Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, May 19, 2008

TEGAS KURANGKAN PEKERJA ASING

Zakaria Mohd Yusof
Utusan Malaysia, 20 November 2007.

Tiga langkah kerajaan yang akan dilaksanakan serta merta dalam usaha mengurangkan pekerja asing seperti yang diumumkan dalam media pada 18 November 2007 telah menarik perhatian saya untuk memberi sedikit ulasan dan pandangan. Berdasarkan makluman tersebut, kerajaan akan melaksanakan tiga langkah di sektor binaan bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing di sektor binaan. Yang pertama, kerajaan akan menggalakkan penggunaan ’Industrialised Building System’ atau lebih popular dengan singkatan IBS dalam rekabentuk projek-projek kerajaan. Kedua, menggalakkan kontraktor menggunakan khidmat ’Construction Labour Exchange Centre Berhad’ (CLAB) bagi mendapatkan khidmat pekerja asing dan ketiga menggalakkan kontraktor mendapatkan khidmat hanya pekerja asing yang mahir sahaja untuk digunakan dalam projek pembinaan.

Saya sangat mengalu-alukan tiga langkah yang telah diutarakan ini yang difahamkan akan berkuatkuasa serta merta. Setidak-tidaknya dengan langkah tersebut, kerajaan telah melihat kehadapan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat-peringkat khusus di sektor binaan. Juga dimaklumkan menjelang 2010, sektor binaan ini akan berusaha menghadkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada 15% sahaja. Penggunaan IBS akan menukarkan persepsi masyarakat terhadap sektor binaan yang umumnya menganggap ianya kotor dan sukar kepada suasana yang lebih kemas proses pembinaannya, disamping mampu mengurangkan bilangan pekerja ditapak. Penggunaan pekerja asing oleh kontraktor tempatan yang disyaratkan berdasarkan kepada saiz dan tempoh projek, dan harus melalui CLAB diharapkan mampu menghadkan penggunaan pekerja asing tanpa batasan. Manakala saranan kepada kontraktor agar hanya mengambil pekerja asing berkemahiran sahaja merupakan suatu saranan yang positif yang setidak-tidaknya memberi ingatan kepada kontraktor supaya bijak dalam memilih jenis pekerja asing yang benar-benar diperlukan dalam perlaksanaan projek mereka.

Namun begitu, masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan tiga langkah yang telah diutarakan tersebut. Bentuk projek yang berbagai-bagai dari segi saiz, bermula dari kerja-kerja pengubahsuaian kepada perlaksanaan projek-projek yang bersifat modular rekabentuknya, dan seterusnya kepada projek-projek mega, penggunaan IBS dilihat amat bersesuaian kepada projek-projek kerajaan yang mempunyai rekabentuk yang piawai. Namun begitu, setakat ini ianya dilihat tidak mampu diaplikasikan kepada kesemua perlaksanaan projek terutamanya kepada projek-projek pengubahsuaian yang mana nilai projek keseluruhannya tidak dapat tidak, turut mempunyai impak yang cukup signifikan dari segi kos. Akibatnya pendekatan pembinaan konvensional bagi kerja-kerja pengubahsuaian akan terus menjadi pendekatan yang popular kepada kontraktor-kontraktor dan seterusnya, memerlukan pekerja yang tidak sedikit bilangannya, yang akhirnya, masalah kebergantungan kepada pekerja asing akan menjadi masalah yang tidak berkesudahan.

Usaha mengurangkan pekerja asing menerusi CLAB, merupakan suatu langkah kreatif sekiranya dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta dilaksanakan bersama dengan pengawalan dan penguatkuasaan yang tegas dan efektif. Jika tidak, timbul kekhuatiran yang mana pekerja asing yang diluluskan mengikut tempoh-tempoh tertentu melalui CLAB ini enggan kembali ke negara asal mereka setelah selesa mendapat pekerjaan dan pendapatan yang lumayan. Tambahan pula sekiranya bilangan pekerja asing yang diperlukan akan berdasarkan kepada ’saiz dan tempoh’ projek, kerajaan harus ada satu formula khusus atau asas yang jelas bagi menentukan bilangan pekerja sebenar yang diperlukan mengikut ’saiz dan tempoh’ projek tersebut bagi mengelakkan keperluan kemasukan bilangan pekerja asing yang kemungkinan sengaja diada-adakan dan tidak berdasarkan kepada keperluan sebenar.

Begitu juga dengan langkah untuk menggalakkan kontraktor hanya mengambil pekerja asing yang mahir sahaja untuk bekerja. Persoalan timbul bagaimana untuk kita memastikan pekerja asing tersebut benar-benar mahir mengikut piawaian kita. Adakah kita harus menguji tahap kemahiran mereka di negara asal mereka sebelum datang ke negara kita atau pekerja-pekerja asing tersebut hanya akan diuji sebaik sahaja tiba di negara kita. Ini memerlukan satu panduan yang benar-benar jelas yang boleh menjadi pedoman kepada kontraktor-kontraktor serta mana-mana majikan. Umum menerima hakikat bahawa rata-rata pekerja asing yang datang tidak mempunyai kemahiran yang sepatutnya yang akhirnya mengakibatkan menghasilkan pembinaan yang tidak berkualiti. Telah banyak kita dengar dan lihat bangunan-bangunan yang tidak kukuh, berlaku keretakan sebelum tempoh, bahkan tidak sedikit yang terus runtuh.

Apa yang saya perhatikan, tanpa menafikan hasrat terhadap langkah-langkah tersebut, ianya menampakkan kepada kita bahawa, negara dilihat terlalu mengharapkan kehadiran pekerja asing sebagai sumber daya yang utama dalam sektor binaan. Strategi yang diutarakan lebih menjurus kepada keperluan negara terhadap pekerja asing dalam sektor ini. Bezanya dengan sebelum ini ialah barangkali, adanya bentuk pengawasan dalam pengagihan pekerja asing mengikut keperluan dengan panduan yang jelas untuk difahami oleh majikan. Adalah diharapkan, dengan ketegasan dalam penguatkuasaan, bukan sahaja kepada pekerja asing semata-mata yang akan diawasi, tetapi juga kepada majikan yang menggunakan khidmat pekerja-pekerja asing ini.

Tiga langkah ini pada pandangan saya, walaupun suatu yang positif, tetapi ianya tidak cuba membawa minda masyarakat, khususnya kontraktor-kontraktor untuk beralih dengan memberi sedikit ruang dan keyakinan kepada puluhan ribu tenaga kerja tempatan sediada, apa lagi yang telah dilatih oleh institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang tentunya melibatkan kos yang tidak sedikit. Kita sedia maklum kerajaan telah mempunyai berbagai institusi latihan kemahiran modal insan seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara di seluruh negara yang menawarkan latihan dalam bidang-bidang yang diperlukan negara. Setiap tahun 15,000 telah dilatih dan menamatkan latihan walaupun keupayaan institusi latihan modal insan ini mempunyai keupayaan lebih dari angka ini. Persoalannya ke manakah perginya insan-insan yang telah dibekalkan modal ini? Tidakkan ianya merupakan kerugian yang besar kepada negara dengan membiarkan insan yang bermodal ini hilang begitu sahaja tanpa menyediakan ruang dan keyakinan? Jika pun keupayaan tenaga kerja tempatan ini dikatakan tidak setanding dengan pekerja asing, setidak-tidaknya para kontraktor menyedari negara ada tenaga kerja terlatih yang setiap tahun jumlahnya bukan sedikit telah dilahirkan. Tenaga terlatih tempatan ini, jika diberi keyakinan yang berterusan dan dengan ganjaran yang setimpal bersesuaian dengan status mereka sebagai warganegara Malaysia, kita yakin corak kebergantungan kepada pekerja asing di sektor binaan akan berubah dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang. Dengan perancangan pembangunan yang pesat dalam negara untuk tempoh beberapa tahun dari sekarang seperti yang telah dimaklumkan oleh kerajaan, keperluan kepada pekerja untuk sektor binaan ini amatlah terdesak. Untuk itu jangkaan untuk sektor binaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada 15% dalam tempoh tiga tahun dari sekarang (2010) amatlah diragui hasilnya.

Justeru itu cadangan berikut diharapkan dapat membantu memantapkan tiga langkah yang telah digariskan bagi memastikan kebergantungan kepada pekerja asing mampu dikurangkan tanpa menjejaskan perancangan pembangunan negara.

1. Berusaha untuk menerapkan konsep IBS ini dalam kurikulum disetiap institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang wujud di negara ini. Kita perlu memastikan sekiranya konsep IBS ini berjaya mengurangkan penggunaan pekerja di tapak di masa akan datang, pekerja yang terlibat tersebut mestilah terdiri dari pekerja tempatan yang telah dilatih.
2. Mewujudkan lebih banyak ’Kontraktor Pemasang’ bagi menjayakan konsep IBS ini di pelbagai peringkat kelas dan gred kontraktor di setiap negeri dan daerah. Kontraktor Pemasang ini hendaklah dipastikan hanya menggunakan pekerja tempatan yang telah dilatih di institusi latihan tajaan kerajaan.
3. CLAB, disamping bertindak sebagai agen pertukaran pekerja asing, harus juga bertindak sebagai agen pertukaran pekerja tempatan khususnya yang dilatih oleh institusi latihan tajaan kerajaan. CLAB perlu juga mempunyai pangkalan data pusat berkaitan dengan bilangan pekerja mahir tempatan yang keluar dari institusi latihan tajaan kerajaan di setiap tahun. Semua institusi latihan yang ada perlu membekalkan butir-butir pelatih yang tamat latihan mengikut bidang kemahiran sebaik sahaja mereka berjaya menamatkan latihan. Jika tidak CLAB, kerajaan harus memikirkan untuk membentuk unit seumpamanya yang berperanan sebagai agen pertukaran dan pengagihan pekerja di kalangan pekerja mahir tempatan.
4. Daripada menggalakkan kontraktor-kontraktor memilih pekerja asing yang mahir sahaja untuk diambil bekerja, kerajaan perlu menyarankan kepada kontraktor-kontraktor untuk memberi keutamaan kepada pekerja mahir tempatan yang telah menamatkan latihan untuk diambil bekerja secara berperingkat-peringkat.
5. Bagi menggalakkan lagi penggunaan pekerja mahir tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan harus menyediakan insentif yang sewajarnya kepada mana-mana kontraktor yang mengambil inisiatif dengan keutamaan kepada pekerja tempatan terlatih. Insentif tersebut, seperti memberi keutamaan untuk mendapat projek kerajaan, diberi pengurangan levi, dilonggarkan syarat pembaharuan lesen sebagai kontraktor dan sebagainya menyatakan beberapa contoh.

No comments: