Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Sunday, September 27, 2009

USAHAWAN: PAKAR BUDU

BERITA MINGGU, 27 September 2009
Oleh Haspaizi Mohd Zain bminggu@harian.com.my

Hamidah guna resipi tradisi warisan bapa untuk hasilkan makanan unik berkualiti tinggi, mendapat permintaan ramaiBUDU sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga. Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

“Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, (Mohd Asri Mokhtar, 42,) menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu.

“Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial,” katanya ketika dikunjungi Berita Minggu. Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam, sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun. Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin khas dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu. Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

“Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya,” katanya.

Bahan asas untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis usang. Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand. Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan.

“Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman.

“Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini,” katanya.

Kebanyakan pekerja adalah wanita terdiri daripada suri rumah yang ditugaskan di bahagian pembungkusan termasuk kerja mengisi budu yang siap dimasak ke dalam bot sebelum dipasarkan. Beliau mengakui menghadapi masalah mendapatkan bekalan ikan bilis terutama menjelang musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan disebabkan ombak besar dan angin kencang. Bagi mengatasi masalah bekalan ikan tidak menentu pada musim tengkujuh, beliau terpaksa mengimport ikan bilis segar daripada negara jiran, Thailand.

No comments: