Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, July 25, 2008

KEMENTERIAN PELAJARAN KAJI SATUKAN PENDIDIKAN VOKASIONAL, TEKNIKAL DAN KEMAHIRAN

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan menyatukan pendidikan aliran vokasional, teknikal dan kemahiran di peringkat sekolah, dalam usaha mengurangkan keciciran di kalangan para pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas petang ini untuk melihat sejauh mana sekolah vokasional dan teknik dapat diperkasakan sebagai satu pendekatan baru menjelang tamat tempoh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2010 nanti.

Beliau berkata penekanan baru itu akan mencakupi nilai-nilai penting termasuk sikap keusahawanan dan jati diri yang kental bagi memastikan para pelajar memiliki ciri-ciri yang perlu untuk bersaing di pasaran semasa."Semua perkara ini akan difikirkan dalam konteks kurikulum, yang diharap dapat membolehkan mereka (pelajar) mempunyai laluan kerjaya yang jelas supaya diterima baik oleh syarikat swasta sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majalah remaja berbahasa Inggeris, Best Buds, di ibu pejabat Kementerian Pelajaran di sini, Jumaat.Bagaimanapun menurutnya sebarang rombakan terhadap sekolah dari aliran itu perlu mengambil kira penglibatan sektor industri sendiri kerana tidak ada gunanya dibuat rombakan jika ia dilakukan tanpa kerjasama dari sektor yang berkenaan."Tidak ada gunanya buat rombakan dan buat penekanan baru kepada vokasional, kemahiran dan teknikal, tanpa mendapat kerjasama daripada pihak industri.

Pihak industri inilah yang akan mengenal pasti sektor-sektor tertentu yang mungkin mempunyai potensi untuk pelajar," katanya.Menurutnya mesyuarat itu juga akan memberi penekanan kepada tenaga pengajar agar mereka dapat memahami dengan jelas tuntutan pasaran semasa, sekaligus bekerjasama dengan sebarang institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Hishammuddin berkata hasil mesyuarat itu akan diserahkan kepada satu majlis khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan pengajian vokasional, kemahiran dan teknikal, bermula dari tingkatan satu berbanding tingkatan tiga pada masa ini. Menurutnya ketiga-tiga aliran itu perlu diselaraskan dengan rapi agar tidak berlaku sebarang pertindihan yang hanya akan merugikan."Ini pun sedang difikirkan bagaimana ketiga-tiga aliran dapat diselaraskan, saya tidak mahu melihat pertindihan, pembaziran, persaingan, kerana akhirnya matlamat dan objektif adalah sama iaitu membekalkan mereka yang keluar dari aliran ini dengan sikap, ilmu dan kemahiran yang boleh memenuhi permintaan semasa," katanya.

Terdahulu semasa bercakap mengenai pelancaran majalah berkenaan, Hishammuddin berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperhebatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tanpa hanya bersandarkan kepada kurikulum semata-mata.-- BERNAMA

No comments: