Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Saturday, May 24, 2008

Pelajar lepasan STPM tiada pendedahan. BERITA HARIAN 24 MEI 2008

SAYA tertarik dengan kenyataan Kementerian Pelajaran mengenai sejumlah 21,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 ditawar untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam yang disiarkan akhbar baru-baru ini.

Pada pendapat saya, dasar pelajaran yang memberi peluang kepada lepasan SPM melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam perlu diubah kerana tidak lagi sesuai ketika ini. Kebanyakan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam adalah pelajar yang tidak ditawar melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan lepasan menengah seperti institut pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA/IPTS) atau politeknik.

Pelajar ini perlu menghabiskan masa selama dua tahun untuk belajar di sekolah yang sama. Apa yang diperhatikan sekarang, lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tiada satu pun jawatan yang mensyaratkan STPM sebagai asas pengambilan. Kalau adapun, hanya tulisan sebagai syarat dan kebiasaannya lepasan diploma juga yang diberikan keutamaan. Kebanyakan pelajar lepasan STPM terperangkap dan kurang mendapat pendedahan mengenai pengajian lepasan menengah.

Kaunselor di sekolah juga kurang berfungsi untuk memberikan tunjuk ajar mengenai peluang sama rata untuk semua lepasan SPM. Kebanyakan kaunselor hanya menumpukan kepada pelajar cemerlang pada peringkat sekolah. Seperti diketahui umum, pendidikan di negara ini lebih berorientasikan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa haluan sebenar yang lebih besar seperti ke arah membentuk belia berpengetahuan untuk kemajuan dan pembangunan negara. Pada pendapat saya, STPM perlu dihapuskan terus daripada sistem pendidikan negara.

Kebanyakan pelajar yang tidak cemerlang peringkat STPM tidak mendapat tempat di mana-mana IPTA melainkan IPTS yang lebih diketahui umum untuk perniagaan pendidikan dengan kos pembelajaran yang tinggi. Kos belajar pada peringkat STPM adalah tinggi, namun tiada hasil untuk kemajuan diri atau keluarga.

Yuran pengajian dan kos pembelajaran lain peringkat STPM juga lebih tinggi berbanding yuran dikenakan politeknik atau kolej komuniti yang sijilnya diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ini akan melayakkan pelajar menikmati gaji lebih tinggi untuk perkhidmatan awam sedangkan lepasan STPM yang tidak cemerlang, tidak ke mana. Saya melihat ini sebagai penganiayaan terhadap pelajar yang menyambung ke Tingkatan Enam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan tinggal di pedalaman.

Untuk membina masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang, saya mencadangkan lepasan SPM diberikan pendidikan wajib di institusi lepasan menengah kerajaan seperti politeknik, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) atau Institut Kemahiran Mara (IKM). Institusi berkenaan lebih memahami kehendak belia lepasan SPM dan hala tuju untuk masa depan negara berbanding keadaan di sekolah yang hanya menumpukan terhadap aspek kecemerlangan pendidikan.

Suasana pembelajaran mereka perlu diubah selaras dengan umur dan peranan yang perlu mereka mainkan untuk negara. Pemerhatian saya juga mendapati kewujudan kelas Tingkatan Enam di sekolah juga disalah guna oleh kesatuan guru. Tenaga pengajar Tingkatan Enam diberikan kemudahan gaji Gred DG44, manakala pengetua yang memiliki kelas Tingkatan Enam di sekolahnya pula dinaikkan ke gred DG52. Kalau dulu kebanyakan guru tidak mahu mengajar kelas Tingkatan Enam, kini semua guru berebut-rebut mencalonkan diri untuk mengajar kelas itu.

Saya berharap Kementerian Pelajaran akan lebih peka dengan keadaan semasa negara dan menjalankan kajian mendalam sebarang tuntutan kesatuan guru kerana dibimbangi pelajar akan menjadi mangsa keadaan. Sebagai contoh, Tingkatan Enam dipertahankan, pelajar lepasan STPM tidak ke mana tetapi guru pula mendapat gaji lumayan. Terlalu banyak peruntukan berkaitan gaji diberikan kepada guru sedangkan pihak lain yang mendidik peringkat lebih tinggi, tiada permintaan langsung .

Daripada meluluskan dasar guru mengajar Tingkatan Enam diberikan gred DG44, lebih baik peranan mendidik pelajar lepasan SPM diberikan kepada politeknik, kolej komuniti, IKM atau ILP dengan gaji pensyarahnya hanya sekadar gred DG41. Kos kerajaan dalam membayar gaji akan dapat dijimatkan dan pada masa sama, belia dan remaja dapat dibentuk ke arah keperluan menjana modal insan negara pada masa depan.

GENERASI BERWAWASAN, Kota Tinggi, Johor.

No comments: