Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, March 11, 2009

KERAJAAN LEBIH UTAMAKAN GUNA TENAGA TEMPATAN

BERITA HARIAN, 11 Mac 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dengan memberi keutamaan kepada guna tenaga tempatan. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menetapkan kaedah yang sesuai untuk mencapai sasaran itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang. Katanya, sebagai langkah pertama, kerajaan akan menaikkan bayaran levi kepada pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali yang berkhidmat dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

“Di samping itu, levi akan dibayar oleh majikan dan bukannya oleh pekerja manakala pembayaran balik levi pekerja asing kepada majikan akan dibuat secara prorata sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding kontrak asal.

“Di samping itu, jaminan bank oleh majikan akan dikembalikan,” katanya menyentuh mengenai usaha mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing ketika membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat semalam. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen agensi pengambilan pekerja asing dan syarikat penyumberan luar untuknya serta memperketat syarat kemasukan mereka.

Sementara itu katanya, kerajaan amat prihatin kepada nasib pekerja yang sudah diberhentikan dan akan membantu meringankan beban dan meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja terbabit untuk tempoh jangka panjang. “Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai yang diberi terhadap bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebanyak RM6,000 sekarang, dinaikkan kepada RM10,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan,” katanya. Pada masa sama katanya, demi menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan, syarikat swasta perlu memainkan peranan bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan kerja termasuk di bawah Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Untuk menyokong usaha ini, kerajaan mencadangkan majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan mulai 1 Julai 2008 diberi potongan cukai dua kali terhadap jumlah gaji yang dibayar.

“Jumlah potongan yang layak adalah tidak melebihi RM10,000 sebulan dan terhad kepada 12 bulan gaji untuk setiap pekerja. Galakan ini berkuat kuasa bagi pekerja yang dilantik mulai 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010,” katanya.

No comments: