BERITA HARIAN 31 Julai 2008
HASRAT Kementerian Pelajaran membuat rombakan ke atas sistem pendidikan vokasional memang bertepatan dengan keperluan masa kini. Selain mengelakkan berlakunya keciciran dalam pendidikan, rombakan ini boleh mengurangkan kadar pengangguran dalam pelbagai peringkat lepasan pendidikan.
Ketika ini usaha hanya ditumpukan kepada bagaimana mendapatkan A sebanyak mungkin bagi mencapai sasaran tahunan di setiap institusi persekolahan. Mana-mana pelajar yang memperoleh gred lebih rendah daripada gred A akan dipandang sepi, seolah-olah mereka tidak mempunyai masa depan yang cerah dan menjejaskan sasaran sekolah.
Tanpa menafikan pencapaian akademik yang cemerlang sebagai satu jaminan kehidupan masa depan, tetapi haruslah diingat, memperoleh A semata-mata bukan segala-galanya. Masih banyak lagi aspek yang harus dilihat dan dikaji.
Justeru, sudah tiba waktunya tumpuan lebih diberikan kepada insan tidak berkemampuan mencapai sasaran akademik cemerlang. Kumpulan ini seharusnya dibimbing dengan sebaiknya, kerana setiap individu adalah aset amat berharga untuk negara tanpa mengira tahap pencapaian akademik.
Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna sukar tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran seramai 83,000 orang seperti dilaporkan media sebelum ini tidak mencapai jalan penyelesaian.
Lantaran itu, langkah kerajaan memperkasa dan memartabatkan pendidikan vokasional seawal tingkatan satu adalah bertepatan dan seiring dengan usaha kebanyakan negara maju. Pendidikan vokasional yang menitikberatkan latihan untuk pekerjaan mampu membentuk individu agar mampu berdikari dan lebih berkeyakinan dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira kecemerlangan akademik sebagai ukuran.
Justeru, perkara berikut adalah cadangan untuk difikirkan dalam memikirkan strategi terbaik menjana modal insan harapan negara masa depan.
- Pendidikan vokasional jika dilaksanakan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar.
Selain memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, guru harus berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu ‘kad sejarah minat’ untuk setiap pelajar perlu diwujudkan. - Sekolah hendaklah memastikan setiap pelajar tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan oleh pencapaian akademik tidak memuaskan. Mata pelajaran berkaitan kerjaya harus diperkenalkan seawal di tingkatan satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara.
- Dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tingkatan satu hingga tiga, sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan itu harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara pada masa depan mengikut sektor.
- Guru kaunseling bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademiknya, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan kemahiran di institusi di seluruh negara.
- Bagi menarik minat pelajar untuk memilih kemahiran vokasional, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang sebaik menamatkan latihan.
- Kerajaan harus merangka laluan kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional dengan menyediakan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi awam.
- Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggung jawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal dan dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan.
No comments:
Post a Comment