BERITA HARIAN
30 November 2010
LANGKAH menyediakan 100,000 tempat bagi pelajar mengikuti pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran mulai tahun depan membuktikan negara amat memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.Program yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin akan dilaksanakan di Institut Pendidikan Teknikal (TEVT) serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seluruh negara. Ia membabitkan kursus peringkat sijil, sijil lanjutan, diploma serta diploma lanjutan.
Inisiatif ini bertujuan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang selama ini dianggap sebagai jurusan kelas kedua dan menjadi pilihan terakhir pelajar selepas mereka gagal ke institusi pengajian tinggi (IPT). Kita yakin program ini mampu melahirkan pelajar memiliki kemahiran tinggi bagi mengisi pasaran kerja bukan berasaskan akademik semata-mata terutama di sektor teknikal dan pelbagai industri lain.
Langkah ini sejajar dengan pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu yang mendapat sambutan dan maklum balas luar biasa daripada peserta industri domestik dan pelabur asing. Program mengandungi pelbagai projek itu akan menukar status Malaysia menjadi negara maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ini disebabkan ETP dijangka mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan. Sebahagian besar pekerjaan diwujudkan melalui 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional. Oleh itu langkah meningkatkan program teknikal dan vokasional kena pada masanya supaya lulusan bidang ini dapat merebut pelbagai peluang pekerjaan yang tersedia. Pelajar akan ditempatkan di tujuh institusi latihan kemahiran serta cawangan yang menawarkan program TEVT dan ILKA.
Semua institusi itu menawarkan 123 kursus peringkat sijil, 68 sijil lanjutan, 45 diploma serta 16 diploma lanjutan.
Lepasan IPT yang memasuki pasaran kerjaya adalah penggerak utama ekonomi yang semakin rencam dan khusus. Oleh itu, mutu tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan itu mesti memenuhi piawaian global berikutan unjuran RM1.4 trilion pelaburan ETP juga membabitkan lebih 23 peratus modal asing. Program ini juga dapat membantu lebih 100,000 lepasan SPM yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa memiliki sebarang kemahiran.
Keadaan itu menyebabkan pendapatan yang diperoleh adalah rendah dan mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi. Jelaslah, matlamat kerajaan seperti dinyatakan Najib membolehkan semua rakyat merebut peluang yang akan diwujudkan menerusi ETP dan menikmati kemakmuran hidup dengan pendapatan tinggi.
Kewujudan tenaga kerja berkemahiran dalam pasaran kerja memberi impak positif kepada sosioekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing. Sudah tiba masanya pelajar menjadikan bidang pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran ini sebagai alternatif untuk menceburi bidang kerjaya yang tidak memerlukan kelayakan akademik semata-mata.
Kita yakin langkah kerajaan menjadikan Sijil Kemahiran Malaysia sebagai pensijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan IPT akan mendorong lebih ramai lepasan SPM memilih bidang ini pada masa depan.
No comments:
Post a Comment