BERITA MINGGU
24 Oktober 2010
KERAJAAN disaran merombak, menjenamakan dan menstruktur semula sekolah vokasional dan teknik mengikut arus perdana supaya kemasukan pelajar ke sekolah ini menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar.Sehubungan itu, pembentangan usul agama dan pendidikan mencadangkan supaya pendidikan vokasional dan kemahiran atau VOCTECH dijadikan fokus utama dalam usaha mengarus perdana sistem pendidikan negara supaya menepati keperluan pasaran tenaga kerja, industri dan anjakan ekonomi yang semakin terbuka.
Wakil Perak, Datuk Rosli Husin yang mencadangkan usul berkenaan, berkata sekolah aliran VOCTECH yang berorientasikan sekolah keusahawanan seharusnya dikeluarkan daripada skop kurikulum persekolahan kepada taraf pengajian tinggi. “Tidak keterlaluan jika kita lihat pelajar lepasan institusi VOCTECH Kementerian Pelajaran sudah memiliki diploma yang setaraf dengan politeknik, kolej universiti dan universiti. Lebih serius jika bahagian pendidikan teknik kementerian dinaik taraf menjadi Jabatan Pendidikan Teknik atau VOCTECH supaya lebih fokus dan dapat mengurangkan birokrasi urus tadbir,’ katanya.
Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, turut mengetengahkan enam kerjaya profesional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, jurutera dan juru ukur yang tidak menunjukkan jumlah Melayu dan Bumiputera melebihi atau mengatasi jumlah bukan Melayu, sedangkan majoriti di negara ini ialah Bumiputera.
Ketika menyokong usul berkenaan, wakil Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria menyifatkan usaha menjadikan VOCTECH sebagai pendidikan arus perdana adalah sesuatu yang radikal, tetapi sangat tepat dengan keperluan industri masa kini.
Wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling meminta Kementerian Pelajaran memberi penekanan terhadap penerapan pendidikan vokasional dan kemahiran sejak pada peringkat sekolah rendah lagi dalam transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2016.
Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Syed Mehdhar Syed Abdullah, pula memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
No comments:
Post a Comment