BERITA HARIAN 3 Julai 2008
Oleh Dr Illias Zaidi
KINI, kira-kira 71,000 pelajar baru termasuk 30,757 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula berjinak-jinak dengan suasana baru pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Ada desakan meminta Kementerian Pengajian Tinggi mengubah kurikulum IPT agar lebih menjurus kehendak pasaran kerja sekali gus dapat menangani isu pengangguran di kalangan siswazah. Betapa tidak, untuk sesi 2008/2009 ini saja, seperti yang diumumkan menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit bakal mengikuti 169 program dengan 36 daripadanya persediaan (Asasi/Tamhidi), manakala 133 lagi peringkat diploma.
Pastinya program persediaan itu bakal menyediakan pelajar ke arah pengkhususan dalam bidang popular dan kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, dan perundangan, sesuatu disifatkan sebagai bidang pengajian tradisional, sehingga mengabaikan kepentingan bidang lain yang lebih relevan dengan situasi masa kini dan kehendak industri dan pembangunan negara. Senator Lee Chee Keong berhujah di Dewan Negara, baru-baru ini bahawa: “Jika kurikulum IPT tidak bersandarkan kepada kehendak pasaran kerja semasa, graduan akan merasai kesannya yang boleh mencetuskan masalah sosial serius di negara ini. “Siswazah perlu mengubah mentaliti tradisi dalam pemilihan kursus pengajian di IPT, sebaliknya memilih bidang pengajian seperti bioteknologi, aeroangkasa, teknologi kinetik, yang dapat menjadikan mereka lebih berdaya saing peringkat global,” katanya.
Beliau sendiri hairan mengapa anak muda sekarang tertarik ingin menjadi doktor perubatan, jurutera, akauntan, dan peguam. Tradisi kecenderungan ini sudah berakar umbi sejak Merdeka, setengah abad lalu ketika negara menghadapi masalah tenat kekurangan doktor, jurutera, dan peguam. Hakikatnya, pembuat dasar, pensyarah dan pelajar haruslah sedar akan objektif utama di sebalik pengajaran dan pembelajaran di IPT sama ada awam ataupun swasta.
Rasionalnya tetap sama sejak tercetusnya pemikiran A N Whitehead, dalam eseinya bertajuk ‘Universiti dan fungsi-fungsinya’ terbit 1929 dan masih relevan sampai sekarang. Tema utamanya ialah pendidikan peringkat IPT sepatutnya dapat membimbing pelajar memperoleh ilmu secara imaginatif. Yang lebih menarik daripada fokus utama ini ialah ulasan beliau terhadap pendidikan IPT yang masih dalam jangkauan dan harapan golongan pensyarah di universiti sekarang. Pendidikan tahap universiti berbeza daripada pendidikan persekolahan yang semata-mata lebih berorientasikan peperiksaan iaitu bersifat hafalan fakta demi fakta.
Kata Whitehead lagi, pendidikan universiti tidak lebih daripada imaginatif. Pun begitu, maksud imaginatif dalam konteks ini bukan sampai mencantas fakta, sebaliknya lebih memberi sinar cahaya lebih bermakna kepada fakta itu sendiri. Sebab itulah kefahaman secara imaginatif bermaksud hendak melatih pelajar berfikir secara kreatif lagi kritikal biar apapun bidang, program, dan kursus yang diikuti, yang tradisional mahupun yang lebih baru dan terkini sesuai dan relevan dengan situasi semasa. Laporan Hale (Hale,1964) sebagai contoh memperjelaskan bahawa; “maksud tersirat pendidikan tinggi ialah hendak mengasuh dan menggalakkan pelajar berfikir untuk diri sendiri”. Dalam esei, ‘Struktur Universiti dan Pandangan Dunia’, Ashby (1973) mengutarakan kepentingan tenaga pengajar IPT berusaha mengambil kesempatan menerapkan ciri intelektual ke dalam kotak fikir anak didik, agar mereka dapat mengubah penerimaan sesuatu yang tidak kritikal secara ortodok kepada sesuatu yang kreatif dan dinamik.
Dalam hal ini, fikiran anak didik perlu dibentuk secara kritikal dan analitikal supaya mereka dapat mengubah kelaziman dalam kehidupan sehari-hari menjadi sesuatu yang lebih inovatif. Dengan begitu, rata-rata kita bersetuju bahawa sebenarnya ada tiga muaduk utama di sebalik pengajaran dan pembelajaran pusat pengajian tinggi iaitu untuk: l Mendidik pelajar agar dapat menganalisis idea ataupun isu secara kritikal l Memupuk kemahiran intelektual dan pemikiran pelajar, dan l Mendidik pelajar agar dapat memahami prinsip ataupun generalisasi.
Secara ringkasnya, perkembangan daya intelektual dan kuasa imaginatif pelajar menjadi objektif utama dan hakiki di sebalik pembelajaran di IPT. Kekuatan ini bakal dapat menjernihkan kefahaman dan pertimbangan akal budi, memupuk dan mempertajam kemahiran menyelesaikan masalah, mempertajam kemahiran komunikasi dan yang lebih penting ialah kemampuan mereka mengaitkan ilmu dipelajari dengan alam realiti yang lebih luas perspektifnya. Justeru, apa juga program yang ditawarkan haruslah dapat merangsang pendekatan pemerolehan ilmu sekali gus dapat pula membuat analisis secara kreatif, dapat membuat pertimbangan secara bebas dan sedar diri secara kritikal. Ilmu diperoleh tidak semata-mata kerana ilmu itu sendiri.
Sebaliknya, ilmu perlu diterap dalam menganalisis masalah yang dihadapi dalam kehidupan sehari-hari. IPT sekadar mampu mempersiapkan pelajar ke arah ini. Pelajar itu sendiri yang bakal menentukan berjaya tidaknya mereka memperoleh kerja sesuai dengan kelulusan dan kerjaya melalui bakat dan kemahiran diasuh sepanjang masa. Saya berpendapat, rata-rata lulusan universiti kita sekarang yang sudah berjumlah 20 buah, kurang berjaya dipersiapkan ke arah objektif ini. Mereka semata-mata diberi ilmu tetapi tidak diajar berfikir secara kritikal, imaginatif dan kreatif menerapkan ilmu itu dalam penganalisisan situasi dan masalah.
Kita sewajarnya tidak menyalahkan program yang ditawarkan tetapi pendekatan kepada penyampaian program itulah yang penting. Demi hendak menuruti kehendak pasaran terbuka yang lebih menghendaki kemahiran dalam bidang khusus, universiti di negara kita semacam sudah menyahkan kepentingan pendidikan falsafah dan tradisi. Kedua-dua disiplin ini dapat mendidik pelajar menjadi lebih peka kepada akar tradisi dan sejarah negara-bangsa demi kelangsungan peradaban bangsa yang lebih gemilang masa depan. Anak didik generasi masa kini seharusnya dapat mengubah suai diri secara lebih selesa kepada persekitaran yang pantas berubah.
Pendidikan sepanjang hayat dapat membantu mendepani dan menangani gejala keserabutan diri kepada dunia profesion. Sama-samalah kita fikirkan agar pengangguran kalangan siswazah tidak lagi menghantui fikiran perancang ekonomi dan pembuat dasar pembangunan negara. Perkara inilah juga yang seharusnya tertanam dalam fikiran anak didik yang mulai berjinak-jinak dengan dunia kampus sekarang demi kejayaan akademik dan seterusnya memasuki alam pekerjaan tanpa terpaksa menganggur lama.
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Thursday, July 03, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Artikel - Artikel..
-
▼
2008
(121)
-
▼
July
(8)
- PENDIDIKAN LATIHAN VOKASIONAL PATUT JAMIN KERJAYA ...
- KEMENTERIAN PELAJARAN KAJI SATUKAN PENDIDIKAN VOKA...
- BANK DATA PEKERJA MAHIR
- KURIKULUM IPT PATUT DIDIK PELAJAR LEBIH KREATIF
- 40% BANDUAN WARGA ASING
- TARIK MINAT PEKERJA TEMPATAN KENA BERMULA SEGERA
- KAWAL PEKERJA ASING
- INSENTIF LEBIH BAIK BAGI PEKERJA TEMPATAN
-
▼
July
(8)
No comments:
Post a Comment