Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, May 19, 2008

PERKASA KEMAHIRAN PELAJAR LEMAH AKADEMIK

Zakaria Mohd Yusof
UTUSAN MALAYSIA, 29 Disember 2007.

Peningkatan bilangan pelajar yang memperolehi gred E dalam semua mata pelajaran seperti yang dilaporkan dalam Buletin Utama semalam adalah sesuatu yang mengejutkan. Dalam usaha kerajaan memperkenalkan berbagai bentuk perancangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, masih ada segelintir pelajar yang gagal untuk mencapai tahap pencapaian minimum.

Kumpulan pelajar ini, walaupun kecil peratusnya, namun ianya pasti tidak boleh dipandang ringan oleh Kementerian Pelajaran. Lebih membimbangkan lagi ialah bagaimana kumpulan pelajar ini akan meneruskan pengajian ke tingkatan empat dengan pencapaian sebegini. Sudah pasti ianya membebankan bukan sahaja kepada kumpulan pelajar-pelajar ini, bahkan juga kepada guru-guru untuk melaksanakan kurikulum pengajian yang tentunya lebih mencabar di tingkatan empat dan seterusnya di tingkatan lima.

Kita tidak pasti apakah kumpulan ini masih berminat untuk meneruskan pelajaran. Jika sekiranya mereka ini tidak berminat, tugas guru-guru untuk menanam minat dalam mendidik pelajar-pelajar kumpulan ini menjadi satu cabaran yang besar. Sekiranya tidak berjaya, masa dua tahun yang perlu dihabiskan untuk menamatkan pengajian sehingga ke tingkatan lima akan menjadi suatu beban dan tidak keterlaluan ianya satu tempoh masa yang sia-sia.

Apa yang membimbangkan kita ialah, jika sekiranya mereka yang tidak berminat dalam meneruskan pengajian ini, tetapi meneruskan juga ke tingkatan empat dalam keadaan mental yang tidak bersedia, berkemungkinan akan membawa nilai-nilai negatif ke sekolah dan mempengaruhi pelajar-pelajar lain. Akhirnya, wujud gejala-gejala negatif seperti ponteng sekolah, merokok, melanggar peraturan sekolah, tidak menghormati guru-guru dan sebagainya.

Justeru, di sebalik pencapaian akademik yang tidak cemerlang, pendekatan yang terbaik harus di rangka bagi memastikan mereka menghargai tempoh dua tahun lagi persekolahan mereka, dan seterusnya mampu merangka hala tuju kerjaya dan menjadi insan yang lebih bermakna dan seterusnya menjadi aset kepada negara. Ini tentunya akan menguntungkan negara dalam keadaan negara sendiri ketandusan tenaga kerja di pelbagai sektor bagi menampung keperluan negara.

Kajian yang dilakukan ke atas institusi-institusi latihan kemahiran awam (ILKA) seperti Akademi Binaan Malaysia, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara khusus kepada latihan-latihan yang ditawarkan untuk sektor binaan, jelas menunjukkan bahawa terdapat kekosongan yang ketara dan maklumat tentang tawaran latihan-latihan di ILKA ini diketahui umum. Antara beberapa dapatan yang diperolehi dari tinjauan ke atas latihan-latihan berkaitan sektor binaan yang telah dilakukan ialah;

· Hanya 65% sahaja tempat di ILKA dipenuhi.
· 85% responden yang mengikuti latihan-latihan berkaitan tidak memperolehi maklumat tersebut di sekolah-sekolah. Menurut mereka, maklumat biasanya diperolehi melalui rakan-rakan atau secara kebetulan.
· Bidang latihan yang ditawarkan di ILKA tidak didedahkan dengan jelas di sekolah-sekolah.
· Guru kaunseling di sekolah hanya menumpukan maklumat kepada pelajar-pelajar yang mempunyai peluang ke IPT dan tidak mempunyai maklumat yang menyeluruh berkaitan peluang-peluang latihan di ILKA yang seharusnya lebih tertumpu kepada pelajar-pelajar yang mempunyai tahap akademik yang tidak cemerlang.
· Majoriti responden, merasakan mengikuti latihan di ILKA tidak mempunyai prospek kerjaya yang jelas ke manakah mereka akan pergi selepas selesai menamatkan latihan.
· Guru-guru yang mengendalikan mata pelajaran vokasional (MPV) tertentu tidak mampu menguasai dengan baik dan kontek kerjaya masa depan.

Untuk itu, bagi memantapkan lagi proses pendidikan tanpa mengira pencapaian akademik pelajar-pelajar bagi menyiapkan diri mereka untuk menjadi modal insan yang cemerlang sebagai aset negara di masa akan datang, cadangan-cadangan berikut diharap mampu memperkasakan pelajar-pelajar yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang kurang cemerlang.

· Perkasakan mata pelajaran vokasional di sekolah-sekolah. Guru-guru berkaitan harus diberi pendedahan tentang industri yang berkaitan supaya penyampaian menjadi lebih bermakna dan dikaitkan dengan bidang yang sesuai di ILKA.
· Guru-guru kaunseling bukan sekadar bertanggung jawab untuk menangani masalah pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin semata-mata, atau memberi nasihat berkaitan bidang-bidang serta institusi pengajian tinggi yang sesuai, tetapi perlu melengkapkan diri maklumat berkaitan peluang-peluang latihan di ILKA yang lebih tertumpu kepada kumpulan yang mempunyai tahap akademik yang sederhana dan kurang cemerlang.
· Ujudkan guru kerjaya khusus di setiap sekolah atau sekurang-kurang di setiap daerah.
· Sekolah perlu mempunyai hubungan yang baik dengan ILKA bagi menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan.
· Pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti mempunyai tahap akademik yang sederhana atau lemah di beri pendedahan kemahiran di peringkat lebih awal dan jika perlu dibawa melawat ke ILKA berkaitan.
· Kecualikan kumpulan pelajar-pelajar yang lemah ini dari mengambil subjek-subjek yang sukar dan lebih menekankan kepada subjek-subjek kemahiran vokasional hasil kerjasama yang berterusan dengan ILKA.
· Kerajaan perlu memberi pengiktirafan yang sewajarnya terhadap sijil kemahiran vokasional dengan menguatkuasakan peraturan yang mana industri mesti diwajibkan mengambil tenaga kerja yang mempunyai sijil kemahiran vokasional dan tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja dari luar yang tidak memiliki kemahiran yang jelas.
· Institusi latihan seperti Pusat Giat Mara yang wujud di setiap daerah perlu di naik taraf dengan menyediakan kemudahan penginapan yang lengkap. Ini penting bagi memberi imej yang positif untuk pelajar-pelajar untuk menarik minat pelajar-pelajar mengikuti latihan kemahiran vokasional. Kumpulan ini akan merasakan mereka mempunyai tempat untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka selepas tamat tingkatan 5.
· Kembalikan semula fungsi sekolah vokasional seperti dahulu.

No comments: