Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, November 05, 2009

UTM BANTU MANGSA GEMPA BUMI PADANG

BERITA HARIAN, 5 November 2009
Oleh Khairina Yasin kayrina@bharian.com.my

PRIHATIN terhadap penderitaan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menghantar delegasi 13 kakitangan dan mahasiswa bagi memberi bantuan kemanusiaan ke daerah itu, baru-baru ini. Diketuai Timbalan Pengarah Tanggungjawab Sosial Universiti, Dr Mohd Ariffin Abu Hassan, delegasi itu merangkumi tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan awam, kakitangan teknikal, pakar terapi dan pembantu perubatan. Dr Mohd Ariffin berkata, UTM bekerjasama dengan Universitas Bung Hatta (UBH), Padang bagi memudahkan urusan penghantaran bantuan dan keperluan lain dapat disampaikan tepat kepada mangsa gempa bumi itu.

“Kita menerima notis singkat daripada pihak pengurusan universiti untuk menghantar bantuan dan persiapan juga dibuat dalam tempoh singkat termasuk menyediakan keperluan, peralatan dan logistik. “Menerusi bantuan ini, sejumlah RM65,000 diperuntukkan bagi membeli kelengkapan seperti generator, pam, ubat dan khemah kepada mangsa yang memerlukan,” katanya. Beliau menjelaskan, kehadiran delegasi UTM disambut baik mangsa yang sememangnya menantikan bantuan.

Katanya, sejumlah 40 khemah diedarkan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal, khususnya di perkampungan pinggir Padang antaranya Kampung Lubuk Laweh. “Selain itu, pendedahan berkaitan kaedah menangani trauma dan tekanan turut diberikan kepada mangsa di Kampung Kelurahan Kurao oleh Timbalan Pengarah Pusat Kaunseling dan Kerjaya UTM, Prof Madya Syed Mohd Syafik Syed Mansor.

“Kita juga mendapat sokongan daripada Pusat Kesihatan Masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan selain berusaha menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa dan penduduk kampung terbabit serta pelajar UBH.

“Biarpun berdepan masalah kelewatan mendapatkan air bersih berikutan kurang peralatan, selain bekalan yang dibeli lambat tiba, kita berjaya mengatasinya berkat komitmen tinggi kakitangan dan mahasiswa,” katanya.

Selain itu, UTM yang diwakili Prof Dr Mohd Zaimi Majid turut menyerahkan kemudahan generator kepada Rektor UBH, Prof Dr Ir Hafrijal Syandri. Sementara itu, Menteri Urusan Peranan Wanita Indonesia, Prof Dr Meutia Hatta ketika meninjau kerosakan di UBH mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTM atas keprihatinan menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.

No comments: