Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, July 31, 2008

PENDIDIKAN LATIHAN VOKASIONAL PATUT JAMIN KERJAYA BERSESUAIAN

Zakaria Mohd Yusof
BERITA HARIAN 31 Julai 2008

HASRAT Kementerian Pelajaran membuat rombakan ke atas sistem pendidikan vokasional memang bertepatan dengan keperluan masa kini. Selain mengelakkan berlakunya keciciran dalam pendidikan, rombakan ini boleh mengurangkan kadar pengangguran dalam pelbagai peringkat lepasan pendidikan.

Ketika ini usaha hanya ditumpukan kepada bagaimana mendapatkan A sebanyak mungkin bagi mencapai sasaran tahunan di setiap institusi persekolahan. Mana-mana pelajar yang memperoleh gred lebih rendah daripada gred A akan dipandang sepi, seolah-olah mereka tidak mempunyai masa depan yang cerah dan menjejaskan sasaran sekolah.

Tanpa menafikan pencapaian akademik yang cemerlang sebagai satu jaminan kehidupan masa depan, tetapi haruslah diingat, memperoleh A semata-mata bukan segala-galanya. Masih banyak lagi aspek yang harus dilihat dan dikaji.

Justeru, sudah tiba waktunya tumpuan lebih diberikan kepada insan tidak berkemampuan mencapai sasaran akademik cemerlang. Kumpulan ini seharusnya dibimbing dengan sebaiknya, kerana setiap individu adalah aset amat berharga untuk negara tanpa mengira tahap pencapaian akademik.

Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna sukar tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran seramai 83,000 orang seperti dilaporkan media sebelum ini tidak mencapai jalan penyelesaian.

Lantaran itu, langkah kerajaan memperkasa dan memartabatkan pendidikan vokasional seawal tingkatan satu adalah bertepatan dan seiring dengan usaha kebanyakan negara maju. Pendidikan vokasional yang menitikberatkan latihan untuk pekerjaan mampu membentuk individu agar mampu berdikari dan lebih berkeyakinan dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira kecemerlangan akademik sebagai ukuran.

Justeru, perkara berikut adalah cadangan untuk difikirkan dalam memikirkan strategi terbaik menjana modal insan harapan negara masa depan.

  • Pendidikan vokasional jika dilaksanakan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar.
    Selain memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, guru harus berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu ‘kad sejarah minat’ untuk setiap pelajar perlu diwujudkan.
  • Sekolah hendaklah memastikan setiap pelajar tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan oleh pencapaian akademik tidak memuaskan. Mata pelajaran berkaitan kerjaya harus diperkenalkan seawal di tingkatan satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara.
  • Dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tingkatan satu hingga tiga, sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan itu harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara pada masa depan mengikut sektor.
  • Guru kaunseling bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademiknya, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan kemahiran di institusi di seluruh negara.
  • Bagi menarik minat pelajar untuk memilih kemahiran vokasional, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang sebaik menamatkan latihan.
  • Kerajaan harus merangka laluan kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional dengan menyediakan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi awam.
  • Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggung jawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal dan dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan.

Friday, July 25, 2008

KEMENTERIAN PELAJARAN KAJI SATUKAN PENDIDIKAN VOKASIONAL, TEKNIKAL DAN KEMAHIRAN

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan menyatukan pendidikan aliran vokasional, teknikal dan kemahiran di peringkat sekolah, dalam usaha mengurangkan keciciran di kalangan para pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas petang ini untuk melihat sejauh mana sekolah vokasional dan teknik dapat diperkasakan sebagai satu pendekatan baru menjelang tamat tempoh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2010 nanti.

Beliau berkata penekanan baru itu akan mencakupi nilai-nilai penting termasuk sikap keusahawanan dan jati diri yang kental bagi memastikan para pelajar memiliki ciri-ciri yang perlu untuk bersaing di pasaran semasa."Semua perkara ini akan difikirkan dalam konteks kurikulum, yang diharap dapat membolehkan mereka (pelajar) mempunyai laluan kerjaya yang jelas supaya diterima baik oleh syarikat swasta sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majalah remaja berbahasa Inggeris, Best Buds, di ibu pejabat Kementerian Pelajaran di sini, Jumaat.Bagaimanapun menurutnya sebarang rombakan terhadap sekolah dari aliran itu perlu mengambil kira penglibatan sektor industri sendiri kerana tidak ada gunanya dibuat rombakan jika ia dilakukan tanpa kerjasama dari sektor yang berkenaan."Tidak ada gunanya buat rombakan dan buat penekanan baru kepada vokasional, kemahiran dan teknikal, tanpa mendapat kerjasama daripada pihak industri.

Pihak industri inilah yang akan mengenal pasti sektor-sektor tertentu yang mungkin mempunyai potensi untuk pelajar," katanya.Menurutnya mesyuarat itu juga akan memberi penekanan kepada tenaga pengajar agar mereka dapat memahami dengan jelas tuntutan pasaran semasa, sekaligus bekerjasama dengan sebarang institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Hishammuddin berkata hasil mesyuarat itu akan diserahkan kepada satu majlis khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan pengajian vokasional, kemahiran dan teknikal, bermula dari tingkatan satu berbanding tingkatan tiga pada masa ini. Menurutnya ketiga-tiga aliran itu perlu diselaraskan dengan rapi agar tidak berlaku sebarang pertindihan yang hanya akan merugikan."Ini pun sedang difikirkan bagaimana ketiga-tiga aliran dapat diselaraskan, saya tidak mahu melihat pertindihan, pembaziran, persaingan, kerana akhirnya matlamat dan objektif adalah sama iaitu membekalkan mereka yang keluar dari aliran ini dengan sikap, ilmu dan kemahiran yang boleh memenuhi permintaan semasa," katanya.

Terdahulu semasa bercakap mengenai pelancaran majalah berkenaan, Hishammuddin berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperhebatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tanpa hanya bersandarkan kepada kurikulum semata-mata.-- BERNAMA

Thursday, July 03, 2008

BANK DATA PEKERJA MAHIR

Zakaria Mohd Yusof
UTUSAN MALAYSIA 3 Julai 2008

Gesaan YAB Timbalan Perdana Menteri supaya meminta syarikat-syarikat di negara ini menyediakan insentif yang lebih baik bagi pekerja tempatan seperti yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 1 Julai menarik untuk dibincangkan.

Walaupun gesaan itu menjurus kepada sektor perladangan, saya percaya ia tentunya meliputi sektor-sektor lain yang mempunyai kriteria persekitaran yang hampir serupa seperti sektor pembinaan .

Umum memahami bahawa antara faktor kenapa kurangnya pekerjaan tempatan di sektor binaan terutamanya golongan belia adalah disebabkan faktor berikut;

1. Persepsi masyarakat yang sering mengaitkan sektor binaan sebagai sektor 3D iaitu 'Dirty, Dangerous dan Difficult'.

2. Tiada jaminan yang jelas mengenai masa depan belia yang menamatkan latihan di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Majikan bebas mengambil sesiapa saja sebagai pekerja. Tentu sekali tanpa dasar yang jelas, pekerja asing yang menjadi pilihan utama kontraktor dan ini memberi gambaran seolah-olah sijil kemahiran yang dimiliki tidak mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka.

Persekitaran kerja yang tidak kemas dan sering terdedah kepada kemalangan menambahkan lagi persepsi yang negatif dan ini mendorong mereka untuk memilih bidang lain sebagai sumber pencarian hidup.

Justeru, kenyataan YAB TPM iaitu, insentif itu bukan sahaja mengenai gaji tetapi juga menyediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap merangkumi infrastruktur kehidupan dalam komuniti serta latihan yang berterusan amatlah bertepatan. Insentif sebegini mampu meningkat imej sektor binaan ini dan seterusnya, tentu sekali mampu menarik minat masyarakat tempatan untuk memilih sektor binaan sebagai kerjaya masa depan mereka.

Saya berpandangan, di samping harapan supaya majikan-majikan menyediakan insentif yang lebih baik kepada pekerja tempatan, kerajaan juga sewajarya merangka polisi dan dasar tertentu bagi memastikan kebanyakan majikan tidak selamanya cenderung untuk terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Dengan kemampuan negara yang setiap tahun mampu menyediakan puluhan ribu pekerja mahir tempatan lulusan ILKA, insentif yang menarik dapat mengelakkan berlaku pembaziran sumber tenaga berikutan belia terlatih tempatan tidak dimanfaatkan di samping dapat mengelakkan negara kehilangan pendapatan berbilion ringgit setahun akibat pengaliran wang ke negara lain.Justeru, bagi memastikan belia lulusan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) berada di pasaran pekerjaan, kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan langkah-langkah berikut;

1. Mewujudkan dasar supaya semua majikan dimestikan mengambil pekerja binaan yang memiliki sijil kemahiran dari mana-mana ILKA yang disediakan kerajaan. Kerajaan hendaklah menubuhkan pusat tenaga kerja mahir tempatan. Semua lulusan ILKA hendaklah didaftarkan sebaik saja menamatkan latihan. Ia berfungsi sebagai bank pekerja mahir tempatan. Majikan yang memerlukan pekerja mesti mendapatkan tenaga kerja di pusat ini sebelum diberi keizinan mengambil pekerja dari sumber lain.

2. Membuat penyelarasan ke atas semua ILKA yang menyediakan latihan berkaitan sektor binaan supaya fungsinya lebih bersepadu. Jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan dibentuk bagi memantau bilangan pekerja mahir yang mampu dilahirkan oleh setiap ILKA yang bersesuaian dengan bilangan yang diperlukan negara.

3. Hubungan di antara ILKA dan industri juga harus diperkemaskan bagi memastikan lulusan yang dikeluarkan itu memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri. Pengurusan ILKA harus dari semasa ke semasa menjemput kontraktor untuk membuat penilaian ke atas program yang dilaksanakan. Kerajaan perlu meletakkan syarat tambahan kepada mana-mana kontraktor yang memperoleh tender kerajaan supaya menyenaraikan pekerja tempatan yang dilatih di ILKA sebelum urusan memberi atau membaharui lesen dibuat. Ini bagi memastikan pelatih merasakan sijil latihan yang diperoleh dari ILKA mempunyai nilai di pasaran pekerjaan.

4. Bagi menarik belia menceburkan diri dalam industri binaan, pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya di ILKA dan didapati berkemampuan setelah memperolehi pengalaman dalam jangka masa tertentu, hendaklah diberi insentif untuk memperoleh lesen binaan sendiri sebagai dorongan melahirkan usahawan di sektor binaan.

5. Sekiranya kerajaan bercadang untuk membuka semula pendaftaran kontraktor kelas F, adalah dicadangkan hanya kumpulan di atas yang boleh dipertimbangkan dan bukannya kepada mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

6. Pendidikan dalam bidang pembinaan hendaklah dimulakan lebih awal. Pelajar didedahkan dengan prospek dan masa depan dalam industri binaan. Subjek mata pelajaran vokasional yang ditawarkan di sekolah boleh dijadikan landasan dan diperkasakan fungsinya.

7. Kerajaan juga hendaklah memberi insentif tertentu kepada kontraktor yang memberi lebih keutamaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek mereka.

Kita berkeyakinan sekiranya langkah ini dimasukkan dalam perancangan jangka panjang dalam usaha mewujudkan pekerja mahir tempatan secara berperingkat seperti yang dirancangkan kerajaan, sindrom 3D tadi yang menjadi persepsi umum belia tempatan mampu diubah menjadi 3S – selesa, selamat dan seronok.

Insentif berterusan dari kerajaan dan para majikan diyakini mampu mengimbangi lambakan pekerja asing, kalau pun tidak mencapai angka sifar.

KURIKULUM IPT PATUT DIDIK PELAJAR LEBIH KREATIF

BERITA HARIAN 3 Julai 2008
Oleh Dr Illias Zaidi

KINI, kira-kira 71,000 pelajar baru termasuk 30,757 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula berjinak-jinak dengan suasana baru pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Ada desakan meminta Kementerian Pengajian Tinggi mengubah kurikulum IPT agar lebih menjurus kehendak pasaran kerja sekali gus dapat menangani isu pengangguran di kalangan siswazah. Betapa tidak, untuk sesi 2008/2009 ini saja, seperti yang diumumkan menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit bakal mengikuti 169 program dengan 36 daripadanya persediaan (Asasi/Tamhidi), manakala 133 lagi peringkat diploma.

Pastinya program persediaan itu bakal menyediakan pelajar ke arah pengkhususan dalam bidang popular dan kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, dan perundangan, sesuatu disifatkan sebagai bidang pengajian tradisional, sehingga mengabaikan kepentingan bidang lain yang lebih relevan dengan situasi masa kini dan kehendak industri dan pembangunan negara. Senator Lee Chee Keong berhujah di Dewan Negara, baru-baru ini bahawa: “Jika kurikulum IPT tidak bersandarkan kepada kehendak pasaran kerja semasa, graduan akan merasai kesannya yang boleh mencetuskan masalah sosial serius di negara ini. “Siswazah perlu mengubah mentaliti tradisi dalam pemilihan kursus pengajian di IPT, sebaliknya memilih bidang pengajian seperti bioteknologi, aeroangkasa, teknologi kinetik, yang dapat menjadikan mereka lebih berdaya saing peringkat global,” katanya.

Beliau sendiri hairan mengapa anak muda sekarang tertarik ingin menjadi doktor perubatan, jurutera, akauntan, dan peguam. Tradisi kecenderungan ini sudah berakar umbi sejak Merdeka, setengah abad lalu ketika negara menghadapi masalah tenat kekurangan doktor, jurutera, dan peguam. Hakikatnya, pembuat dasar, pensyarah dan pelajar haruslah sedar akan objektif utama di sebalik pengajaran dan pembelajaran di IPT sama ada awam ataupun swasta.

Rasionalnya tetap sama sejak tercetusnya pemikiran A N Whitehead, dalam eseinya bertajuk ‘Universiti dan fungsi-fungsinya’ terbit 1929 dan masih relevan sampai sekarang. Tema utamanya ialah pendidikan peringkat IPT sepatutnya dapat membimbing pelajar memperoleh ilmu secara imaginatif. Yang lebih menarik daripada fokus utama ini ialah ulasan beliau terhadap pendidikan IPT yang masih dalam jangkauan dan harapan golongan pensyarah di universiti sekarang. Pendidikan tahap universiti berbeza daripada pendidikan persekolahan yang semata-mata lebih berorientasikan peperiksaan iaitu bersifat hafalan fakta demi fakta.

Kata Whitehead lagi, pendidikan universiti tidak lebih daripada imaginatif. Pun begitu, maksud imaginatif dalam konteks ini bukan sampai mencantas fakta, sebaliknya lebih memberi sinar cahaya lebih bermakna kepada fakta itu sendiri. Sebab itulah kefahaman secara imaginatif bermaksud hendak melatih pelajar berfikir secara kreatif lagi kritikal biar apapun bidang, program, dan kursus yang diikuti, yang tradisional mahupun yang lebih baru dan terkini sesuai dan relevan dengan situasi semasa. Laporan Hale (Hale,1964) sebagai contoh memperjelaskan bahawa; “maksud tersirat pendidikan tinggi ialah hendak mengasuh dan menggalakkan pelajar berfikir untuk diri sendiri”. Dalam esei, ‘Struktur Universiti dan Pandangan Dunia’, Ashby (1973) mengutarakan kepentingan tenaga pengajar IPT berusaha mengambil kesempatan menerapkan ciri intelektual ke dalam kotak fikir anak didik, agar mereka dapat mengubah penerimaan sesuatu yang tidak kritikal secara ortodok kepada sesuatu yang kreatif dan dinamik.

Dalam hal ini, fikiran anak didik perlu dibentuk secara kritikal dan analitikal supaya mereka dapat mengubah kelaziman dalam kehidupan sehari-hari menjadi sesuatu yang lebih inovatif. Dengan begitu, rata-rata kita bersetuju bahawa sebenarnya ada tiga muaduk utama di sebalik pengajaran dan pembelajaran pusat pengajian tinggi iaitu untuk: l Mendidik pelajar agar dapat menganalisis idea ataupun isu secara kritikal l Memupuk kemahiran intelektual dan pemikiran pelajar, dan l Mendidik pelajar agar dapat memahami prinsip ataupun generalisasi.

Secara ringkasnya, perkembangan daya intelektual dan kuasa imaginatif pelajar menjadi objektif utama dan hakiki di sebalik pembelajaran di IPT. Kekuatan ini bakal dapat menjernihkan kefahaman dan pertimbangan akal budi, memupuk dan mempertajam kemahiran menyelesaikan masalah, mempertajam kemahiran komunikasi dan yang lebih penting ialah kemampuan mereka mengaitkan ilmu dipelajari dengan alam realiti yang lebih luas perspektifnya. Justeru, apa juga program yang ditawarkan haruslah dapat merangsang pendekatan pemerolehan ilmu sekali gus dapat pula membuat analisis secara kreatif, dapat membuat pertimbangan secara bebas dan sedar diri secara kritikal. Ilmu diperoleh tidak semata-mata kerana ilmu itu sendiri.

Sebaliknya, ilmu perlu diterap dalam menganalisis masalah yang dihadapi dalam kehidupan sehari-hari. IPT sekadar mampu mempersiapkan pelajar ke arah ini. Pelajar itu sendiri yang bakal menentukan berjaya tidaknya mereka memperoleh kerja sesuai dengan kelulusan dan kerjaya melalui bakat dan kemahiran diasuh sepanjang masa. Saya berpendapat, rata-rata lulusan universiti kita sekarang yang sudah berjumlah 20 buah, kurang berjaya dipersiapkan ke arah objektif ini. Mereka semata-mata diberi ilmu tetapi tidak diajar berfikir secara kritikal, imaginatif dan kreatif menerapkan ilmu itu dalam penganalisisan situasi dan masalah.

Kita sewajarnya tidak menyalahkan program yang ditawarkan tetapi pendekatan kepada penyampaian program itulah yang penting. Demi hendak menuruti kehendak pasaran terbuka yang lebih menghendaki kemahiran dalam bidang khusus, universiti di negara kita semacam sudah menyahkan kepentingan pendidikan falsafah dan tradisi. Kedua-dua disiplin ini dapat mendidik pelajar menjadi lebih peka kepada akar tradisi dan sejarah negara-bangsa demi kelangsungan peradaban bangsa yang lebih gemilang masa depan. Anak didik generasi masa kini seharusnya dapat mengubah suai diri secara lebih selesa kepada persekitaran yang pantas berubah.

Pendidikan sepanjang hayat dapat membantu mendepani dan menangani gejala keserabutan diri kepada dunia profesion. Sama-samalah kita fikirkan agar pengangguran kalangan siswazah tidak lagi menghantui fikiran perancang ekonomi dan pembuat dasar pembangunan negara. Perkara inilah juga yang seharusnya tertanam dalam fikiran anak didik yang mulai berjinak-jinak dengan dunia kampus sekarang demi kejayaan akademik dan seterusnya memasuki alam pekerjaan tanpa terpaksa menganggur lama.

40% BANDUAN WARGA ASING

UTUSAN MALAYSIA 3 Julai 2008

Hampir 40 peratus atau 14,809 banduan yang menjalani hukuman di penjara di seluruh negara kini terdiri daripada warga asing. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung berkata, jumlah tersebut melebihi 28 peratus daripada kapasiti banduan warga asing yang sepatutnya ditampung semua penjara di negara ini.

Beliau berkata, jumlah banduan asing yang terlalu ramai itu telah menyebabkan penjara kini sesak dengan 37,446 banduan.

Wednesday, July 02, 2008

TARIK MINAT PEKERJA TEMPATAN KENA BERMULA SEGERA

UTUSAN MALAYSIA 2 Julai 2008

KEBANJIRAN pekerja asing di negara ini semacam tidak boleh dibendung lagi. Permintaan pelbagai sektor terhadap tenaga kerja kategori itu juga sentiasa mencatatkan graf menaik.
Sektor peladangan, pertanian dan pembinaan antara yang paling tinggi penggantungan kepada tenaga kerja asing. Boleh sahaja dibayangkan betapa ketiga-tiga sektor itu akan lumpuh jika ada peraturan diperkenalkan untuk menghalang kemasukan pekerja asing.

Secara realitinya kerajaan Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa amalan membawa masuk pekerja asing akan mengambil masa yang panjang untuk dihentikan. Ini kerana penduduk tempatan masih belum dapat dididik untuk bekerja di sektor-sektor berat yang memerlukan perahan tenaga serta persekitaran yang kotor serta tidak selesa. Lebih daripada itu, peluang bekerja di kilang-kilang berhawa dingin yang satu ketika dulu terbuka luas telah menutup mata dan hati rakyat negara ini untuk bercucuk tanam atau membina bangunan.

Pilihan serta peluang dalam sektor pekerjaan yang pelbagai menyebabkan kerajaan terpaksa memperkenalkan dasar pengambilan pekerja asing termasuk bagi kategori pembantu rumah.
Kesemuanya itu bertujuan memastikan perkembangan ekonomi negara yang disokong oleh sektor peladangan, pertanian dan pembinaan terus rancak. Namun penggantungan terhadap pekerja asing secara keterlaluan mempunyai kesan jangka panjang yang negatif terutamanya dari sudut perkembangan sosial.

Keadaan diburukkan lagi apabila Malaysia turut menjadi tumpuan pekerja asing yang masuk ke negara ini secara haram. Untuk mula membetulkan keadaan, peranan serta kerjasama syarikat-syarikat yang terlalu bergantung kepada pekerja asing diperlukan termasuk secara perlahan-lahan menukar dasar pengambilan pekerja masing-masing.

Jika insentif yang menjadi kekangan kepada penduduk tempatan untuk bekerja dengan mereka, maka perbaikilah kelemahan tersebut. Pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat- syarikat besar termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) semestinya membolehkan mereka melakukan pelbagai cara untuk menarik minat pekerja tempatan.

Selain menyediakan infrastruktur kehidupan dalam komuniti, minat rakyat tempatan boleh ditarik menerusi 'pameran kerjaya' secara bergerak di seluruh negara. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah menyediakan latihan sambil bekerja supaya para pekerja tempatan nampak bahawa bekerja di ladang-ladang atau membina bangunan sebenarnya menawarkan prospek yang lebih luas.

Di pihak kerajaan pula, sudah tiba masanya lepasan sekolah diberi pendedahan serta latihan mengenai kerja-kerja berkaitan peladangan, pertanian dan pembinaan. Pemupukan minat di peringkat awal mampu mencambah keinginan untuk menyertai sektor-sektor yang kini masih didominasi oleh pekerja asing.

Kesemua langkah itu mesti dimulakan daripada sekarang jika kerajaan benar-benar serius untuk mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.

KAWAL PEKERJA ASING

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
UTUSAN MALAYSIA 2 Julai 2008

SARANAN kerajaan supaya disediakan insentif yang lebih baik dalam menarik pekerja tempatan tidak sewajarnya dilihat oleh majikan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing semata-mata, sebaliknya lebih kepada jaminan keselamatan sosial dan budaya di kalangan masyarakat.

Sejak sekian lama, penduduk tempatan dibelenggu dengan rasa bimbang dan terpinggir dengan kehadiran pekerja asing sama ada secara sah atau tanpa izin yang semakin bertambah saban tahun. Jika dulu, kumpulan pendatang itu hanya dapat dilihat di kawasan tertentu seperti di tapak pembinaan dan kawasan perladangan, namun komuniti mereka kini semakin berkembang. Malah, bukanlah sesuatu yang menghairankan ketika ini untuk melihat kelibat warga asing di kawasan penempatan seperti di taman-taman perumahan dan apartmen terutamanya di sekitar Lembah Klang. Mereka bukan sahaja berkongsi segala kemudahan dengan penduduk tempatan, sebaliknya ada yang lebih berjaya sehingga dapat berniaga sama ada membuka kedai runcit atau menjaja di tepi jalan.

Ironinya tidak hanya pertambahan bilangan warga asing yang mencetuskan rasa kurang senang, kepelbagaian warganegara mereka juga mula menimbulkan persoalan. Penduduk tempatan mungkin sudah biasa dengan pendatang berwajah ASEAN terutamanya dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar dan Filipina yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan dan ladang.
Tetapi situasi kini agak berbeza apabila pendatang yang lebih antarabangsa seperti dari Nepal, Bangladesh dan India pula mendominasi kebanyakan sektor pekerjaan.

Dengan jumlah yang semakin bertambah dan hidup berkelompok dalam kumpulan yang sama, kehadiran mereka pastinya mengundang rasa kurang senang dan tidak selesa.
Bukan sahaja soal keselamatan seperti peningkatan kes jenayah yang perlu diberi perhatian, tetapi isu kesihatan se- perti penyakit berjangkit juga mencetuskan kebimbangan yang bukan sedikit di kalangan penduduk tempatan. Apatah lagi mengetahui terdapat warga asing yang bekerja di sektor berkaitan penyediaan makanan seperti di kilang pemprosesan serta tukang masak di restoran, kehadiran mereka sewajarnya menuntut perhatian yang tinggi daripada kerajaan.

Dengan hakikat bahawa kepesatan proses modenisasi negara tidak dapat mengelak daripada bergantung kepada tenaga kerja asing, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat, kerajaan memerlukan satu mekanisme yang sistematik dalam memastikan kedatangan pekerja asing tidak menjadi masalah atau beban kepada negara. Pendekatan yang dilihat paling wajar menurut beliau, adalah menerusi saluran diplomatik iaitu dengan meningkatkan hubungan dua hala bagi mewujudkan situasi menang-menang di antara Malaysia dan negara pendatang.

Menerusi jalinan kerjasama diplomatik yang dipertingkatkan itu, negara pendatang perlu memberi jaminan bahawa warganya yang dihantar bekerja di sini mampu mematuhi undang-undang dan memahami budaya dan kedudukan sosial di negara ini. Ia juga antara lain memberi peluang kepada kedua-dua buah negara menyediakan latar belakang pekerja asing seperti status kesihatan serta jumlan kehadiran di negara ini sebagai semakan dan perhatian pada masa depan.

Mengambil contoh dalam menangani isu pendatang warga Filipina di Sabah misalnya, kerajaan jelas Pandian, perlu memperhebatkan usaha diplomatik dengan Manila bagi mencari jalan penyelesaian menangani isu kebanjiran pendatang dari negara itu yang kini menjadi polemik politik antara kedua-dua negara.

''Penubuhan konsulat Filipina di Sabah misalnya adalah antara langkah yang boleh dilaksanakan dalam memberi peluang kepada negara itu memahami isu- isu berkaitan pendatang Filipina yang perlu didepani oleh kerajaan Sabah. ''Meskipun penubuhan konsulat ini bakal mendapat tentangan Manila kerana ia secara tidak langsung mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sekali gus bertentangan dengan tuntutan negara itu ke atas Sabah, namun pertembungan politik sebegitu perlu ditangani segera sekiranya kerajaan mahu memastikan isu pendatang asing dapat diselesaikan secara jangka masa panjang," katanya.

Ketika pengukuhan jalinan hubungan diplomatik itu dilihat boleh membantu dalam mengawal kemasukan pekerja asing secara sah, timbul pula persoalan sejauh mana ia mampu mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI). Ia termasuk PATI yang menyeludup ke negara ini menerusi pintu masuk di wilayah bersempadan tanpa sebarang dokumen yang sah serta warga asing yang menyalahgunakan visa dan pas la- watan serta berselindung di sebalik status sebagai pelancong asing. Seperti yang sering didedahkan sebelum ini, terdapat warga asing terutamanya dari China dan negara-negara Asia Tengah yang menyalahgunakan pas lawatan atau pas pelajar untuk bekerja dalam sektor hiburan.

Dalam mendepani situasi itu, Pandian berkata, ia tidak dapat mengelak da- ripada penguatkuasaan undang-undang yang ketat serta pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu PATI. Rondaan dan operasi itu pula tidak hanya tertumpu kepada tangkapan PATI semata-mata, sebaliknya turut mengenakan tindakan yang tegas terhadap majikan yang mengambil pekerja asing tanpa dokumen dan permit kerja yang sah.

''Dalam usaha yang lebih luas, kerajaan perlu meningkatkan keselamatan sempadan negara daripada diceroboh dengan mudah termasuk bekerjasama dengan negara serantau dalam menjaga keselamatan perairan terutamanya Selat Melaka," katanya.

Menyentuh mengenai kecenderungan majikan mengambil pekerja asing kerana upah yang rendah selain memiliki kemahiran yang pelbagai, Pandian menjelaskan, faktor-faktor dalaman sebegitu tidak dinafikan menggalakkan kemasukan pekerja asing ke negara ini. Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna rakyat tempatan tidak mempunyai kemahiran dalam sektor pekerjaan yang didominasi oleh pekerja asing ketika ini tetapi kelebihan lain seperti gaji yang setimpal dan insentif lain yang menarik perlu diberi perhatian oleh majikan.

Tuesday, July 01, 2008

INSENTIF LEBIH BAIK BAGI PEKERJA TEMPATAN

UTUSAN MALAYSIA
1 JULAI 2008

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat-syarikat di negara ini menyediakan insentif yang lebih baik bagi pekerja tempatan untuk menarik mereka bekerja dalam sektor perladangan. Beliau berkata, insentif itu bukan sahaja mengenai gaji tetapi juga menyediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap merangkumi infrastruktur kehidupan dalam komuniti seperti sekolah, klinik, perumahan dan latihan.

''Usaha untuk mengurangkan pekerja asing di negara ini perlu selari dengan usaha menyediakan insentif yang lebih baik kepada pekerja-pekerja tempatan. 'Tindakan-tindakan untuk mengurangkan pekerja asing ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada pekerja tempatan yang ingin bekerja terutama dalam sektor perladangan berikutan insentif yang tidak menarik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas memberikan penjelasan lanjut mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Kajian separuh penggal RMK-9 itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada sidang Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Terdahulu Najib mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing di bangunan Parlimen di sini. Beliau memberikan contoh mengenai kemudahan yang disediakan oleh United Plantation kepada pekerja-pekerja tempatan membolehkan syarikat itu mengekalkan peratusan pekerja tempatan sebanyak 40 peratus. Tambahnya, syarikat-syarikat tempatan bukan sahaja perlu menyediakan kemudahan yang lengkap kepada pekerja tempatan tetapi juga memberikan latihan bagi membolehkan mereka bekerja secara berterusan.

''Kerajaan bukan sahaja akan menasihatkan syarikat-syarikat ini menyediakan insentif yang baik kepada pekerja tempatan tetapi akan menggunakan kaedah-kaedah lain bagi memastikan perkara ini dilaksanakan. Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu melaksanakan insentif ini bagi menggalakkan pekerja tempatan bekerja dan sekali gus mengurangkan pekerja asing," katanya.

Najib memberitahu, mesyuarat itu juga memutuskan supaya penggunaan pekerja asing dalam semua sektor perlu diperhalusi dengan lebih mendalam lagi.