Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Tuesday, September 15, 2009

IPTA KENA JANA PENDAPATAN

BERITA HARIAN, 15 September 2009
Mohd Azrone Sarabatin azrone@bharian.com.my

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi mahu semua 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan mencari pendapatan sendiri dengan mengkomersialkan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti masing-masing. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sudah tiba masanya institusi pengajian tinggi berdikari dan mengelak bergantung kepada dana kerajaan. "Universiti perlu membantu kerajaan dengan mencari pendapatan sendiri menerusi pengkomersialan produk yang dihasilkan. Mereka perlu mencari pendapatan luar.

"Semua universiti memiliki kekuatan produk R&D dan saya yakin dengan kemampuan mereka menjana pendapatan sendiri. "Kita juga mahu R&D memanfaatkan masyarakat bukan hanya memberi nilai kepada universiti," katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Teluk Sepanggar di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon.

Mohamed Khaled memberi contoh, spesies ikan yang dihasilkan menerusi R&D di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS kini mendapat sambutan menggalakkan bukan saja di seluruh negara, sebaliknya menembusi pasaran Hong Kong dan Jepun. Beliau turut meminta semua IPTA mempatenkan produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia dipasarkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

"Di UMS hanya satu produk yang sudah dipatenkan Sirim Berhad dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), manakala 15 lagi pada peringkat menunggu kelulusan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pembinaan Hospital UMS akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membolehkan pelajar Sekolah Perubatan universiti itu menjalankan latihan amali.

Katanya, kementeriannya menyerahkan kepada UMS untuk mencari tapak sesuai pembinaan hospital berkenaan dengan syarat jaraknya dekat di universiti terbabit.

"Hospital itu kelak akan menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan pelbagai jenis penyakit di Borneo, sekali gus memanfaatkan rakyat negeri ini," katanya.

No comments: