Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Tuesday, February 23, 2010

SURAT: BELIA PATUT MANFAAT BANTUAN RM100 JUTA MAJUKAN DIRI

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010

SAYA merujuk surat ‘RM100j bantu belia timba ilmu’ yang disiarkan 16 Februari lalu. Belia golongan yang perlu mempunyai kekuatan ilmu dan menguasai kemahiran sebagai benteng menangkis dugaan dalam dunia serba mencabar ini. Tiada siapa dapat menafikan pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara kerana jumlah mereka yang ramai, menjadi modal insan serta aset penting kepada pertumbuhan dan pembangunan negara. Kegagalan negara melahirkan belia produktif mengganggu penjanaan modal insan dan pembangunan negara yang sihat. Kerajaan perlu terus melaksanakan program yang memperkasa dan melengkapkan belia dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni supaya mereka dapat menyumbang secara berkesan kepada kesejahteraan negara serta masyarakat.

Justeru, usaha kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Kementerian Sumber Manusia pada tahun ini untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada pelatih di pusat latihan bertauliah seluruh negara perlu disambut baik oleh belia. Peluang meningkatkan kemahiran dan ilmu perlu sentiasa wujud dalam diri belia. Mereka perlu merebut peluang yang diberikan untuk memajukan diri.

Peruntukan itu digunakan untuk menampung kos melahirkan kira-kira 15,000 tenaga mahir terutama golongan muda. Diharap peruntukan PTPK dapat menambah belia berpengetahuan dan berkemahiran. Ia juga mengajar belia bertanggungjawab, berdisiplin dan dinamik. Paling penting ialah belia dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangun negara.

Pencapaian akademik individu berbeza mengikut kemampuan. Pemilihan kerjaya juga banyak bergantung kepada minat, pencapaian akademik dan keupayaan seseorang. Belia yang tidak dapat melanjutkan pelajaran masih boleh memilih bidang kemahiran yang menjanjikan masa depan cemerlang. Bagi yang memperoleh pinjaman perlu membayar kembali selepas tamat latihan dan mendapat pekerjaan. Kegagalan berbuat demikian menyekat peluang belia yang berminat mengikuti program ini. Belia yang berjaya mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

PROF MADYA DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia.

MAKMAL KHAS KAJI URUSAN AMBIL BURUH ASING DITUBUH

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010
Oleh Johari Ibrahim dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Sebuah makmal khusus diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditubuhkan bagi meneliti dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung pengurusan pengambilan pekerja asing bagi membolehkan tenaga kerja asing hanya diambil mengikut keperluan pada masa depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, antara fungsi lain makmal berkenaan termasuk meneliti dasar dan prosedur semasa pengambilan pekerja asing; fungsi syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing dan meneliti undang-undang sedia ada. Beliau berkata, makmal yang diterajui oleh KDN diberi tempoh antara satu hingga dua bulan untuk mengemukakan laporan dan maklum balas kepada kerajaan.

"Dari situ kita akan melihat apakah langkah baru dan pendekatan baru yang perlu ambil untuk memastikan pengambilan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan dan di samping itu ada sistem kawalan yang lebih rapi. "Kita juga cadangkan makmal melihat sistem bagaimana kemasukan pekerja asing dan kepulangan mereka selepas tempoh masa bekerja tamat, diuruskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, di sini, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai fungsi 277 syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing yang mana syarikat yang tidak aktif atau gagal mematuhi peraturan akan ditamatkan lesennya. Katanya, negara juga memerlukan sistem pemantauan pekerja asing yang lebih kemas bagi memastikan tenaga kerja asing yang dibawa masuk tidak disalahgunakan atau melanggar syarat.

Pada masa sama, katanya, makmal berkenaan akan turut memberi cadangan mengenai insentif tertentu kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan dalam bidang tertentu. Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar berkaitan pekerja asing itu secara berhemah supaya tidak mengganggu ekonomi negara.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, KDN juga diarahkan untuk membuat kajian terhadap kos sebenar pekerja asing di negara ini termasuk bayaran levi, perkhidmatan rawatan yang digunakan serta penggunaan subsidi minyak yang turut dinikmati mereka. "Jadi saya minta kementerian buat anggaran apakah kos sebenar, juga kos sepatutnya ditanggung majikan untuk dibuat perbandingan kos majikan membayar pekerja asing dengan kos gaji dan imbuhan pekerja tempatan,” katanya.

MAKMAL KHAS KAJI URUSAN AMBIL BURUH ASING DITUBUH

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010
Oleh Johari Ibrahim dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Sebuah makmal khusus diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditubuhkan bagi meneliti dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung pengurusan pengambilan pekerja asing bagi membolehkan tenaga kerja asing hanya diambil mengikut keperluan pada masa depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, antara fungsi lain makmal berkenaan termasuk meneliti dasar dan prosedur semasa pengambilan pekerja asing; fungsi syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing dan meneliti undang-undang sedia ada. Beliau berkata, makmal yang diterajui oleh KDN diberi tempoh antara satu hingga dua bulan untuk mengemukakan laporan dan maklum balas kepada kerajaan.

"Dari situ kita akan melihat apakah langkah baru dan pendekatan baru yang perlu ambil untuk memastikan pengambilan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan dan di samping itu ada sistem kawalan yang lebih rapi. "Kita juga cadangkan makmal melihat sistem bagaimana kemasukan pekerja asing dan kepulangan mereka selepas tempoh masa bekerja tamat, diuruskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa

Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, di sini, semalam. Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai fungsi 277 syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing yang mana syarikat yang tidak aktif atau gagal mematuhi peraturan akan ditamatkan lesennya. Katanya, negara juga memerlukan sistem pemantauan pekerja asing yang lebih kemas bagi memastikan tenaga kerja asing yang dibawa masuk tidak disalahgunakan atau melanggar syarat.

Pada masa sama, katanya, makmal berkenaan akan turut memberi cadangan mengenai insentif tertentu kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan dalam bidang tertentu. Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar berkaitan pekerja asing itu secara berhemah supaya tidak mengganggu ekonomi negara.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya. Beliau berkata, KDN juga diarahkan untuk membuat kajian terhadap kos sebenar pekerja asing di negara ini termasuk bayaran levi, perkhidmatan rawatan yang digunakan serta penggunaan subsidi minyak yang turut dinikmati mereka.

"Jadi saya minta kementerian buat anggaran apakah kos sebenar, juga kos sepatutnya ditanggung majikan untuk dibuat perbandingan kos majikan membayar pekerja asing dengan kos gaji dan imbuhan pekerja tempatan,” katanya.

CADANGAN TINGKATKAN TAHAP LATIHAN SKM SEDANG DIKAJI

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

KLANG 22 Feb. - Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti untuk meningkatkan tahap latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan kelulusan ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah itu wajar berikutan peningkatan permintaan industri terhadap tenaga kerja dalam pelbagai bidang kemahiran yang semakin ketara pada masa ini. Melalui usaha tersebut, katanya, pelatih yang mengikuti 6,000 bidang latihan di bawah SKM berpeluang memperoleh kemahiran di peringkat yang lebih tinggi berbanding latihan sekarang yang bertaraf diploma di IPT.

"Kita mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

"Oleh itu pihak kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja sedang meneliti daripada pelbagai aspek bagi membolehkan tahap pengajian SKM ditingkatkan ke taraf diploma lanjutan sehingga ke peringkat PhD," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 80 peserta Program Jarum Emas Modal Insan Fasa 1 anjuran Pertubuhan Pembangunan Keluarga dan Wanita (PPKW) di pusat latihan jahitan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPKW, Jani Wahab serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kapar, Norliza Ahmad. Menurut Maznah, bagi tujuan berkenaan pihaknya turut mengkaji untuk meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006. Katanya, ia supaya usaha menaik taraf SKM dapat dilaksanakan sebelum perkara itu dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

"Ia termasuk mengkaji dari segi kemudahan, peralatan pembelajaran serta tenaga pengajar yang benar-benar berkelayakan.

"Malah, usaha menaik taraf tahap pengajian ini akan melibatkan kesemua 6,000 bidang di bawah SKM yang ditawarkan ketika ini," katanya.

Beliau berharap langkah menaik taraf SKM dapat menukar persepsi masyarakat yang memandang rendah bidang kemahiran berbanding akademik walaupun ia sebenarnya penting bagi memacu pertumbuhan negara pada masa depan.

Ini kerana, jelasnya, bidang kemahiran bukan hanya boleh dipraktikkan dalam sektor industri, malah ia boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada individu yang menguasainya.

RM132.2 MAJUKAN SIMUNJAN

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

SAMARAHAN 22 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM132.2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek di daerah Simunjan sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. Perdana Menteri berkata, daripada jumlah tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM123 juta bagi membina jalan raya yang menghubungkan Kampung Gedong ke Pekan Simunjan malah tender projek tersebut sedang dibuka.

Menurut beliau, kerajaan juga meluluskan peruntukan sejumlah RM9 juta bagi menaik taraf serta membesarkan jalan di Kampung Pantong, dekat sini.

''Bagi mengatasi masalah banjir di pekan Simunjan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek mendalamkan Sungai Simunjan Lama dengan memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada tahun ini manakala RM1 juta lagi pada tahun depan.

''Sementara itu, peruntukan sebanyak RM2.2 juta pula diluluskan kerajaan untuk projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di lapan buah kampung di sekitar Kampung Gedong dan Pekan Simunjan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap selepas meninjau projek tebatan banjir di Kampung Nenas, Kampung Kelaka dan Tebingan Sungai Simunjan Lama dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 penduduk menyambut ketibaan Perdana Menteri di Pekan Simunjan sebelum beliau melakukan Tinjauan Mesra di Pasar Pekan Simunjan serta bersalaman dengan rakyat selama kira-kira 30 minit.

Dalam pada itu Najib berkata, beliau berasa kagum dengan sambutan luar biasa penduduk di daerah Simunjan terhadap kehadirannya ke pekan tersebut dengan menyifatkan keadaan itu menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih dekat di hati rakyat.

Pada masa yang sama katanya, beliau dapat merasakan semangat 1Malaysia turut dihayati, difahami serta disambut secara menyeluruh oleh para penduduk sehingga ke pekan kecil seperti di daerah Simunjan ini.

''Ini kerana kita semua faham bahawa sebagai sebuah negara yang dikatakan kaya dengan kepelbagaiannya, maka kalau peribahasanya, jika tuah ayam dilihat di kakinya, tuah Malaysia pada rakyatnya.

''Rakyat perlu bersatu padu dalam satu ikatan, hormat menghormati antara satu dengan yang lain tidak mengira di mana kita berada tetapi kita dalam satu ikatan iaitu 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Najib menegaskan, pelayaran rakyat di negara ini masih diibaratkan satu pelayaran yang panjang yang menjangkau beberapa generasi kepimpinan negara dan negeri.
Namun jelasnya, apa yang penting adalah pelayaran negara ini membawa rakyat kepada satu peningkatan daripada takuk yang lama kepada takuk baru seperti Simunjan yang telah berubah menjadi bandar yang jauh lebih maju daripada sebelum ini.

''Begitu juga dengan negara ini yang dulunya kira-kira 60 peratus penduduknya miskin dan daif malah hanya bergantung kepada sumber pertanian getah, bijih timah, tiada bandar besar, golongan cerdik pandai serta sebagainya.

''Tetapi itu zaman dahulu dan berkat kesungguhan kepimpinan sejak dulu maka kita dapat melihat Malaysia telah berubah wajah menjadi sebuah negara yang dilihat sebagai mempunyai masa depan yang begitu baik dan cerah sekali," ujarnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan kepada rakyat bahawa selagi kerajaan BN memerintah sama ada di peringkat Pusat dan negeri, maka kerajaan mampu menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini.

SPA: HATI-HATI AMBIL PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

PUTRAJAYA 22 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta lebih berhati-hati dalam meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing terutama bagi perkhidmatan spa.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menegaskan, ini bagi mengelakkan pihak tertentu menyalahgunakan kelulusan kemasukan pekerja asing tersebut.

"Kita meminta supaya kementerian yang diberikan kuasa menimbang dan meluluskan pekerja asing harus lebih hati-hati supaya ia tidak disalah gunakan pihak tertentu.

"Sebagai contohnya bagi perkhidmatan spa, kita dapat maklumat sebahagian daripada mereka tidak bekerja di spa tetapi bekerja di tepi-tepi jalan sebagai tukang urut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKK-PATI) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pekerja asing tersebut didapati telah melanggar syarat kelulusan kemasukan di negara ini dan tindakan akan diambil ke atas mereka. Beliau berkata, kerajaan juga mahu sektor yang menggambarkan ciri Malaysia seperti pelancongan mematuhi keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu hanya mengambil pekerja tempatan bagi perkhidmatan barisan hadapan.

"Bagaimanapun, kita lihat sebahagian hotel menggunakan pekerja asing untuk perkhidmatan barisan hadapan.

"Kita patut berikan kepada orang tempatan supaya mereka dapat menunjukkan adat resam kita sebagai daya tarikan, kalau pekerja asing ada yang tidak faham bahasa kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu KDN membuat kajian tentang kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh majikan dan kerajaan bagi pengambilan pekerja asing. Katanya, kos tersebut antaranya membabitkan pembayaran levi, rawatan di hospital kerajaan dan minyak bersubsidi dibeli oleh pendatang asing.

"Buat satu anggaran apakah kos sebenar dan kos yang patut ditanggung majikan bagi mengambil pekerja asing berbanding jika ambil pekerja tempatan," jelasnya.

BANTERAS PEKERJA ASING BERNIAGA

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

PUTRAJAYA 22 Feb. – Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah membanteras pekerja asing yang berniaga secara tidak sah di pasar-pasar di seluruh negara. Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan turut dikenakan ke atas peniaga tempatan yang bersekongkol dengan menyerahkan lesen mereka kepada warga asing.

‘‘Kita akan kenal pasti status pekerja asing di pasar iaitu sama ada dia hanya berperanan sebagai pekerja atau terlibat dengan aktiviti jualan.

‘‘Penguat kuasa boleh dapatkan maklumat daripada peniaga sekeliling untuk kenal pasti status pekerja asing berkenaan, mereka tahu sama ada pemegang lesen pernah muncul di gerai atau menyerahkan gerainya kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini hari ini. Muhyiddin berkata, kemunculan peniaga warga asing di pasar termasuk di pasar malam telah menjejaskan perniagaan penjaja tempatan.

‘‘Mereka (pekerja asing) sepatutnya bekerja di sini dan bukannya menjalankan perniagaan, lebih-lebih lagi jika terdapat PATI yang turut berniaga,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan pada masa ini belum memutuskan untuk menjalankan operasi besar-besaran ke atas PATI.

‘‘Pembanterasan PATI dijalankan secara sepanjang masa, kita tidak mahu sesiapa yang memasuki negara mengikut cara yang tidak sah.

‘‘Kita sedang meneliti keadaan, kita mahu hasilkan jalan penyelesaian jangka panjang menyeluruh mengenai isu pekerja asing.” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengumumkan penangguhan operasi membanteras PATI yang dijadualkan bulan ini.

Penangguhan itu dibuat selepas para majikan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membersihkan PATI sebelum penguatkuasaan dijalankan.

RM3.4 BILLION UNTUK SARAWAK

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010
Oleh FAUZI JAAFAR
pengarang@utusan.com.my

SRI AMAN 22 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghargai kepentingan Sarawak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri itu terutamanya untuk penduduk pedalaman yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pusat menyediakan pelan perancangan dan kaedah pelaksanaan yang rapi untuk mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dari segi pembangunan prasarana seperti bekalan elektrik, air bersih, pembinaan jalan raya dan rumah orang miskin di luar bandar di pedalaman Sarawak.

‘‘Tujuan saya datang (ke Sarawak) antaranya untuk melihat kejayaan yang telah kita lakukan serta untuk memberi komitmen dan keyakinan bahawa banyak lagi projek luar bandar akan kita laksanakan seperti akujanji kita kepada rakyat Sarawak di bawah konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) terutama sekali melibatkan pembangunan prasarana luar bandar,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan begitu komited untuk meningkatkan keperluan prasarana di bawah NKRA pembangunan prasarana yang boleh dilihat melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM3.4 bilion itu.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Najib berkata, laporan tentang program pembangunan prasarana itu akan dikeluarkan apabila tiba masanya kerana ada daripada projek tersebut sedang dalam pelaksanaan untuk faedah rakyat yang menaruh kepercayaan kepada kerajaan sedia ada. Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan kini adalah untuk meneruskan kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Dalam hal itu kata beliau, apa yang dekat pada hatinya ialah mengenai pembangunan luar bandar kerana terpengaruh dengan sifat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia.

‘‘Allahyarham ayah saya berjalan beribu-ribu batu, beliau pernah pergi ke Kampung Pichin pada tahun 1966 dan saya juga telah ke sana pada tahun lepas. Saya tidak tahu macam mana ayah saya boleh sampai ketika itu,” kata beliau.

Najib memberitahu, salah satu misi yang dekat di hatinya dan ingin diselesaikan ialah agenda pembangunan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak. Turut mendapat perhatian beliau dalam ucapannya ialah mengenai janji pembangkang yang disifatkan sebagai janji ‘orang yang belum mendapat kuasa.’

‘‘Jangan ikut pembangkang yang datang bermusim. Bila orang tiada kuasa mudah untuk mereka menabur janji,” katanya. Najib berkata, pembangkang kini mengalami sindrom tidak percaya kepada pemimpin atasan yang banyak berlaku di Semenanjung dan apabila pemimpin atasan tidak dipercayai lagi, ia sudah tentu akan memberi kesan kepercayaan rakyat kepada parti pembangkang.

MAKMAL URUS PEKERJA ASING DITUBUH

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010
Oleh HELMI MOHD. FOAD dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kerajaan menubuhkan satu makmal pengurusan bagi meneliti secara keseluruhan isu pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kedudukan agensi penyumberan luar yang bertanggungjawab membawa masuk golongan tersebut ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, makmal yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dianggotai oleh lapan kementerian dan 15 agensi kerajaan yang berkaitan isu tersebut.

Beliau berkata, makmal berkenaan akan merumuskan bagaimana satu sistem dapat dibangunkan bagi memastikan pengambilan pekerja asing hanya berdasarkan keperluan selain kawalan keluar masuk pendatang yang lebih rapi.

‘‘Setelah berbincang, jawatankuasa bersetuju menubuhkan makmal pengurusan pekerja asing, ini akan mengambil kira dasar yang kita laksanakan seperti prosedur pengambilan, pentadbiran termasuk peranan agensi penyumberan luar dan undang-undang sedia ada.

‘‘Kita harap makmal tersebut dapat mengupas segala perkara, ini bermakna akan dilakukan penelitian menyeluruh tentang pengambilan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI (JKKPA-PATI) di sini hari ini.

Saturday, February 20, 2010

UNDANG-UNDANG TEGAS ELAK LAMBAKAN WARGA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 20 Februari 2010

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Lambakan warga asing boleh menyebabkan kecelaruan budaya di kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan perlu dikawal melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, tindakan sebilangan pendatang asing yang terus menetap di Malaysia tanpa dokumen sah boleh membawa bersama budaya yang menjejaskan kehidupan rakyat tempatan.

"Kehadiran berjuta-juta pendatang asing membawa bersama cara hidup mereka dan boleh menyebabkan taraf kehidupan rakyat Malaysia menurun.

"Ini berikutan ada pendatang yang membawa nilai atau cara hidup yang tidak sesuai dengan keperluan dan tata susila sosial di sini. Mereka juga akan berkembang biak (bersama budaya dan cara hidup yang dibawa)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kesan kebanjiran warga asing terhadap budaya rakyat Malaysia selepas melancarkan logo teater Kita - The Musical di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Tegasnya, jika undang-undang negara dikuatkuasakan sebaik mungkin dan dipatuhi warga asing, mereka terpaksa pulang ke negara asal selepas satu tempoh tertentu. Rais berkata, tanpa lambakan warga asing terutama yang masuk secara haram, masalah kecelaruan budaya tidak akan timbul.

MINDA PENGARANG: PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN GRADUAN BENTUK GENERASI MUDA DINAMIK

BERITA HARIAN, 20 Februari 2010

SEKTOR pengajian tinggi negara semakin berkembang dan data sehingga Oktober lalu menunjukkan kewujudan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 515 IPTS di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 20 IPTS berstatus universiti, 20 IPTS berstatus kolej universiti, lima IPTS berstatus kampus cawangan luar negara dan 470 IPTS (kolej). Selain itu ada 27 politeknik dan 63 kolej komuniti ditubuhkan di seluruh negara. Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia melalui sektor pengajian tinggi menyediakan akses yang besar kepada rakyat untuk ke IPT.

Berdasarkan statistik, seramai 437,425 pelajar sedang mengikuti pengajian mereka di IPTA iaitu jumlah yang amat besar. Namun, apakah kuantiti pelajar yang kita ada sekarang seimbang dengan kualiti yang diharapkan? Inilah persoalan yang perlu kita perhatikan kerana kualiti amat penting dalam menjamin graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Pembinaan kualiti pelajar ini boleh digarap melalui pelbagai pendekatan serta kaedah.

Berikutan itu, Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengandungi enam teras strategik dalam usaha menggalakkan pembangunan keusahawanan yang holistik di kalangan graduan.

Enam teras itu membabitkan penubuhan Pusat Keusahawanan di semua IPT;

1. menyediakan pendidikan dan program keusahawanan yang terancang serta holistik;
2. memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan;
3. mewujudkan mekanisme pengukuran yang berkesan;
4. menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif; dan
5. meningkatkan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan.

Seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dasar itu selaras usaha kementerian melahirkan modal insan berkualiti serta usahawan graduan yang bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Hakikatnya, dasar itu menggambarkan bagaimana nilai dan aktiviti keusahawanan, adalah pemangkin kepada perkembangan ekonomi di samping bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara. Pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang holistik amat signifikan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti tinggi serta melahirkan lebih ramai usahawan graduan.

Baru-baru ini juga Unit Keusahawanan dilancarkan di semua peringkat kementerian, Jabatan Pengajian Tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti dalam usaha menyuntik nilai keusahawanan di kalangan pelajar kita supaya menjadi generasi muda yang dinamik, inovatif dan kreatif. Kita berharap mahasiswa memberi kerjasama yang sebaik mungkin terhadap usaha kementerian itu.

Setiap universiti terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mesti sentiasa dinamik dalam merangka pelan pembangunan pelajar yang mampu memberi impak tinggi kepada pelajar di samping sentiasa bersikap terbuka terhadap rancangan kerajaan, bukan menempelak setiap kali kerajaan mengemukakan idea untuk kemajuan diri mereka.

Thursday, February 18, 2010

TIGA BERADIK LUPAKAN SEKOLAH BANTU KELUARGA

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

JASIN 17 Feb. - Tiga beradik di Kampung Air Merbau di sini terpaksa melupakan alam persekolahan semata-mata mahu membantu keluarga yang dihimpit kemiskinan dan memastikan empat lagi adik mereka dapat meneruskan pelajaran.

Abang sulung daripada tujuh beradik berkenaan, Mohd. Firdaus Sulaiman, 21, nekad bekerja sebagai pembantu di sebuah syarikat pendawaian sejak meninggalkan alam persekolahan pada usia 15 tahun.

Langkah itu turut diikuti dua adiknya Mohd. Fauzi, 19, dan Ahmad Zaidi, 17, yang kedua-duanya bekerja sebagai buruh binaan. Keputusan berhenti sekolah lebih awal terpaksa dilakukan kerana bapa mereka, Sulaiman Mahat, 49, hanya bekerja sebagai pemandu lori buah kelapa sawit dan tidak mampu menyediakan kemudahan pembelajaran mereka.

"Pendapatan bapa RM700 sebulan tetapi ia juga bergantung pada waktu tertentu," kata Mohd. Firdaus ketika ditemui di sini semalam. Tiga lagi adiknya masih bersekolah iaitu Nornajihah, 14, Mohd. Ibrahim, 11, dan Mohd. Faizul, 5, yang bersekolah tadika, manakala yang bongsu Mohd. Fadzli baru berusia tiga tahun.

Nornajihah, pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Jasin pula menderita penyakit kencing manis dan perlu diberi suntikan dua kali sehari. Ibu mereka, Maznah Dulah, 42, juga tidak bekerja dan hanya menjadi surirumah.

Menurut Mohd. Firdaus, kehidupan serba kekurangan yang dihadapi keluarga mereka, memaksa dia berhenti sekolah sebelum sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Bagaimana nak sekolah jika semua kelengkapan terutama yuran sekolah tidak mampu disediakan, maklumlah pendapatan bapa juga tidak tetap. Kalau ada kerja, barulah ada gaji," katanya.

Mohd. Firdaus ditemui pada majlis gotong-royong mengecat rumah keluarganya di Kampung Air Merbau di sini, sempena program Jalinan Harapan anjuran Belia 4B Jasin yang disertai kira-kira 50 ahli belia Jasin dan cawangan Desa Kampung Air Merbau.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang juga Timbalan Pengerusi Alumni Belia 4B negeri, Hasan Abdul Rahman turut hadir menyempurnakan majlis itu dan mengambil kesempatan beramah mesra bersama ahli keluarga terbabit.

Mohd. Firdaus yang juga salah seorang ahli Belia 4B Jasin cawangan Desa Kampung Merbau berkata, dia terpaksa melupakan alam persekolahan bagi memberi peluang kepada adik-adiknya yang lain meneruskan pelajaran.

"Lepas berhenti sekolah, saya telah mencuba pelbagai kerja semata-mata mahu membantu keluarga. Jika sekolah pun tiada bantuan, lebih baik saya bekerja untuk bantu bapa," katanya.

Namun berbeza pula bagi adik perempuan tunggal Mohd. Firdaus, Nornajihah, biarpun menghadapi masalah kesihatan dan belajar dalam serba kekurangan, dia tetap bersemangat meneruskan pelajarannya.
Kata Nornajihah, walaupun dia agak kecewa dengan keputusan tiga abangnya berhenti sekolah, dia faham mereka mempunyai alasan berbuat demikian.
Katanya, dia bernasib baik berbanding adik beradiknya lain kerana keperluan sekolahnya masih mampu ditampung melalui bantuan RM300 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak setahun lalu.
"Dengan wang bantuan itu, saya dapat membeli pakaian dan kelengkapan sekolah lain termasuk jarum suntikan yang perlu diganti setiap hari untuk penyakit kencing manis yang saya hidapi sekarang ini," katanya.

JUAL KEROPOK RM5,000 SEHARI

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

KUALA TERENGANU 17 Feb. - Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina sejak Ahad lepas sehingga semalam membawa tuah kepada pengusaha keropok lekor Losong apabila kebanyakan mereka berjaya meraih hasil jualan sehingga RM5,000 sehari.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong (PPKL), Suhaimi Ali berkata, jualan semasa musim cuti baru-baru ini amat menggalakkan dengan kedatangan pelanggan yang begitu menggalakkan.

"Berbanding semasa wabak taun tiga bulan lepas, kami nak dapat RM1,000 sehari pun susah, namun alhamdulillah, semasa cuti Tahun Baru Cina ini pengunjung sentiasa penuh di gerai keropok kami," katanya di sini hari ini.

Suhaimi yang memiliki gerai keropok 'Warisan Losong' berkata, dianggarkan setiap pengunjung terutama dari luar Terengganu membelanjakan lebih RM100 untuk membeli keropok bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai buah tangan kepada saudara-mara serta rakan. Menurutnya, dia mengupah seramai 12 orang pekerja dan menggunakan 500 kilogram ikan segar untuk menghasilkan keropok lekor setiap hari bagi menampung permintaan semasa musim cuti itu.

''Saya buka gerai daripada pukul 9.30 pagi hingga 9 malam dan kami menerima pengunjung tidak putus- putus," katanya. Suhaimi berkata, orang ramai kini kembali meminati keropok lekor Terengganu selepas negeri itu tidak lagi dikaitkan dengan dengan wabak taun, sekali gus membuka lembaran baru kepada pengusaha keropok di negeri tersebut.

Selain di Losong, tinjuan Bernama di beberapa kawasan yang juga terkenal dengan keropok lekor seperti di Seberang Takir, Batu Rakit dan Pulau Kerengga sehingga petang semalam sesak dengan pembeli keropok dari luar Terengganu yang mengambil kesempatan membelinya sebagai buah tangan.

Seorang pembeli, Haryati Ismail, 32, dari Selayang, Selangor, berkata dia membelanjakan RM75 untuk membeli keropok lekor yang dipesan rakan sepejabat selepas mengetahui dia sekeluarga bercuti di negeri itu.

"Keropok lekor Terengganu istimewa dan lebih sedap kerana menggunakan lebih banyak ikan segar berbanding keropok lekor yang biasa kita makan di pasar malam yang ada di Selangor," katanya ketika ditemui. - BERNAMA

PENJUAL DAGING DISELAMATKAN PRESIDEN PAS

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

MARANG 17 Feb. - Seorang peniaga daging tidak dapat melupakan detik-detik cemas dia dihanyutkan arus laut selama hampir setengah jam ketika mandi di Pantai Rusila di sini pada Ahad lalu. Insiden hampir meragut nyawa warga emas itu, Ahamad Mat Zain, 60, bagaimanapun berakhir dengan kelegaan apabila dia diselamatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu sedang memancing di pantai tersebut.

"Saya cuba berenang ke darat tetapi gagal. Saya hampir putus asa apabila terminum banyak air lalu menjerit meminta tolong.

"Akhirnya saya lega dan bersyukur apabila tangan saya disambut orang selepas bertarung nyawa hampir setengah jam," kata Ahamad ketika menceritakan kejadian Ahad lalu itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Ahamad yang tinggal kira-kira lima meter dari pantai tersebut lemas ketika mandi di laut sebelum diselamatkan Abdul Hadi dan anaknya, Abdul Rahman, 28. Sewaktu kejadian, Ahli Parlimen Marang tersebut bersama beberapa ahli keluarganya sedang memancing di pantai berkenaan.

Menurut Ahamad, beberapa minit selepas dia berada dalam laut, kakinya tidak lagi memijak apa-apa menyebabkan dia menyedari dirinya ditarik ke tengah laut oleh arus laut yang kuat ketika itu. Dia kemudian cuba berenang ke tepi pantai untuk menyelamat diri tetapi tidak berjaya.

"Setiap kali dekat dengan pantai, saya akan ditarik semula ke tengah laut. Saya akhirnya rasa letih dengan telinga rasa bengang (berdesing) selain tidak boleh bernafas kerana terminum banyak air laut apabila saya menjerit meminta tolong.

"Apabila saya cuba berenang ke tepi pantai sekali lagi, kali ini tangan saya disambut oleh Abdul Hadi dan anaknya," kata Ahamad.

Sementara itu, isteri Ahamad, Mandak Deraman, 52, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu apabila seorang jiran memberitahu suaminya lemas.

"Apabila sampai di pantai, orang ramai sedang berkumpul. Mereka tidak berani untuk turun kerana ombak kuat.

"Jiran kami cuba menggunakan bot gentian kecil miliknya namun gagal. Ada yang cuba lemparkan pelampung kepada suami saya tetapi tidak berjaya," katanya.

Mandak berkata, dia berterima kasih kepada semua orang yang membantu menyelamatkan suaminya termasuk keluarga Abdul Hadi.

PUNCA KEBANJIRAN WARGA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kebanjiran terlalu ramai warga asing ke Malaysia berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang membawa masuk mereka ke negara ini.
Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, lesen yang diberikan kepada 262 agensi pekerja asing telah digunakan sepenuhnya oleh mereka tanpa melihat keperluan sebenar peluang pekerjaan di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila agensi yang terlibat melihat kemasukan pekerja asing sebagai satu bentuk perniagaan dan kuota yang diberi oleh kerajaan diguna sebaik mungkin bagi menjana lebih banyak keuntungan.

''Kita telah sarankan supaya dihentikan pemberian lesen kepada agensi terlibat bagi mengelak lambakan pekerja asing dan jika terdapat permintaan terhadap mereka, kita gunakan saluran perhubungan antara kerajaan ke kerajaan.

''Apabila terlalu banyak yang dibawa masuk, kadang-kadang mereka diletakkan di premis yang tidak sepatutnya malahan ada yang langsung tidak bekerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung kebanjiran warga asing di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara setiap kali cuti umum. Hishammuddin berkata, fenomena tersebut semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.

Menurutnya, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.
Shamsuddin berkata, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memantau penambahan warga asing di negara ini.

''Sebelum ini kita tidak bersungguh-sungguh dalam mengurangkan pekerja asing, contohnya semasa kegawatan ekonomi, seramai 300,000 telah dihantar pulang namun apabila ekonomi pulih, kira-kira 100,000 pula dibawa masuk.

''Tenaga kerja tempatan perlu digunakan bagi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan jika perlu, kita tubuhkan satu pusat sehenti penjagaan kanak-kanak untuk membolehkan suri rumah keluar bekerja,'' katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud pula berkata, kebimbangan Hishammuddin itu bukanlah perkara yang luar biasa dan mengejutkan.

Sebaliknya bagi beliau, kebanjiran mereka adalah disebabkan kelemahan pelaksanaan polisi yang tidak konsisten oleh kerajaan.

''Kerajaan perlu merangka polisi yang jelas tentang keperluan tenaga asing seperti menghentikan pemberian lesen kepada agensi-agensi sebaliknya kerajaan sendiri yang mengawal pengambilan tenaga asing.

''Kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya mengapa keadaan ini terus berlaku walaupun ia bukanlah suatu perkara yang baru,'' katanya.

'BUKAN LAMBAKAN, MEREKA PEKERJA SAH'

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

MANA-mana pihak yang berkunjung ke ibu kota pada cuti umum, pasti terkejut melihat kelibat warga asing yang memenuhi setiap ceruk Kuala Lumpur. Barangkali, kerana tiada warga tempatan yang lebih gemar pulang ke kampung halaman, kelibat mereka, antaranya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia mendominasi suasana sehinggakan timbul andaian berlaku lambakan luar biasa.

Bagi Jabatan Imigresen, agensi itu mempunyai data yang tepat sama ada pengamatan mata kasar tadi benar-benar mempunyai fakta bahawa wujudnya lambakan luar biasa warga asing di negara ini. Wartawan, SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM menemubual Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar senario itu.

UTUSAN Malaysia: Benarkah berlaku lambakan warga asing yang luar biasa di negara ini?
ABDUL RAHMAN: Sebenarnya bukan begitu. Mereka ini tiba di negara ini kerana keperluan industri yang mahukan mereka seperti sektor perkilangan yang mahukan pekerja atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahukan pelajar termasuk pelancong.

Adakah mereka ini pekerja asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang sah?
ABDUL RAHMAN: Mereka ini adalah pekerja yang mempunyai pas sehingga disahkan sebaliknya. Saya jangkakan hanya 10 peratus daripada mereka tinggal melebihi masa. Ini kerana bukan senang mereka nak datang ke negara ini seperti warga Nepal dan India. Mereka perlu naik dua atau tiga kapal terbang. Selain itu mereka perlu melalui penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk, lainlah kalau warga Indonesia, mereka boleh menyelinap masuk di 'jalan-jalan tikus'.

Walaupun mereka bekerja secara sah, adakah jumlah mereka membimbangkan?
ABDUL RAHMAN: Memang jumlah mereka menakutkan tetapi mereka hadir atas sebab dan tujuan. Namun kekhuatiran kita adalah mereka yang tinggal melebihi masa. Jadi, kita harap semua agensi bertanggungjawab seperti pengusaha kolej dan kilang memastikan mereka memiliki permit yang sah.

Mengikut rekod Imigresen, berapakah jumlah sebenar warga asing di negara ini?
ABDUL RAHMAN: Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen pada ketika ini terdapat 1.6 juta warga asing yang bekerja secara sah di negara ini. Ia meliputi 1.5 juta orang pemegang pas lawatan kerja sementara, 32,000 pemegang pas penggajian dan 22,000 pemegang pas iktisas.
Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.

Bagaimana penguatkuasaan Imigresen bagi memburu mereka yang datang secara tidak sah?
ABDUL RAHMAN: Operasi memburu warga asing tidak pernah berhenti terutama mereka yang terlibat dengan jenayah dan maksiat seperti pelacuran termasuk pembantu rumah. Cuma, tumpuan operasi besar-besaran melibatkan mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti pelayan restoran dan sebagainya.

NEGARA TERLALU BERGANTUNG KEPADA PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 18 Februari 2010

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kebanjiran warga asing yang dapat dilihat di sekitar ibu kota ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini menunjukkan betapa serius negara ini bergantung kepada pekerja asing.

Penganalisis sosial, Kamal Affendi Hashim berkata, jumlah pekerja asing yang ramai menunjukkan kebergantungan negara terhadap mereka kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan bagi pekerjaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan mereka keluar beramai-ramai memenuhi ibu kota ketika cuti panjang sejak Ahad lalu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mendapat pelepasan cuti dari majikan.

"Apa lagi yang mereka hendak buat, mereka bukan seperti kita yang menggunakan kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini. Bagaimanapun beliau menegaskan, jika lambakan pekerja asing tidak dikawal, keadaan itu boleh membawa kepada masalah sosial dan semua pihak harus memandang serius kesan daripadanya. Beliau merujuk beberapa kes jenayah yang melibatkan pekerja asing seperti pergaduhan dan kecurian.

"Kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara ini khususnya aspek perdagangan manusia yang melibatkan agensi-agensi pekerjaan yang mengambil kesempatan ke atas keperluan tenaga manusia di dalam negara," kata Kamal Afendi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berasa terkejut dengan lambakan warga asing semasa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Alwi Bavutty menjelaskan, kebanjiran warga asing tidak sepatutnya dilihat daripada sudut negatif.

"Sudah menjadi perkara biasa untuk siapa pun sahaja menggunakan musim cuti dengan keluar melakukan pelbagai aktiviti seperti berjumpa rakan-rakan," katanya. Bagaimanapun, Alwi berkata, pihak berkuasa masih boleh meletakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanjiran pekerja asing itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah turut berlaku ketika perayaan utama yang lain atau pada cuti hujung minggu.

"Malah ia turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain di Malaysia," katanya. Ditanya sama ada kebanjiran mereka dikaitkan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, perkara tersebut lebih berkait dengan persepsi masyarakat.

"Kebanyakan kita menggambarkan mereka sebagai PATI, tetapi mereka mempunyai permit yang sah dan bekerja dalam sektor yang penting," katanya. Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang terlalu ramai akan diberi perhatian bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan supaya tidak menjadi bebanan kepada negara kelak.

Justeru, beliau yakin, kerajaan akan terus berusaha menangani masalah itu termasuk mengambil tindakan kepada majikan yang menggunakan kesempatan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit.

Tuesday, February 16, 2010

PTPK SEDIA DANA BANTU PELAJAR TERCICIR JADI PEKERJA MAHIR

BERITA HARIAN, 16 Februari 2010
Oleh Minarni Mat Saad

SELARAS dengan Pelan Induk Latihan dan Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2002-2020 iaitu untuk melahirkan kira-kira 5.45 juta tenaga kerja berkemahiran menjelang 2020, kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang memberi pembiayaan kepada pelajar memasuki institusi latihan kemahiran.

Sebagai pembiaya latihan kemahiran, PTPK dapat membela nasib masyarakat negara ini terutama yang berpendapatan rendah dan tidak memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran. Bagaimanapun, dengan peruntukan kira-kira RM100 juta setahun, pembiayaan yang disalurkan melalui PTPK agak terhad dan jumlah pelajar institusi kemahiran yang menikmati faedah daripada program ini tidak mampu mencapai sasaran dikehendaki.

Ketua Eksekutif PTPK, Ali Badaruddin Abd Kadir, berkata PTPK membiayai pinjaman latihan kemahiran yang utama kepada pelatih di Penyedia Latihan Awam (PLA) dan Penyedia Latihan Swasta (PLS) dengan tumpuan kemudahan pinjaman kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar yang tercicir selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR). Beliau berkata, dalam usaha menyokong matlamat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir bagi mengisi keperluan industri negara, PTPK berhasrat memberi pembiayaan kepada lebih ramai peminjam setiap tahun.

"Setiap tahun, berpuluh ribu pelajar lepasan PMR dan SPM tidak dapat meneruskan pengajian dan tidak mempunyai hala tuju dalam bidang akademik. Bagaimanapun, apabila kerajaan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menganugerahkan sijil dalam bidang kemahiran, golongan muda itu kini berpeluang menyertai bidang kemahiran bagi menjamin masa depan mereka.

"Walaupun PTPK berhasrat membiayai seberapa banyak pelatih yang berminat tetapi dengan kemampuan kewangan terhad dan tiada penyedia latihan menawarkan bidang itu, masih ada program yang belum dapat dibiayai sedangkan bidang itu amat diperlukan sektor industri," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Ali Badaruddin berkata, jumlah pembiayaan yang meningkat sepanjang tahun mendorong kepada keperluan memperoleh dana lain selain hanya berharap kepada pungutan bayaran balik kerana setiap tahun purata pungutan pembayaran balik kepada PTPK hanya RM25 juta sedangkan keperluan pembiayaan pinjaman setiap tahun melebihi jumlah itu.

"Sehubungan itu, PTPK sebagai pembiaya latihan kemahiran amat memerlukan dana berterusan daripada kerajaan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menjana dan menggerakkan fungsi PTPK dalam membantu kerajaan mencapai hasrat misi nasional dan meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir tempatan," katanya. Pada masa sama, katanya, PTPK berusaha menghubungi semula peminjam untuk meminta mereka menjelaskan pinjaman dengan pelbagai pendekatan.

Buat masa ini, PTPK mendapat kerjasama Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia. Melalui dua saluran itu, PTPK dapat mengemaskinikan maklumat bagi 13,386 peminjam dan 17,463 penjamin yang gagal dihubungi selama ini. Bagi memastikan pelatih membuat bayaran balik pinjaman selepas tamat latihan, beliau berkata, PTPK melaksanakan beberapa program untuk mengingat dan menyedarkan mereka mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman sama ada melalui hebahan notis, meningkatkan promosi melalui media massa.

Ali Badaruddin berkata, prestasi pungutan bayaran balik pinjaman ini juga dipengaruhi pendapatan peminjam yang kecil selepas bekerja kerana kebanyakannya pekerja mahir itu menerima gaji sekitar RM700 hingga RM1,200 sebulan.

Sepanjang 2008, seramai 11,359 pelajar institusi kemahiran mendapat pinjaman RTPK dengan pembiayaan sebanyak RM100.22 juta menunjukkan peningkatan berbanding 2007 seramai 10,087 peminjam. Matlamat PTPK, katanya, untuk melahirkan seramai mungkin tenaga mahir yang kemudian mampu memenuhi keperluan industri bukan saja pada peringkat tempatan malah berupaya merebut peluang bekerja di luar negara.

MARA PERKETAT SYARAT PINJAMAN - Wajibkan Peniaga Namakan Penjamin

BERITA HARIAN, 16 Februari 2010
Oleh Norfatimah Ahmad tim@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperketatkan syarat untuk semua pinjaman perniagaan dengan mewajibkan peminjam menamakan sekurang-kurangnya seorang penjamin atau cagaran, termasuk untuk pinjaman serendah RM1,000. Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata langkah itu bagi memastikan setiap peminjam lebih bertanggungjawab dan menjelaskan ansuran bulanan pinjaman secara sistematik bagi mengelak sebarang gangguan kepada pusingan modal.

Beliau berkata, saranan ini adalah antara strategi yang digariskan Mara untuk memastikan sasaran kutipan sebanyak RM400 juta mencapai matlamatnya sepanjang tahun ini.

"Mulai tahun ini, Mara akan menggunakan sepenuhnya wang hasil kutipan pinjaman di kalangan peminjam untuk menyediakan pinjaman kepada usahawan Bumiputera yang mengemukakan permohonan. "Jika semuanya berjalan lancar, cadangan yang sudah dipersetujui di peringkat pengurusan Mara ini akan dikuatkuasakan serta merta dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Antara syarat baru pinjaman adalah menamakan penjamin sama ada pegawai kerajaan, swasta atau ahli perniagaan yang berpendapatan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman. Sebelum ini, penjamin tidak diperlukan untuk pinjaman perniagaan antara RM1,000 dan maksimum sebanyak RM500,000. Ibrahim berkata, sebagai organisasi pembangunan, langkah berkesan perlu dirangka dan dilaksanakan untuk memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat secara menyeluruh, bukan hanya menyalurkan bantuan untuk sebahagian saja.

"Wujudnya kira-kira 30 peratus daripada 38,000 peminjam di kalangan usahawan yang disenaraikan sebagai usahawan yang mempunyai tunggakan hutang tidak berbayar (NPL) untuk tempoh lebih enam bulan mendorong Mara merangka syarat memperketatkan syarat pinjaman,' katanya.

Beliau berkata, syarat yang lebih ketat ini diharap menimbulkan kesedaran di kalangan peminjam yang memperoleh RM1.74 juta pinjaman sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan membuat bayaran ansuran mengikut jadual. Ibrahim berkata, antara masalah kutipan pinjaman yang dihadapi Mara, termasuk kurangnya sambutan di kalangan peminjam untuk membuat pembayaran menggunakan urus niaga perbankan, SMS dan internet.

"Tidak semua hasil kutipan pinjaman digunakan sebagai pusingan modal, sebaliknya sebahagian perlu disediakan untuk menjelaskan pinjaman wang kerajaan Persekutuan kepada Mara," katanya.

PENDATANG ASING MULA SERAH DIRI

BERITA HARIAN, 16 Februari 2010

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berpuas hati dengan jumlah pendatang tanpa izin dan majikan yang 'menyerah diri' sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata sambutan menggalakkan itu berikutan 'tempoh pendidikan yang diwujudkan untuk mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan kepada pendatang dan majikan yang menyerah diri sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan.

"Kita harap lebih ramai yang tampil menyerah diri dan kita akan pertimbang untuk beri hukuman yang ringan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Jabatan Imigresen serius dalam menangani masalah ini, kalau boleh kita mahu negara bebas daripada pendatang tanpa izin ini dan ini adalah antara usaha kita membanteras isu ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai semalam bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Pendatang asing yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat. Majikan yang didapati melindungi pendatang pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63. Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan rayuan daripada pelbagai pihak kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Abdul Rahman berkata, usaha membanteras pendatang asing dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan mereka yang semakin berleluasa tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Walaupun operasi besar-besaran ini ditangguhkan, tidak bermakna kita tidak membuat operasi langsung.

"Operasi penguatkuasaan tetap diteruskan seperti biasa sehingga kita mendapat keputusan Menteri untuk melaksanakan operasi besar-besaran itu," katanya.

Cetak artikel Hantar pada kawan

RM100 JUTA BANTU BELIA TIMBA ILMU

BERITA HARIAN, 16 Februari 2010

PORT DICKSON: Kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Kementerian Sumber Manusia pada tahun ini untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada pelatih yang mengikuti latihan kemahiran di pusat latihan bertauliah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menampung kos melahirkan kira-kira 15,000 tenaga mahir di kalangan rakyat tempatan, terutama golongan muda.

"Kita mahu golongan muda yang tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik memilih bidang kemahiran yang menjanjikan masa depan cemerlang.

"Peruntukan diberi kepada pelatih dalam 33 bidang kemahiran utama itu antara lain membabitkan kos sara hidup dan yuran pengajian mereka," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kembara Kelab NewsDesk Berita Harian di Permasuri Resort di sini, kelmarin.

Pada majlis tahunan itu, seramai 230 ahli kelab dan keluarga masing-masing mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina untuk berkumpul dan beramah mesra bagi merapatkan silaturrahim antara satu sama lain.

Mengulas lanjut, Maznah berkata pinjaman berkenaan adalah bantuan kerajaan kepada belia yang mahu menyambung pengajian dalam bidang kemahiran dan mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab membayarnya kembali selepas menamatkan latihan dan mendapat pekerjaan.

Sehingga Oktober tahun lalu, perbadanan itu merekodkan seramai 57,036 atau 43.8 peratus daripada peminjam tidak pernah membuat pembayaran balik pinjaman mereka membabitkan tunggakan sebanyak RM463.68 juta. Maznah berkata, kementeriannya mengambil pelbagai langkah mengutip semula tunggakan daripada peminjam, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kutipan Bayaran Balik Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran dipengerusikannya sendiri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji latihan kemahiran sedia ada di semua pusat latihan bagi di naik taraf supaya melahirkan tenaga mahir berkualiti.
Selain itu, katanya pihaknya bercadang menambah bidang latihan kemahiran baru bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang maju.

Sunday, February 14, 2010

'PROJEK SAKIT' DISIAPKAN SEGERA

MINGGUAN MALAYSIA, 14 Februari 2010
Oleh SAHBULAH DARWI utusanjohor@utusan.com.my

KLUANG 13 Feb. - Kementerian Pertahanan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah beberapa 'projek sakit' di seluruh negara termasuk dua 'projek nazak' bernilai RM230 juta di Johor Bahru.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara langkah berkenaan ialah melantik syarikat kontraktor baru bagi menggantikan syarikat lama yang didapati gagal menyiapkan projek pembangunan infrastruktur dalam tempoh ditetapkan.

"Walaupun jumlah projek sakit ini tidak banyak di seluruh negara tetapi saya tidak akan berkompromi kerana ia adalah soal kemudahan dan kebajikan kakitangan dan orang ramai.
"Ada juga pegawai yang berasa terpinggir sedangkan ini bukan masalah kementerian tetapi masalah kontraktor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Berhad di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam, dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dua projek di Johor Bahru ialah pembinaan Kompleks Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) dan Projek Pembangunan Briged Ketujuh Infantri di Senai yang terbengkalai.

Beliau berkata, bagi projek Pulada yang bernilai RM30 juta, kementerian akan melantik syarikat kontraktor yang baru bagi menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh 90 hari dalam tarikh tawaran kontrak.

"Ini diambil setelah kontraktor asal gagal menyiapkan projek itu walaupun setelah diberi amaran dan lanjutan tempoh tarikh penyiapan projek itu," tegasnya.

Menurutnya, bagi projek di Senai yang bernilai RM200 juta itu pula, pihaknya kemungkinan akan melibatkan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia Berhad untuk mengambil alih projek.

Langkah itu, katanya, diambil jika kontraktor asal masih gagal mematuhi syarat menyiapkan projek tersebut yang sepatutnya diserahkan kepada kementerian pada 2007 sebaliknya setakat ini hanya disiapkan kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan projek.

"Projek-projek ini penting untuk disiapkan segera kerana sesetengah kemudahan itu didapati sudah terlalu daif," jelasnya. Beliau berkata, projek-projek berkenaan sepatutnya perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh surat tawaran dikeluarkan.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk memantau kesemua projek tersebut.

Selain itu, menurutnya, syarikat koperasi bekas angkatan tentera juga akan diberikan peluang untuk melaksanakan projek-projek dalam kementerian tersebut. Ahmad Zahid berkata, ia bagi membantu koperasi untuk menjana pendapatan dan sekali gus memberi manfaat kepada ahli-ahli yang merupakan bekas anggota tentera.

"Ia sudah dimulakan dan mereka mendapat tawaran melalui cabutan undi mengikut giliran," katanya.

KONTRAKTOR PESARA ASKAR DITAWAR PROJEK KEM TENTERA

BERITA HARIAN, 14 Februari 2010

KLUANG: Berkuat kuasa serta-merta semua projek pembangunan di kem tentera seluruh negara dan Kementerian Pertahanan hanya akan ditawarkan kepada kontraktor kelas F di kalangan pesara tentera, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, langkah itu dibuat berikutan kegagalan kontraktor kelas F biasa yang diberikan projek pembangunan di kem tentera bagi menyelesaikan projek sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan, di samping menganiaya pihak tentera.

Katanya, pemberian projek pembangunan kem tentera kepada kontraktor kelas F di kalangan pesara tentera sudah dijalankan dengan cara cabutan undi membabitkan beberapa projek penyelenggaraan sebelum diteruskan dengan projek pembangunan lain.

“Saya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur lagi terhadap projek pembangunan terbengkalai atau projek sakit di kem tentera yang dibangunkan kontraktor kelas F biasa. Walaupun ia (projek terbengkalai) tidak banyak, tetapi ia menyebabkan pihak tentera berasa terpinggir dan teraniaya apabila ia terbiar lama sehingga kemudahan sedia ada menjadi terlalu uzur.

“Projek terbengkalai di Pusat Latihan Tempur Darat (Pulada), Ulu Tiram yang membabitkan kos RM200 juta dan Bangunan Tujuh Briged Infantri, Senai dengan kos RM2 juta, contohnya. Kita terpaksa memanggil kontraktor baru untuk menyelesaikan projek di Pulada, manakala projek Bangunan Tujuh Briged Infantri pula hanya 18 peratus siap sedangkan ia sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada 2007.

“Jika kontraktor projek di Senai gagal mematuhi syarat dan masih berdolak-dalik, kita akan membawa masuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi menyelesaikan projek berkenaan,” katanya selepas melancarkan penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor Berhad, di sini.

Ahmad Zahid berkata, tindakan undang-undang juga diambil terhadap kontraktor projek di Pulada selepas gagal menyiapkan projek, walaupun amaran serta tarikh lanjutan sudah diberikan.

Saturday, February 13, 2010

SISTEM SEMAKAN STATUS WARGA ASING DITINGKAT

UTUSAN MALAYSIA, 13 Februari 2010

PUTRAJAYA 12 Feb. - Kerajaan sedang meningkatkan sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu untuk membuatkan warga asing takut tinggal di negara ini secara haram lalu meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

''Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk dan dokumen- dokumen seperti pasport.

''Apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing Kedua di sini hari ini.

Beliau berkata, selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, agenda yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu antaranya adalah pertimbangan dan kajian dasar berhubung pengambilan pekerja asing.

''Ini membabitkan pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi. Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia dengan segera.

Tegas beliau, mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Katanya, sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada April 2009.

Wednesday, February 10, 2010

PRESMA TAWAR 25,000 JAWATAN KOSONG KEPADA RAKYAT TEMPATAN

UTUSAN MALAYSIA, 10 Februari 2010

BUTTERWORTH 10 Feb. – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menawarkan 25,000 peluang pekerjaan di seluruh negara kepada penduduk tempatan dengan tawaran gaji yang menarik.

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, pekerjaan berkenaan disediakan di lebih 2,000 restoran milik anggotanya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Pekerjaan yang ditawarkan ahli kami adalah seperti pembantu kedai dengan kadar gaji antara RM800 hingga RM1,300, juruwang (RM1,000 hingga RM1,300), penyelia dan tukang masak (1,500 hingga RM2,500).

"Pekerja akan turut menikmati kemudahan termaktub dalam undang-undang buruh antaranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Baru Presma Wilayah Utara di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
"Sehingga sekarang kira-kira 70 peratus pekerja di restoran ahli Presma adalah rakyat asing dan kita sedang berusaha mengurangkan jumlah itu dengan menawarkan jawatan kosong kepada penduduk tempatan,” kata Noorul Hassan. – Bernama

RAKYAT TEMPATAN MAMPU ISI KEKOSONGAN KERJA DI RESTOREN MAMAK

BERITA HARIAN, 10 Februari 2010
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail

MENU nasi kandar, roti canai dan teh tarik boleh dikatakan sebati dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini apabila restoran India Muslim atau lebih dikenali 'kedai mamak' bagi masyarakat tempatan menjalankan operasi perniagaan makanan mereka. Kewujudan restoran India Muslim yang dibuka 24 jam juga menjadi sebahagian budaya masyarakat apabila menjadi antara lokasi popular untuk makan, menonton perlawanan bola sepak atau bersantai bersama keluarga dan rakan. Suasana meriah dengan pelanggan tanpa mengira kaum di restoran itu bukan perkara baru. Begitu juga kehadiran pekerjanya yang rata-rata terdiri daripada warga India sama ada yang mempunyai permit atau tidak.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa bimbang apabila sejumlah 39,046 warga negara India dilaporkan 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh. Kemasukan pekerja luar negara sama ada dari Indonesia, China, Pakistan, Myanmar dan India tidak dinafikan kepentingannya untuk menampung sektor kerja yang 'kurang popular di kalangan masyarakat tempatan. Namun, kebergantungan secara terlampau dan kemasukan pekerja asing secara haram merugikan negara serta dikhuatiri meningkatkan kadar jenayah.

Bagi menangani kemasukan pekerja asing, terutama warga India yang 'hilang', Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan tempoh sebulan kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) untuk memberi maklumat lengkap statistik pekerja warga India di restoran India Muslim di negara ini serta langkah yang boleh diambil. Dalam pertemuan itu dengan Hishammuddin, baru-baru ini, persatuan yang mempunyai ahli di lebih 2,200 restoran di seluruh negara, mengumumkan untuk mengambil tindakan drastik dengan menawarkan 25,000 kerja kosong kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing. Tidak cukup dengan itu, persatuan berkenaan turut menawarkan gaji dan insentif menarik untuk menarik minat rakyat tempatan mengisi kekosongan jawatan di restoran India Muslim.

Sebelum ini, pekerja asing ditawarkan gaji antara RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi penyelia dan pelayan restoran. Bagi menarik minat rakyat tempatan, Presma menawarkan gaji menarik, iaitu bagi pengurus restoran RM1,500 hingga RM2,500; tukang masak RM1,500 hingga RM2,500; juruwang RM1,000 hingga RM1,300 dan pelayan RM800 hingga RM1,200 bergantung kepada pengalaman dan sijil dimiliki.

Masa bekerja juga dicadangkan lapan jam dengan insentif yang bakal dibincangkan bersama KDN dan ahli persatuan berkenaan. Persoalan yang timbul adakah peluang kerja membabitkan 25,000 jawatan kosong dengan kadar gaji baru yang dikategorikan sebagai tinggi boleh menarik rakyat tempatan untuk mengisi sektor pekerjaan yang sebelum ini dikuasai 'orang luar'. Pandangan umum secara rambang dilakukan memberikan reaksi negatif apabila memperlekehkan kebolehan rakyat tempatan untuk bekerja di restoran India Muslim atas beberapa faktor, termasuk cara bekerja yang dikatakan tidak mampu 'ditanggung' rakyat tempatan.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed, berkata persatuan itu pernah mengambil langkah untuk mengambil pekerja tempatan, tetapi kurang sambutan. "Harapan persatuan perkara ini akan mendapat sambutan ramai dan jangan salahkan restoran India Muslim jika selepas diiklankan serta tawaran gaji menarik, rakyat tempatan masih tidak berminat mengisi kekosongan," katanya.

Presma juga menyatakan hasratnya membantu KDN untuk bersama-sama menangani masalah pekerja asing sama ada mempunyai permit atau tidak. Tindakan tegas juga akan diambil termasuk tidak teragak-agak menggugurkan keahlian pengusaha yang ingkar arahan mengambil pekerja asing tanpa permit.

Tuesday, February 09, 2010

RM15 BILLION DIPERUNTUK BANTU USAHAWAN

BERITA HARIAN, 8 Feb 2010

BUTTERWORTH: Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi membantu usahawan bertaraf tinggi memajukan perniagaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata antara bidang yang akan diberi keutamaan ialah perumahan dan industri. Katanya, inisiatif berkenaan mampu meningkatkan pelaburan dengan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara.

"Kerajaan akan memberi bantuan dari segi kewangan dan sokongan lain yang dirasakan bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti mereka, mulai tahun ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Tasek Gelugor di Dewan Sungai Dua di sini, semalam. Mengulas lanjut, Nor Mohamed berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan melalui beberapa agensi kerajaan terpilih seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Mara dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Kebanyakan usahawan terutama Bumiputera mempunyai kemahiran dan sering mendapat projek termasuk dari luar negara, tetapi mereka tidak cukup modal.

"Jika mahu meminjam dari bank pula syarat dikenakan terlalu ketat sehingga menyebabkan produktiviti mereka tersekat," katanya. Sehubungan itu katanya, insentif berkenaan dijamin dapat membantu usahawan bertaraf tinggi meneruskan perniagaan tanpa perlu risau kekangan kewangan. Terdahulu, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata Hari Kerjaya dan Keusahawanan dijadikan platform kepada penduduk Tasek Gelugor mencari peluang pekerjaan.

Pada majlis itu, Nor Mohamed turut melancarkan laman web beliau iaitu www.normohamed.my bagi memudahkannya berinteraksi dan berkongsi maklumat dengan orang ramai.

JUMLAH PEKERJA ASING BERDAFTAR MENURUN

BERITA HARIAN, 9 Feb 2010

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing berdaftar di negara ini berjaya dikurangkan sebanyak 470,000, iaitu daripada 2.06 juta kepada 1.59 juta antara 2006 hingga 2009, hasil usaha berterusan kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan dari semasa ke semasa mengetatkan dasar, syarat dan prosedur pengambilan pekerja asing. Beliau berkata, ruang untuk pekerja asing baru tidak boleh terus dibuka jika mereka yang tamat tempoh kontrak masih belum meninggalkan negara ini.

Pada masa sama, katanya, usaha mengurangkan pekerja asing di negara ini juga menghadapi keadaan yang mana tenaga asing yang dikurangkan itu diganti dengan pekerja haram oleh majikan.

"Ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir majikan yang ingin mengaut keuntungan berlipat ganda dengan sengaja mengambil pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja tanpa mengambil kira kesan negatif yang akan timbul kepada anggota masyarakat dan negara secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, kementerian sedang menggerakkan strategi untuk turut membabitkan majikan sebagai pihak yang berkepentingan untuk bersama-sama menangani masalah Pati di negara ini.

Beliau berkata, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim SeMalaysia (Presma) didapati sudah mula bergerak ke beberapa negeri untuk mendapatkan komitmen ahlinya supaya berhenti daripada mengambil pekerja asing secara haram.

“Gabungan Persatuan Pengusaha Cina dan India yang datang berjumpa saya pada Jumaat lalu pula memutuskan untuk mengadakan mesyuarat agung khas bagi memanggil semua ahli gabungan bekerjasama membendung kebanjiran warga asing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengenai 100,000 pekerja asing diambil sebelum ini, adalah membabitkan tempoh sepanjang Oktober hingga Disember tahun lalu susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin dan mesyuarat Kabinet.

Artikel - Artikel..