Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Monday, October 25, 2010

ARTIS, 2 ADUN TERIMA DIPLOMA UTM-SPACE

UTUSAN MALAYSIA

25 Oktober 2010


Justin Guka (kiri) bersama Abdul Mijul Unaini (kanan) sama-sama melihat sijil selepas Majlis Penyampaian Ijazah dan Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai semalam.


JOHOR BAHRU 24 Okt. – Penyanyi Azian Mazwan Sapwan, 35, dan dua wakil rakyat dari Sabah merupakan antara graduan pada Majlis Penyampaian Ijazah dan Diploma Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM-SPACE) bagi Graduan Program Kerjasama dan Program Eksekutif 2010 hari ini.

Dua wakil rakyat berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Abdul Mijul Unaini dan ADUN Bingkor, Datuk Justin Guka.

Masing-masing menerima diploma pada sidang ketiga pagi ini dengan Azian menerima Diploma Eksekutif Pengurusan Kewangan, Abdul Mijul mendapat Diploma Pengurusan Projek dan Justin pula menerima Diploma Pengurusan Estet.

Ketiga-tiga mereka menerima diploma itu daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Azian yang merupakan finalis Bintang RTM 1986, hadir ditemani suami, Mohd. Ahrar Zulkarnain Zubir, 38, berkata, kejayaannya hari ini adalah hasil penat lelah dan pengorbanan mereka sekeluarga selama tiga tahun.

“Alhamdulillah, setelah berhempas pulas dengan kerja, pelajaran, nyanyian dan keluarga, saya berjaya menghabiskan pengajian dan mendapat diploma yang saya impikan selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu dan Bukan Belas Bukan Simpati turut menyifatkan kejayaannya adalah lambang toleransi dan kerjasama suami dan anak-anak yang tidak lekang memberi sokongan.

Sementara itu, Abdul Mijul, 50, berharap kejayaan yang dicapainya itu mampu memberi motivasi kepada penduduk kawasan Banggi, Sabah untuk terus mendalami ilmu biarpun usia sudah semakin lanjut.

Perasaan yang sama turut dikongsi rakannya, Justin, 54, yang hadir ditemani ahli keluarga.

Kata bapa kepada enam orang anak itu, sikap inginkan kejayaan perlu ditanam dalam diri para pelajar supaya impian itu dapat dicapai.

No comments: