BERITA HARIAN, 11 Mac 2009
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my
PUTRAJAYA: Kerajaan membatalkan serta-merta visa kemasukan kira-kira 70,000 rakyat Bangladesh yang diluluskan pada 2007 bagi mengelak kemasukan pekerja asing itu ke sini pada masa ini kerana tiada keperluan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua levi dibayar bagi setiap pekerja berkenaan juga akan dikembalikan.
"Tidak ada pekerja asing (Bangladesh) yang baru kita luluskan, kita terperanjat apabila kedutaan negara itu membuat pengumuman sedemikian. Itu adalah angka yang kita luluskan pada 2007 dan pekerja berkenaan belum masuk ke negara ini.
"Memandangkan suasana sekarang tidak memerlukan pekerja asing, kita batalkan semua kelulusan lalu. Saya berharap perkara ini tidak menimbulkan kegelisahan dan salah faham rakyat," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.
Hadir sama, Pemangku Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam.
Syed Hamid mengulas kenyataan Kaunselor Buruh Bangladesh, Talat Mahmud Khan, kelmarin bahawa 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di negara ini untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Talat mendakwa, visa pekerja Bangladesh terbabit sudah diluluskan sebelum penguatkuasaan peraturan membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Syed Hamid berkata, jumlah sebenar pekerja Bangladesh yang diluluskan kerajaan tetapi masih belum memasuki negara ini adalah seramai 55,147 dan bukan 70,000 seperti didakwa Talat.
Katanya, jumlah itu berdasarkan kelulusan diberikan kerajaan sehingga 31 Disember 2007 dan tiada sebarang kelulusan baru diberikan selepas tarikh itu.
"Keadaan ini disebabkan majikan mengambil masa lama membawa masuk pekerja berkenaan ke sini," katanya.
Sehubungan itu, Syed Hamid berkata, beliau akan meminta Talat mengadakan pertemuan dengan Jabatan Imigresen bagi membincangkan mengenai levi pekerja yang perlu dibayar balik kerajaan.
"Ini adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan, saya berharap isu ini tidak dipolitikkan dan tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menuding jari... ini perkara lama yang sudah diluluskan," katanya.
Ditanya sama ada pembatalan visa itu hanya membabitkan pekerja Bangladesh, Syed Hamid berkata, keputusan itu akan dikuatkuasakan terhadap pekerja semua negara yang ingin menghantar pekerja mereka ke sini.
Katanya, pada masa ini, kerajaan hanya akan meluluskan pengambilan pekerja asing berdasarkan dua kemungkinan iaitu wujud kekosongan jawatan atau tawaran pekerjaan hanya untuk bidang diluluskan seperti perladangan dan pembersihan.
"Untuk bidang pekerjaan yang diluluskan Kabinet seperti pembantu rumah dan 3D (kotor, berbahaya dan sukar) seperti tukang cuci, kita akan semak," katanya.
Terdahulu, Syed Hamid menyampaikan sumbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM76,083.80 kepada Tabung NSTP Untuk Gaza kepada Ketua Biro Berita Harian Putrajaya, Johari Ibrahim yang mewakili The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.
No comments:
Post a Comment