada pihak pengurusan supaya apa yang disampaikan mencapai sasaran," katanya.
Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dilantik sebagai Pengarah Felda yang baru berkuat kuasa esok, menggantikan Datuk Ahmad Tarmizi Alias yang telah pencen.
Katanya, Dzulkifli merupakan bekas Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) Felda.
Tambahnya, dengan pelantikan itu, beliau dipertanggungjawabkan untuk memantau dan melaksanakan sistem Fekra yang bakal diperkenalkan itu.
"Ini merupakan cabaran dan tugas utama yang harus dilaksanakan apabila beliau memegang jawatan itu dengan menitikberatkan pelaksanaan Fekra agar ia berjaya dilaksanakan oleh semua pihak," katanya.
Friday, September 25, 2009
KOLEJ TEKNOLOGI BESTARI SASAR STATUS KOLEJ UNIVERSITI TAHUN DEPAN
Oleh Khairina Yasin
KOLEJ Teknologi Bestari (KTB), Setiu, Terengganu melaksanakan pelbagai strategi dan perancangan bagi memastikan sasarannya mencapai status kolej universiti, tahun depan. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata strategi itu termasuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan menambah baik kualiti program ditawarkan bagi membolehkan KTB bersaing dengan institusi pengajian tinggi swasta lain. Katanya, kolej itu juga merancang menambah lebih banyak program sendiri khususnya di peringkat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan sains kesihatan apabila berstatus kolej universiti.
“Kita mengenal pasti kekuatan bidang kejuruteraan, sains kesihatan dan sains komputer sebagai program baru yang akan ditawarkan kepada pelajar berdasarkan permintaan pasaran kerjaya masa kini. “Di bawah bidang kejuruteraan, KTB akan menawarkan program sarjana muda kejuruteraan awam, mekanikal dan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Mahmud berkata, biarpun belum begitu dikenali di seluruh negara, kolej itu adalah institusi pengajian tinggi swasta pilihan kebanyakan pelajar di Pantai Timur untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Setakat ini, katanya, kolej berkenaan menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam bagi menawarkan program sarjana muda dan diploma, antaranya Bachelor Pentadbiran Perniagaan, Diploma Sains Komputer dan Diploma Pengurusan Perniagaan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Seterusnya, Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan) dan Diploma Sains Komputer (Multimedia) dengan Universiti Teknologi Malaysia, Diploma Teknologi Maklumat (Universiti Kebangsaan Malaysia), manakala Diploma Kewangan dan Perbankan (Universiti Utara Malaysia).
“Kolej ini sendiri turut menawarkan Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Pengajian Perniagaan, Sijil Pengurusan Perniagaan dan Sijil Sains Komputer.
“Menerusi Institut Kemahiran Bestari pula, kita turut menawarkan pelbagai program kemahiran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan,” katanya.
Tengku Mahmud berkata, antara keistimewaan KTB ialah persekitarannya selesa, staf akademik berkelayakan dan berpengalaman, memiliki pelbagai kemudahan prasarana dan pengurusan pembelajaran sistematik. Berikutan itu, katanya, ramai lulusan kolej itu sebelum ini mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif melebihi 3.5, selain berjaya memasuki universiti awam dan diterima bekerja.
Sebagai IPT milik penuh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, katanya, kolej itu turut menyediakan kuota khas untuk anak yatim melanjutkan pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama.
LAMBAKAN WARGA ASING DI KUALA LUMPUR: BIARLAH!
LAPORAN dalam Utusan Kota, Utusan Malaysia, mengenai lambakan warga asing di Jalan Silang, Kuala Lumpur, semalam, memang betul. Keadaan ini memang wujud. Dan ini berlaku mungkin kerana pihak berkuasa mempraktikkan perkataan ‘lah’...
*Biarlah, kita kan serumpun
*Biarlah, nanti kalau penjara dah kosong baru kita tangkap mereka
*Oklah tu sebab mereka membina bangunan negara
*Lantaklah, aku tak kacau mereka, mereka tak kacau aku
*Janganlah tangkap mereka sebab mereka ini lah yang menjaga keselamatan premis perniagaan (jadi jaga)
*Baiklah, (antara perkataan yang biasa didengar apabila soalan ditujukan kepada PBT tentang bila nak tangkap mereka)
*Marilah, (kalau mereka ada kedai telefon bimbit, sentiasa penuh)
Semasa sembahyang Hari Raya Aidilfitri, mereka sembahyang di atas jalan raya, di Jalan Petaling. Bukankah Masjid Negara ada? Masjid Negara masih banyak ruang kosong untuk mereka.
Mereka sengaja menunjukkan mereka ingin mendominasi bandar raya Kuala Lumpur. Biarlah! Apa yang penting negaraku aman! Sudah tu, suka pula meludah merata-rata dan ada kalanya membuang najis di belakang kedai.
Memang betul pun. Saya pernah ke Vietnam dan melihat budaya pengotor ini di sana.
Setiap hari hari di dada akhbar banyak terpampang jenayah berlaku. Angkara siapa? Warga asing bukan? Baru-baru ini satu mayat dijumpai di Sungai Klang di belakang Balai Polis Brickfields. Mayat warga asing.
Ada warga Afrika pula suka menipu warga Malaysia. Jadi siapa yang tipu kita? Warga asing juga.
Cubalah naik tren komuter dari Seremban ke KL Sentral. Majoriti penumpangnya adalah warga asing. Oklah tu sebab mereka menjadi pelanggan kita. Ini belum termasuk bas-bas di sekitar Kuala Lumpur.
Kalau di Nilai atau di Bangsar atau Damansara, lain pula ceritanya. Mamat Afrika buat hal. Pandu kereta laju-laju. Mereka menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba. Kalau makan di kedai makan 24 jam, penuh dengan muka dia orang.
Pernah terjadi di depan mata semasa saya menaiki tren dari Kuala Lumpur ke Nilai, pasangan Nepal boleh pula bercium dalam tren. Nak ditegur, takut diapa-apakan sebab mereka ramai.
Kadang-kadang saya merasakan diri kita ini dijajah secara diam. Ambillah tindakan. Jangan sampai kita terasa asing walau pun berpijak di bumi sendiri.
KETENGAH SEDIA LEBIH RM10J BANGUNKAN TASIK KENYIR
KUALA TERENGGANU 24 Sept. - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberi penekanan terhadap aspek pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir yang membabitkan peruntukan lebih RM10 juta tahun ini.
Pengurus Besar Ketengah Hamzah Ngah berkata, menerusi peruntukan itu Ketengah mengenal pasti beberapa projek, antaranya membina terminal pelancongan Gawi serta menaik taraf kemudahan di Taman Herba dan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir.
"Ini akan membolehkan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai sebuah pusat pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang," katanya dan menambah bahawa tahun ini Ketengah menerima peruntukan RM25 juta di bawah projek dana khas kerajaan Persekutuan.
Katanya peruntukan yang terbesar ialah bagi sektor pelancongan iaitu RM10.3 juta, infrastruktur dan sosial (RM6.3 juta), program perumahan (RM3.2 juta) serta pembangunan modal insan dan pendidikan (RM2.2 juta).
Selain itu, pembangunan ekonomi dan usahawan (RM1.7 juta), pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (RM800,000) dan pembasmian kemiskinan (RM500,000), katanya. Hamzah berkata melalui peruntukan itu, pembangunan di wilayah Ketengah akan terus berjalan dengan rancak kerana peruntukan tambahan itu membolehkan agensi berkenaan memberi penekanan kepada sektor- sektor tersebut.
Katanya di bawah projek infrastruktur dan sosial, pihaknya merancang untuk membina dan menaik taraf jalan di kawasan Cheneh Baharu serta penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan berkenaan.
PUSAT GIAT MARA TERBENGKALAI 2 TAHUN
TENOM 24 Sept. - Penduduk daerah ini mahu pihak bertanggungjawab memberi penjelasan mengapa projek pembinaan Pusat GiatMara di sini yang telah 50 peratus siap dibiarkan terbengkalai sejak dua tahun lalu.
Penduduk mendakwa tindakan itu bukan sahaja menjejaskan peluang belia di daerah itu mendapat kemahiran hidup, tetapi menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat.
Seorang penduduk, Rudy Sulaiman Mairi, 40, berkata, sebab dan punca utama projek itu dihentikan perlu diketahui kerana pembinaannya telah pun siap 50 peratus.
"Projek ini dimulakan pada 2006, tetapi terhenti sekitar 2007. Kita tidak tahu kenapa dihentikan sedangkan Pusat GiatMara sangat dinantikan. Kita mahu belia kita tidak terbuang masanya.
"Justeru, penjelasan perlu diberikan mengenai status projek ini kerana rakyat berhak tahu kerana pembinaannya dihentikan secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang pesara kerajaan, Mohd. Yusof Yassin, 58, berkata, disebabkan pusat itu tidak siap, pelatih-pelatih GiatMara terpaksa menumpang di Pusat Kebudayaan Murut untuk menjalani latihan.
Katanya lagi, keadaan tersebut tidak seharusnya berlaku dan campur tangan politik perlu dilakukan kerana jika tidak, dikhuatiri pembinaan itu akan menjadi projek 'gajah putih.'
"Kita minta pihak berwajib ambil perhatian serius terhadap perkara ini dan jangan biarkan projek itu berkeadaan sedemikian rupa, kita tidak mahu wang rakyat dibazirkan," katanya.
Majiadih O.T. Matali, 45, pula berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah tersebut.
Katanya lagi, jika kontraktor terlibat didapati menipu atau melakukan penyelewengan, tindakan tegas perlu diambil.
"Jika hukuman tidak dikenakan, dikhuatiri projek kerajaan yang lain akan menerima nasib sama, masalah ini tidak boleh didiamkan kerana melibatkan kepentingan umum," katanya.
PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI TAGIH KOMITMEN PELBAGAI PIHAK
PENGUMUMAN oleh Perdana Menteri bahawa pakej rangsangan telah menunjukkan impak positif sangat menarik untuk diberi perhatian. Usaha bersungguh-sungguh oleh kerajaan seperti yang diumumkan itu tentulah berhasrat untuk membawa negara keluar dari kemelut kegawatan ekonomi.
Ia memerlukan sokongan jitu daripada pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Kerja Raya; Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga beberapa kementerian lain.
Bagi saya, di sebalik tanda-tanda positif tersebut, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan hendaklah sentiasa bertindak dengan lebih proaktif bagi memastikan “setiap sen” yang dibelanjakan itu benar-benar memberi kesan bermakna dan sampai kepada sasarannya.
Dengan perbelanjaan yang besar iaitu sekitar RM67 bilion, impak yang terhasil hendaklah dipastikan memenuhi tiga aspek yang utama iaitu kualiti, masa dan kos.
Dalam aspek kualiti, projek yang dilaksanakan hendaklah dipantau dengan rapi agar ia memenuhi spesifikasi yang ditentukan dalam dokumen tawaran. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mempunyai integriti yang tinggi dan tidak sekali-kali bertolak-ansur dalam soal melaksanakan proses pemantauan ke atas projek berkaitan.
Dalam aspek masa, pasukan pemantau hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang selok-belok teknikal dalam pembinaan. Sering kali kedengaran projek-projek yang dilaksanakan gagal untuk disiapkan mengikut jadual.
Selain daripada faktor kegagalan kontraktor seperti yang sudah sering diperkatakan, faktor kegagalan pasukan pemantau projek itu sendiri untuk memantau dengan berkesan juga tidak harus dipandang ringan.
Bukanlah suatu yang asing bahawa kegagalan pemantauan yang berkesan dan dilaksanakan sambil lewa oleh agensi kerajaan berkaitan juga merupakan antara punca utama yang turut menyumbang kepada kegagalan projek disiapkan mengikut jadual.
Akibatnya, hasrat murni kerajaan akan dipandang negatif oleh masyarakat. Dengan bilangan projek berjumlah 83,939, sistem pemantauan yang berkesan amat diperlukan dan mesti dikendalikan oleh mereka yang mahir dalam selok-belok pembinaan.
Dalam aspek kos pula, usaha-usaha hendaklah dilaksanakan bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar mencerminkan kualiti projek dan hendaklah bermula seawal cadangan projek itu dilaksanakan. Ini bagi memastikan wujudnya ketelusan dalam proses menentukan kos sebenar projek dan seterusnya memastikan hanya kontraktor yang menawarkan harga tender yang bersesuaian dan munasabah sahaja dianugerahkan projek berkenaan.
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan projek, perlaksanaan bayaran secara terus kepada subkontraktor hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan kemungkinan subkontraktor tidak menerima bayaran tepat pada waktunya, seterusnya mengelakkan daripada berlakunya gangguan dalam perlaksanaan projek selain membantu kontraktor-kontraktor khususnya kontraktor bersaiz kecil daripada teraniaya.
Sesungguhnya kejayaan hasrat kerajaan itu menuntut komitmen daripada semua pihak dan ia bukanlah terletak di bahu kontraktor semata-mata.
Agensi-agensi kerajaan merupakan agen utama yang memastikan hasrat murni kerajaan menjadi kenyataan.
Prof. Madya Sr Zakaria Mohd Yusof
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
UTM, Skudai.
Wednesday, September 23, 2009
USAHA, PELAN ATASI TANAH RUNTUH TIADA KESUDAHAN
Oleh Magendran Rajagopal
NG Yee Peng, Saiful Khas Sharudin, Dr N Yogeswari, Suaenah dan Lourdes Mary. Mungkin ramai tertanya-tanya siapa gerangan individu ini tetapi bagi sanak saudara, tragedi tanah runtuh tanggal 6 Disember lalu yang meragut nyawa mereka tidak mungkin melupakan detik hitam itu.
Tragedi menyebabkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor ranap akibat kejadian tanah runtuh akhir tahun lalu menjadi berita panas semua akhbar tempatan dan secara spontan, pelbagai strategi mencegah kejadian seumpamanya diselaras.
Pemimpin, sama ada pada peringkat kerajaan Selangor atau Kerajaan Pusat, mengetengahkan pelbagai rumusan di samping mendedahkan pelbagai kepincangan pengurusan serta menjanjikan tindakan segera.
Namun bagi mangsa pula tidak ubah seperti kata pepatah, harapkan anak buta mata sebelah, harapkan teman buta kedua-dua mata, kerana semangat membara sewaktu awal tragedi itu, sama ada pada peringkat kerajaan negeri atau Pusat, makin malap sehingga lenyap sama sekali tidak lama selepas itu.
Ini bukan kali pertama terjadi, pengalaman yang sama dialami ketika tragedi tanah runtuh di Kuala Kubu Bharu awal pagi 30 November 2008, malah beberapa kejadian tanah runtuh sudah dialami sejak tragedi Highland Towers yang menggemparkan seluruh negara pada 11 Disember 1993 apabila 48 nyawa terkorban namun reaksi kita hanya hangat-hangat tahi ayam.
Justeru, tidak keterlaluan jika diandaikan kejadian tanah runtuh terbaru Sabtu lalu di Wangsa Heights, Bukit Antarabangsa turut mendapat layanan sama daripada pihak berkuasa, apatah lagi kali ini hanya sebuah kereta yang rosak apabila terjatuh dalam gaung.
PASTIKAN PROJEK PAKEJ RANGSANGAN TAK TERBENGKALAI
BERITA HARIAN, 23 September 2009
KAJI selidik dilakukan oleh sebuah firma antarabangsa sebelum ini mendapati Malaysia antara 10 negara teratas yang dijangka mampu mengharungi krisis kewangan global, manakala Australia berada pada senarai teratas, diikuti China di tempat kedua, India dan Singapura pada tempat ketiga dan keempat.
Bagaimanapun, negara maju seperti England, Jerman, Belanda, Taiwan dan Amerika Syarikat berada pada kedudukan lebih rendah dalam kaji selidik keyakinan perniagaan oleh Servcorp International itu. Kita percaya, apa yang menjadi rahsia keupayaan negara terbabit termasuk Malaysia kerana strategi betul dilakukan dan kita yakin kedudukan Malaysia mungkin lebih baik menjelang tahun depan apabila ekonomi negara bertambah kukuh berikutan pelbagai inisiatif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dilakukan termasuk pakej rangsangan RM67 bilion.
Pakej pertama RM6.07 bilion diumumkan pada November tahun lalu manakala pakej kedua RM60.93 bilion pada Mac tahun ini. Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa dua pakej rangsangan ekonomi itu berada pada landasan betul dan mula memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi negara dengan menjana pelbagai peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil.
Antara kesannya ialah sektor pembinaan menyaksikan pertumbuhan 2.8 peratus pada suku akhir kedua berbanding 1.1 peratus yang dicatatkan pada suku akhir pertama tahun ini. Selepas kerajaan merangka pelbagai inisiatif, apa yang kita harapkan ialah supaya semua kementerian dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan rancangan pembangunan, menyiapkan semua projek yang sudah dikenal pasti.
Setakat ini, 83,939 projek sudah ditawarkan yang mana 53,076 projek di bawah pakej pertama dan bakinya di bawah pakej kedua yang dirangka meliputi tempoh masa dua tahun. Ini bermakna dalam 10 bulan selepas pengumuman pakej pertama, 90 peratus projek yang dikenal pasti sudah ditawarkan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.
Meskipun pencapaian itu memuaskan, kita tidak mahu timbul rungutan seperti kontraktor gagal mendapat pembayaran mengikut jadual atau projek gagal disiapkan. Mulai sekarang, agensi pemantau seperti Unit Perancangan Ekonomi serta Kementerian Kewangan, perlu membuat pemeriksaan serta pemantauan rapi terutama sebelum pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini dengan harapan semua projek yang sepatutnya dilaksanakan di bawah dua pakej itu, dijalankan mengikut jadual.
Kita percaya, apabila kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan atau langkah baru dalam bajet itu nanti, tidak berlaku pertindihan atau projek lama sudah kurang diberi perhatian oleh agensi pelaksana semata-mata mahu menumpukan kepada inisiatif baru itu. Kita mahu semua projek di bawah pakej pertama, yang kini 90 peratus ditawar dan dalam peringkat pelaksanaan, diselesaikan terlebih dulu.
Keutamaan juga perlu diberi untuk menyelesaikan projek di bawah sektor pembinaan kerana ia nyata memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menjadi projek berimpak besar untuk rakyat seperti pembinaan rumah dan prasarana.
Friday, September 18, 2009
'HARAP ABAH TIDAK PERGI LAGI'
UTUSAN MALAYSIA, 18 September 2009
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 17 Sept. - Hampir lapan tahun kanak-kanak kecil ini menyambut Aidilfitri tanpa bapa di sisi.
Sewaktu berusia 3 tahun, Muslim Abdullah tidak sempat menyambut hari lebaran bersama bapa tersayang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Kali ini, riak wajah Muslim yang kini sudah berusia 11 tahun begitu ceria setelah bapanya, Dr. Abdullah Daud dibebaskan dari tahanan itu oleh kerajaan, kelmarin.
"Saya gembira abah dah balik. Harap abah tidak pergi lagi dan terus tinggal dengan kami selepas ini," demikian luahan Muslim ketika ditemui di rumahnya di Kangkar Pulai, di sini hari ini
Abdullah, bekas pensyarah Fakulti Sains dan Geoinformasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bersama empat yang lain dibebaskan daripada tahanan ISA kelmarin.
Mereka ditahan kerana menganggotai pergerakan militan Jemaah Islamiah (JI).
Namun, hasrat Muslim untuk membeli persiapan baju raya di Taman Universiti di Skudai di sini bersama bapanya tidak menjadi kenyataan.
Ini kerana Abdullah, 55, masih berada dalam perintah tahanan terhad hingga Februari tahun depan dan dia hanya boleh keluar rumah di sekitar kawasan Pulai.
"Raya tahun ini paling bermakna buat saya kerana dapat menyambutnya bersama abah. Tidak ada baju raya pun tidak apa, janji abah dah balik," katanya.
Isteri Abdullah, Zakiah Mat, 49, memberitahu, dia melakukan sujud syukur sebaik sahaja mendapat panggilan pukul 6 petang daripada suaminya yang mengatakan sudah dibebaskan dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
Katanya, dalam perasaan gembira bercampur syukur itu, dia terus menelefon ibu mertuanya, Minah Seman, 85, di Pasir Mas, Kelantan untuk memaklumkan khabar gembira itu.
"Suami saya sampai di rumah 10 minit sebelum berbuka puasa dan dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat untuk membeli ikan kegemarannya, ikan tenggiri tetapi hanya ikan kembung untuk dibuat masak lemak.
"Namun, semalam saya dapat menyediakan makanan kegemaran iaitu nasi kerabu dan ayam percik untuk kami sekeluarga berbuka puasa dalam suasana gembira sejak tidak merasainya hampir lapan tahun lalu," katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa sepanjang suaminya berada dalam tahanan.
Tuesday, September 15, 2009
IPTA KENA JANA PENDAPATAN
Mohd Azrone Sarabatin azrone@bharian.com.my
KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi mahu semua 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan mencari pendapatan sendiri dengan mengkomersialkan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti masing-masing. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sudah tiba masanya institusi pengajian tinggi berdikari dan mengelak bergantung kepada dana kerajaan. "Universiti perlu membantu kerajaan dengan mencari pendapatan sendiri menerusi pengkomersialan produk yang dihasilkan. Mereka perlu mencari pendapatan luar.
"Semua universiti memiliki kekuatan produk R&D dan saya yakin dengan kemampuan mereka menjana pendapatan sendiri. "Kita juga mahu R&D memanfaatkan masyarakat bukan hanya memberi nilai kepada universiti," katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Teluk Sepanggar di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon.
Mohamed Khaled memberi contoh, spesies ikan yang dihasilkan menerusi R&D di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS kini mendapat sambutan menggalakkan bukan saja di seluruh negara, sebaliknya menembusi pasaran Hong Kong dan Jepun. Beliau turut meminta semua IPTA mempatenkan produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia dipasarkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.
"Di UMS hanya satu produk yang sudah dipatenkan Sirim Berhad dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), manakala 15 lagi pada peringkat menunggu kelulusan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pembinaan Hospital UMS akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membolehkan pelajar Sekolah Perubatan universiti itu menjalankan latihan amali.
Katanya, kementeriannya menyerahkan kepada UMS untuk mencari tapak sesuai pembinaan hospital berkenaan dengan syarat jaraknya dekat di universiti terbabit.
"Hospital itu kelak akan menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan pelbagai jenis penyakit di Borneo, sekali gus memanfaatkan rakyat negeri ini," katanya.
Saturday, September 12, 2009
53 PERATUS BANDUAN WARGA INDONESIA
Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@bharian.com.my
KAJANG: Lebih separuh iaitu 53 peratus atau 8,000 daripada keseluruhan 15,000 banduan warga asing di penjara di seluruh negara adalah rakyat Indonesia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebanjiran banduan warga asing menyebabkan penjara seluruh negara sesak sehingga tidak mampu menampung kira-kira 40,000 banduan.
"Banduan rakyat asing saja mewakili 40 peratus daripada keseluruhan banduan di penjara seluruh negara dan banduan warga Indonesia paling ramai diikuti dari Filipina kira-kira 2,000 orang," katanya selepas Rakaman Takbir Raya Bersama Penghuni dan Kakitangan Penjara Kajang anjuran bersama Jabatan Penjara dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, semalam.
Pada majlis itu, Hishammuddin menerima wang zakat fitrah RM1,099 yang dibayar 74 banduan dan menyerahkannya kepada Ketua Operasi Pusat Urus Zakat Selangor, Sharifudin Musa. Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, program pertukaran banduan dengan negara jiran bagi mengatasi kesesakan penjara negara khasnya dengan Indonesia tetap diteruskan, namun beberapa isu yang wujud kebelakangan ini menyukarkan usaha ke arah itu.
Sementara itu, beliau mengingatkan rakyat tidak mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan dengan melakukan kesalahan yang boleh membawa ke penjara. Beliau berkata, rakyat Malaysia kini berhadapan situasi sukar mengawal emosi sehingga membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.
Terdahulu, Hishammuddin berkata, beliau amat terharu melihat komitmen ditunjukkan banduan kerana tidak melupakan tanggungjawab menunaikan Rukun Islam walaupun menjalani hukuman dalam penjara.
"Saya harap elemen agama dijadikan aspek penting bagi memulihkan banduan," katanya yang turut meletakkan aspek pemulihan dan kemahiran banduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penjara.
35,000 MURID TAK TAHU BACA, MENULIS
Mohd Roji Abdullah mdroji@bharian.com.my
PARIT RAJA: Kementerian Pelajaran mengenal pasti kira-kira 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi. Sehubungan itu, katanya, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus sekarang.
"Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencapai sasaran 85 peratus itu dulu dan apabila ia menjadi kenyataan, kita akan meletakkan sasaran baru iaitu memastikan setiap kanak-kanak tidak kira di mana di seluruh negara, mendapat pendidikan prasekolah.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak lain khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pameran Patriotisme dan Kenegaraan 1 Malaysia anjuran Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang kelmarin.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua buku terbitan UTHM bertajuk Darjat Tidak Datang Bergolek: Langit Mana Patut Dijunjung' dan Modul Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia.
Mohd Puad berkata, pihak kementerian kini sedang mengkaji pendekatan sesuai untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan prasekolah.
Katanya, walaupun kerajaan belum menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak seawal usia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, langkah awal harus diambil untuk memastikan masyarakat pedalaman juga mendapat pendidikan yang sempurna.
KONFLIK PERKAUMAN, IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL
AKHBAR China Press menerusi ruangan Perbincangan Umum terbitan 7 September lalu menyiarkan sebuah rencana bertajuk “Kehidupan Rakyat Sebenarnya Sejahtera Tetapi Diganggu Ahli Politik”. Ia mengaitkan hubungan rakyat dan ahli politik.
Selama 52 tahun merdeka, pelbagai kaum di negara ini telah hidup aman dan sejahtera tanpa perselisihan antara kaum. Namun kenapa dalam dunia globaisasi hari ini, kepelbagaian kaum itu menjadi masalah sehingga lebih sensitif berbanding agama.
Jawapannya sangat mudah iaitu kerana isu itu dipergunakan oleh ahli politik sebagai agenda untuk kepentingan mereka. Isu perkauman dan keagamaan hanya akan menarik kita ke belakang.
Untuk kembali semula ke landasan kesejahteraan kaum, penulis rencana ini yang menggunakan nama samaran “Kim Piek” mencadangkan empat perkara.
Pertama, undang-undang perlu ditegakkan terhadap media yang memainkan isu sensitif termasuk menggantung lesen.
Kedua, hapuskan layanan double standard kepada mereka yang menghasut dan memainkan isu perkauman. Jangan tutup sebelah mata seperti hanya pembangkang disiasat secara terperinci. Sepatutnya buat secara adil barulah rakyat berpuas hati.
Ketiga, laksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas iaitu tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu perkauman dan agama. Jika kerajaan jujur dan ikhlas, kesejahteraan antara kaum bukanlah sesuatu yang susah.
Keempat, pemerintah perlu mengutamakan negara kerana ia berasaskan rakyat. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan oleh pemerintah perlu meletakkan kepentingan negara. Jika semua rakyat sehati dan sejiwa, negara ini pasti kuat dan makmur.
Hakikatnya, semua kaum di negara ini hidup sejahtera tetapi muslihat ahli-ahli politik yang menakut-nakutkan mereka.
“Semoga pemerintah melihat perkara ini dan jangan sampai kerana beberapa biji tahi tikus, rosak nasi sekawah,’’ tulisnya.
Masih lagi dengan isu kepala lembu, sebuah rencana terbitan akhbar yang sama pada 2 Spetember lalu mengaitkan kejadian itu dengan kemerdekaan negara.
Menurutnya, setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan, pemimpin berkata, rakyat Malaysia mampu hidup aman dan tenteram walaupun berbilang kaum. Lagu-lagu bersifat patriotik dan perpaduan juga tidak henti berkumandang sesuai dengan semangat Satu Malaysia tahun ini.
Tetapi peristiwa perarakan kepala lembu di Seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini tidak menggambarkan semangat itu. Adakah tindakan ini memenuhi slogan rakyat berbilang kaum saling menghormati dan sikap toleransi? Kumpulan itu menggunakan cara fanatik untuk menolak pembinaan rumah ibadat agama lain.
Bagi mereka kerana kawasan itu majoritinya penduduk Melayu, maka tidak seharusnya dibina sebuah kuil. Tetapi kenapa orang Cina di Kampung Baru tidak pula pernah membantah orang Islam membina masjid dan orang India membina kuil?
Selepas 52 tahun merdeka, kemunculan kumpulan fanatik ini semakin banyak dan puncanya hanya satu iaitu cara penyampaian kerajaan dan apa yang dilakukan oleh institusi kerajaan adalah berbeza.
Modul pendidikan, pengajaran agama, propaganda media Melayu dan kesedaran serta perilaku UMNO dan BN selama ini telah merosakkan segelintir rakyat kita.
“Suatu ketika dahulu, masjid, gereja, kuil dan rumah berhala boleh berada di kawasan yang sama dengan begitu aman, tenteram dan bahagia. Tetapi keadaan itu tidak dapat lagi kita kecapi hari ini. Malaysia berumur 52 tahun tetapi seperti berundur ke belakang,’’ tegas rencana tersebut.
Akhbar Sinchew Jitpoh dalam ruangan Pendapat pada 5 September menerbitkan sebuah artikel mengenai imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Menurut artikel itu, dalam kancah ekonomi dan politik tempatan yang menggusarkan, peta Malaysia di dunia semakin hari semakin pudar dan menghilang. Dagangan antarabangsa Malaysia hanya dua kali ganda daripada dagangan dalam negara. Maksudnya, negara banyak bergantung kepada luar untuk mencari makan.
Kes sebat membabitkan hukuman syariah dan insiden kepala lembu juga memberi tanggapan kepada dunia bahawa kita mempunyai kumpulan fanatik. Keamanan yang semakin teruk merosakkan perjalanan demokrasi. Termasuk kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan dan merampas kerajaan di Perak.
Semuanya merosakkan imej Malaysia di arena antarabangsa. Pelabur asing mungkin memikirkan mengenai Malaysia tidak sampai seminit kerana banyak cerita negatif.
Mereka melihat jiran Malaysia iaitu Indonesia mahukan kemajuan, justeru pada masa depan negara mana yang akan dipilih oleh pelabur asing ini?
Jangan lupa nasib sesebuah negara tidak berkekalan. Malaysia pernah melalui zaman kegemilangan yang lebih baik dari Taiwan.
Mungkin pada satu hari nanti kita pula menjadi buruh asing di Indonesia?
Friday, September 11, 2009
MAAFKAN CIKGU!!!
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.
Ceritanya: Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”
Dia terkejut dan wajahnya berubah. “Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”
"Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.” Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu,
“Maafkan cikgu, …….” Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah
Wednesday, September 09, 2009
MAKHLUK ASING, IMEJ POLIS DAN HADIAH KERAJAAN
RENCANA UTUSAN MALAYSIA, 9 September 2009 (09.09.09)
AKHBAR Sinchew Jitpoh menerusi ruangan Pandangan pada 2 September lalu menyiarkan artikel bertajuk Gangguan Makhluk Asing. Artikel ini mengaitkan kehadiran ‘makhluk asing’ pada tiga situasi berbeza iaitu dalam kes kepala lembu di Shah Alam, Selangor; Mesyuarat Agung MCA dan pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Dalam kes di Shah Alam, kepala lembu sudah hilang entah ke mana dan orang yang mengangkatnya juga ghaib. Mereka yang berdemonstrasi membantah pembinaan kuil tiba-tiba menjadi golongan yang mahukan penyelesaian secara aman kerana menghormati agama lain.
Keadaan ini disamakan dengan filem District 9 apabila manusia menyentuh DNA makhluk asing, maka mereka boleh menggunakan kelengkapan makhluk asing tersebut. Jika bukan makhluk asing yang singgah ke Shah Alam dan meninggalkan ‘sesuatu’, bermakna penduduk di Seksyen 23 telah menyentuh DNA makhluk asing.
Mereka telah dirasuk dengan aliran elektronik makhluk asing sehingga bukan sahaja dapat mengendalikan peralatan seperti kepala lembu, malah boleh menggunakan bahasa makhluk asing bertutur.
Sekarang makhluk asing itu telah ghaib. Mereka yang mengangkat kepala lembu juga tidak dapat dikenal pasti. Mereka berkata, tidak pandang rendah agama lain dan sayangkan keamanan.
Wah! Ini semua bencana daripada makhluk asing.
Dalam isu dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pula kehadiran ‘makhluk asing’ dikaitkan apabila perwakilan tidak tahu mesyuarat mana harus dihadiri. Tidak tahu siapa yang perlu didengar dan usul mana harus disokong.
Tujuan mesyuarat adalah sama, tetapi peliknya apa yang akan diusulkan berbeza. Seorang pemimpin disyaki memang ‘seekor’ makhluk asing kerana tidak tahu perasaan ahli MCA dan tidak tahu apa yang difikirkan oleh masyarakat Cina. Mereka menggunakan cara makhluk asing mengendalikan MCA, maka MCA adalah parti pertama yang menjadi makhluk asing.
Dalam isu di Permatang Pasir, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kekalahan BN disebabkan kurangnya penduduk yang keluar mengundi.
Jika peratusan mencecah 85 peratus, BN pasti menang. Hakikatnya BN kalah 4,551 undi, bukan 51 atau 551 undi. Menggunakan logik akal, jika jumlah pengundi mencapai 85 peratus dan semua memberi undi kepada BN, BN masih kalah.
Melainkan jika menggunakan ilmu kirakira dan akal makhluk asing. Kelebihan makhluk asing amat luar biasa, jika tidak mereka tidak mungkin sampai ke bumi.
Oh Tuhanku! Makhluk asing memang benar telah hadir!
Akhbar China Press pada muka depan ruangan Bisnes, 3 September pula menyiarkan artikel membandingkan ‘hadiah’ oleh kerajaan ini dengan kerajaan Macau. Artikel yang bertajuk ‘Kenapa orang lain dihadiahkan gula-gula, kita dihadiahkan bom’ menyentuh mengenai usaha Macau memberikan antara RM2,278 hingga RM2,733 kepada rakyatnya bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Sebaliknya di Malaysia, selepas 52 tahun merdeka, kita semakin berundur ke belakang. Sikap berdolak-dalik masih tidak berubah dari dulu hingga sekarang.
Pada sambutan Hari Kemerdekaan, kerajaan memberi ‘Hadiah Besar’ yang tidak mungkin dilupakan. Apabila membuka bungkusan hadiah itu, ia adalah “sebutir bom”. Harga minyak naik. Bermula 1 September, RON95 dan RON97 naik kepada RM1.80 dan RM2.05.
Akhbar itu pada 7 September turut menyiarkan rencana mengenai tanggapan orang ramai terhadap pihak polis bertajuk ‘Apa yang mahu dijawab oleh pihak polis?'.
Artikel ini memetik kaji selidik online oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapat maklum balas 735 orang.
Daripada jumlah itu, 73 peratus mengatakan mereka marah apabila ternampak polis. Seramai 70 peratus menyatakan dipaksa memberi rasuah kepada polis manakala lebih 92 peratus berpendapat polis perlu lebih banyak membuat rondaan.
Sebanyak 89 peratus menyatakan kerajaan perlu menubuhkan badan bebas luar untuk mengawasi keberkesanan tugas polis. Apa pandangan terhadap keputusan soal selidik ini? Mengikut perangkaan soal selidik awal, polis adalah satu-satunya badan yang paling kuat rasuah dan keyakinan orang ramai terhadap polis menjunam.
Hakikatnya, imej polis di kaca mata orang ramai adalah buruk. Jarang berlaku di mana-mana negara sekiranya berlaku rompakan tidak dilaporkan kepada polis. Tetapi di negara ini, ramai yang dirompak lebih suka tidak melaporkannya. Kenapa orang ramai tidak mahu membuat laporan?
Pertama, polis banyak membuang masa menyoal mangsa. Atau polis menyiasat dan membuat banyak andaian. Kedua, tidak banyak kes yang berjaya diselesaikan. Atau pun jika ada tangkapan, selalu kedengaran orang kata ‘tangkap di pintu depan, lepaskan di pintu belakang’. Ketiga, selepas aduan dibuat, polis lambat datang dan memberi peluang kepada penjenayah melepaskan diri.
Keempat polis seperti satu negara dua sistem. Berlaku pilih kasih sehingga mengetepikan keadilan. Kelima polis selalu jaga lorong-lorong kecil jalan mati dan tangkap pesalah lalu lintas. Adakah pihak polis benar-benar menjalankan tugas? Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis adalah sifar.
Kelolaan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Artikel - Artikel..
-
▼
2009
(97)
-
►
October
(11)
- MAJIKAN ASING PERLU TAWAR GAJI TINGGI
- ASPEK PEMBINAAN JAMBATAN GANTUNG TIMBULKAN PERSOALAN
- KERAJAAN KAJI SENARAIHITAM KONTRAKTOR LAMBAT BUAT ...
- INTIPATI BAJET SULUNG NAJIB
- INTIPATI SEKTOR NIAGA BAJET 2010
- MBMMBI MAMPU BELA PELAJAR TERCICIR
- INOVASI BARU SIAPKAN BANGUNAN SEMINGGU
- OPERASI BERSEPADU PATI LEBIH AGRESIF
- 22, 083 ANAK PENEROKA TERLIBAT
- BURUH MAUT JATUH TINGKAT 16
- TERKEJUT SEJADAH TEGAK SEPERTI SEDANG SOLAT
-
►
September
(22)
- USAHAWAN: PAKAR BUDU
- PELAJAR MANGSA RAGUT MENINGGAL
- FELDA PERKENAL FEKRA BAGI RAIH KEUNTUNGAN TERBAIK
- BLOG GENERASI FELDA
- KOLEJ TEKNOLOGI BESTARI SASAR STATUS KOLEJ UNIVERS...
- LAMBAKAN WARGA ASING DI KUALA LUMPUR: BIARLAH!
- KETENGAH SEDIA LEBIH RM10J BANGUNKAN TASIK KENYIR
- PUSAT GIAT MARA TERBENGKALAI 2 TAHUN
- PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI TAGIH KOMITMEN PELBAGAI P...
- USAHA, PELAN ATASI TANAH RUNTUH TIADA KESUDAHAN
- PASTIKAN PROJEK PAKEJ RANGSANGAN TAK TERBENGKALAI
- 'HARAP ABAH TIDAK PERGI LAGI'
- IPTA KENA JANA PENDAPATAN
- 53 PERATUS BANDUAN WARGA INDONESIA
- 35,000 MURID TAK TAHU BACA, MENULIS
- KONFLIK PERKAUMAN, IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL
- MAAFKAN CIKGU!!!
- MAKHLUK ASING, IMEJ POLIS DAN HADIAH KERAJAAN
-
►
October
(11)