Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, March 11, 2009

TOLAK 70,000 BANGLADESH

UTUSAN MALAYSIA, 10 Mac 2009

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan perlu mengutamakan pekerja tempatan yang hilang pekerjaan dan bukannya membawa masuk lebih 70,000 pekerja Bangladesh ketika negara menghadapi kelembapan ekonomi global.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Samsuddin Bardan berkata, kerajaan juga perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 200,000 lepasan sekolah yang memasuki pasaran kerja setiap tahun.

‘‘Daripada 20,000 pekerja di negara ini yang diberhentikan sehingga akhir bulan lalu, 8,000 merupakan pekerja asing, sementara 12,000 lagi adalah pekerja tempatan.

‘‘Mereka inilah yang harus diutamakan berbanding 70,000 pekerja Bangladesh tersebut,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai laporan 70,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di sini tidak lama lagi.

Samsuddin turut melahirkan rasa pelik terhadap laporan tersebut. Ini kerana kemasukan pekerja asing itu ketika keadaan ekonomi tidak begitu baik dan ramai pekerja tempatan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

‘‘Seharusnya pekerja tempatan yang diberhentikan daripada sektor pembuatan diserap ke sektor perladangan dan binaan sementara langkah menggunakan pekerja Bangladesh dalam sektor perkhidmatan adalah tidak wajar,’’ katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan para pekerja Bangladesh itu sudah membayar kos yang tinggi iaitu RM12,000 hingga RM13,000 untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.
‘‘Kos yang dibayar memerlukan mereka bergolok-bergadai dan bekerja di negara ini selama satu setengah tahun bagi memastikan balik modal,’’ jelasnya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan Malaysia dan Bangladesh mengadakan perbincangan segera untuk menyelesaikan isu kemasukan lebih 70,000 tenaga kerja daripada negara itu. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi menjaga hubungan di antara dua negara selain mengelak timbul kegelisahan dan tanda tanya di kalangan rakyat.

Katanya, persetujuan yang dicapai sebelum ini boleh ditarik balik dan sepatutnya mengandungi klausa tertentu termasuk membenarkan ia dibatalkan sekiranya berlaku perkara di luar kawalan.

“Hujah bahawa kita perlu menerima mereka hanya kerana kelulusan dan permit telah dibayar adalah hujah yang lemah.

“Ia seumpama sengaja mencari alasan. Dalam mana-mana perjanjian perlu ada klausa yang akan membatalkannya jika sesuatu berlaku. Jika tiada, ia adalah perjanjian yang tidak adil kerana terlalu memihak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Shahir turut menegur kenyataan Talat bahawa pekerja terbabit tidak meminta gaji yang tinggi dan mampu bekerja dalam apa jua keadaan. Katanya, hujah itu tidak wajar digunakan sama sekali kerana seseorang pekerja sepatutnya dibayar gaji selaras dengan tahap kemahirannya dan bukannya dianiaya.

“Pembayaran gaji yang rendah adalah satu penindasan dan pada masa yang sama menafikan hak pekerja tempatan, akhirnya yang menang ialah majikan dan ejen.

“Jika pekerja tempatan enggan bekerja di sektor tertentu, kita perlu tanya kenapa? Adakah gaji mereka munasabah dan bagaimana pula persekitaran kerjanya,” katanya. Mengulas perkara sama, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kemasukan para pekerja asing dalam jumlah yang ramai sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa.

Beliau memberitahu, melalui pengalaman PPIPBM sebelum ini, ramai di antara warga Bangladesh yang diterima bekerja tidak mempunyai kecekapan dan kemahiran asas seperti membaca dan menulis.

‘‘Ini diakui sendiri oleh ahli-ahli PPIPBM sendiri dan kehadiran mereka yang tidak tahu membaca dan menulis itu merugikan pihak majikan,’’ tegasnya. Di samping itu katanya, isu kekurangan pekerja dalam sektor perkhidmatan atau sektor-sektor lain boleh diatasi dengan kerjasama dan sokongan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan umpamanya boleh menyediakan elaun khas buat pekerja tempatan yang menyertai syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana di negara ini bagi menarik minat mereka.

‘‘Melalui pengalaman PPIPBM juga, para pekerja tempatan di sektor perkhidmatan dan perkilangan sering berhenti untuk menyertai syarikat lebih besar selepas beberapa tahun menimba pengalaman di syarikat kecil,’’ tegasnya.

No comments: