Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, September 23, 2009

PASTIKAN PROJEK PAKEJ RANGSANGAN TAK TERBENGKALAI

MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN, 23 September 2009

KAJI selidik dilakukan oleh sebuah firma antarabangsa sebelum ini mendapati Malaysia antara 10 negara teratas yang dijangka mampu mengharungi krisis kewangan global, manakala Australia berada pada senarai teratas, diikuti China di tempat kedua, India dan Singapura pada tempat ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, negara maju seperti England, Jerman, Belanda, Taiwan dan Amerika Syarikat berada pada kedudukan lebih rendah dalam kaji selidik keyakinan perniagaan oleh Servcorp International itu. Kita percaya, apa yang menjadi rahsia keupayaan negara terbabit termasuk Malaysia kerana strategi betul dilakukan dan kita yakin kedudukan Malaysia mungkin lebih baik menjelang tahun depan apabila ekonomi negara bertambah kukuh berikutan pelbagai inisiatif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dilakukan termasuk pakej rangsangan RM67 bilion.

Pakej pertama RM6.07 bilion diumumkan pada November tahun lalu manakala pakej kedua RM60.93 bilion pada Mac tahun ini. Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa dua pakej rangsangan ekonomi itu berada pada landasan betul dan mula memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi negara dengan menjana pelbagai peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil.

Antara kesannya ialah sektor pembinaan menyaksikan pertumbuhan 2.8 peratus pada suku akhir kedua berbanding 1.1 peratus yang dicatatkan pada suku akhir pertama tahun ini. Selepas kerajaan merangka pelbagai inisiatif, apa yang kita harapkan ialah supaya semua kementerian dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan rancangan pembangunan, menyiapkan semua projek yang sudah dikenal pasti.

Setakat ini, 83,939 projek sudah ditawarkan yang mana 53,076 projek di bawah pakej pertama dan bakinya di bawah pakej kedua yang dirangka meliputi tempoh masa dua tahun. Ini bermakna dalam 10 bulan selepas pengumuman pakej pertama, 90 peratus projek yang dikenal pasti sudah ditawarkan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Meskipun pencapaian itu memuaskan, kita tidak mahu timbul rungutan seperti kontraktor gagal mendapat pembayaran mengikut jadual atau projek gagal disiapkan. Mulai sekarang, agensi pemantau seperti Unit Perancangan Ekonomi serta Kementerian Kewangan, perlu membuat pemeriksaan serta pemantauan rapi terutama sebelum pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini dengan harapan semua projek yang sepatutnya dilaksanakan di bawah dua pakej itu, dijalankan mengikut jadual.

Kita percaya, apabila kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan atau langkah baru dalam bajet itu nanti, tidak berlaku pertindihan atau projek lama sudah kurang diberi perhatian oleh agensi pelaksana semata-mata mahu menumpukan kepada inisiatif baru itu. Kita mahu semua projek di bawah pakej pertama, yang kini 90 peratus ditawar dan dalam peringkat pelaksanaan, diselesaikan terlebih dulu.

Keutamaan juga perlu diberi untuk menyelesaikan projek di bawah sektor pembinaan kerana ia nyata memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menjadi projek berimpak besar untuk rakyat seperti pembinaan rumah dan prasarana.

No comments: