Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Sunday, June 29, 2008

ELAK TERLALU TAKSUB KEPADA PRESTASI AKADEMIK - Raja Nazrin

MINGGUAN MALAYSIA
29 JUN 2008

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, sistem penilaian dalam pendidikan yang terlalu taksub kepada prestasi pencapaian akademik semata-mata adalah bercanggah dengan hukum alam.Baginda bertitah, keadaan itu menyebabkan pandangan pendidikan menjadi kabur, tidak berfikiran jauh lalu gagal mentafsir falsafah pendidikan yang lebih luas lagi komprehensif. Menurut baginda, sistem dan pendekatan pendidikan di negara maju memberikan ruang untuk berlakunya fleksibiliti bagi membangunkan potensi modal insan sejak usia awal.

''Negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan yang agung, malah di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen dan bermacam-macam bidang lagi. ''Ini kerana masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat ini, lalu menerima realiti kepelbagaian insan, memberikan segala dorongan, dan membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang,'' titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Cemerlang Tahun 2008 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati, Setapak di sini hari ini. Pada majlis itu, Raja Nazrin turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 untuk tabung pembangunan sekolah itu. Turut berangkat ialah isteri baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang menyampaikan anugerah kepada 45 pelajar dan 36 guru subjek. Raja Nazrin bertitah, sekolah perlu menjadi tapak semaian untuk membangunkan pelbagai bakat, mengiktiraf pelbagai potensi serta mengembangkan pelbagai minat pelajar.

''Sekolah hendaklah berperanan sebagai dusun yang membolehkan semua pohon tumbuh subur membuahkan hasil. Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara," titah baginda.

Baginda menegaskan, setiap individu mempunyai peranan penting malah setiap pekerjaan halal adalah mulia. Titah baginda, negara dan dunia tidak dapat berfungsi sepenuhnya jika kesemua warga dunia menjadi profesor di universiti.

''Jika kesemua insan telah menjadi profesor di universiti, siapakah pula yang akan menghasilkan padi di sawah dan mengeluarkan kapas untuk membuat pakaian?'' titah baginda

Friday, June 27, 2008

KONTRAKTOR KELAS F PERLU TINGKAT TARAF

BERITA HARIAN 27 JUN 2008

KONTRAKTOR kelas F digalakkan untuk meningkatkan taraf ke kelas lebih tinggi berikutan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hanya menyediakan projek untuk kurang 20,000 kontraktor kelas berkenaan, sedangkan ada 31,847 kontraktor kelas F berdaftar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata jumlah kontrak yang tidak seimbang dengan bilangan kontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) perlu diberi perhatian oleh kontraktor kelas berkenaan untuk berusaha mempertingkatkan taraf ke kelas lebih tinggi.

Beliau berkata, kontraktor kelas F juga hanya menjalankan projek bernilai bawah RM200,000 dan untuk memastikan pengagihan kelas F seimbang di setiap daerah, kontraktor hanya dibenarkan menjalankan projek di daerah tertentu saja.

"Beberapa langkah diambil antaranya memastikan hanya kontraktor yang berkualiti dikekalkan. Dalam tempoh pembekuan sejak 2005, seramai 3,399 kontraktor dibatalkan," katanya menjawab soalan lisan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan). Bung Mokhtar meminta penjelasan bilangan sasaran kumpulan kontraktor kelas F dikeluarkan daripada status sedia ada kerana kontraktor kelas itu tidak boleh dibiarkan bersendirian dan bersaing untuk mendapat peluang kontrak yang kurang.

Terdahulu menjawab soalan asal Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam), Noh berkata, kerajaan membekukan pendaftaran kontraktor kelas F mulai 8 April 2005 berikutan bilangan kontraktor kelas F yang berdaftar melebihi peluang kerja yang boleh diberikan kerajaan.

Katanya, sehingga 12 Jun lalu, bilangan kontraktor berdaftar dengan PKK ialah 31,847 berbanding 35,000 pada April 2005. Sehubungan itu, katanya mulai Januari 2006, kerajaan membuat semakan pendaftaran serta menamatkan pendaftaran kontraktor kelas F yang tidak aktif. Kriteria yang diguna pakai ialah keaktifan akaun syarikat, memperolehi kerja atau mengambil bahagian dalam sebut harga/undi/tender, menghadiri kursus anjuran PKK dan tidak mengalibabakan projek.

"Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan dasar pembekuan dan akan membuka pada masa sesuai. Bagaimanapun, kontraktor baru tidak dihalang untuk mendaftar dalam mana-mana kelas sama ada kelas E,D,C,B dan A," katanya. Menjawab soalan tambahan, Noh berkata, seramai 3,317 kontraktor tidak memperbaharui permohonan.

Beliau berkata, ada antara kontraktor itu dikenakan tindakan tatatertib seperti menjual kontrak atau memberikan pada orang lain, bertindak sebagai ejen untuk mengambil komisen dan disenarai hitam, akaun syarikat tidak aktif dan enggan menghadiri kursus PKK. "Semua itu menunjukkan bahawa mereka ini tidak lagi berminat untuk menjadi kontraktor kelas F," katanya.

Wednesday, June 25, 2008

IMBUHAN KEPADA STAF GRED 1-16

Hari ini Kesatuan Sekerja akan cuba memikirkan cadangan yang bersesuaian untuk kakitangan kerajaan gred 1 - 16 yang mengikut lapuran rata-rata berpendapatan RM1,500 ke bawah. Pada aku elok sangatlah tu. RM1,500.00 sebelum kenaikan harga minyak dulu pun sudah hampir tahap kemiskinan, apa lagi dengan kenaikan harga barang yang nampaknya tidak dapat dibendung lagi lantaran kenaikan harga minyak.

Berbagai ikhtiar telah diusahakan oleh kerajaan. Kadang-kadang aku terfikir.... buat apalah kerajaan susah-susah fikirkan. Kalau tiada kenaikan minyak dulukan senang. Atau kalau nak naik pun, berpada-padalah, yang boleh diterima ramai. Tapi sebaliknya kenaikan lebih 40%. Bermakna pandangan aku, kenaikan harga barang akan menjadi sekurang-kurangnya 20% iaitu setengah dari kenaikan minyak.

Harga barangan tidak akan mengenal siapa mereka itu. Gaji besar atau kecil, atau pun yang tiada gaji. Naik tetap naik. Yang ada kereta bolehlah dapat rebat RM625. Yang tiada kenderaan bagaimana? Mungkin ada fikir, kalau dah tak ada kenderaan, wajarlah tiada rebat. Tetapi kesan menyeluruh merangkumi segenap peringkat.

Mungkin suatu hari nanti bagi mereka yang langsung tiada kenderaan, kena daftar untuk dapat rebat khusus mereka yang tidak berkenderaan. Sebabnya, keperitan tetap mereka rasakan. Kalau begitu,.... pening lagilah kerajaan mencari formulanya.

Tapi kalau untuk kakitangan kerajaan kumpulan rendah, akau nak cadangkan supaya kerajaan bagi kupon khusus untuk membiayai tambang untuk ketempat kerja. Syaratnya mereka kena guna pengangkutan awam. Kerajaan boleh beri kupon bulanan. Caranya... kita fikirla sendiri.

Kebaikannya;

1. Pengangkutan awam akan popular.
2. Peruntukkan yang diberi kembali kepada kerajaan.
3. Kurang berlaku kesesakan, terutama di KL.
4. Masalah tidak cukup parking selesai.
5. Alam sekitar lebih bersih.
6. dan lain-lain lagi.

Jadi kita namakan elaun itu sebagai insentif pengangkutan. Cumanya jangan pula ada yang jual kepada orang lain. Dan dia tetap guna kenderaan sendiri. Mana tau, orang Malaysia ni bijak dan kreatif.

Thursday, June 19, 2008

BENARKAH AKU PEMIMPIN SEJATI?...

Kepada para pemimpin sekelian, nilailah diri kita dengan meletakkan diri kita dalam kategori mana kita berada. Pertama, adakah kita seorang yang proaktif? Kedua, adakah kita seorang yang reaktif ataupun yang ketiga, adakah kita seorang yang tidak aktif.

Sekiranya kita seorang yang proaktif, bermakna kita sudah pun menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan sebaik mungkin. Adakah kita menguasai masalah di segenap peringkat yang kita pimpin. Masalah kemiskinan, belia, anak yang tercicir pelajaran, anak yatim yang terbiar kehidupannya, orang tua dan ibu tunggal yang dalam kesempitan dan banyak lagi.

Adakah kita sentiasa turun padang mencari maklumat sebagai usaha untuk mencari penyelesaian. Adakah kita lakukan ini dengan penuh tanggungjawab. Sekiranya kita sudah melaksanakan setiap yang diamanahkan, kita tidak perlu bimbang. Masyarakat akan mengingati dan menilai setiap kesungguhan yang kita tunjukkan. Kita juara di mata mereka. Dengan keikhlasan yang kita miliki, usaha kita itu menjadi amal salih yang akan kekal selama-selamanya.

Sekiranya berada dalam kategori kedua, iaitu reaktif, bermakna kita tidak banyak turun padang. Kita hanya bertindak sekiranya ada laporan pihak tertentu seperti laporan media, masyarakat sekeliling dan sebagainya. Kita hanya akan bertindak bila diarahkan untuk kita berbuat demikian. Kita tidak mampu menjangkakan apakah masalah atau keperluan sebenar masyarakat di kawasan kita. Ada kalanya kita bersungguh-sungguh, tetapi itu dilakukan sekiranya kita berasakan ia akan memberi kelebihan kepada kita.

Kita bersungguh-sungguh sekiranya ada lawatan pihak atasan. Waktu itu, kitalah jaguh, kitalah pejuang tulen. Kalau dalam politik, pemimpin dalam kategori inilah berasa bimbang sama ada terus dipilih atau sebaliknya. Pemimpin ini sering mengatakan, "sebenarnya masih banyak lagi yang belum diperjuangkan. Sekiranya saya diberi peluang sekali lagi.... saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan sebarang masalah berbangkit ...."

Kategori terakhir ialah inaktif atau tidak aktif. Kategori ini adalah kategori paling malang. Pemimpin kategori ini bukan saja tidak turun padang, bahkan tidak memberikan respons yang baik sekiranya diadukan sesuatu. Sering kali pemimpin kategori ini memberikan alasan atas apa yang tidak dilakukan. Pemimpin ini biasanya berusaha menjadi pemimpin semata-mata kerana kepentingan peribadi. Apa yang difikirkan adalah keuntungan yang bakal diperoleh dengan pengaruh dimiliki.

Sebenarnya pemimpin inilah yang menjadi punca kenapa hasrat dan perancangan kerajaan itu tidak dapat dicapai sepenuhnya. Sekiranya hasrat kerajaan untuk meningkatkan modal insan, apa yang difikirkan mereka ialah bukan program modal insan itu, sebaliknya mereka hanya memikirkan kepada modal yang disediakan oleh kerajaan. Modal inilah yang akan menjadi sasaran. Akhirnya, modal hilang, tinggallah insan terkapai-kapai dan akhirnya turut hilang.

Pemimpin yang tergolong dalam kategori ini seharusnya dikeluarkan dari senarai bakal pemimpin. Tetapi, adalah tidak mustahil, pemimpin inilah yang beria-ia menunjukkan kebolehan dan kelebihan bagi menarik perhatian pihak atasan. Mereka menggunakan apa saja ikhtiar, melobi di setiap peringkat. Adalah tidak mustahil, tanpa disedari, ada di kalangan mereka yang berjaya mencuit hati pihak atasan, dan akhirnya terpilih juga sebagai ketua.

Akhirnya, jawatan ketua yang disandang akan menjadi beban bukan sekadar kepada dirinya, tetapi kepada organisasi yang diwakili. Justeru, pemimpin sekelian , selain menganggap itu sebagai rezeki di atas kepercayaan yang diberikan, janganlah lupa atas kepercayaan yang diberikan. Sebenarnya itu satu dugaan yang dipertanggungjawabkan. Bersedialah untuk berbakti sebaik mungkin.

Pulau Kapas... Pulau Kapas

Dah lama aku tak jengok blog aku ni. Sebenarnya aku ni baru belajar bikin blog sendiri. Aku tahu orang lain dah lama dah.... Itu pun anak aku yang tunjukkan bagaimana. Seronok juga. Sekurang-kurangnya, dapat curahkan idea-idea untuk kepuasan kita sendiri. Kalau orang dapat menfaatnya, baguslah.

Sebenarnya aku ke Pulau Kapas di KT. Empat hari aku di sana. Mengendalikan kursus pembangunan kontraktor (Kursus Pembinaan Jalan) untuk kontraktor kelas F, E dan D. Mula Ahad.

Bertolak Sabtu malam Ahad dari JB dengan bas je... memandangkan minyak yang mahal sekarang. Lagipun, boleh tidur. Sempat singgah di Setiu lagi, jumpa orang tua, walaupun sekadar 2 jam sahaja.

Selepas pendaftaran, kursus bermula jam 11.00 pagi. Awalnya senyap je.. biasanya begitulah. Belum tau lagi siapa kepalanya.

Apa-apa pun, aku kagum dengan semangat yang ditunjukkan peserta, walaupun banyak yang perlu diberitahu, kesungguhan mereka membuatkan aku rasa tidak penat bersama mereka selama 4 hari. Yang muda dan yang lama (tidak tua tau!) berkongsi pengalaman dalam suasana penuh ceria, menjadikan empat hari tidak begitu terasa (nampak je gitu). Tapi hari akhir tu.. nasib la mereka ni tak ada sayap. Kalau tidak terus terbang ke rumah masing-masing. Dah lama tak jumpa anak-anak la katakan...

Nanti aku sambung lagi..

Friday, June 13, 2008

SANGGUPKAH ORANG KITA?...

Petikan berikut merupakan komen saya kepada coretan Sdr Mazidul dalam blognya http://www.mazidulakmal.blogspot.com/ berkaitan dengan tajuk di atas.

Assalamualaikum Sdr Mazidul,

Kupasan isu yang menyentuh realiti kehidupan menyentuh hati banyak orang, dan pastinya diri saya.

Kupasan terbaru berkaitan sanggupkah orang kita? yang terbaru. Oleh kerana ianya menyentuh tentang realiti kerja dalam katagori yang sering disebut orang 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), sememangnya begitulah realitinya.

Kita banyak berteori, sehinggakan latihan kemahiran yang corak pekerjaannya nanti di panas terik, tetapi dilakukan di bawah hanger dengan suasana yang nyaman.

Segala-galanya dilakukan dengan suasana yang selesa. Latihan persediaan mental tidak dimasukkan dalam kurikulum. Semuanya bergantung kepada tenaga pengajar. Malangnya, tenaga pengajar di pusat latihan juga kurang atau tidak pernah punya pengalaman di tapak bina.

Untuk melahirkan tenaga kerja dari kalangan orang kita yang sanggup macam Jusri sekarang, seperti yang saudara katakan, saya rasakan kita hanya berangan tanpa kesudahan. Corak latihan yang ada di negara tidak menjurus ke arah itu. Kita berkemampuan menyediakan kemudahan latihan, tetapi, gagal dalam pembentukan tenaga kerja bagi mengurangkan kebergantungan.

Pandangan saya, jika kita benar-benar serius, dengan corak latihan yang sempurna, kita hanya boleh melahirkan perkerja dari kalangan orang kita dalam tempuh 10 tahun akan datang. Untuk tempuh sebelum itu, kita akan terus bergantung kepada orang luar.

Kita bercerita tentang 'modal insan'. Malangnya, kita banyak menghabiskan 'modal', sedangkan 'insan-insan' terbiar tanpa pembelaan.

Kita banyak bercerita tentang kaedah atau pendekatan, tetapi kita tidak memikirkan tentang produk akhir.

Oleh itu, pihak berwajib dan industri perlu ikhlas. Industri perlu jujur, kalau dengan RM2.25/jam, mana mungkin orang kita mahu. Ianya sekadar menambahkan persepsi negatif yang sudah sedia ada.

Penyelesaiannya? panjang untuk dibincangkan. Barangkali jika berkelapangan, Sdr Mazidul lawatilah www.enzek.blogspot. Cari artikel bertajuk 'Tuntutan Pembaharuan di Sektor Binaan'. Artikel tersebut pernah disiarkan di Berita Harian pada 25 Januari 2008.

Harapan saya, sekiranya pihak tertentu dapat meneliti cadangan-cadangan dalam artikel tersebut dan dijadikan asas untuk perancangan jangka panjang. Bukan untuk lahirkan pekerja besok hari, lusa atau tahun depan.

Persoalannya? Sejauhmanakah seriusnya kita?

Sdr Mazidul lihatlah apa yang patut. Sdr ada platform yang baik dan berkesan. Mudah-mudahan dengan keikhlasan dan ketulusan sdr dan mungkin juga saya, kita dapat membela masa depan orang kita, dan pastinya ... zaman anak-anak kita di masa akan datang. Jika tidak, generasi kita pastinya dikelilingi 'mereka'.

Wassalam.

Thursday, June 12, 2008

PEKERJA ASING... APA LEBIHNYA MEREKA!

Kawasan seluas 40 hektar berdekatan Pekan Nanas, Pontian bakal dibangunkan untuk penempatan awal kira-kira 50,000 pekerja asing yang bakal bekerja di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), bermula tahun ini.

Memikirkan kepada kesan sosial yang mungkin timbul dari kehadiran pekerjaan asing ini, langkah menyediakan penempatan khusus tersebut dikira munasabah.

Cuma, apa yang terbayang pada fikiran saya ialah alangkah baiknya jika peluang pekerjaan yang wujud tersebut dibuka kepada belia-belia tempatan. Malangnya, bilangan rakyat tempatan tidak mencukupi untuk mengisi keperluan yang ramai, apa lagi secara serentak dan dalam jangka waktu yang singkat pula. Kalau pun ada, belum tentu rakyat tempatan ini bersedia atau mungkin juga mereka tidak mendapat gambaran keperluannya yang sebenar.

Kalau inilah permasalahannya, wajar pihak kerajaan negeri menyenaraikan bentuk kemahiran yang diperlukan untuk pembangunan di WPI. Mungkin bilangan belia tempatan tidak mampu untuk memenuhi kesemua keperluan itu, tetapi setidak-tidaknya kehadiran mereka mampu untuk menampung sebahagian bilangan diperlukan, itu pun sudah dikira memadai.

Jika tidak, sampai bilakah situasi ini akan berterusan? Adakah ia akan berterusan sehinggalah negara kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020? Kalau begitu keadaannya, negara kita terus-terusan akan menjadi syurga kepada rakyat asing, walhal rakyat sendiri terkapai-kapai mencari hala tuju untuk meneruskan kehidupan.

Jika diteliti, setiap tahun lebih 500,000 pelajar memasuki dunia persekolahan dan setiap tahun juga, selepas mengambil kira mereka yang berjaya memasuki universiti, matrikulasi, tingkatan enam, program diploma, institusi perguruan, politeknik, institusi latihan kemahiran, dan lain-lain institusi pendidikan swasta, dijangka 150,000 lagi meninggalkan persekolahan tanpa laluan kerjaya jelas dan hilang begitu sahaja tanpa mampu dijejaki.

Alangkah ruginya negara kita, membiarkan belia ini hilang tanpa bekas, tanpa sempat diberikan modal untuk menjadi insan cemerlang yang mampu menyumbang sesuatu kepada negara. Sedangkan insan yang diberikan latihan kemahiran pun belum tentu diterima pasaran atau perlu bersaing dengan pekerja asing, inikan pula mereka yang tidak mempunyai sebarang kemahiran.

Adakah kita tidak mampu membentuk tenaga kerja mahir di kalangan rakyat sendiri? Di Johor saja, ada Politeknik di Pasir Gudang, Akademi Binaan Malaysia di Tampoi, Institut Kemahiran Belia Negara di Pagoh, Institut Latihan Perindustrian di Mersing, Institut Kemahiran Mara di Johor Bahru serta Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara di setiap daerah atau parlimen.

Apakah hasil yang diperolehi Johor dengan kewujudan institusi latihan ini?
Berapa ramaikah tenaga kerja yang mampu dihasilkan?
Dan ke manakah perginya insan terlatih ini?

Adakah kerana kewujudan institusi latihan di atas, dikelolakan di bawah berlainan kementerian yang menjadi punca atau menyukarkan negara untuk membuat perancangan guna tenaga yang berkesan dan secara menyeluruh?

Walau bagaimanapun, sekiranya, penempatan itu dilaksanakan nanti, kita berharap kemudahan yang lengkap yang akan disediakan dapat dicontohi oleh setiap negeri, malah di setiap tapak projek pembinaan. Ini tentunya boleh mewujudkan suasana persekitaran kerja yang lebih kemas, seterusnya meningkatkan imej industri binaan dan tidak lagi dibayangi dengan suasana penempatan di rumah kongsi yang sering menjadi piawaian umum ketika ini.

Malah, lebih menggembirakan lagi jika penempatan tersebut dipenuhi dengan tenaga kerja tempatan terlatih, keluaran institusi latihan tajaan kerajaan sebagai medan untuk menimba pengalaman yang amat berharga ini. Pastinya negara memperolehi keuntungan dalam jangka panjang dan seterusnya menghindarkan jutaan wang negara mengalir keluar.

KURSUS PEMBINAAN JALANRAYA

Ahad hingga Selasa lepas (8-10 Jun), aku di KT mengendalikan kursus pembinaan jalanraya. Peserta tidaklah begitu ramai. Tapi teruja dengan seorang peserta yang merupakan usahawan yang telah berjaya, masih ingin belajar walaupun memiliki lesen kontraktor kelas A. Begitu tekun sekali.

Teruja juga dengan semangat anak muda yang berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri, dalam menyusur kehidupan penuh cabaran ini.

Aku sendiri terasa bangga, dapat memberikan bimbingan yang tidak seberapa.... Moga mereka semuanya berjaya.

Minggu depan memenuhi jemputan untuk kendalikan kursus yang sama di Pulau Kapas.

Wednesday, June 11, 2008

BOLA SEPAK EROPAH.... BAGAIMANA BOLA SEPAK NEGARA KITA???

Masih segar dalam ingatan saya pada tahun 1980. Waktu itu, saya berada di tingkatan lima dan berada di asrama di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang, Gong Badak, Kuala Terengganu, bagaimana saya dan rakan-rakan, di dewan asrama melihat kehebatan Hasan Sani yang menggelecek beberapa pemain Korea Selatan dan seterusnya melorongkan bola kepada gandingan mantapnya, James Wong, yang kemudiannya turut mengelirukan beberapa pemain Korea Selatan sebelum menendang bola ke arah gol Korea Selatan. GOL!!!!!!

Itulah teriakan kuat yang sepontan dari saya dan rakan-rakan menyambut kejayaan tersebut dengan penuh kebanggaan. Kejayaan tersebut telah melayakkan negara ke Sukan Olimpik Moscow. Walau pun negara telah menarik diri dari menyertai sukan olimpik tersebut, lantaran suasana politik dunia pada waktu itu, tetapi itu tidak menjejaskan semangat pasukan untuk berjuang untuk merebut tempat ke pusingan akhir di Sukan Olimpik.

Apa yang lebih penting dalam diri pemain-pemain ketika itu ialah memertabatkan maruan negara di arena sukan bola sepak. Dalam diri mereka maruah tidak boleh dijadikan galang gantinya. Akhirnya, walaupun keputusan negara tidak menyertai sukan Olimpik tersebut, peminat-peminat puas kerana perjuangan dan komitmen jitu yang telah ditunjukkan pemain-pemain meletakkan maruah negara sentiasa di hadapan. Saya tidak pasti, entah bila saat-saat begini menjelma kembali.

Masih mengharapkan kita mampu bangkit, tapi bila ye?...

Monday, June 09, 2008

TERENGGANU JUARA......

BANGGANYA AKU BILA MELIHAT SEMANGAT PASUKAN BOLASEPAK SUKMA TERENGGANU. TAHNIAH KERANA JADI JUARA DAN MERANGKUL PINGAT EMAS.

MOGA TERUSKAN BERBAKTI DI NEGERI SENDIRI SAMPAI BILA-BILA,

Saturday, June 07, 2008

PEKERJA ASING..... DI MANA DAN BILA KESUDAHANNYA..

Sekadar untuk sama difikirkan.....

Isu pekerja asing ini nampaknya sering dipandang remeh oleh pihak berkuasa. Memang kita terlalu meraikan tetamu. Membiarkan mereka mencari rezeki di negara kita walaupun salah dari segi undang2. Bila dah lama, dah ramai, dah 'berkuasa' tentu sukar untuk menghantar pulang.

Akhirnya, kita terpaksa akur. Hatta, pulau yang nyata milik kita pun akan terlepas. Ironinya, kita hanya berlembut dengan 'tetamu' kita. Tapi tegas dengan orang kita. Lihar sahaja di sektor binaan. Carilah orang tempatan, pasti sukar. kalau kita nak repair rumah sendiri, siapa yang datang melaksanakannya, walaupun kita deal dengan orang kita.

Kita ada ratusan pusat latihan kemahiran. Kita keluarkan puluhan ribu setiap tahun. Tapi ke manakah mereka? Memang kalau seorang, nampak tiada masalah. Kalau dia hantar RM200 sebulan. Ah, tak mengapa. Dia datang tak kacau kita. Tapi kalau sudah 2.3 juta? Darab dengan RM200 sebulan, darab lagi 12 bulan. Tentu ianya mengacau ekonomi negara kita. Itu bilangan yang disahkan. Khabarnya yang tak sah sekali ganda lagi. Kita hilang billion setahun.

Adakah orang kita malas? cerewet? mungkin ia.. tapi.. Pada saya itu hanyalah persepsi yang diadakan... bagi memberi peluang pada kontraktor tertentu terus-terusan mengambil pekerja asing. Bayar gaji murah.. longgokkan setempat 10-20 orang. Pastinya ini tidak dapat lakukan pada rakyat tempatan.

Kita sebenarnya tiada polisi jelas. Tiada undang2 yang mewajibkan kontraktor mesti mengambil pekerja tempatan yang telah dilatih. Mereka bebas mengangkut orang luar. Ada pula yang diizinkan membawa orang luar dengan keuntungan berlipat ganda. Kesian belia kita. Akademik mungkin tak seberapa. Belajar kemahiran dengan harapan boleh mengubah kehidupan. Malangnya, sekadar mendapat sijil sahaja. Nak jadi kontraktor kelas F, ianya dibekukan. Nak bekerja tiada yang sudi. Akhirnya sijil kemana apa ke mana. jual burger dan air tebu juga akhirnya. Sekadar penonton berbagai pembangunan yang ada, pelbagai koridor, tapi.. yang mampu dilakukan hanyalah menyapu koridor.

Saya sudah lawati puluhan pusat seluruh negara. Mengharukan.. itu sahaja yang dapat saya katakan. Lebih sedih. Tiada yang bangun membela. Mungkin 360 mampu mengubah keadaan atau sekurang-kurangnya menyedarkan banyak pihak.

Wallah huallam.

Zakaria

Friday, June 06, 2008

SUKMA DI NEGERIKU

Syabas untuk kontingen negeri Terengganu kerana pencapaian sehingga hari keenam ini. Mudah-mudahan ianya meningkat dari hari ke hari hingga hari terakhir.