Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, May 19, 2008

YB PROAKTIF PILIHAN SESUAI JADI CALON

Zakaria Mohd Yusof
BERITA HARIAN, 5 Februari 2008.

SEBAIK saja Perdana Menteri menyatakan hanya akan memilih pemimpin berwibawa sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, tentu pelbagai perkara bermain di kepala setiap orang politik, terutama yang mempunyai cita-cita untuk dipilih atau dipilih semula sebagai calon. Kepada yang sudah menjadi Yang Berhormat (YB) sejak penggal lalu, perasaan tenang, yakin, bimbang dan pelbagai lagi timbul di benak masing-masing. Tenang kerana berkemungkinan sudah bersedia dengan apa saja yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, walaupun penuh debaran. Yakin kerana berasa sudah memberikan khidmat terbaik sepanjang menjadi YB sejak sepenggal atau beberapa penggal lalu dan pasti pada pilihan raya kali ini namanya tidak akan tercicir.
Bimbang kerana tidak pasti apakah khidmat sebagai YB sudah berjaya memuaskan hati rakyat, khususnya pengundi yang memberikan sokongan pada pilihan raya lalu. Maka, terkeluarlah kenyataan demi kenyataan daripada bakal calon yang berasakan dirinya patut dipilih, dengan sebutan yang cukup enak didengar, seperti "saya tidak kisah kalau tidak dipilih" atau "saya serahkan kepada pucuk pimpinan". Yang lebih enak didengar lagi ialah kenyataan seperti "yang penting ialah bukan diri saya yang menjadi persoalan, tetapi kemenangan parti yang akan menjadi keutamaan. Saya tetap akan berjuang, walaupun pimpinan memutuskan bukan saya sebagai calonnya."
Ironinya, kenyataan ini banyak sekali kedengaran dan diluahkan di media. Apakah mungkin untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan bahawa, betapa setianya mereka kepada parti. Atau secara tidak langsung kenyataan ini akan menarik perhatian pimpinan untuk menilai semula nama calon terbabit, sekiranya kedudukan nama itu bukan dalam senarai utama. Pada asasnya kita sendiri boleh menilai sejauh manakah wibawa kita di atas tugas diamanahkan. Kepada bakal calon, kita boleh menilai diri kita dengan meletakkan diri kita dalam kategori mana kita berada. Pertama, adakah kita seorang yang proaktif? Kedua, adakah kita seorang yang reaktif ataupun yang ketiga, adakah kita seorang yang tidak aktif. Sekiranya kita seorang yang proaktif, bermakna kita sudah pun menjalankan tugas sebagai YB dengan sebaik mungkin. Kita menguasai masalah di segenap ceruk kawasan yang kita wakili. Masalah kemiskinan, belia, anak yang tercicir pelajaran, anak yatim yang terbiar kehidupannya, orang tua dan ibu tunggal yang dalam kesempitan dan banyak lagi. Kita sentiasa turun padang mencari maklumat sebagai usaha untuk mencari penyelesaian. Kita lakukan ini dengan penuh tanggungjawab. Kitalah pembela nasib mereka. Bukankah ini yang diucapkan atau dijanjikan lima tahun dulu? Penulis percaya, sekiranya kita sudah melaksanakan setiap yang diamanahkan, kita tidak perlu bimbang sama ada kita bakal dicalonkan kembali atau sebaliknya. Jika kita tidak terpilih sekalipun, di atas sebab di luar kemampuan kita, kita seharusnya tidak kecewa. Masyarakat akan mengingati setiap kesungguhan yang kita tunjukkan. Kita tetap juara di mata mereka. Dengan keikhlasan yang kita miliki, usaha kita itu menjadi amal salih yang akan kekal selama-selamanya. Suatu masa, kesungguhan kita dihargai. Tidak mustahil, kita dipilih semula satu hari nanti. Sekiranya berada dalam kategori kedua, iaitu reaktif, bermakna kita tidak banyak turun padang. Kita hanya bertindak sekiranya ada laporan pihak tertentu seperti laporan media, masyarakat sekeliling dan sebagainya. Kita hanya akan bertindak bila diarahkan untuk kita berbuat demikian. Kita tidak mampu menjangkakan apakah masalah atau keperluan sebenar masyarakat di kawasan kita. Ada kalanya kita bersungguh-sungguh, tetapi itu dilakukan sekiranya kita berasakan ia akan memberi kelebihan kepada kita. Umpamanya, kita bersungguh-sungguh sekiranya ada lawatan pucuk pimpinan pada peringkat Pusat atau pimpinan negeri melawat kawasan kita. Waktu itu, kitalah jaguh, kitalah pejuang tulen, pembela masyarakat. Kategori reaktif ini, seharusnya menjadi syarat paling minimum untuk dipilih sebagai pemimpin. Pemimpin dalam kategori inilah yang seharusnya berasa bimbang sama ada akan dipilih atau sebaliknya. Pemimpin ini sering mengatakan, "sebenarnya masih banyak lagi yang belum diperjuangkan. Sekiranya saya diberi peluang sekali lagi.... saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan sebarang masalah berbangkit ...." Inilah juga janji yang diberikan sebelum pemilihan dibuat pada penggal dulu. Kategori terakhir ialah inaktif atau tidak aktif. Kategori ini adalah kategori paling malang. Pemimpin kategori ini bukan saja tidak turun padang berjumpa masyarakat, bahkan tidak memberikan respons yang baik sekiranya diadukan sesuatu. Sering kali pemimpin kategori ini memberikan alasan atas apa yang tidak dilakukan. Pemimpin ini biasanya berusaha menjadi pemimpin semata-mata kerana kepentingan peribadi. Apa yang difikirkan adalah keuntungan yang bakal diperoleh dengan pengaruh dimiliki. Sebenarnya pemimpin inilah yang menjadi punca kenapa hasrat dan perancangan kerajaan itu tidak dapat dicapai sepenuhnya. Sekiranya hasrat kerajaan untuk meningkatkan modal insan, apa yang difikirkan mereka ialah bukan program modal insan itu, sebaliknya mereka hanya memikirkan kepada modal yang disediakan oleh kerajaan. Modal inilah yang akan menjadi sasaran. Akhirnya, modal hilang, tinggallah insan terkapai-kapai dan akhirnya turut hilang. Pemimpin yang tergolong dalam kategori ini pada pemikiran penulis, tidak akan berada dalam senarai bakal calon. Tetapi, adalah tidak mustahil, kumpulan inilah yang beria-ia menunjukkan kebolehan dan kelebihan bagi menarik perhatian pimpinan. Mereka menggunakan apa saja ikhtiar, melobi di setiap cawangan dan bahagian. Sanggup berhabis wang serta menggunakan konco yang ramai. Adalah tidak mustahil, dengan bilangan senarai calon yang ramai dan tanpa disedari, ada di kalangan mereka yang berjaya mencuit hati pucuk pimpinan, dan akhirnya terpilih juga sebagai calon. Akhirnya, kemenangan beliau akan menjadi beban bukan sekadar kepada dirinya, tetapi kepada organisasi yang diwakili. Justeru, kepada yang terpilih, selain menganggap itu sebagai rezeki di atas kepercayaan yang diberikan, bakal calon ini perlu melihat kepercayaan itu sebagai satu dugaan yang dipertanggungjawabkan oleh pimpinan. Bersedialah untuk berbakti sebaik mungkin.

No comments: