Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, October 29, 2008

PERANAN IBU BAPA DALAM MENENTUKAN CITA-CITA PELAJAR

UTUSAN MALAYSIA
29 Oktober 2008

DENGAN kehangatan bahang peperiksaan utama baik SPM, STPM mahupun yang setaraf dengannya, mungkin perkara berikutnya yang tidak dapat lari daripada dibicarakan ialah ke manakah hala tuju pelajar lepasan sekolah selepas ini.

Sesetengah mereka telah mempunyai cita-cita, tetapi tidak kurang juga yang masih belum mengetahui arah kehidupan seterusnya.

Ke manakah tempat untuk menyambung pengajian? Apakah kursus yang ingin diambil? Dan
yang lebih penting ialah di manakah letaknya minat dan kemampuan diri untuk mengharungi kehidupan pascasekolah yang memerlukan suatu keputusan yang tepat harus dibuat?
Tidak dapat dinafikan naluri ibu bapa dan penjaga untuk melihat anak mereka mendapat pengajian dan kerjaya yang terbaik dalam kehidupan.

Oleh sebab itulah, ada sebilangannya yang menetapkan cita-cita untuk golongan lepasan sekolah ini. Ada yang menginginkan anak mereka menjadi peguam, arkitek, akauntan, ahli perniagaan, doktor, jurutera ataupun saintis ternama. Namun sedarkah kita bahawa ada kalanya cita-cita penjaga ini mampu meletakkan anak dalam situasi yang tidak kurang bahayanya.

Mengambil contoh dalam bidang perubatan, tidak kurang jumlahnya pelajar dalam pengajian ini jika ditanya, ia bukan pilihan mereka, bahkan ia adalah cita-cita ibu bapa mereka. Keadaan lebih teruk lagi jika mereka sememangnya tiada minat langsung, akan tetapi kerana mengikutkan keinginan tersebut, dicampur dengan sifat untuk menjadi seorang anak yang taat, telah meletakkan mereka di kerusi seorang pelajar perubatan.

Komplikasinya mungkin bertambah teruk jika sebenarnya anak ini telah mempunyai cita-cita, minat dan kemampuan yang mendalam dalam bidang lain namun ia terhalang.

Pembimbing

Ibarat bercinta dengan A, disuruh berkahwin dengan B. Sesetengahnya mungkin bahagia namun tidak kurang yang menderita. Mungkin ada sinar bahagia di hujung terowong yang dilalui, namun adakalanya cahaya di hujung terowong itu ialah lampu kereta api laju yang sedang memecut menghampiri kita.

Sememangnya tidak dapat dinafikan ibu bapa merupakan pembimbing utama yang membantu
anak mencari arah tuju kehidupan pada masa hadapan. Mengambil kira faktor ini, pendedahan dan bimbingan ini seharusnya dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak usia awal persekolahan. Tindakan menentukan secara veto cita-cita anak sewajarnya dielakkan.

Bagi kursus perubatan contohnya, ia adalah kursus yang panjang memakan masa minimum lima tahun bahkan tidak kurang yang mencecah tujuh tahun. Tempoh yang lebih jika pelajar menuntut di luar negara.

Minat yang mendalam, keinginan untuk mendepani cabaran baik dalam pengajian perubatan mahupun di alam pekerjaan, kesanggupan untuk mengorbankan masa dan melihat rakan-rakan seusia berkonvokesyen dan bekerja lebih dahulu daripada kita merupakan antara ujian yang seringkali menguji jati diri seorang pelajar perubatan.

Bagi pihak sekolah, sesi kaunseling dan pendedahan kerjaya perlu dilakukan secara lebih sistematik dan terancang. Usaha yang sekadar memenuhi kalendar seharusnya dielakkan.
Jika boleh, adakan sesi perbincangan, lawatan, perjumpaan dengan mereka yang telah berada dalam lapangan yang terbabit. Jika perlu, libatkan sama ibu bapa dan penjaga agar mereka juga tahu hakikat sebenar bidang yang ingin diterjuni atau disuruh anak mereka terjun itu.

Setelah diberi pendedahan, nasihat, berjumpa dengan mereka yang telah bekerja yang arif dengan bidang yang diminati, keputusan akhir seharusnya dicapai secara sepakat dalam suasana penuh musyawarah. Ini adalah bagi mengelakkan situasi nasi menjadi bubur, suatu kerugian jika sebenarnya nasi ialah hasil yang diinginkan.

Jika ingin membuat bubur, lakukannya dengan terancang dan penuh persediaan kerana bubur yang terancang itu adakalanya lebih sedap daripada nasi yang dimasak dengan muka yang masam.

Antara komplikasi yang mungkin timbul akibat memasuki bidang perubatan tanpa minat yang tulen ialah ketidakupayaan pelajar untuk meneruskan pengajian di pertengahan jalan. Ia akan menjadi suatu yang merugikan bukan sahaja pelajar itu sendiri dari segi masa yang telah dihabiskan, bahkan sebahagian wang kerajaan juga telah dibelanjakan.

Keadaan lebih teruk jika pelajar mengalami tekanan perasaan yang tentu sekali menjejaskan mutu kehidupan pelajar secara umum.
Mempraktikkan

Ada juga pelajar yang mampu bertahan sehingga ke akhir peperiksaan, tetapi selepas itu menceburi kerjaya yang tidak mempraktikkan ilmu yang dipelajari, menyatakan tiada minat sebagai alasan.

Dalam apa jua bidang yang diceburi, minat adalah suatu yang mesti. Keterpaksaan mungkin boleh bertahan buat seketika, namun ia akan tewas apabila berhadapan dengan wira sejati yang bernama realiti.

Memang istimewa menjadi menjadi seorang perawat, namun menceburi kerjaya lain adalah merupakan suatu yang sama hebat. Kehebatan bukan terletak pada nama, jawatan atau segala, bahkan bagaimana kita membawa diri atas apa jua nama itu yang bakal menjadi faktor utama.
Dengan ketekunan dan keikhlasan menjadi prasyarat, segalanya akan menjadi kenyataan bukan hanya sekadar matlamat. Kita hanya melaksanakan karektor yang telah ditetapkan, hakikat kejayaan ialah jika watak yang dibawa di pentas teater dunia ini boleh membawa kita kepada mengenal siapa itu pencipta.

DR. IRFAN MOHAMAD
Persatuan Alumni Doktor Perubatan USM (PADU)

No comments:

Artikel - Artikel..