Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Tuesday, March 31, 2009
KENAIKAN LEVI PEKERJA ASING DITERUSKAN
KENAIKAN levi pekerja asing daripada RM3,600 berbanding RM1,800 sebelum ini akan dilaksanakan selepas perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan dalam tempoh terdekat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata walaupun menerima banyak bantahan berhubung perkara itu, tiada sebarang arahan dibuat setakat ini untuk membatalkan pelaksanaan kadar baru berkenaan. Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji kaedah terbaik untuk melaksanakan arahan terbaru itu.
"Perkara ini di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). Apabila diumumkan oleh Menteri Kewangan, kuasa untuk mewartakannya adalah di bawah Menteri Dalam Negeri. Pada masa ini, kita belum mewartakannya lagi, kita akan kaji bagaimana untuk menguatkuasakannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya di lobi Parlimen, semalam.
Ditanya berapa lama tempoh masa diperlukan untuk proses mewartakan perkara itu, Syed Hamid berkata, perkara itu akan diteliti secepat mungkin. Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dulu bantahan daripada pelbagai pihak.
Wednesday, March 11, 2009
JANGAN AMBIL PEKERJA ASING - DR. SUBRAMANIAM
KUALA LUMPUR 10 Mac - Semua majikan di negara ini diminta membatalkan terus rancangan mereka untuk menggaji pekerja asing dari Bangladesh. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, mereka sebaliknya perlu mengambil pekerja tempatan yang telah diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi negara untuk bekerja dengan mereka.
Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, majikan terbabit diminta menghubungi Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan nama pekerja tempatan yang telah diberhentikan.
"Kami akan membantu mereka untuk mendapatkan nama pekerja-pekerja tersebut yang telah diberhentikan kerja sejak bulan Ogos lalu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas isu mengenai 70,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi.
Tambah Dr. Subramaniam, kementeriannya memandang serius kenyataan Atase Buruh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Talat Mahmud Khan mengenai isu pekerja Bangladesh yang dijangka memasuki negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kenyataan itu adalah tidak wajar pada masa kini ketika negara menghadapi masalah kegawatan ekonomi ekoran krisis dunia.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah tidak wajar untuk membawa masuk pekerja-pekerja asing ke negara ini,'' jelasnya.
Menurut beliau, pihaknya juga prihatin terhadap majikan yang sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan disebabkan sikap pekerja tempatan.
PEKERJA ASING DIKENAKAN LEVI BERGANDA
KUALA LUMPUR 10 Mac - Bagi mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing, kerajaan telah menggariskan beberapa langkah termasuk menaikkan bayaran levi sebanyak dua kali ganda di semua sektor, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Kenaikan bayaran levi itu bagaimanapun tidak meliputi pekerja asing di sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.
''Levi ini juga perlu dibayar oleh pihak majikan dan bukannya oleh pekerja,'' katanya sewaktu membentangkan pakej rangsangan kedua dalam bajet mini di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, pembayaran balik levi pekerja asing akan dilaksanakan secara pro-rata kepada majikan sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing dipendekkan berbanding tempoh asal dan jaminan bank akan dikembalikan.
Selain itu, pengeluaran lesen agensi pengambilan pekerja asing akan dibekukan dan syarat-syarat pengambilan oleh syarikat sedia ada akan diperketatkan lagi.
RM700j WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN
KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi menyediakan 163,000 latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran negara dan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah tersebut, 100,000 latihan yang disediakan itu merupakan inisiatif usahasama antara kerajaan dan majikan sektor swasta.
''Sasaran program ini adalah memberikan manfaat kepada pekerja yang telah diberhentikan, pekerja yang diberhentikan sementara, mereka yang mengalami kekurangan pendapatan dan siswazah menganggur.
''Tumpuan utama latihan ialah mempertingkatkan kemahiran mengikut keperluan industri serta memudahkan pengambilan pekerjaan. Insentif akan diberikan kepada majikan untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan di samping melaksanakan penempatan pekerjaan,'' katanya sewaktu membentangkan pakej rangsangan kedua dalam bajet mini di Parlimen hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan kadar pengangguran negara pada tahun ini telah meningkat kepada 4.5 peratus berbanding 3.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Sejak Oktober 2008, seramai 25,000 orang telah kehilangan pekerjaan manakala 30,900 telah diberhentikan sementara 23,900 orang terpaksa bekerja dengan pengurangan gaji, ujar beliau. Selain itu, kira-kira 100,000 pekerja tidak dibenarkan membuat kerja lebih masa menyebabkan pendapatan bulanan mereka berkurangan dengan begitu ketara, katanya.
Najib berkata, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk melaksanakan program berikut:
- Menambah bilangan peserta di bawah Program Latihan Khusus dan Program Latihan Semula kepada pekerja yang diberhentikan dan Skim Latihan Dual untuk memberi kemahiran kepada mereka yang masih bekerja.
- Menambah program-program latihan dengan kerjasama pertubuhan industri dan syarikat-syarikat yang terlibat seperti elektrik dan elektronik, pengimpalan, robotik serta pembinaan selain membanyakkan latihan industri dan teknikal yang akan diadakan di Pusat Latihan Kemahiran di semua negeri bagi 10,000 peserta.
- Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan latihan sambil bekerja untuk siswazah menganggur terutamanya dalam sektor kewangan bagi tempoh dua tahun melibatkan 1,000 siswazah menganggur.
- Kerajaan juga akan menyediakan 2,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) terutamanya di sektor perkhidmatan seperti penyumberan luar, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif.
- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) pula akan melaksanakan program latihan sangkut untuk siswazah dan pemegang sijil kemahiran yang akan ditempatkan di syarikat-syarikat pelaburan PUNB bagi tempoh antara enam bulan hingga setahun. Peserta layak diberikan bantuan kewangan di bawah PROSPER untuk memulakan perniagaan dan 2,000 siswazah disasarkan untuk dilatih.
- Program Tunas Mekar bagi menggalakkan siswazah untuk menceburi bidang perniagaan dan menambah nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan disertai kira-kira 500 siswazah dan PKS.
Najib juga berkata, kerajaan akan mewujudkan 22 pusat JobsMalaysia dan menambah baik pusat sedia ada. Katanya, pusat-pusat ini akan ditempatkan di lokasi tumpuan awam seperti kompleks membeli belah bagi memudahkan pekerja dan majikan mendapatkan maklumat pekerjaan selain menganjurkan karnival kerjaya yang lebih besar.
KERAJAAN LEBIH UTAMAKAN GUNA TENAGA TEMPATAN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dengan memberi keutamaan kepada guna tenaga tempatan. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menetapkan kaedah yang sesuai untuk mencapai sasaran itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang. Katanya, sebagai langkah pertama, kerajaan akan menaikkan bayaran levi kepada pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali yang berkhidmat dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.
“Di samping itu, levi akan dibayar oleh majikan dan bukannya oleh pekerja manakala pembayaran balik levi pekerja asing kepada majikan akan dibuat secara prorata sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding kontrak asal.
“Di samping itu, jaminan bank oleh majikan akan dikembalikan,” katanya menyentuh mengenai usaha mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing ketika membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat semalam. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen agensi pengambilan pekerja asing dan syarikat penyumberan luar untuknya serta memperketat syarat kemasukan mereka.
Sementara itu katanya, kerajaan amat prihatin kepada nasib pekerja yang sudah diberhentikan dan akan membantu meringankan beban dan meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja terbabit untuk tempoh jangka panjang. “Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai yang diberi terhadap bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebanyak RM6,000 sekarang, dinaikkan kepada RM10,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan,” katanya. Pada masa sama katanya, demi menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan, syarikat swasta perlu memainkan peranan bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan kerja termasuk di bawah Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
“Untuk menyokong usaha ini, kerajaan mencadangkan majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan mulai 1 Julai 2008 diberi potongan cukai dua kali terhadap jumlah gaji yang dibayar.
“Jumlah potongan yang layak adalah tidak melebihi RM10,000 sebulan dan terhad kepada 12 bulan gaji untuk setiap pekerja. Galakan ini berkuat kuasa bagi pekerja yang dilantik mulai 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010,” katanya.
VISA 70,000 PEKERJA BANGLADESH DIBATAL
BERITA HARIAN, 11 Mac 2009
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my
PUTRAJAYA: Kerajaan membatalkan serta-merta visa kemasukan kira-kira 70,000 rakyat Bangladesh yang diluluskan pada 2007 bagi mengelak kemasukan pekerja asing itu ke sini pada masa ini kerana tiada keperluan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua levi dibayar bagi setiap pekerja berkenaan juga akan dikembalikan.
"Tidak ada pekerja asing (Bangladesh) yang baru kita luluskan, kita terperanjat apabila kedutaan negara itu membuat pengumuman sedemikian. Itu adalah angka yang kita luluskan pada 2007 dan pekerja berkenaan belum masuk ke negara ini.
"Memandangkan suasana sekarang tidak memerlukan pekerja asing, kita batalkan semua kelulusan lalu. Saya berharap perkara ini tidak menimbulkan kegelisahan dan salah faham rakyat," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.
Hadir sama, Pemangku Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam.
Syed Hamid mengulas kenyataan Kaunselor Buruh Bangladesh, Talat Mahmud Khan, kelmarin bahawa 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di negara ini untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Talat mendakwa, visa pekerja Bangladesh terbabit sudah diluluskan sebelum penguatkuasaan peraturan membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Syed Hamid berkata, jumlah sebenar pekerja Bangladesh yang diluluskan kerajaan tetapi masih belum memasuki negara ini adalah seramai 55,147 dan bukan 70,000 seperti didakwa Talat.
Katanya, jumlah itu berdasarkan kelulusan diberikan kerajaan sehingga 31 Disember 2007 dan tiada sebarang kelulusan baru diberikan selepas tarikh itu.
"Keadaan ini disebabkan majikan mengambil masa lama membawa masuk pekerja berkenaan ke sini," katanya.
Sehubungan itu, Syed Hamid berkata, beliau akan meminta Talat mengadakan pertemuan dengan Jabatan Imigresen bagi membincangkan mengenai levi pekerja yang perlu dibayar balik kerajaan.
"Ini adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan, saya berharap isu ini tidak dipolitikkan dan tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menuding jari... ini perkara lama yang sudah diluluskan," katanya.
Ditanya sama ada pembatalan visa itu hanya membabitkan pekerja Bangladesh, Syed Hamid berkata, keputusan itu akan dikuatkuasakan terhadap pekerja semua negara yang ingin menghantar pekerja mereka ke sini.
Katanya, pada masa ini, kerajaan hanya akan meluluskan pengambilan pekerja asing berdasarkan dua kemungkinan iaitu wujud kekosongan jawatan atau tawaran pekerjaan hanya untuk bidang diluluskan seperti perladangan dan pembersihan.
"Untuk bidang pekerjaan yang diluluskan Kabinet seperti pembantu rumah dan 3D (kotor, berbahaya dan sukar) seperti tukang cuci, kita akan semak," katanya.
Terdahulu, Syed Hamid menyampaikan sumbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM76,083.80 kepada Tabung NSTP Untuk Gaza kepada Ketua Biro Berita Harian Putrajaya, Johari Ibrahim yang mewakili The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.
TOLAK 70,000 BANGLADESH
KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan perlu mengutamakan pekerja tempatan yang hilang pekerjaan dan bukannya membawa masuk lebih 70,000 pekerja Bangladesh ketika negara menghadapi kelembapan ekonomi global.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Samsuddin Bardan berkata, kerajaan juga perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 200,000 lepasan sekolah yang memasuki pasaran kerja setiap tahun.
‘‘Daripada 20,000 pekerja di negara ini yang diberhentikan sehingga akhir bulan lalu, 8,000 merupakan pekerja asing, sementara 12,000 lagi adalah pekerja tempatan.
‘‘Mereka inilah yang harus diutamakan berbanding 70,000 pekerja Bangladesh tersebut,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai laporan 70,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di sini tidak lama lagi.
Samsuddin turut melahirkan rasa pelik terhadap laporan tersebut. Ini kerana kemasukan pekerja asing itu ketika keadaan ekonomi tidak begitu baik dan ramai pekerja tempatan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pekerjaan.
‘‘Seharusnya pekerja tempatan yang diberhentikan daripada sektor pembuatan diserap ke sektor perladangan dan binaan sementara langkah menggunakan pekerja Bangladesh dalam sektor perkhidmatan adalah tidak wajar,’’ katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan para pekerja Bangladesh itu sudah membayar kos yang tinggi iaitu RM12,000 hingga RM13,000 untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.
‘‘Kos yang dibayar memerlukan mereka bergolok-bergadai dan bekerja di negara ini selama satu setengah tahun bagi memastikan balik modal,’’ jelasnya.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan Malaysia dan Bangladesh mengadakan perbincangan segera untuk menyelesaikan isu kemasukan lebih 70,000 tenaga kerja daripada negara itu. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi menjaga hubungan di antara dua negara selain mengelak timbul kegelisahan dan tanda tanya di kalangan rakyat.
Katanya, persetujuan yang dicapai sebelum ini boleh ditarik balik dan sepatutnya mengandungi klausa tertentu termasuk membenarkan ia dibatalkan sekiranya berlaku perkara di luar kawalan.
“Hujah bahawa kita perlu menerima mereka hanya kerana kelulusan dan permit telah dibayar adalah hujah yang lemah.
“Ia seumpama sengaja mencari alasan. Dalam mana-mana perjanjian perlu ada klausa yang akan membatalkannya jika sesuatu berlaku. Jika tiada, ia adalah perjanjian yang tidak adil kerana terlalu memihak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Shahir turut menegur kenyataan Talat bahawa pekerja terbabit tidak meminta gaji yang tinggi dan mampu bekerja dalam apa jua keadaan. Katanya, hujah itu tidak wajar digunakan sama sekali kerana seseorang pekerja sepatutnya dibayar gaji selaras dengan tahap kemahirannya dan bukannya dianiaya.
“Pembayaran gaji yang rendah adalah satu penindasan dan pada masa yang sama menafikan hak pekerja tempatan, akhirnya yang menang ialah majikan dan ejen.
“Jika pekerja tempatan enggan bekerja di sektor tertentu, kita perlu tanya kenapa? Adakah gaji mereka munasabah dan bagaimana pula persekitaran kerjanya,” katanya. Mengulas perkara sama, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kemasukan para pekerja asing dalam jumlah yang ramai sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa.
Beliau memberitahu, melalui pengalaman PPIPBM sebelum ini, ramai di antara warga Bangladesh yang diterima bekerja tidak mempunyai kecekapan dan kemahiran asas seperti membaca dan menulis.
‘‘Ini diakui sendiri oleh ahli-ahli PPIPBM sendiri dan kehadiran mereka yang tidak tahu membaca dan menulis itu merugikan pihak majikan,’’ tegasnya. Di samping itu katanya, isu kekurangan pekerja dalam sektor perkhidmatan atau sektor-sektor lain boleh diatasi dengan kerjasama dan sokongan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan umpamanya boleh menyediakan elaun khas buat pekerja tempatan yang menyertai syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana di negara ini bagi menarik minat mereka.
‘‘Melalui pengalaman PPIPBM juga, para pekerja tempatan di sektor perkhidmatan dan perkilangan sering berhenti untuk menyertai syarikat lebih besar selepas beberapa tahun menimba pengalaman di syarikat kecil,’’ tegasnya.
Sunday, March 01, 2009
JAMBATAN BARU DIBINA KURANGKAN KESESAKAN
KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud yang merentangi Sungai Terengganu di sini, mungkin dapat dikurangkan apabila sebuah jambatan baru dibina tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan negeri merancang membina jambatan sepanjang kira-kira dua kilometer itu yang menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu. Katanya, rancangan untuk membina jambatan itu sudah lama dibuat.
''Bagaimanapun dulu ada sedikit masalah pada reka bentuk jambatan tersebut yang menyebabkan pembinaannya ditangguhkan.
''Reka bentuk dahulu melibatkan dua lorong dan kini diubah kepada empat lorong," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Penarik Bot kepada nelayan di Kampung Kubang Badak di sini semalam.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan sebuah mesin penarik bot bernilai RM5,000 untuk kegunaan nelayan menarik kira-kira 50 buah bot di kampung berkenaan. Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan tersebut akan disegerakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menjadi lebih buruk.
''Berdasarkan kajian yang dibuat, Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung jumlah kenderaan yang ada sekarang sehingga 2010," katanya. Beliau menambah, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti dan mengambil semula tanah untuk pembinaan jambatan baru tersebut.
Katanya, pembinaan projek itu juga akan memudahkan mereka yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan tanpa perlu memasuki bandar.
ASRAMA PEKERJA ASING BERNILAI RM15 JUTA DIBINA
Ahad, 1 Mac 2009
SENAI: Kerajaan negeri akan membina sebuah asrama pekerja bernilai RM15 juta di kawasan seluas lapan hektar, di Medini Iskandar Malaysia sebagai kawasan penempatan pekerja asing yang terbabit dalam pembangunan di wilayah itu. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata penempatan dilengkapi pelbagai kemudahan akan dibangunkan kira-kira tiga kilometer dari Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (JSNAC) dan boleh menempatkan sehingga 5,000 pekerja asing.
“Kemudahan ini penempatan pertama dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) bagi menempatkan pekerja asing yang terbabit dalam pembinaan di Iskandar Malaysia.
“Pembinaan projek penempatan ini akan dimulakan tahun ini berikutan pembangunan kawasan Medini seluas 800 hektar di Iskandar Malaysia yang kini dalam pelaksanaan, memerlukan jumlah pekerja binaan yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda daripada Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) kepada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini, semalam.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama Irda berkata, asrama itu akan turut dilengkapi kawalan keselamatan dan kemudahan pengangkutan.
Artikel - Artikel..
-
▼
2009
(97)
-
▼
March
(9)
- KENAIKAN LEVI PEKERJA ASING DITERUSKAN
- JANGAN AMBIL PEKERJA ASING - DR. SUBRAMANIAM
- PEKERJA ASING DIKENAKAN LEVI BERGANDA
- RM700j WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN
- KERAJAAN LEBIH UTAMAKAN GUNA TENAGA TEMPATAN
- VISA 70,000 PEKERJA BANGLADESH DIBATAL
- TOLAK 70,000 BANGLADESH
- JAMBATAN BARU DIBINA KURANGKAN KESESAKAN
- ASRAMA PEKERJA ASING BERNILAI RM15 JUTA DIBINA
-
▼
March
(9)