BERITA HARIAN, 10 Jun 2009
Oleh Abdul Halim Yusoff halem@bharian.com.my
MEMANG tidak perlukan jurutera atau arkitek untuk faham bahawa beban berat keterlaluan sebagai punca utama sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, yang baru setahun digunakan runtuh pada Selasa lalu. Jika pergi hampir dengan timbunan runtuhan itu, kita dapat lihat kepingan zink yang kerap dipasang pada rumah biasa, digunakan pada rekaan bumbung termoden space design atau sistem bumbung tanpa sokongan tiang di stadium bernilai RM292 juta itu. Stadium itu adalah sebahagian Kompleks Sukan Gong Badak yang keseluruhannya bernilai hampir RM500 juta.
Ketika baru siap dibina, rekaan space design di stadium itu adalah pertama seumpamanya di Asia sekali gus menjadikannya monumen kebanggaan penduduk negeri ini. Mengikut terma kejuruteraan, space frame dibina daripada penyokong yang bercantum daripada sudut rekaan geometrinya menggunakan tiub besi. Bingkai berseginya yang berstruktur tegap membantu menguatkan fungsi sokongannya.
Komponen ringan itu mampu membidang jarak yang lebar dengan beberapa sokongan dan menimbulkan lengkungan untuk membentuk kesan visual. Bagaimanapun, istilah komponen ringan membangkitkan persoalan. Adakah zink yang biasa kita lihat dipasang di rumah yang disokong dengan banyak tiang dan alang itu cukup ringan seperti ‘polycarbonet’, bahan yang sepatutnya dan dipercayai lebih sesuai digunakan untuk rekaan canggih seperti itu. Mungkin perubahan saat akhir penggunaan komponen yang menjadi resipi kepada petaka pada 2 Jun itu. Berdasarkan dokumen yang diperoleh Berita Harian, banyak pihak terutama daripada kalangan arkitek dan jurutera sudah mempertikaikan rekaan sebegitu, malah ada yang mendakwa penggunaan rekaan itu diputuskan pada saat akhir daripada rekaan asal menggunakan piawai kejuruteraan yang diterima pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, ada pihak lain berpendapat rekaan membabitkan kos tinggi itu bukannya tidak boleh dibuat, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa dan kerja pemasangan perlu dilakukan tenaga pakar menggunakan bahan lebih sesuai. Tetapi, mungkin atas sandaran menjimatkan kos, komponen asal yang ringan dan tahan lasak seperti ‘polycarbonet’ tetapi mahal, dikatakan digantikan dengan zink biasa.
Stadium yang dirasmikan pada 10 Mei 2008 itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu terdiri daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd manakala arkitek ialah Senibahri Arkitek dan MAA Associates serta dibantu beberapa perunding dilantik jawatankuasa pelantikan juruperunding kerajaan negeri, iaitu Protech Consultant dan AZN Engineers. Semua syarikat berkenaan menafikan terbabit dalam pembinaan dan rekaan struktur bumbung space frame itu.
Malah, arkitek utama projek itu Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad mendakwa syarikatnya, Senibahri Arkitek tidak diberikan maklumat dan butiran mengenai rekaan dan bahan yang digunakan untuk pembinaannya. Beliau juga menulis kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mempersoalkan penggunaan rekaan itu dan mencadangkan penggunaan bumbung bersokongan tiang seperti yang biasa digunakan dan mahu komponen bahan memenuhi spesifikasi tertentu. Jurucakap Protect Consultant juga mengesahkan kontraktor tempatan hanya terbabit dalam kerja awam dan struktur utama.
Rekaan space frame bumbung tidak termasuk dalam kontrak asal dan diletakkan sebagai projek 'reka dan bina' kerana membabitkan kepakaran khusus dan subkontraktor Korea Selatan dipilih berdasarkan kepakaran mereka.
Namun demikian, jurucakap itu berpendapat rekaan space frame bukanlah silap kerana sudah tentu ia dibuat setelah mengambil kira perkiraan kejuruteraan yang disahkan pihak perunding bebas. Bagaimanapun, masalah mungkin timbul dalam kerja pemasangan dan kualiti bahan bumbung di kawasan yang bersimetri. "Masalah lain ialah penyelenggaraan. Dalam tempoh kecacatan, ia tanggungjawab kontraktor, tetapi mereka di Korea, tentu mengambil masa untuk ke sini," katanya mengulas kenapa tiada penyelenggaraan dibuat walaupun Menteri Besar Datuk Ahmad Said sudah memberitahu JKR Terengganu masalah di stadium itu sejak setahun lalu.
Daripada insiden malang itu, maka timbul persoalan mengenai tahap kepakaran kontraktor dan hala tuju industri pembinaan tempatan. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung itu sangat memalukan kerana masyarakat antarabangsa mungkin beranggapan peserta industri kita tidak cukup berkelayakan.
Berikutan peristiwa memalukan ini mencetuskan persoalan mengenai sejauh manakah kemampuan sebenar industri binaan negara dan secara langsung menjejaskan usaha mempromosi kepakaran kontraktor tempatan ke luar negara.
Seperti dikatakan Pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Madya Zakaria Mohd Yusof, antara sebab projek gagal ialah tidak mempunyai kefahaman dan kemahiran yang mendalam terhadap projek yang dilaksanakan. Selain itu ketiadaan perancangan rapi pada meliputi penggunaan sumber seperti keperluan bahan binaan, tenaga kerja dan perancangan aliran tunai projek serta ketiadaan komitmen mendesak menyebabkan terjadinya projek secara sambil lewa dan sering mendapat lanjutan daripada pemilik.
Di antara punca mengapa ia berlaku ialah:
1) Kebanyakan kontraktor datang dari latar belakang selain dari bidang pembinaan. Justeru, tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.
2) Membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender tanpa mengambil kira risiko bakal dihadapi.
3) Pengiraan tender yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos pelaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran sumber ketara.
4) Gagal menentukan masa penyiapan projek yang munasabah serta gagal mengenal pasti kemungkinan masalah yang boleh menjejaskan tempoh penyiapan.
5) Teknik pemantauan yang tidak sempurna di sepanjang tempoh pelaksanaan projek sama ada kontraktor yang terlalu bergantung kepada kontraktor kecil atau perunding yang dilantik tidak melaksanakan tugas dengan sempurna.
Dengan mengambil kira semua faktor berkenaan, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor yang dilantik mempunyai rekod yang memuaskan. Pemilihan berdasarkan kepada 'kenalan rapat' hendaklah sekali-kali dielakkan, kecuali kepada yang betul-betul mempunyai rekod cemerlang.
Pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender terendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan Juruukur Bahan berkelayakan, sementara perunding atau pihak yang bertanggung jawab memantau projek itu hendaklah sentiasa memberi ingatan segera kepada kontraktor sekiranya projek yang dilaksanakan menunjukkan tanda berlakunya kelewatan serta mengarahkan kontraktor membentangkan jadual perancangan pemulihan.
Selain itu, tempoh tanggungan kecacatan yang dikenakan kepada kontraktor hendaklah disemak dan munasabah mengikut skala projek. Ini bagi memastikan pelaburan kerajaan mendapat jaminan dan pulangan terbaik. Dicadangkan kecacatan struktur hendaklah bersifat sepanjang hayat atas dasar keselamatan pengguna. Tanggungan tempoh kecacatan selama satu atau dua tahun hanyalah sebagai jaminan kepada kecacatan kecil saja yang tidak membabitkan struktur.
Perlu kita ingat bahawa faktor kejayaan dan kegagalan sesuatu projek bukanlah terletak kepada kontraktor semata-mata. Sinergi semua pemain dalam pasukan pembina amatlah dituntut. Pemilik projek menerusi perunding yang dilantik hendaklah turut berperanan melaksanakan tugas sebagai perunding secara profesional dengan mengutamakan kepentingan pemilik projek yang telah mengeluarkan peruntukan besar, apatah lagi projek kerajaan yang menggunakan dana rakyat. Dengan itu diharap tidak lagi berlaku struktur canggih membabitkan belanja beratus juta roboh hanya selepas setahun digunakan.
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Thursday, June 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Artikel - Artikel..
-
▼
2009
(97)
-
▼
June
(17)
- SYARAT SIJIL ISO BUKTI KERAJAAN UTAMA KUALITI PROJEK
- BUMBUNG RUNTUH PERSOAL KREDIBILITI INDUSTRI BINAAN
- KEMAS KINI MEKANISME KAWAL SELIA DAN AUDIT BANGUNAN
- TIADA MAKLUMAT LENGKAP REKAAN BUMBUNG STADIUM
- RINTIHAN KONTRAKTOR KELAS F KEPADA CEO TNB
- KONTRAKTOR SAMBIL LEWA PUNCA PROJEK GAGAL SIAP
- PUNCA PROJEK GAGAL SIAP IKUT JADUAL - CARA ATASINYA
- SIASAT SEGERA BUMBUNG RUNTUH
- JURURUNDING BEBAS AKAN DILANTIK CARI PUNCA RUNTUH
- RUNTUHAN BUMBUNG STADIUM MEMALUKAN NEGARA
- BUMBUNG STADIUM GONG BADAK RUNTUH
- 58,000 DIJANGKA TERJEJAS SEKOLAH LEWAT SIAP
- 80 PERATUS PROJEK JKR LEWAT
- AMARAN KONTRAKTOR GAGAL SIAP SEKOLAH
- STADIUM SULTAN MIZAN RUNTUH
- KONTRAKTOR BERMASALAH PUNCA PROJEK BERMASALAH
- BIDANG KONTRAKTOR BUKAN KERJA SAMPINGAN - SHAZIMAN
-
▼
June
(17)
3 comments:
Salam Prof., pertama minta izin untuk saya letak link blog kelapa muda ni dalam blog saya. Pandangan Prof. sangat baik dan menarik, mungkin Prof. boleh tulis artikel sedikit mengenai cara2 mengatasi isu ini dan sarankan kepada pihak CIDB. Saya nak tambah sikit.
1) Perubahan rekaan di saat akhir, menyebabkan kekeliruan dan perubahan pada jadual kerja yg akhirnya menyebabkan projek disiapkan secara tergesa2 dan kualiti terjejas
2) Pekerja dan penyelia di tapak tidak mempunyai kemahiran. Latihan yg ditawarkan oleh CIDB tidak koprehensif
3) Sistem sub-contracting; terutamanya 'kontraktor buruh sahaja', yg rata2 tidak mempunyai kemahiran. Terlalu banyak subcontracting menyebabkan ia menjadi tidak terkawal
4) Sikap sambil lewa jurutera dan penyelia tapak. Kurang 'quality control'
5) Mungkin masalah komunikasi dengan jurutera dari Korea
Terima kasih En. Kamarul. InsyaAllah saya cuba beri pandangan di mana perlu. Terima kasih juga kerana baca pandangan saya yang tak seberapa.
Salam,
Jadi apa kesudahan dari episod ini? pada Std Mizan sendiri dan industri pembinaan keseluruhannya?
Post a Comment