Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, July 03, 2008

BANK DATA PEKERJA MAHIR

Zakaria Mohd Yusof
UTUSAN MALAYSIA 3 Julai 2008

Gesaan YAB Timbalan Perdana Menteri supaya meminta syarikat-syarikat di negara ini menyediakan insentif yang lebih baik bagi pekerja tempatan seperti yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 1 Julai menarik untuk dibincangkan.

Walaupun gesaan itu menjurus kepada sektor perladangan, saya percaya ia tentunya meliputi sektor-sektor lain yang mempunyai kriteria persekitaran yang hampir serupa seperti sektor pembinaan .

Umum memahami bahawa antara faktor kenapa kurangnya pekerjaan tempatan di sektor binaan terutamanya golongan belia adalah disebabkan faktor berikut;

1. Persepsi masyarakat yang sering mengaitkan sektor binaan sebagai sektor 3D iaitu 'Dirty, Dangerous dan Difficult'.

2. Tiada jaminan yang jelas mengenai masa depan belia yang menamatkan latihan di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Majikan bebas mengambil sesiapa saja sebagai pekerja. Tentu sekali tanpa dasar yang jelas, pekerja asing yang menjadi pilihan utama kontraktor dan ini memberi gambaran seolah-olah sijil kemahiran yang dimiliki tidak mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka.

Persekitaran kerja yang tidak kemas dan sering terdedah kepada kemalangan menambahkan lagi persepsi yang negatif dan ini mendorong mereka untuk memilih bidang lain sebagai sumber pencarian hidup.

Justeru, kenyataan YAB TPM iaitu, insentif itu bukan sahaja mengenai gaji tetapi juga menyediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap merangkumi infrastruktur kehidupan dalam komuniti serta latihan yang berterusan amatlah bertepatan. Insentif sebegini mampu meningkat imej sektor binaan ini dan seterusnya, tentu sekali mampu menarik minat masyarakat tempatan untuk memilih sektor binaan sebagai kerjaya masa depan mereka.

Saya berpandangan, di samping harapan supaya majikan-majikan menyediakan insentif yang lebih baik kepada pekerja tempatan, kerajaan juga sewajarya merangka polisi dan dasar tertentu bagi memastikan kebanyakan majikan tidak selamanya cenderung untuk terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Dengan kemampuan negara yang setiap tahun mampu menyediakan puluhan ribu pekerja mahir tempatan lulusan ILKA, insentif yang menarik dapat mengelakkan berlaku pembaziran sumber tenaga berikutan belia terlatih tempatan tidak dimanfaatkan di samping dapat mengelakkan negara kehilangan pendapatan berbilion ringgit setahun akibat pengaliran wang ke negara lain.Justeru, bagi memastikan belia lulusan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) berada di pasaran pekerjaan, kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan langkah-langkah berikut;

1. Mewujudkan dasar supaya semua majikan dimestikan mengambil pekerja binaan yang memiliki sijil kemahiran dari mana-mana ILKA yang disediakan kerajaan. Kerajaan hendaklah menubuhkan pusat tenaga kerja mahir tempatan. Semua lulusan ILKA hendaklah didaftarkan sebaik saja menamatkan latihan. Ia berfungsi sebagai bank pekerja mahir tempatan. Majikan yang memerlukan pekerja mesti mendapatkan tenaga kerja di pusat ini sebelum diberi keizinan mengambil pekerja dari sumber lain.

2. Membuat penyelarasan ke atas semua ILKA yang menyediakan latihan berkaitan sektor binaan supaya fungsinya lebih bersepadu. Jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan dibentuk bagi memantau bilangan pekerja mahir yang mampu dilahirkan oleh setiap ILKA yang bersesuaian dengan bilangan yang diperlukan negara.

3. Hubungan di antara ILKA dan industri juga harus diperkemaskan bagi memastikan lulusan yang dikeluarkan itu memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri. Pengurusan ILKA harus dari semasa ke semasa menjemput kontraktor untuk membuat penilaian ke atas program yang dilaksanakan. Kerajaan perlu meletakkan syarat tambahan kepada mana-mana kontraktor yang memperoleh tender kerajaan supaya menyenaraikan pekerja tempatan yang dilatih di ILKA sebelum urusan memberi atau membaharui lesen dibuat. Ini bagi memastikan pelatih merasakan sijil latihan yang diperoleh dari ILKA mempunyai nilai di pasaran pekerjaan.

4. Bagi menarik belia menceburkan diri dalam industri binaan, pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya di ILKA dan didapati berkemampuan setelah memperolehi pengalaman dalam jangka masa tertentu, hendaklah diberi insentif untuk memperoleh lesen binaan sendiri sebagai dorongan melahirkan usahawan di sektor binaan.

5. Sekiranya kerajaan bercadang untuk membuka semula pendaftaran kontraktor kelas F, adalah dicadangkan hanya kumpulan di atas yang boleh dipertimbangkan dan bukannya kepada mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

6. Pendidikan dalam bidang pembinaan hendaklah dimulakan lebih awal. Pelajar didedahkan dengan prospek dan masa depan dalam industri binaan. Subjek mata pelajaran vokasional yang ditawarkan di sekolah boleh dijadikan landasan dan diperkasakan fungsinya.

7. Kerajaan juga hendaklah memberi insentif tertentu kepada kontraktor yang memberi lebih keutamaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek mereka.

Kita berkeyakinan sekiranya langkah ini dimasukkan dalam perancangan jangka panjang dalam usaha mewujudkan pekerja mahir tempatan secara berperingkat seperti yang dirancangkan kerajaan, sindrom 3D tadi yang menjadi persepsi umum belia tempatan mampu diubah menjadi 3S – selesa, selamat dan seronok.

Insentif berterusan dari kerajaan dan para majikan diyakini mampu mengimbangi lambakan pekerja asing, kalau pun tidak mencapai angka sifar.

No comments: