Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, October 30, 2008

PROJEK IBS RM9.2 BILLION LULUS

BERITA HARIAN
30 Oktober 2008

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sebanyak 404 projek menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bernilai RM9.2 bilion sehingga 14 Oktober lalu yang dijangka mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing pada masa depan. Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, berkata sebanyak 121 lagi projek menggunakan sistem berkenaan atau dikenali juga sebagai sistem pembinaan pasang siap, akan ditender bagi 2009 dan 2010. Disamping itu, katanya lagi, kerajaan juga mengarahkan setiap agensi kerajaan yang melaksanakan projek pembangunan dan perumahan rakyat menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS.

“Kerajaan memutuskan pelaksanaan IBS akan dipergiatkan lagi selaras usaha mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga kerja asing kurang mahir. “Ini peluang besar dan seharusnya direbut untuk manfaat industri pembinaan tempatan,” katanya pada sidang media selepas sesi perjumpaan dengan kontraktor mengenai kadar perubahan harga (VOP), di sini, semalam. Beliau berharap dengan pelaksanaan pelan induk IBS, usaha untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing kepada hanya 250,000 orang menjelang 2015 dapat dijayakan.

“Kita menggesa sektor pembinaan swasta menggunakan kaedah sama kerana ia terbukti di negara maju dapat mengurangkan jumlah pekerja asing, selain menjamin kualiti pembinaan dan menggalakkan penggunaan tenaga mahir tempatan,” katanya. Beliau berkata, bagi membantu semua pihak melaksanakan IBS, sebuah sekretariat Kebangsaan ditubuhkan dalam kementeriannya untuk menyelaras, memantau dan membantu semua pihak termasuk swasta dalam melaksanakan sistem itu. Mohd Zin berkata, selain kaedah IBS, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk menghasilkan 100,000 tenaga mahir tempatan dalam sektor itu tahun depan.

“Kita mempunyai kira-kira 320,000 tenaga buruh asing yang sah dan sekiranya mereka ini digantikan dengan tenaga tempatan, pasti aliran keluar wang oleh pekerja asing ini dapat dikurangkan,” katanya.

No comments:

Artikel - Artikel..