Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, September 18, 2009

'HARAP ABAH TIDAK PERGI LAGI'

UTUSAN MALAYSIA, 18 September 2009

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

utusanjohor@utusan.com.my


Abdullah Daud (empat dari kiri) memeluk anak bongsunya Munadiah Abdullah (tengah) sambil diperhatikan isterinya Zakiah Mat serta tiga anaknya dari kiri Muizzuddin, Muslim dan Mohd. Ikhwan di rumahnya di Kangkar Pulai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 17 Sept. - Hampir lapan tahun kanak-kanak kecil ini menyambut Aidilfitri tanpa bapa di sisi.

Sewaktu berusia 3 tahun, Muslim Abdullah tidak sempat menyambut hari lebaran bersama bapa tersayang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kali ini, riak wajah Muslim yang kini sudah berusia 11 tahun begitu ceria setelah bapanya, Dr. Abdullah Daud dibebaskan dari tahanan itu oleh kerajaan, kelmarin.

"Saya gembira abah dah balik. Harap abah tidak pergi lagi dan terus tinggal dengan kami selepas ini," demikian luahan Muslim ketika ditemui di rumahnya di Kangkar Pulai, di sini hari ini

Abdullah, bekas pensyarah Fakulti Sains dan Geoinformasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bersama empat yang lain dibebaskan daripada tahanan ISA kelmarin.

Mereka ditahan kerana menganggotai pergerakan militan Jemaah Islamiah (JI).

Namun, hasrat Muslim untuk membeli persiapan baju raya di Taman Universiti di Skudai di sini bersama bapanya tidak menjadi kenyataan.

Ini kerana Abdullah, 55, masih berada dalam perintah tahanan terhad hingga Februari tahun depan dan dia hanya boleh keluar rumah di sekitar kawasan Pulai.

"Raya tahun ini paling bermakna buat saya kerana dapat menyambutnya bersama abah. Tidak ada baju raya pun tidak apa, janji abah dah balik," katanya.

Isteri Abdullah, Zakiah Mat, 49, memberitahu, dia melakukan sujud syukur sebaik sahaja mendapat panggilan pukul 6 petang daripada suaminya yang mengatakan sudah dibebaskan dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, dalam perasaan gembira bercampur syukur itu, dia terus menelefon ibu mertuanya, Minah Seman, 85, di Pasir Mas, Kelantan untuk memaklumkan khabar gembira itu.

"Suami saya sampai di rumah 10 minit sebelum berbuka puasa dan dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat untuk membeli ikan kegemarannya, ikan tenggiri tetapi hanya ikan kembung untuk dibuat masak lemak.

"Namun, semalam saya dapat menyediakan makanan kegemaran iaitu nasi kerabu dan ayam percik untuk kami sekeluarga berbuka puasa dalam suasana gembira sejak tidak merasainya hampir lapan tahun lalu," katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa sepanjang suaminya berada dalam tahanan.

No comments: