Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, July 02, 2008

TARIK MINAT PEKERJA TEMPATAN KENA BERMULA SEGERA

UTUSAN MALAYSIA 2 Julai 2008

KEBANJIRAN pekerja asing di negara ini semacam tidak boleh dibendung lagi. Permintaan pelbagai sektor terhadap tenaga kerja kategori itu juga sentiasa mencatatkan graf menaik.
Sektor peladangan, pertanian dan pembinaan antara yang paling tinggi penggantungan kepada tenaga kerja asing. Boleh sahaja dibayangkan betapa ketiga-tiga sektor itu akan lumpuh jika ada peraturan diperkenalkan untuk menghalang kemasukan pekerja asing.

Secara realitinya kerajaan Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa amalan membawa masuk pekerja asing akan mengambil masa yang panjang untuk dihentikan. Ini kerana penduduk tempatan masih belum dapat dididik untuk bekerja di sektor-sektor berat yang memerlukan perahan tenaga serta persekitaran yang kotor serta tidak selesa. Lebih daripada itu, peluang bekerja di kilang-kilang berhawa dingin yang satu ketika dulu terbuka luas telah menutup mata dan hati rakyat negara ini untuk bercucuk tanam atau membina bangunan.

Pilihan serta peluang dalam sektor pekerjaan yang pelbagai menyebabkan kerajaan terpaksa memperkenalkan dasar pengambilan pekerja asing termasuk bagi kategori pembantu rumah.
Kesemuanya itu bertujuan memastikan perkembangan ekonomi negara yang disokong oleh sektor peladangan, pertanian dan pembinaan terus rancak. Namun penggantungan terhadap pekerja asing secara keterlaluan mempunyai kesan jangka panjang yang negatif terutamanya dari sudut perkembangan sosial.

Keadaan diburukkan lagi apabila Malaysia turut menjadi tumpuan pekerja asing yang masuk ke negara ini secara haram. Untuk mula membetulkan keadaan, peranan serta kerjasama syarikat-syarikat yang terlalu bergantung kepada pekerja asing diperlukan termasuk secara perlahan-lahan menukar dasar pengambilan pekerja masing-masing.

Jika insentif yang menjadi kekangan kepada penduduk tempatan untuk bekerja dengan mereka, maka perbaikilah kelemahan tersebut. Pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat- syarikat besar termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) semestinya membolehkan mereka melakukan pelbagai cara untuk menarik minat pekerja tempatan.

Selain menyediakan infrastruktur kehidupan dalam komuniti, minat rakyat tempatan boleh ditarik menerusi 'pameran kerjaya' secara bergerak di seluruh negara. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah menyediakan latihan sambil bekerja supaya para pekerja tempatan nampak bahawa bekerja di ladang-ladang atau membina bangunan sebenarnya menawarkan prospek yang lebih luas.

Di pihak kerajaan pula, sudah tiba masanya lepasan sekolah diberi pendedahan serta latihan mengenai kerja-kerja berkaitan peladangan, pertanian dan pembinaan. Pemupukan minat di peringkat awal mampu mencambah keinginan untuk menyertai sektor-sektor yang kini masih didominasi oleh pekerja asing.

Kesemua langkah itu mesti dimulakan daripada sekarang jika kerajaan benar-benar serius untuk mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.

No comments: