Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, May 19, 2008

Kembalikan kecemerlangan mutu sukan negara

Kemenangan kuatet 4x400 meter negara menggondol pingat emas benar-benar terkesan dalam jiwa saya untuk memberi sedikit ulasan. Saya tidak berkesempatan untuk melihat acara tersebut secara langsung, dan hanya menyedari setelah melihatnya dalam media di awal pagi.

Saya bukanlah pandai dalam mengulas sukan tanah air, begitu juga saya tidak pernah menulis tentang sukan di media, saya hanyalah peminat biasa yang mengikuti perkembangan sukan tanah air dan tentunya ingin melihat atlet-atlet kita memberikan sesuatu untuk peminat tanah air yang menunggu-nunggu berita tentang saat-saat kecemerlangan. Entah kenapa kejayaan kuatet 4x400 negara tersebut membuatkan saya memberanikan diri untuk membuat sedikti ulasan.

Setelah kecewa dengan kegagalan negara dalam bolasepak untuk membawa pulang sebarang warna pingat meskipun digembar-gemburkan untuk membawa pulang pingat berwarna emas, entah kenapa, pada hari tersebut saya menjadi tidak berminat untuk mengikuti perkembangan Sukan Sea untuk seterusnya pada malam itu. Hatta, anak saya yang berumur 9 tahun (yang telah mengikuti perlawanan secara langsung melalui saluran dari negara jiran sejak dari mula wisel dibunyikan), nyata daripada riak wajahnya, ternyata begitu kecewa, apa lagi setelah mendahuluinya terlebih dahulu dengan satu kosong. Itu hanya dari seorang anak kecil yang mengharapkan satu kemenangan dan mudah-mudahan berakhir dengan satu kejayaan bagi merealisasikan sebutir pingat walau apa warna sekali pun. Tapi nampaknya, ternyata bola sepak bukanlah acara yang boleh diberikan sandaran dan harapan. Ternyata ianya mengecewakan. Selamat pulang pasukan bolasepak negara.

Namun kejayaan kuatet 4x400 meter yang kemudiannya saya tonton melalui rakaman kejayaan tersebut yang disiarkan pagi ini (Ahad) oleh RTM1, ternyata memberi penawar kepada rakyat Malaysia untuk melupakan sementara kegagalan bola sepak negara. Kejayaan tersebut, apa lagi yang pertama dalam acara olahraga di Sukan Sea ini benar-benar membanggakan dan memberi kesan yang mendalam. Keringat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh keempat-empat atlet negara sesuatu yang harus diberi pujian. Mereka mendahului sejak dari awal pusingan, walau pun satu ketika pelari tuan rumah Thailand hampir-hampir memintas pelari kedua negara, namun pelari negara tersebut (maaf saya tidak ingat namanya) tidak leka walaupun mendahuluinya dan berjaya mengekang saingan lawan dan akhirnya membuatkan pelari tuan rumah kecewa dan kepenatan. Pelari-pelari negara terus berjuang sehinggalah ke garisan penamat dan di akhiri dengan sebutir pingat emas yang amat bernilai sekurang-kurangnya pengubat kekecewaan yang ditinggalkan oleh pasukan bolasepak negara. SYABAS kuatet 4 x 100 negara. Hanya kesungguhan yang jitu akan membuahkan hasil dan mampu merealisasikan hasrat peminat-peminat dan negara.

Saya percaya, kejayaan tersebut bukanlah suatu yang boleh diperolehi dengan mudah. Memang mereka telah mengikuti perancangan latihan yang rapi dari jurulatih masing-masing. Namun, lebih jauh daripada itu, dalam diri setiap pelari tersebut tiada yang lain, bukan juga untuk kejayaan diri sendiri masing-masing, tetapi tiada lain kecuali mengharumkan nama negara. Matlamat itulah yang melonjak kekuatan dalam diri mereka untuk terus berlari dan berlari, walau pun diberi saingan sengit. Tiada erti putus asa dalam diri mereka, apa lagi leka dengan kedudukan yang mendahului lawan. Mereka terus berjuang sehingga ke garisan terakhir. Mereka tidak menoleh ke belakang dan tidak juga dibuai dengan kejayaan walaupun telah memenangi pingat emas di Sukan Sea dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Apa yang ada dalam diri ialah ingin membuktikan tahap kemampuan mereka, bahawa kehadiran mereka dalam kontingen negara bukanlah sebagai pelengkap semata-mata. Mereka sedar hanya emas yang akan membezakan mereka. Keinginan yang membara ini akhirnya telah membuahkan hasil yang amat bermakna. Tidak keterlaluan untuk saya katakan mereka inilah wira negara sebenar dalam dunia sukan.

Saya percaya sekiranya semangat dan keinginan yang kuat lagi membara dapat diwujudkan dalam diri setiap atlet negara, kita tentunya tidak akan pulang dengan tangan kosong. Setidak-tidaknya peminat-peminat di tanah air melihat kita telahpun berjuang habis-habisan, melebihi tahap seratus peratus kemampuan diri dan pasukan.

Benar, menang atau tewas memang adat kejohanan, tetapi yang lebih penting ialah berjuang dahulu dengan semangat dan daya juang yang tinggi. Inilah yang diharapkan peminat-peminat sukan tanah air dalam apa jua jenis sukan yang diwakili. Saya percaya, peminat akan bersifat lebih rasional sekiranya kita telah memberikan persembahan sepenuh tenaga. Itulah yang harus terlebih dahulu dibuktikan kepada peminat. Ingat, peminat-peminat dari yang rendah usianya sehinggalah kepada peminat tegar, bijak melihat sejauh manakah kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para atlet.

Untuk itu, kegagalan pasukan bolasepak negara perlulah dijadikan iktibar oleh pemain-pemain itu sendiri setelah baru sedikit diberikan harapan lantaran kemenangan tanpa diduga di Pesta Bola Merdeka baru-baru ini. Rupa-rupanya kejayaan awal itu yang lalu itu membuatkan kita sedikit leka sehingga terlupa yang pemergian kita ke sana menggalas tanggung jawab dan janji yang menjadi penantian peminat setelah kali terakhir memenangi pingat emas kebanggaan itu pada tahun 1989. Tidak keterlaluan atau tidak salah rasanya untuk peminat-peminat merasa terkilan, kalau pun tidak merasa tertipu. Saya mohon maaf, sekiranya kenyataan ini agak negatif bunyinya, tetapi itulah yang dapat dirasai, dan saya percaya perasaan ini dikongsi sama oleh peminat-peminat sukan bola sepak tanah air yang lain.

Justeru, saya percaya masih banyak yang perlu dilakukan oleh jurulatih negara B. Sathianathan. Pendedahan demi pendedahan telah banyak diberikan, samada di dalam mahupun diluar negara dengan kos yang pastinya tidak sedikit jumlahnya. Cuma mungkin, perkara yang masih belum dilakukan ialah dengan membuat imbauan kembali sejarah perjuangan pemain-pemain bola sepak negara suatu ketika dulu. Saya tidak pasti sejauh manakah pemain-pemain negara kini mengetahui dan menyelami detik-detik bersejarah bola sepak negara suatu ketika dahulu yang telah berjaya membawa nama Malaysia setanding dengan pasukan-pasukan Korea Selatan dan Jepun. Kehebatan pemain bolasepak terdahulu dan kejayaan negara dengan keringat yang telah ditunjukkan pemain-pemain pada waktu itu, walau pun imbohan pada waktu itu yang tidak seberapa, amatlah membanggakan dan merupakan suatu yang tidak sekali-kali dilupakan.

Masih segar dalam ingatan saya pada tahun 1980. Waktu itu, saya berada di tingkatan lima dan berada di asrama di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang, Gong Badak, Kuala Terengganu, bagaimana saya dan rakan-rakan, di dewan asrama melihat kehebatan Hasan Sani yang menggelecek beberapa pemain Korea Selatan dan seterusnya melorongkan bola kepada gandingan mantapnya, James Wong, yang kemudiannya turut mengelirukan beberapa pemain Korea Selatan sebelum menendang bola ke arah gol Korea Selatan. GOL!!!!!! itulah teriakan kuat yang sepontan dari saya dan rakan-rakan menyambut kejayaan tersebut dengan penuh kebanggaan. Kejayaan tersebut telah melayakkan negara ke Sukan Olimpik Moscow. Walau pun negara telah menarik diri dari menyertai sukan olimpik tersebut, lantaran suasana politik dunia pada waktu itu, tetapi itu tidak menjejaskan semangat pasukan untuk berjuang untuk merebut tempat ke pusingan akhir di Sukan Olimpik. Apa yang lebih penting dalam diri pemain-pemain ketika itu ialah memertabatkan maruan negara di arena sukan bola sepak. Dalam diri mereka maruah tidak boleh dijadikan galang gantinya. Akhirnya, walaupun keputusan negara tidak menyertai sukan Olimpik tersebut, peminat-peminat puas kerana perjuangan dan komitmen jitu yang telah ditunjukkan pemain-pemain meletakkan maruah negara sentiasa di hadapan. Saya tidak pasti, entah bila saat-saat begini menjelma kembali.

Ini berlainan pula dengan skuad sepak takraw negara. Saya tidak perlu mengulas dengan lebih panjang berkaitan isu ini. Telah banyak penulis-penulis sukan tanah air mengemukakan pandangan. Namun pada saya, walau apa alasan sekali pun, penarikan diri sebelum bertarung dalam kejuaraan yang suatu ketika dulu kitalah juaranya, bahkan tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kitalah pelopornya,.. merupakan satu keputusan yang memalukan yang menjejaskan maruah negara dalam sukan sepak takraw. Selepas ini kita tidak pasti ke manakah hala tuju pasukan sepak takraw negara. Apakah pemulauan akan berterusan sekiranya jenis bola yang sama digunakan dalam kejohanan-kejohanan akan datang. Apa yang diharapkan ialah jangan pula kita akan terpulau dengan sendirinya satu hari nanti. Barangkali, dalam isu ini pasukan bola sepak perlu lebih diberikan pujian. Setidak-tidaknya, anak-anak buah B. Sathianathan telah pun ke medan perjuangan, dan berjuang bermati-matian, walau pun nasib tidak menyebelahi mereka. Berlainan dengan pasukan sepak takraw negara. Ibarat menang sorak, maruah tergadai.

Kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, teruskan menyokong kontingen negara. Satu pingat pergi, bukan bermakna misi negara telah menemui kegagalan. Berpuluh pingat lagi pasti hadir menjelma sebelum kejohanan menutup tirainya 15 Disember ini. Buktinya, hari ini sehingga jam 1.50 tengahari hari ini (Ahad) sejumlah empat pingat telah hadir yang menjadi keseluruhannya 12 pingat. Teruskan berjuang atlet negara. Rakyat Malaysia tidak akan jemu memberikan sokongan.

No comments: