Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Sunday, September 27, 2009

USAHAWAN: PAKAR BUDU

BERITA MINGGU, 27 September 2009
Oleh Haspaizi Mohd Zain bminggu@harian.com.my

Hamidah guna resipi tradisi warisan bapa untuk hasilkan makanan unik berkualiti tinggi, mendapat permintaan ramaiBUDU sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga. Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

“Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, (Mohd Asri Mokhtar, 42,) menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu.

“Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial,” katanya ketika dikunjungi Berita Minggu. Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam, sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun. Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin khas dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu. Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

“Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya,” katanya.

Bahan asas untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis usang. Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand. Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan.

“Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman.

“Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini,” katanya.

Kebanyakan pekerja adalah wanita terdiri daripada suri rumah yang ditugaskan di bahagian pembungkusan termasuk kerja mengisi budu yang siap dimasak ke dalam bot sebelum dipasarkan. Beliau mengakui menghadapi masalah mendapatkan bekalan ikan bilis terutama menjelang musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan disebabkan ombak besar dan angin kencang. Bagi mengatasi masalah bekalan ikan tidak menentu pada musim tengkujuh, beliau terpaksa mengimport ikan bilis segar daripada negara jiran, Thailand.

PELAJAR MANGSA RAGUT MENINGGAL

MINGGUAN MALAYSIA, 27 September 2009
Oleh HAMDAN TAWADI utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 26 Sept. - Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini yang terlantar koma selama seminggu selepas cedera parah di kepala dalam kejadian ragut, akhirnya menemui ajal petang semalam.

Tan Shu Fang, 17, pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini 2 itu, meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Dalam kejadian pada 17 September lalu, mangsa bersama ibunya, Leong Akooi, 52, yang sedang berjalan kaki ke sebuah bank berdekatan rumah mereka di Taman Ungku Tun Aminah di sini, tersungkur apabila beg tangannya tiba-tiba direntap dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Mangsa yang cedera parah di kepala, pengsan manakala ibunya pula mengalami lebam di badan.

Menceritakan kembali kejadian itu, Akooi berkata, mereka berdua leka berbual mengenai peperiksaan Shu Fang sehingga tidak menyedari kehadiran penjenayah terbabit.

"Shu Fang begitu yakin dan bersungguh-sungguh akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

"Tiba-tiba seorang lelaki merentap beg tangan anak saya menyebabkan kami berdua jatuh ke tanah dan bila saya bangun, saya lihat anak saya pengsan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Taman Peringatan Nirvana di sini hari ini.

Akooi berkata, orang awam yang kebetulan berada di kawasan tersebut telah menghantar mereka ke hospital berdekatan untuk rawatan.

Dia yang tidak dapat menahan kesedihan berkata, Shu Fang adalah pelajar pintar dan sering mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Dia juga mempunyai ramai kawan walaupun agak pendiam. Saya kini tinggal seorang anak lelaki dan pemergian Shu Fang menyedihkan kami semua.

"Saya mahu mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dihukum dengan setimpal," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau berharap polis dapat menangkap suspek secepat mungkin dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Taman Ungku Tun Aminah supaya kejadian sama tidak berulang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut.

"Kita akan berusaha memburu suspek secepat mungkin, apatah lagi melibatkan kematian," katanya di sini hari ini.

FELDA PERKENAL FEKRA BAGI RAIH KEUNTUNGAN TERBAIK

MINGGUAN MALAYSIA, 27 September 2009

KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Felda akan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Felda (Fekra) bermula Januari depan dalam usaha mencapai keuntungan dan perkhidmatan terbaik.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Yusof Noor berkata, ia melibatkan tiga bidang utama iaitu skim penanaman semula, rancangan pelaksanaan projek perumahan dan rancangan pembangunan masyarakat.

''Pegawai dan kakitangan yang secara tidak langsung atau langsung terlibat dalam bidang ini akan diberi fokus utama oleh Felda agar mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh tertentu," katanya pada majlis hari raya bersama media dan pemimpin di Felda Residence di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, pelaksanaan sistem itu akan membolehkan sebarang projek yang dijalankan siap dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau yakin sekiranya sistem Fekra dilaksanakan dengan baik ia akan mencapai sasaran keuntungan yang lebih tinggi selain dapat menghasilkan produktiviti berganda dengan kualiti yang baik.

"Contohnya, bagi rancangan projek perumahan, kita akan memantau dan menilai prestasi bermula daripada kerja-kerja kontraktor sehinggalah kepada pihak pengurusan supaya apa yang disampaikan mencapai sasaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dilantik sebagai Pengarah Felda yang baru berkuat kuasa esok, menggantikan Datuk Ahmad Tarmizi Alias yang telah pencen.

Katanya, Dzulkifli merupakan bekas Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) Felda.

Tambahnya, dengan pelantikan itu, beliau dipertanggungjawabkan untuk memantau dan melaksanakan sistem Fekra yang bakal diperkenalkan itu.

"Ini merupakan cabaran dan tugas utama yang harus dilaksanakan apabila beliau memegang jawatan itu dengan menitikberatkan pelaksanaan Fekra agar ia berjaya dilaksanakan oleh semua pihak," katanya.

BLOG GENERASI FELDA

BLOG GENERASI FELDA

Friday, September 25, 2009

KOLEJ TEKNOLOGI BESTARI SASAR STATUS KOLEJ UNIVERSITI TAHUN DEPAN

BERITA HARIAN, 25 September 2009
Oleh Khairina Yasin

KOLEJ Teknologi Bestari (KTB), Setiu, Terengganu melaksanakan pelbagai strategi dan perancangan bagi memastikan sasarannya mencapai status kolej universiti, tahun depan. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata strategi itu termasuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan menambah baik kualiti program ditawarkan bagi membolehkan KTB bersaing dengan institusi pengajian tinggi swasta lain. Katanya, kolej itu juga merancang menambah lebih banyak program sendiri khususnya di peringkat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan sains kesihatan apabila berstatus kolej universiti.

“Kita mengenal pasti kekuatan bidang kejuruteraan, sains kesihatan dan sains komputer sebagai program baru yang akan ditawarkan kepada pelajar berdasarkan permintaan pasaran kerjaya masa kini. “Di bawah bidang kejuruteraan, KTB akan menawarkan program sarjana muda kejuruteraan awam, mekanikal dan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Mahmud berkata, biarpun belum begitu dikenali di seluruh negara, kolej itu adalah institusi pengajian tinggi swasta pilihan kebanyakan pelajar di Pantai Timur untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Setakat ini, katanya, kolej berkenaan menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam bagi menawarkan program sarjana muda dan diploma, antaranya Bachelor Pentadbiran Perniagaan, Diploma Sains Komputer dan Diploma Pengurusan Perniagaan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Seterusnya, Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan) dan Diploma Sains Komputer (Multimedia) dengan Universiti Teknologi Malaysia, Diploma Teknologi Maklumat (Universiti Kebangsaan Malaysia), manakala Diploma Kewangan dan Perbankan (Universiti Utara Malaysia).

“Kolej ini sendiri turut menawarkan Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Pengajian Perniagaan, Sijil Pengurusan Perniagaan dan Sijil Sains Komputer.

“Menerusi Institut Kemahiran Bestari pula, kita turut menawarkan pelbagai program kemahiran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan,” katanya.

Tengku Mahmud berkata, antara keistimewaan KTB ialah persekitarannya selesa, staf akademik berkelayakan dan berpengalaman, memiliki pelbagai kemudahan prasarana dan pengurusan pembelajaran sistematik. Berikutan itu, katanya, ramai lulusan kolej itu sebelum ini mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif melebihi 3.5, selain berjaya memasuki universiti awam dan diterima bekerja.

Sebagai IPT milik penuh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, katanya, kolej itu turut menyediakan kuota khas untuk anak yatim melanjutkan pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama.

LAMBAKAN WARGA ASING DI KUALA LUMPUR: BIARLAH!

UTUSAN MALAYSIA, 25 September 2009 (Forum)

LAPORAN dalam Utusan Kota, Utusan Malaysia, mengenai lambakan warga asing di Jalan Silang, Kuala Lumpur, semalam, memang betul. Keadaan ini memang wujud. Dan ini berlaku mungkin kerana pihak berkuasa mempraktikkan perkataan ‘lah’...

*Biarlah, kita kan serumpun

*Biarlah, nanti kalau penjara dah kosong baru kita tangkap mereka

*Oklah tu sebab mereka membina bangunan negara

*Lantaklah, aku tak kacau mereka, mereka tak kacau aku

*Janganlah tangkap mereka sebab mereka ini lah yang menjaga keselamatan premis perniagaan (jadi jaga)

*Baiklah, (antara perkataan yang biasa didengar apabila soalan ditujukan kepada PBT tentang bila nak tangkap mereka)

*Marilah, (kalau mereka ada kedai telefon bimbit, sentiasa penuh)

Semasa sembahyang Hari Raya Aidilfitri, mereka sembahyang di atas jalan raya, di Jalan Petaling. Bukankah Masjid Negara ada? Masjid Negara masih banyak ruang kosong untuk mereka.

Mereka sengaja menunjukkan mereka ingin mendominasi bandar raya Kuala Lumpur. Biarlah! Apa yang penting negaraku aman! Sudah tu, suka pula meludah merata-rata dan ada kalanya membuang najis di belakang kedai.

Memang betul pun. Saya pernah ke Vietnam dan melihat budaya pengotor ini di sana.
Setiap hari hari di dada akhbar banyak terpampang jenayah berlaku. Angkara siapa? Warga asing bukan? Baru-baru ini satu mayat dijumpai di Sungai Klang di belakang Balai Polis Brickfields. Mayat warga asing.

Ada warga Afrika pula suka menipu warga Malaysia. Jadi siapa yang tipu kita? Warga asing juga.
Cubalah naik tren komuter dari Seremban ke KL Sentral. Majoriti penumpangnya adalah warga asing. Oklah tu sebab mereka menjadi pelanggan kita. Ini belum termasuk bas-bas di sekitar Kuala Lumpur.

Kalau di Nilai atau di Bangsar atau Damansara, lain pula ceritanya. Mamat Afrika buat hal. Pandu kereta laju-laju. Mereka menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba. Kalau makan di kedai makan 24 jam, penuh dengan muka dia orang.

Pernah terjadi di depan mata semasa saya menaiki tren dari Kuala Lumpur ke Nilai, pasangan Nepal boleh pula bercium dalam tren. Nak ditegur, takut diapa-apakan sebab mereka ramai.

Kadang-kadang saya merasakan diri kita ini dijajah secara diam. Ambillah tindakan. Jangan sampai kita terasa asing walau pun berpijak di bumi sendiri.

KETENGAH SEDIA LEBIH RM10J BANGUNKAN TASIK KENYIR

UTUSAN MALAYSIA, 25 September 2009

KUALA TERENGGANU 24 Sept. - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberi penekanan terhadap aspek pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir yang membabitkan peruntukan lebih RM10 juta tahun ini.

Pengurus Besar Ketengah Hamzah Ngah berkata, menerusi peruntukan itu Ketengah mengenal pasti beberapa projek, antaranya membina terminal pelancongan Gawi serta menaik taraf kemudahan di Taman Herba dan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir.

"Ini akan membolehkan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai sebuah pusat pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang," katanya dan menambah bahawa tahun ini Ketengah menerima peruntukan RM25 juta di bawah projek dana khas kerajaan Persekutuan.

Katanya peruntukan yang terbesar ialah bagi sektor pelancongan iaitu RM10.3 juta, infrastruktur dan sosial (RM6.3 juta), program perumahan (RM3.2 juta) serta pembangunan modal insan dan pendidikan (RM2.2 juta).

Selain itu, pembangunan ekonomi dan usahawan (RM1.7 juta), pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (RM800,000) dan pembasmian kemiskinan (RM500,000), katanya. Hamzah berkata melalui peruntukan itu, pembangunan di wilayah Ketengah akan terus berjalan dengan rancak kerana peruntukan tambahan itu membolehkan agensi berkenaan memberi penekanan kepada sektor- sektor tersebut.

Katanya di bawah projek infrastruktur dan sosial, pihaknya merancang untuk membina dan menaik taraf jalan di kawasan Cheneh Baharu serta penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

PUSAT GIAT MARA TERBENGKALAI 2 TAHUN

UTUSAN MALAYSIA, 25 September 2009

TENOM 24 Sept. - Penduduk daerah ini mahu pihak bertanggungjawab memberi penjelasan mengapa projek pembinaan Pusat GiatMara di sini yang telah 50 peratus siap dibiarkan terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Penduduk mendakwa tindakan itu bukan sahaja menjejaskan peluang belia di daerah itu mendapat kemahiran hidup, tetapi menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat.
Seorang penduduk, Rudy Sulaiman Mairi, 40, berkata, sebab dan punca utama projek itu dihentikan perlu diketahui kerana pembinaannya telah pun siap 50 peratus.

"Projek ini dimulakan pada 2006, tetapi terhenti sekitar 2007. Kita tidak tahu kenapa dihentikan sedangkan Pusat GiatMara sangat dinantikan. Kita mahu belia kita tidak terbuang masanya.

"Justeru, penjelasan perlu diberikan mengenai status projek ini kerana rakyat berhak tahu kerana pembinaannya dihentikan secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang pesara kerajaan, Mohd. Yusof Yassin, 58, berkata, disebabkan pusat itu tidak siap, pelatih-pelatih GiatMara terpaksa menumpang di Pusat Kebudayaan Murut untuk menjalani latihan.

Katanya lagi, keadaan tersebut tidak seharusnya berlaku dan campur tangan politik perlu dilakukan kerana jika tidak, dikhuatiri pembinaan itu akan menjadi projek 'gajah putih.'
"Kita minta pihak berwajib ambil perhatian serius terhadap perkara ini dan jangan biarkan projek itu berkeadaan sedemikian rupa, kita tidak mahu wang rakyat dibazirkan," katanya.
Majiadih O.T. Matali, 45, pula berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah tersebut.

Katanya lagi, jika kontraktor terlibat didapati menipu atau melakukan penyelewengan, tindakan tegas perlu diambil.

"Jika hukuman tidak dikenakan, dikhuatiri projek kerajaan yang lain akan menerima nasib sama, masalah ini tidak boleh didiamkan kerana melibatkan kepentingan umum," katanya.

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI TAGIH KOMITMEN PELBAGAI PIHAK

UTUSAN MALAYSIA, 24 September 2009

PENGUMUMAN oleh Perdana Menteri bahawa pakej rangsangan telah menunjukkan impak positif sangat menarik untuk diberi perhatian. Usaha bersungguh-sungguh oleh kerajaan seperti yang diumumkan itu tentulah berhasrat untuk membawa negara keluar dari kemelut kegawatan ekonomi.

Ia memerlukan sokongan jitu daripada pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Kerja Raya; Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga beberapa kementerian lain.

Bagi saya, di sebalik tanda-tanda positif tersebut, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan hendaklah sentiasa bertindak dengan lebih proaktif bagi memastikan “setiap sen” yang dibelanjakan itu benar-benar memberi kesan bermakna dan sampai kepada sasarannya.
Dengan perbelanjaan yang besar iaitu sekitar RM67 bilion, impak yang terhasil hendaklah dipastikan memenuhi tiga aspek yang utama iaitu kualiti, masa dan kos.

Dalam aspek kualiti, projek yang dilaksanakan hendaklah dipantau dengan rapi agar ia memenuhi spesifikasi yang ditentukan dalam dokumen tawaran. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mempunyai integriti yang tinggi dan tidak sekali-kali bertolak-ansur dalam soal melaksanakan proses pemantauan ke atas projek berkaitan.

Dalam aspek masa, pasukan pemantau hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang selok-belok teknikal dalam pembinaan. Sering kali kedengaran projek-projek yang dilaksanakan gagal untuk disiapkan mengikut jadual.

Selain daripada faktor kegagalan kontraktor seperti yang sudah sering diperkatakan, faktor kegagalan pasukan pemantau projek itu sendiri untuk memantau dengan berkesan juga tidak harus dipandang ringan.

Bukanlah suatu yang asing bahawa kegagalan pemantauan yang berkesan dan dilaksanakan sambil lewa oleh agensi kerajaan berkaitan juga merupakan antara punca utama yang turut menyumbang kepada kegagalan projek disiapkan mengikut jadual.

Akibatnya, hasrat murni kerajaan akan dipandang negatif oleh masyarakat. Dengan bilangan projek berjumlah 83,939, sistem pemantauan yang berkesan amat diperlukan dan mesti dikendalikan oleh mereka yang mahir dalam selok-belok pembinaan.

Dalam aspek kos pula, usaha-usaha hendaklah dilaksanakan bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar mencerminkan kualiti projek dan hendaklah bermula seawal cadangan projek itu dilaksanakan. Ini bagi memastikan wujudnya ketelusan dalam proses menentukan kos sebenar projek dan seterusnya memastikan hanya kontraktor yang menawarkan harga tender yang bersesuaian dan munasabah sahaja dianugerahkan projek berkenaan.

Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan projek, perlaksanaan bayaran secara terus kepada subkontraktor hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan kemungkinan subkontraktor tidak menerima bayaran tepat pada waktunya, seterusnya mengelakkan daripada berlakunya gangguan dalam perlaksanaan projek selain membantu kontraktor-kontraktor khususnya kontraktor bersaiz kecil daripada teraniaya.

Sesungguhnya kejayaan hasrat kerajaan itu menuntut komitmen daripada semua pihak dan ia bukanlah terletak di bahu kontraktor semata-mata.

Agensi-agensi kerajaan merupakan agen utama yang memastikan hasrat murni kerajaan menjadi kenyataan.

Prof. Madya Sr Zakaria Mohd Yusof
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
UTM, Skudai.

Wednesday, September 23, 2009

USAHA, PELAN ATASI TANAH RUNTUH TIADA KESUDAHAN

BERITA HARIAN, 23 September 2009
Oleh Magendran Rajagopal

NG Yee Peng, Saiful Khas Sharudin, Dr N Yogeswari, Suaenah dan Lourdes Mary. Mungkin ramai tertanya-tanya siapa gerangan individu ini tetapi bagi sanak saudara, tragedi tanah runtuh tanggal 6 Disember lalu yang meragut nyawa mereka tidak mungkin melupakan detik hitam itu.

Tragedi menyebabkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor ranap akibat kejadian tanah runtuh akhir tahun lalu menjadi berita panas semua akhbar tempatan dan secara spontan, pelbagai strategi mencegah kejadian seumpamanya diselaras.

Pemimpin, sama ada pada peringkat kerajaan Selangor atau Kerajaan Pusat, mengetengahkan pelbagai rumusan di samping mendedahkan pelbagai kepincangan pengurusan serta menjanjikan tindakan segera.

Namun bagi mangsa pula tidak ubah seperti kata pepatah, harapkan anak buta mata sebelah, harapkan teman buta kedua-dua mata, kerana semangat membara sewaktu awal tragedi itu, sama ada pada peringkat kerajaan negeri atau Pusat, makin malap sehingga lenyap sama sekali tidak lama selepas itu.

Ini bukan kali pertama terjadi, pengalaman yang sama dialami ketika tragedi tanah runtuh di Kuala Kubu Bharu awal pagi 30 November 2008, malah beberapa kejadian tanah runtuh sudah dialami sejak tragedi Highland Towers yang menggemparkan seluruh negara pada 11 Disember 1993 apabila 48 nyawa terkorban namun reaksi kita hanya hangat-hangat tahi ayam.

Justeru, tidak keterlaluan jika diandaikan kejadian tanah runtuh terbaru Sabtu lalu di Wangsa Heights, Bukit Antarabangsa turut mendapat layanan sama daripada pihak berkuasa, apatah lagi kali ini hanya sebuah kereta yang rosak apabila terjatuh dalam gaung.

PASTIKAN PROJEK PAKEJ RANGSANGAN TAK TERBENGKALAI

MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN, 23 September 2009

KAJI selidik dilakukan oleh sebuah firma antarabangsa sebelum ini mendapati Malaysia antara 10 negara teratas yang dijangka mampu mengharungi krisis kewangan global, manakala Australia berada pada senarai teratas, diikuti China di tempat kedua, India dan Singapura pada tempat ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, negara maju seperti England, Jerman, Belanda, Taiwan dan Amerika Syarikat berada pada kedudukan lebih rendah dalam kaji selidik keyakinan perniagaan oleh Servcorp International itu. Kita percaya, apa yang menjadi rahsia keupayaan negara terbabit termasuk Malaysia kerana strategi betul dilakukan dan kita yakin kedudukan Malaysia mungkin lebih baik menjelang tahun depan apabila ekonomi negara bertambah kukuh berikutan pelbagai inisiatif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dilakukan termasuk pakej rangsangan RM67 bilion.

Pakej pertama RM6.07 bilion diumumkan pada November tahun lalu manakala pakej kedua RM60.93 bilion pada Mac tahun ini. Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa dua pakej rangsangan ekonomi itu berada pada landasan betul dan mula memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi negara dengan menjana pelbagai peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil.

Antara kesannya ialah sektor pembinaan menyaksikan pertumbuhan 2.8 peratus pada suku akhir kedua berbanding 1.1 peratus yang dicatatkan pada suku akhir pertama tahun ini. Selepas kerajaan merangka pelbagai inisiatif, apa yang kita harapkan ialah supaya semua kementerian dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan rancangan pembangunan, menyiapkan semua projek yang sudah dikenal pasti.

Setakat ini, 83,939 projek sudah ditawarkan yang mana 53,076 projek di bawah pakej pertama dan bakinya di bawah pakej kedua yang dirangka meliputi tempoh masa dua tahun. Ini bermakna dalam 10 bulan selepas pengumuman pakej pertama, 90 peratus projek yang dikenal pasti sudah ditawarkan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Meskipun pencapaian itu memuaskan, kita tidak mahu timbul rungutan seperti kontraktor gagal mendapat pembayaran mengikut jadual atau projek gagal disiapkan. Mulai sekarang, agensi pemantau seperti Unit Perancangan Ekonomi serta Kementerian Kewangan, perlu membuat pemeriksaan serta pemantauan rapi terutama sebelum pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini dengan harapan semua projek yang sepatutnya dilaksanakan di bawah dua pakej itu, dijalankan mengikut jadual.

Kita percaya, apabila kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan atau langkah baru dalam bajet itu nanti, tidak berlaku pertindihan atau projek lama sudah kurang diberi perhatian oleh agensi pelaksana semata-mata mahu menumpukan kepada inisiatif baru itu. Kita mahu semua projek di bawah pakej pertama, yang kini 90 peratus ditawar dan dalam peringkat pelaksanaan, diselesaikan terlebih dulu.

Keutamaan juga perlu diberi untuk menyelesaikan projek di bawah sektor pembinaan kerana ia nyata memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menjadi projek berimpak besar untuk rakyat seperti pembinaan rumah dan prasarana.

Friday, September 18, 2009

'HARAP ABAH TIDAK PERGI LAGI'

UTUSAN MALAYSIA, 18 September 2009

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

utusanjohor@utusan.com.my


Abdullah Daud (empat dari kiri) memeluk anak bongsunya Munadiah Abdullah (tengah) sambil diperhatikan isterinya Zakiah Mat serta tiga anaknya dari kiri Muizzuddin, Muslim dan Mohd. Ikhwan di rumahnya di Kangkar Pulai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 17 Sept. - Hampir lapan tahun kanak-kanak kecil ini menyambut Aidilfitri tanpa bapa di sisi.

Sewaktu berusia 3 tahun, Muslim Abdullah tidak sempat menyambut hari lebaran bersama bapa tersayang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kali ini, riak wajah Muslim yang kini sudah berusia 11 tahun begitu ceria setelah bapanya, Dr. Abdullah Daud dibebaskan dari tahanan itu oleh kerajaan, kelmarin.

"Saya gembira abah dah balik. Harap abah tidak pergi lagi dan terus tinggal dengan kami selepas ini," demikian luahan Muslim ketika ditemui di rumahnya di Kangkar Pulai, di sini hari ini

Abdullah, bekas pensyarah Fakulti Sains dan Geoinformasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bersama empat yang lain dibebaskan daripada tahanan ISA kelmarin.

Mereka ditahan kerana menganggotai pergerakan militan Jemaah Islamiah (JI).

Namun, hasrat Muslim untuk membeli persiapan baju raya di Taman Universiti di Skudai di sini bersama bapanya tidak menjadi kenyataan.

Ini kerana Abdullah, 55, masih berada dalam perintah tahanan terhad hingga Februari tahun depan dan dia hanya boleh keluar rumah di sekitar kawasan Pulai.

"Raya tahun ini paling bermakna buat saya kerana dapat menyambutnya bersama abah. Tidak ada baju raya pun tidak apa, janji abah dah balik," katanya.

Isteri Abdullah, Zakiah Mat, 49, memberitahu, dia melakukan sujud syukur sebaik sahaja mendapat panggilan pukul 6 petang daripada suaminya yang mengatakan sudah dibebaskan dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, dalam perasaan gembira bercampur syukur itu, dia terus menelefon ibu mertuanya, Minah Seman, 85, di Pasir Mas, Kelantan untuk memaklumkan khabar gembira itu.

"Suami saya sampai di rumah 10 minit sebelum berbuka puasa dan dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat untuk membeli ikan kegemarannya, ikan tenggiri tetapi hanya ikan kembung untuk dibuat masak lemak.

"Namun, semalam saya dapat menyediakan makanan kegemaran iaitu nasi kerabu dan ayam percik untuk kami sekeluarga berbuka puasa dalam suasana gembira sejak tidak merasainya hampir lapan tahun lalu," katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa sepanjang suaminya berada dalam tahanan.

Tuesday, September 15, 2009

IPTA KENA JANA PENDAPATAN

BERITA HARIAN, 15 September 2009
Mohd Azrone Sarabatin azrone@bharian.com.my

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi mahu semua 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan mencari pendapatan sendiri dengan mengkomersialkan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti masing-masing. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sudah tiba masanya institusi pengajian tinggi berdikari dan mengelak bergantung kepada dana kerajaan. "Universiti perlu membantu kerajaan dengan mencari pendapatan sendiri menerusi pengkomersialan produk yang dihasilkan. Mereka perlu mencari pendapatan luar.

"Semua universiti memiliki kekuatan produk R&D dan saya yakin dengan kemampuan mereka menjana pendapatan sendiri. "Kita juga mahu R&D memanfaatkan masyarakat bukan hanya memberi nilai kepada universiti," katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Teluk Sepanggar di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon.

Mohamed Khaled memberi contoh, spesies ikan yang dihasilkan menerusi R&D di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS kini mendapat sambutan menggalakkan bukan saja di seluruh negara, sebaliknya menembusi pasaran Hong Kong dan Jepun. Beliau turut meminta semua IPTA mempatenkan produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia dipasarkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

"Di UMS hanya satu produk yang sudah dipatenkan Sirim Berhad dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), manakala 15 lagi pada peringkat menunggu kelulusan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pembinaan Hospital UMS akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membolehkan pelajar Sekolah Perubatan universiti itu menjalankan latihan amali.

Katanya, kementeriannya menyerahkan kepada UMS untuk mencari tapak sesuai pembinaan hospital berkenaan dengan syarat jaraknya dekat di universiti terbabit.

"Hospital itu kelak akan menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan pelbagai jenis penyakit di Borneo, sekali gus memanfaatkan rakyat negeri ini," katanya.

Saturday, September 12, 2009

53 PERATUS BANDUAN WARGA INDONESIA

BERITA HARIAN, 12 September 2009
Mohd Anwar Patho Rohman wananwar@bharian.com.my

KAJANG: Lebih separuh iaitu 53 peratus atau 8,000 daripada keseluruhan 15,000 banduan warga asing di penjara di seluruh negara adalah rakyat Indonesia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebanjiran banduan warga asing menyebabkan penjara seluruh negara sesak sehingga tidak mampu menampung kira-kira 40,000 banduan.

"Banduan rakyat asing saja mewakili 40 peratus daripada keseluruhan banduan di penjara seluruh negara dan banduan warga Indonesia paling ramai diikuti dari Filipina kira-kira 2,000 orang," katanya selepas Rakaman Takbir Raya Bersama Penghuni dan Kakitangan Penjara Kajang anjuran bersama Jabatan Penjara dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Hishammuddin menerima wang zakat fitrah RM1,099 yang dibayar 74 banduan dan menyerahkannya kepada Ketua Operasi Pusat Urus Zakat Selangor, Sharifudin Musa. Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, program pertukaran banduan dengan negara jiran bagi mengatasi kesesakan penjara negara khasnya dengan Indonesia tetap diteruskan, namun beberapa isu yang wujud kebelakangan ini menyukarkan usaha ke arah itu.

Sementara itu, beliau mengingatkan rakyat tidak mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan dengan melakukan kesalahan yang boleh membawa ke penjara. Beliau berkata, rakyat Malaysia kini berhadapan situasi sukar mengawal emosi sehingga membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

Terdahulu, Hishammuddin berkata, beliau amat terharu melihat komitmen ditunjukkan banduan kerana tidak melupakan tanggungjawab menunaikan Rukun Islam walaupun menjalani hukuman dalam penjara.

"Saya harap elemen agama dijadikan aspek penting bagi memulihkan banduan," katanya yang turut meletakkan aspek pemulihan dan kemahiran banduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penjara.

35,000 MURID TAK TAHU BACA, MENULIS

BERITA HARIAN, 12 September 2009
Mohd Roji Abdullah mdroji@bharian.com.my

PARIT RAJA: Kementerian Pelajaran mengenal pasti kira-kira 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi. Sehubungan itu, katanya, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus sekarang.

"Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencapai sasaran 85 peratus itu dulu dan apabila ia menjadi kenyataan, kita akan meletakkan sasaran baru iaitu memastikan setiap kanak-kanak tidak kira di mana di seluruh negara, mendapat pendidikan prasekolah.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak lain khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pameran Patriotisme dan Kenegaraan 1 Malaysia anjuran Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua buku terbitan UTHM bertajuk Darjat Tidak Datang Bergolek: Langit Mana Patut Dijunjung' dan Modul Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia.

Mohd Puad berkata, pihak kementerian kini sedang mengkaji pendekatan sesuai untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan prasekolah.

Katanya, walaupun kerajaan belum menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak seawal usia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, langkah awal harus diambil untuk memastikan masyarakat pedalaman juga mendapat pendidikan yang sempurna.

KONFLIK PERKAUMAN, IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL

UTUSAN MALAYSIA, 12 September 2009

AKHBAR China Press menerusi ruangan Perbincangan Umum terbitan 7 September lalu menyiarkan sebuah rencana bertajuk “Kehidupan Rakyat Sebenarnya Sejahtera Tetapi Diganggu Ahli Politik”. Ia mengaitkan hubungan rakyat dan ahli politik.

Selama 52 tahun merdeka, pelbagai kaum di negara ini telah hidup aman dan sejahtera tanpa perselisihan antara kaum. Namun kenapa dalam dunia globaisasi hari ini, kepelbagaian kaum itu menjadi masalah sehingga lebih sensitif berbanding agama.

Jawapannya sangat mudah iaitu kerana isu itu dipergunakan oleh ahli politik sebagai agenda untuk kepentingan mereka. Isu perkauman dan keagamaan hanya akan menarik kita ke belakang.

Untuk kembali semula ke landasan kesejahteraan kaum, penulis rencana ini yang menggunakan nama samaran “Kim Piek” mencadangkan empat perkara.

Pertama, undang-undang perlu ditegakkan terhadap media yang memainkan isu sensitif termasuk menggantung lesen.

Kedua, hapuskan layanan double standard kepada mereka yang menghasut dan memainkan isu perkauman. Jangan tutup sebelah mata seperti hanya pembangkang disiasat secara terperinci. Sepatutnya buat secara adil barulah rakyat berpuas hati.

Ketiga, laksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas iaitu tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu perkauman dan agama. Jika kerajaan jujur dan ikhlas, kesejahteraan antara kaum bukanlah sesuatu yang susah.

Keempat, pemerintah perlu mengutamakan negara kerana ia berasaskan rakyat. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan oleh pemerintah perlu meletakkan kepentingan negara. Jika semua rakyat sehati dan sejiwa, negara ini pasti kuat dan makmur.

Hakikatnya, semua kaum di negara ini hidup sejahtera tetapi muslihat ahli-ahli politik yang menakut-nakutkan mereka.

“Semoga pemerintah melihat perkara ini dan jangan sampai kerana beberapa biji tahi tikus, rosak nasi sekawah,’’ tulisnya.

Masih lagi dengan isu kepala lembu, sebuah rencana terbitan akhbar yang sama pada 2 Spetember lalu mengaitkan kejadian itu dengan kemerdekaan negara.

Menurutnya, setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan, pemimpin berkata, rakyat Malaysia mampu hidup aman dan tenteram walaupun berbilang kaum. Lagu-lagu bersifat patriotik dan perpaduan juga tidak henti berkumandang sesuai dengan semangat Satu Malaysia tahun ini.

Tetapi peristiwa perarakan kepala lembu di Seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini tidak menggambarkan semangat itu. Adakah tindakan ini memenuhi slogan rakyat berbilang kaum saling menghormati dan sikap toleransi? Kumpulan itu menggunakan cara fanatik untuk menolak pembinaan rumah ibadat agama lain.

Bagi mereka kerana kawasan itu majoritinya penduduk Melayu, maka tidak seharusnya dibina sebuah kuil. Tetapi kenapa orang Cina di Kampung Baru tidak pula pernah membantah orang Islam membina masjid dan orang India membina kuil?

Selepas 52 tahun merdeka, kemunculan kumpulan fanatik ini semakin banyak dan puncanya hanya satu iaitu cara penyampaian kerajaan dan apa yang dilakukan oleh institusi kerajaan adalah berbeza.

Modul pendidikan, pengajaran agama, propaganda media Melayu dan kesedaran serta perilaku UMNO dan BN selama ini telah merosakkan segelintir rakyat kita.

“Suatu ketika dahulu, masjid, gereja, kuil dan rumah berhala boleh berada di kawasan yang sama dengan begitu aman, tenteram dan bahagia. Tetapi keadaan itu tidak dapat lagi kita kecapi hari ini. Malaysia berumur 52 tahun tetapi seperti berundur ke belakang,’’ tegas rencana tersebut.

Akhbar Sinchew Jitpoh dalam ruangan Pendapat pada 5 September menerbitkan sebuah artikel mengenai imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Menurut artikel itu, dalam kancah ekonomi dan politik tempatan yang menggusarkan, peta Malaysia di dunia semakin hari semakin pudar dan menghilang. Dagangan antarabangsa Malaysia hanya dua kali ganda daripada dagangan dalam negara. Maksudnya, negara banyak bergantung kepada luar untuk mencari makan.

Kes sebat membabitkan hukuman syariah dan insiden kepala lembu juga memberi tanggapan kepada dunia bahawa kita mempunyai kumpulan fanatik. Keamanan yang semakin teruk merosakkan perjalanan demokrasi. Termasuk kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan dan merampas kerajaan di Perak.

Semuanya merosakkan imej Malaysia di arena antarabangsa. Pelabur asing mungkin memikirkan mengenai Malaysia tidak sampai seminit kerana banyak cerita negatif.
Mereka melihat jiran Malaysia iaitu Indonesia mahukan kemajuan, justeru pada masa depan negara mana yang akan dipilih oleh pelabur asing ini?

Jangan lupa nasib sesebuah negara tidak berkekalan. Malaysia pernah melalui zaman kegemilangan yang lebih baik dari Taiwan.

Mungkin pada satu hari nanti kita pula menjadi buruh asing di Indonesia?

Friday, September 11, 2009

MAAFKAN CIKGU!!!

Petikan drpd http://blogs.iium.edu.my/martinelli/2009/06/18/maafkan-cikgu/

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.

Ceritanya: Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah. “Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

"Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.” Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu,

“Maafkan cikgu, …….” Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;

i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Wednesday, September 09, 2009

MAKHLUK ASING, IMEJ POLIS DAN HADIAH KERAJAAN

Saya tertarik bila membaca rencana ini. Biasanya saya 'post' rencana berkaitan pekerja asing, hari ini berita berkaitan makhluk asing yang digambarkan dalam akhbar Sinchew Jitpoh. Jadi kepada yang tidak baca UM hari ini, boleh baca disini.

RENCANA UTUSAN MALAYSIA, 9 September 2009 (09.09.09)

AKHBAR Sinchew Jitpoh menerusi ruangan Pandangan pada 2 September lalu menyiarkan artikel bertajuk Gangguan Makhluk Asing. Artikel ini mengaitkan kehadiran ‘makhluk asing’ pada tiga situasi berbeza iaitu dalam kes kepala lembu di Shah Alam, Selangor; Mesyuarat Agung MCA dan pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dalam kes di Shah Alam, kepala lembu sudah hilang entah ke mana dan orang yang mengangkatnya juga ghaib. Mereka yang berdemonstrasi membantah pembinaan kuil tiba-tiba menjadi golongan yang mahukan penyelesaian secara aman kerana menghormati agama lain.
Keadaan ini disamakan dengan filem District 9 apabila manusia menyentuh DNA makhluk asing, maka mereka boleh menggunakan kelengkapan makhluk asing tersebut. Jika bukan makhluk asing yang singgah ke Shah Alam dan meninggalkan ‘sesuatu’, bermakna penduduk di Seksyen 23 telah menyentuh DNA makhluk asing.

Mereka telah dirasuk dengan aliran elektronik makhluk asing sehingga bukan sahaja dapat mengendalikan peralatan seperti kepala lembu, malah boleh menggunakan bahasa makhluk asing bertutur.

Sekarang makhluk asing itu telah ghaib. Mereka yang mengangkat kepala lembu juga tidak dapat dikenal pasti. Mereka berkata, tidak pandang rendah agama lain dan sayangkan keamanan.

Wah! Ini semua bencana daripada makhluk asing.

Dalam isu dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pula kehadiran ‘makhluk asing’ dikaitkan apabila perwakilan tidak tahu mesyuarat mana harus dihadiri. Tidak tahu siapa yang perlu didengar dan usul mana harus disokong.

Tujuan mesyuarat adalah sama, tetapi peliknya apa yang akan diusulkan berbeza. Seorang pemimpin disyaki memang ‘seekor’ makhluk asing kerana tidak tahu perasaan ahli MCA dan tidak tahu apa yang difikirkan oleh masyarakat Cina. Mereka menggunakan cara makhluk asing mengendalikan MCA, maka MCA adalah parti pertama yang menjadi makhluk asing.

Dalam isu di Permatang Pasir, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kekalahan BN disebabkan kurangnya penduduk yang keluar mengundi.

Jika peratusan mencecah 85 peratus, BN pasti menang. Hakikatnya BN kalah 4,551 undi, bukan 51 atau 551 undi. Menggunakan logik akal, jika jumlah pengundi mencapai 85 peratus dan semua memberi undi kepada BN, BN masih kalah.

Melainkan jika menggunakan ilmu kirakira dan akal makhluk asing. Kelebihan makhluk asing amat luar biasa, jika tidak mereka tidak mungkin sampai ke bumi.
Oh Tuhanku! Makhluk asing memang benar telah hadir!

Akhbar China Press pada muka depan ruangan Bisnes, 3 September pula menyiarkan artikel membandingkan ‘hadiah’ oleh kerajaan ini dengan kerajaan Macau. Artikel yang bertajuk ‘Kenapa orang lain dihadiahkan gula-gula, kita dihadiahkan bom’ menyentuh mengenai usaha Macau memberikan antara RM2,278 hingga RM2,733 kepada rakyatnya bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Sebaliknya di Malaysia, selepas 52 tahun merdeka, kita semakin berundur ke belakang. Sikap berdolak-dalik masih tidak berubah dari dulu hingga sekarang.

Pada sambutan Hari Kemerdekaan, kerajaan memberi ‘Hadiah Besar’ yang tidak mungkin dilupakan. Apabila membuka bungkusan hadiah itu, ia adalah “sebutir bom”. Harga minyak naik. Bermula 1 September, RON95 dan RON97 naik kepada RM1.80 dan RM2.05.

Akhbar itu pada 7 September turut menyiarkan rencana mengenai tanggapan orang ramai terhadap pihak polis bertajuk ‘Apa yang mahu dijawab oleh pihak polis?'.
Artikel ini memetik kaji selidik online oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapat maklum balas 735 orang.

Daripada jumlah itu, 73 peratus mengatakan mereka marah apabila ternampak polis. Seramai 70 peratus menyatakan dipaksa memberi rasuah kepada polis manakala lebih 92 peratus berpendapat polis perlu lebih banyak membuat rondaan.

Sebanyak 89 peratus menyatakan kerajaan perlu menubuhkan badan bebas luar untuk mengawasi keberkesanan tugas polis. Apa pandangan terhadap keputusan soal selidik ini? Mengikut perangkaan soal selidik awal, polis adalah satu-satunya badan yang paling kuat rasuah dan keyakinan orang ramai terhadap polis menjunam.

Hakikatnya, imej polis di kaca mata orang ramai adalah buruk. Jarang berlaku di mana-mana negara sekiranya berlaku rompakan tidak dilaporkan kepada polis. Tetapi di negara ini, ramai yang dirompak lebih suka tidak melaporkannya. Kenapa orang ramai tidak mahu membuat laporan?

Pertama, polis banyak membuang masa menyoal mangsa. Atau polis menyiasat dan membuat banyak andaian. Kedua, tidak banyak kes yang berjaya diselesaikan. Atau pun jika ada tangkapan, selalu kedengaran orang kata ‘tangkap di pintu depan, lepaskan di pintu belakang’. Ketiga, selepas aduan dibuat, polis lambat datang dan memberi peluang kepada penjenayah melepaskan diri.

Keempat polis seperti satu negara dua sistem. Berlaku pilih kasih sehingga mengetepikan keadilan. Kelima polis selalu jaga lorong-lorong kecil jalan mati dan tangkap pesalah lalu lintas. Adakah pihak polis benar-benar menjalankan tugas? Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis adalah sifar.

Kelolaan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Sunday, September 06, 2009

TEKONG DARAT DICEKUP

MINGGUAN MALAYSIA, 6 September 2009
HANIZA HASSAN utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 5 Sept. - Kerana berputus asa dengan pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, Lan (nama samaran) sanggup mengambil risiko menjadi seorang tekong darat kerana terpesona dengan upah yang lumayan.

Namun, seperti perumpamaan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga apabila Lan, 29, yang dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen, baru-baru ini mengaku amat menyesal atas tindakan salah di sisi undang-undang yang diambilnya itu semata-mata kerana upah lumayan.

Menceritakan pengalamannya, Lan memberitahu, dia menjalankan tugasan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan ke lokasi untuk diseludup keluar melalui perairan negeri Johor.

"Sebelum ini dah macam-macam kerja saya buat, tapi tak jalan. Itu sebab saya ambil keputusan untuk jadi tekong darat.

"Lagipun, upah yang diterima juga sangat lumayan dan jauh beza dengan upah yang saya terima ketika kerja lain dulu," katanya yang berasal dari Mersing.

Lan baru bekerja sebagai tekong darat kira-kira enam bulan lalu mengaku menerima gaji tetap sebanyak RM1,500 sebulan. Katanya, bayaran berkenaan tidak termasuk upah membawa PATI ke lokasi yang diarahkan untuk diseludup keluar menaiki bot di pangkalan haram sama ada di Sungai Tiram atau Sungai Rengit.

Bagaimanapun, dia enggan memberitahu jumlah sebenar upah yang diperolehnya.

"Saya hanya ditugaskan untuk membawa PATI ke rumah transit ini dan pangkalan haram oleh seseorang yang saya tidak kenal. Apa yang penting, saya dapat wang untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.

Turut ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Johor di sebuah rumah transit di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram hari ini ialah 10 lagi tekong darat dan 39 PATI.

Ditanya adakah dia tidak menyesal kerana melakukan pekerjaan yang melanggar undang-undang, Lan memberitahu, selepas ditahan barulah dia rasa menyesal. Jika dulu, dia berbangga dengan kerjanya itu namun kini, hanya penyesalan yang bermukim di hatinya.

"Bila ditangkap, barulah terbayang wajah keluarga. Apa nasib mereka jika saya ke penjara," katanya sebak.

HANYA SATU KISAH......

Kisah ini dihantar ke salah satu email groupku. Tidak pasti ianya kisah benar atau sebaliknya. Apa-apa pun, apa yang menjadi tarikanku ialah erti sebuah NILAI, dalam diri insan yang bernama adik dalam petikan itu.

Alangkah indahnya jika NILAI ini dimiliki oleh ramai insan. Tidak mementingkan diri. Bak kata "SAHABAT didahulukan, NILAI pula diutamakan'.

Bacalah hingga selesai. Kemudian komenlah apa yang anda rasa. Kita kongsi bersama.


Hanya satu kisah...Aku cuma ada seorang adik. Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.

Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah.

Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.

Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,

"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,

"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" "Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?

"Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi adik.Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,"

Aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti.

"Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada.

Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.... ."Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!""Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"Tergesa-gesa aku keluar bilik.

Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab,

"Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,

"Akak tak peduli apa orang lain kata."Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,

"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.

"Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan."Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak... Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu. Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kataku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,

"Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab,
"Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya."Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Sekadar menghitung diri, apakah nilai yang turut sama kita bawa dengan kecemerkangan akademik yang kita miliki.

"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat... dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.."

Salam sahabat.

RM28 JUTA BINA KUARTERS BARU

MINGGUAN MALAYSIA, 6 September 2009
SAIFULIZAM MOHAMAD pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan projek pembinaan kuarters baru dengan peruntukan RM28 juta untuk kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menetap di kuarters jabatan itu di Batu 2 1/2 Cheras di sini.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat apabila kerajaan mendapati kuarters yang didiami oleh kira-kira 74 keluarga kakitangan JKR tersebut terlalu uzur dan daif.
Ujarnya, pembinaan kuarters baru berkenaan iaitu dua blok lapan tingkat akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan.

‘‘Baru-baru ini Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman (Abu Mansor) telah memberitahu saya keadaan bagaimana kakitangan JKR tinggal kuarters yang daif dan buruk. Oleh itu beliau mencadangkan supaya saya melawat ke tempat ini hari ini.

‘‘Sukacita saya maklumkan bahawa berdasarkan keperluan dan keprihatinan kerajaan untuk mengatasi masalah ini, kerajaan akan membangunkan kuarters baru di kawasan Batu 4 1/2 , Jalan Sungei Besi melibatkan 120 unit kelas G,’’ katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kawasan itu di sini hari ini.

Kedatangan Najib bersama Shaziman disambut oleh kakitangan JKR yang tinggal di kuarters berkenaan. Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rumah yang bakal didiami oleh kakitangan terlibat amat selesa kerana setiap unit mempunyai keluasan 110 meter persegi, tiga bilik tidur, tiga bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan akan disediakan di kuarters baru itu antaranya 200 tempat meletak kereta, surau, padang permainan, taman permainan, taman asuhan kanak-kanak dan dua gelanggang futsal.

‘‘JKR akan memanggil tender dalam tempoh sedikit masa lagi,’’ katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja semua kakitangan berpindah kuarters sedia ada akan dirobohkan.

‘‘Memang kuarters ini keadaannya sungguh daif dan tidak sesuai lagi. JKR buat bangunan dan jalan raya yang cantik untuk orang lain tetapi kakitangannya tertinggal sedikit,’’ katanya. Sementara itu, Najib berkata, pendekatan tinjauan mesra seperti yang diamalkan ketika ini akan diteruskan.

‘‘Ini adalah pendekatan yang saya lihat amat sesuai dan bila saya membuat tinjauan mesra ia tidak terhad kepada penjaja kecil atau orang biasa tetapi turut melibatkan kakitangan kerajaan juga,’’ katanya lagi.

Shaziman ketika ditemui selepas itu berkata, usaha pihak kementerian menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada kakitangan adalah bagi memenuhi hasrat Perdana Menteri dalam mengutamakan rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia.

GAJI AMAH INDONESIA

BERITA MINGGU 6 September 2009
Ziauddin Sharuddin zia@bharian.com.my

Malaysia pertimbang cari pembantu rumah dari beberapa negara lain SEREMBAN: Kementerian Sumber Manusia tidak akan memberi pandangan mengenai isu tuntutan gaji pembantu rumah Indonesia sebanyak RM800 sebulan sehingga mengetahui hasil mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Indonesia di Jakarta. Menterinya, Datuk S Subramaniam, berkata pegawai kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mengadakan mesyuarat dengan pegawai dari negara jiran itu, susulan mesyuarat terdahulu di Kuala Lumpur, beberapa minggu lalu.

"Saya tidak mahu buat pengumuman, penjelasan atau pandangan... biarkan mereka bermesyuarat, selepas itu saya akan beri pandangan," katanya selepas merasmikan Skim Latihan dan Penempatan Pekerjaan (SLP) di Kolej Tafe, Sikamat, dekat sini semalam.

Beliau berkata, jika Indonesia tetap mahu gaji ditetapkan RM800, ia mungkin menyebabkan beberapa negara lain dipertimbangkan sebagai pilihan seperti Laos, Kemboja, India dan Sri Lanka selain Irian Jaya dan China. Laporan media Indonesia menyatakan kerajaan republik itu akan mengemukakan usul gaji pembantu rumah negara mereka dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 pada Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Kerja Malaysia-Indonesia bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia di Jakarta.

Subramaniam berkata, tuntutan gaji minimum juga dikemukakan negara lain seperti India yang menuntut pekerja tidak mahir dari negara itu dibayar RM700 sebulan, tetapi tuntutan gaji tinggi selalunya menyebabkan jumlah pekerja asing kian berkurangan.

"Pembantu rumah Filipina di negara ini yang pada suatu masa berjumlah kira-kira 50,000 orang kini semakin berkurangan berbanding kira-kira 280,000 pembantu rumah Indonesia," katanya. Beliau berkata, isu membabitkan pembantu rumah Indonesia berlaku akibat laporan media massa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu yang menggambarkan mereka ditindas majikan di negara ini, sedangkan majoriti majikan memberi layanan dengan baik.

Sementara itu, katanya, kementerian akan memperkenalkan dasar baru menjalin kerjasama lebih erat antara 27 institusi latihan di bawahnya dan swasta bertujuan memanfaatkan sumber kepakaran dan kemudahan kedua-dua sektor untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi di negara ini.