Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, March 11, 2009

RM700j WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN

UTUSAN MALAYSIA, 11 Mac 2009

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi menyediakan 163,000 latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran negara dan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah tersebut, 100,000 latihan yang disediakan itu merupakan inisiatif usahasama antara kerajaan dan majikan sektor swasta.

''Sasaran program ini adalah memberikan manfaat kepada pekerja yang telah diberhentikan, pekerja yang diberhentikan sementara, mereka yang mengalami kekurangan pendapatan dan siswazah menganggur.

''Tumpuan utama latihan ialah mempertingkatkan kemahiran mengikut keperluan industri serta memudahkan pengambilan pekerjaan. Insentif akan diberikan kepada majikan untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan di samping melaksanakan penempatan pekerjaan,'' katanya sewaktu membentangkan pakej rangsangan kedua dalam bajet mini di Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan kadar pengangguran negara pada tahun ini telah meningkat kepada 4.5 peratus berbanding 3.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sejak Oktober 2008, seramai 25,000 orang telah kehilangan pekerjaan manakala 30,900 telah diberhentikan sementara 23,900 orang terpaksa bekerja dengan pengurangan gaji, ujar beliau. Selain itu, kira-kira 100,000 pekerja tidak dibenarkan membuat kerja lebih masa menyebabkan pendapatan bulanan mereka berkurangan dengan begitu ketara, katanya.

Najib berkata, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk melaksanakan program berikut:
  • Menambah bilangan peserta di bawah Program Latihan Khusus dan Program Latihan Semula kepada pekerja yang diberhentikan dan Skim Latihan Dual untuk memberi kemahiran kepada mereka yang masih bekerja.
  • Menambah program-program latihan dengan kerjasama pertubuhan industri dan syarikat-syarikat yang terlibat seperti elektrik dan elektronik, pengimpalan, robotik serta pembinaan selain membanyakkan latihan industri dan teknikal yang akan diadakan di Pusat Latihan Kemahiran di semua negeri bagi 10,000 peserta.
  • Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan latihan sambil bekerja untuk siswazah menganggur terutamanya dalam sektor kewangan bagi tempoh dua tahun melibatkan 1,000 siswazah menganggur.
  • Kerajaan juga akan menyediakan 2,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) terutamanya di sektor perkhidmatan seperti penyumberan luar, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif.
  • Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) pula akan melaksanakan program latihan sangkut untuk siswazah dan pemegang sijil kemahiran yang akan ditempatkan di syarikat-syarikat pelaburan PUNB bagi tempoh antara enam bulan hingga setahun. Peserta layak diberikan bantuan kewangan di bawah PROSPER untuk memulakan perniagaan dan 2,000 siswazah disasarkan untuk dilatih.
  • Program Tunas Mekar bagi menggalakkan siswazah untuk menceburi bidang perniagaan dan menambah nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan disertai kira-kira 500 siswazah dan PKS.

Najib juga berkata, kerajaan akan mewujudkan 22 pusat JobsMalaysia dan menambah baik pusat sedia ada. Katanya, pusat-pusat ini akan ditempatkan di lokasi tumpuan awam seperti kompleks membeli belah bagi memudahkan pekerja dan majikan mendapatkan maklumat pekerjaan selain menganjurkan karnival kerjaya yang lebih besar.

No comments: