Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, May 19, 2008

USAHA MEMPERKASA LATIHAN GIAT MARA

Zakaria Mohd Yusof
BERITA HARIAN, 3 Januari 2008.

Pengumuman tentang kenaikan elaun pelatih Giatmara adalah suatu yang amat bertepatan dan bersesuaian sekali dengan realiti keperluan masa kini. Sejak tahun 1986, baru inilah kenaikan elaun diumumkan. Walau pun masih menunggu surat rasmi Majlis Mara, kita berkeyakinan ianya akan menjadi kenyataan sebaik sahaja bermulanya sesi pengajian Januari 2008.

Giatmara merupakan salah satu dari institusi latihan kemahiran awam (ILKA) tajaan kerajaan yang wujud di negara ini berperanan dalam menyediakan peluang kepada lepasan sekolah yang tidak mempunyai tahap akademik yang cemerlang untuk mengikuti kemahiran vokasional bagi meneruskan kerjaya mereka. Giatmara memastikan kumpulan ini berperanan dalam menyokong proses pembangunan dan menjadi modal insan yang berguna kepada negara.

Kewujudan Giatmara ternyata telah memberi peluang kedua kepada kumpulan ini untuk menggilap bakat-bakat yang ada dalam diri mereka dan ditonjolkan melalui latihan kemahiran yang diikuti di Giatmara ini. Kejayaan Giatmara yang telah melahirkan lebih 200,000 pelatih sejak ditubuhkan 20 tahun yang lalu seperti yang dilaporkan adalah suatu pencapaian yang amat membanggakan. Apa lagi melalui latihan yang diikuti di Giatmara ini, telah berjaya mewujudkan tenaga kerja mahir keperluan negara selain dari melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya. Tidak keterlaluan kalau boleh kita katakan bahawa, kejayaan sesetengah dari mereka melebihi dari apa yang telah dicapai oleh rakan-rakan mereka yang mempunyai ijazah. Malah, kedapatan juga di kalangan mereka yang mempunyai ijazah, akhirnya berkhidmat di syarikat-syarikat yang dimiliki oleh lepasan Giatmara ini.

Elaun RM100 yang diterima sejak awal penubuhan Giatmara amatlah jauh dari mencukupi. Giatmara yang berkonsep komuniti dan tidak menyediakan penginapan asrama, elaun tersebut jugalah yang akan digunakan oleh pelatih-pelatih untuk menampung kos pengangkutan ke Giatmara atau kos penginapan bagi yang tinggal berjauhan. Dengan peningkatan kos sara hidup yang ketara ini, tentu sekali nilai RM100 yang diterima sejak sekian lama adalah jauh dari mencukupi.

Oleh itu, penulis meyakini bahawa, pengumuman kenaikan elaun ini pastinya suatu berita yang menggembirakan, malah suatu yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh para pelatih, bahkan juga kepada para tenaga pengajar yang merupakan insan yang paling rapat dengan pelatih-pelatih dan sering menjadi pendengar setia terhadap keluhan pelatih-pelatih. Keluhan-keluhan ini jugalah antara yang turut diajukan dalam lawatan penulis dalam kajian yang dibuat di lebih 50 Giatmara di seluruh negara.

Kita harus memahami bahawa insan-insan yang menjadi pelatih-pelatih di Giatmara ini majoritinya merupakan kumpulan yang mempunyai kemampuan yang kurang dalam akademik. Dengan nilaian kejayaan oleh sebilangan masyarakat, ibu bapa bahkan juga mungkin guru-guru di sekolah, yang berorientasikan kepada siapa yang memperolehi A yang banyak menentukan tahap kejayaan, tidak hairanlah kalau kumpulan ini menjadi kumpulan yang tersisih dan bukan merupakan aset kepada pencapaian sekolah. Hala tuju kerjaya mereka kurang diberi perhatian dan kerap kali dilabel dengan label-label yang negatif.

Kewujudan Giatmara telah mampu menyelamatkan masa depan mereka yang majoritinya adalah anak-anak bumiputera. Dengan syarat minimum sekadar hanya tahu membaca dan menulis, di Giatmara inilah bakat mereka diteroka, kemahiran diasah dan hala tuju dirangka supaya kemahiran yang dimiliki mampu mencernakan masa depan yang gemilang yang setanding dengan insan-insan lain yang dahulunya menjadi pujian di peringkat persekolahan.

Melihat kepada kejayaan yang telah dicapai oleh sebilangan lulusan Giatmara, pujian harus juga ditujukan kepada para tenaga pengajar yang bertungkus lumus berusaha mendidik kumpulan ini daripada kumpulan manusia yang tidak jelas hala tuju dan masa depannya di hari pertama di Giatmara, menjadi kumpulan yang bukan sahaja mempunyai sijil kemahiran mengikut bidang yang dilatih, tetapi juga lebih positif fikirannya serta mempunyai wawasan hidup yang lebih. Ciri-ciri ini menjadikan diri mereka mempunyai lebih nilai serta menjadi aset penting negara.

Antara kelebihan-kelebihan Giatmara sebagai institusi latihan kemahiran vokasional awam ialah;
· Syarat kemasukan yang mudah dan mampu dicapai oleh sesiapa sahaja yang berminat.
· Dengan tempoh kursus yang singkat iaitu enam bulan, ianya tidak akan menjemukan sesiapa sahaja yang mengikutinya.
· Kurikulum yang praktikal yang tidak begitu menekankan teori, sebaliknya lebih menjuruskan kepada mengasah kemahiran, menjadikan lulusan PGM lebih bersedia sebagai tenaga kerja mahir negara.
· Bilangan pelatih yang dihadkan kepada 20 orang untuk setiap kemasukan memastikan tumpuan latihan kepada pelatih-pelatih dapat diberikan sepenuhnya.
· Lokasi Giatmara yang terdapat di setiap daerah atau kawasan parlimen di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menjadikan Giatmara merupakan institusi latihan kemahiran yang terbesar dan memudahkan sesiapa sahaja untuk mengikutinya tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.
· Pelatih-pelatih yang tamat latihan dan berminat untuk menjadi usahawan akan menerima bimbingan nasihat yang berterusan dari pihak MARA. Manakala pelatih-pelatih yang ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi boleh berbuat demikian kerana MARA mempunyai rangkaian institusi pendidikan untuk semua peringkat, bermula dari Giatmara sehinggalah ke peringkat universiti.


Namun begitu, adalah diharapkan kenaikan kadar elaun tersebut hendaknya disusuli pula dengan langkah-langkah peningkatan selanjutnya bagi memastikan kemudahan-kemudahan di Giatmara adalah setanding dengan kemudahan-kemudahan yang ada di ILKA yang lain.

Daripada lawatan penulis ke beberapa pusat Giatmara, penulis berpandangan, dengan pendedahan dan perancangan yang rapi, Giatmara merupakan institusi latihan yang berpotensi dalam melatih dan menyediakan tenaga kerja mahir tempatan bagi menampung kekurangan tenaga kerja negara di sektor-sektor kritikal seperti sektor pembinaan. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, Giatmara didapati menghadapi masalah dalam usaha menarik lepasan sekolah untuk memilih bidang latihan tertentu yang berkaitan dengan sektor binaan, walhal, sektor binaanlah yang menjadi salah satu faktor penarik yang menyebabkan sebegitu ramai pekerja asing datang ke negara ini.

Justeru, selain dari usaha positif dengan menaikkan elaun pelatih-pelatih, perkara-perkara berikut merupakan cadangan-cadangan yang perlu dipertimbangkan agar Giatmara dapat diperkasakan dan terus mampan dalam menyediakan tenaga kerja mahir negara.

· Menaik taraf Giatmara dengan menyediakan penginapan yang selesa kepada pelatih-pelatih. Pelatih-pelatih diwajibkan untuk menginap di asrama yang disediakan. Ini membolehkan program kerohanian dan pembangunan diri dirangka dengan sempurna bagi meningkatkan jati diri pelatih-pelatih.
· Selain dari mempunyai kemampuan dalam memberikan latihan kemahiran kepada pelatih-pelatih, tenaga pengajar juga perlu ditingkatkan tahap kelayakan akademiknya dengan menyediakan kemudahan dan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke peringkat diploma atau yang lebih tinggi. Untuk ini, hubungan dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dijalin bagi merangka kaedah yang sesuai dan munasabah bagi membolehkan tenaga pengajar melanjutkan pengajian di bidang-bidang yang bersesuaian.
· Tenaga pengajar dari masa ke semasa didedahkan dengan maklumat berkaitan dengan industri dan memahami bentuk pekerjaan dan cabaran yang sebenar. Pendedahan begini membolehkan tenaga pengajar berkemampuan untuk menjelaskan kepada pelatih-pelatih sebagai persediaan yang bakal dihadapi oleh pelatih-pelatih sebaik sahaja mereka menamatkan latihan.
· Menyalurkan maklumat berkaitan bidang-bidang latihan ke sekolah-sekolah secara berterusan disamping dari masa ke semasa, mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah berdekatan. Giatmara juga, jika perlu, menawarkan tempat untuk pelajar-pelajar yang berpotensi untuk mengikuti latihan kemahiran di waktu percutian sekolah. Pelajar-pelajar yang berminat kemudiannya, akan diserapkan terus sebaik sahaja mereka menamatkan peperiksaan atau persekolahan.
· Memandangkan tugas tenaga pengajar adalah suatu tugas yang berat lagi mencabar, bagi membimbing pelatih-pelatih yang kurang atau sederhana kecemerlangan akademik ini, tenaga pengajar dari masa ke semasa perlu didedahkan dengan kemahiran kaunseling dan asas saikologi manusia. Ini membolehkan tenaga pengajar mempunyai keyakinan diri yang tinggi menghadapi latar belakang pelatih yang mempunyai tahap yang berbagai-bagai ini.
· Giatmara, perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan industri yang merupakan potensi majikan kepada pelatih-pelatih. Pelatih-pelatih dari masa ke semasa disaran untuk membuat lawatan industri bagi mendapatkan gambaran pekerjaan yang sebenar. Adalah suatu yang baik sekiranya dapat diusahakan agar majikan tertentu menjadikan kumpulan pelatih-pelatih sebagai ’pelatih angkat’ mereka.
· Mengubah suai kurikulum dengan meletakkan syarat untuk pelatih-pelatih mengadakan latihan industri untuk tempoh tertentu seperti tiga bulan sebaik sahaja mereka menamatkan tempoh wajib enam bulan latihan.
· Bagi memastikan pelatih-pelatih diterima oleh industri, dalam saingan dengan tenaga kerja asing, Giatmara dari masa ke semasa harus berbincang dengan pihak-pihak tertentu kerajaan, supaya menggubalkan polisi-polisi tertentu yang mewajibkan industri mengutamakan tenaga kerja tempatan lulusan Giatmata atau dari ILKA yang lain dalam mengisi kekosongan kerja di sektor-sektor kritikal.
· Giatmara perlu mewujudkan kaunseling kerjaya di peringkat negeri bagi memberi penerangan berkaitan dengan pekerjaan kepada pelatih-pelatih dari masa ke semasa.


Saranan di atas diharap mampu meletakkan imej Giatmara dengan suatu imej yang positif dan seterusnya mampu menarik lebih ramai lepasan sekolah menjadikan Giatmara sebagai pilihan kerjaya mereka. Penyediaan penginapan yang sempurna meletakkan Giatmara setanding dengan ILKA yang lain dan menggambarkan Giatmara bukan lagi institusi latihan kemahiran pilihan kedua atau institusi latihan khusus untuk mereka yang keciciran dalam akademik. Apa yang lebih penting, peningkatan kualiti prasarana di Giatmara memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa di negara ini, bahawa, terdapat kemudahan pendidikan yang sama tarafnya untuk semua kumpulan tanpa mengira tahap pencapaian dan kemampuan. Usaha ini harus dipertimbangkan dengan serius kerana sumbangan kepada negara bukan semata-mata milik golongan yang mempunyai kecemerlangan dalam akademik semata-mata.

Kita percaya, jika tumpuan, bimbingan dan dorongan yang berterusan dilaksanakan di setiap peringkat bermula di peringkat persekolahan, usaha untuk membentuk modal insan kelas pertama harapan negara seperti yang sering dilaungkan oleh kepimpinan negara akan menjadi satu realiti. Persoalannya, sejauh manakah tahap keyakinan kita terhadap insan-insan kerdil yang sebenarnya memandang kepada kita dengan penuh harapan, dan dalam hatinya berkata, ’aku ini insan lemah, bimbinglah diriku, aku mengharapkan bimbingan dan doronganmu,.. berikanlah aku peluang menjadi insan cemerlang yang berguna kepada negara’.

No comments: