Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Saturday, October 30, 2010

Minda Pengarang: Usaha tingkat program teknikal, vokasional penuhi impian capai negara maju

BERITA HARIAN
30 November 2010

LANGKAH menyediakan 100,000 tempat bagi pelajar mengikuti pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran mulai tahun depan membuktikan negara amat memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Program yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin akan dilaksanakan di Institut Pendidikan Teknikal (TEVT) serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seluruh negara. Ia membabitkan kursus peringkat sijil, sijil lanjutan, diploma serta diploma lanjutan.

Inisiatif ini bertujuan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang selama ini dianggap sebagai jurusan kelas kedua dan menjadi pilihan terakhir pelajar selepas mereka gagal ke institusi pengajian tinggi (IPT). Kita yakin program ini mampu melahirkan pelajar memiliki kemahiran tinggi bagi mengisi pasaran kerja bukan berasaskan akademik semata-mata terutama di sektor teknikal dan pelbagai industri lain.

Langkah ini sejajar dengan pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu yang mendapat sambutan dan maklum balas luar biasa daripada peserta industri domestik dan pelabur asing. Program mengandungi pelbagai projek itu akan menukar status Malaysia menjadi negara maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ini disebabkan ETP dijangka mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan. Sebahagian besar pekerjaan diwujudkan melalui 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional. Oleh itu langkah meningkatkan program teknikal dan vokasional kena pada masanya supaya lulusan bidang ini dapat merebut pelbagai peluang pekerjaan yang tersedia. Pelajar akan ditempatkan di tujuh institusi latihan kemahiran serta cawangan yang menawarkan program TEVT dan ILKA.

Semua institusi itu menawarkan 123 kursus peringkat sijil, 68 sijil lanjutan, 45 diploma serta 16 diploma lanjutan.

Lepasan IPT yang memasuki pasaran kerjaya adalah penggerak utama ekonomi yang semakin rencam dan khusus. Oleh itu, mutu tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan itu mesti memenuhi piawaian global berikutan unjuran RM1.4 trilion pelaburan ETP juga membabitkan lebih 23 peratus modal asing. Program ini juga dapat membantu lebih 100,000 lepasan SPM yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa memiliki sebarang kemahiran.

Keadaan itu menyebabkan pendapatan yang diperoleh adalah rendah dan mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi. Jelaslah, matlamat kerajaan seperti dinyatakan Najib membolehkan semua rakyat merebut peluang yang akan diwujudkan menerusi ETP dan menikmati kemakmuran hidup dengan pendapatan tinggi.

Kewujudan tenaga kerja berkemahiran dalam pasaran kerja memberi impak positif kepada sosioekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing. Sudah tiba masanya pelajar menjadikan bidang pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran ini sebagai alternatif untuk menceburi bidang kerjaya yang tidak memerlukan kelayakan akademik semata-mata.

Kita yakin langkah kerajaan menjadikan Sijil Kemahiran Malaysia sebagai pensijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan IPT akan mendorong lebih ramai lepasan SPM memilih bidang ini pada masa depan.

Friday, October 29, 2010

100,000 tempat ikuti latihan teknikal, vokasional

BERITA HARIAN, 29 Oktober 2010
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my

pix_gal0
Pengambilan pertama lepasan SPM November

PUTRAJAYA: Lebih 100,000 tempat disediakan bagi pelajar mengikuti program di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengambilan pelajar bagi mengikuti program peringkat Sijil, Sijil Lanjutan, Diploma dan Diploma Lanjutan itu akan diselaraskan Pusat Pengambilan Setempat yang dilancarkan semalam.

Katanya, permohonan kemasukan program TEVT dan ILKA dilaksanakan secara serentak dengan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi meningkatkan lagi bidang itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

“Sijil Kemahiran Malaysia pula dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan IPT. Ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Pengambilan Setempat Kemasukan TEVT dan ILKA di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Omar Abdul Rahman. Awal tahun ini, Kabinet memutuskan untuk mewujudkan Pusat Pengambilan Setempat berkenaan bagi kemasukan ke TEVT dan ILKA yang diselaraskan Jabatan Pengajian Tinggi mulai 2011.

Mohamed Khaled berkata, lebih 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa memiliki latihan kemahiran.

Beliau berkata, selama ini bidang teknikal dan vokasional dilihat sebagai pilihan terakhir pelajar berikutan persepsi prospek kerjaya yang terhad sehingga mengakibatkan tenaga kerja dalam sektor tertentu tidak mencukupi.

“Andaian ini harus disangkal kerana pendidikan teknikal dan latihan vokasional serta kemahiran menyediakan landasan alternatif yang baik bagi pelajar merealisasikan potensi, kecenderungan, minat serta kemahiran diri mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelajar perlu memupuk potensi diri dengan mengutamakan aspek seperti perubahan sikap, kemahiran dan dari aspek pengetahuan atau ilmu serta perubahan aspek pengurusan diri seperti budaya disiplin diri dan amanah.

“Jika semua perubahan digarap bersama dengan peluang pengajian tinggi yang diikuti, akhirnya kita dapat menjana pendapatan diri secara bekerja sendiri atau dengan kerajaan atau organisasi,” katanya.

Sejumlah 350 ILKA menawarkan program sijil dan diploma, manakala Program Diploma TEVT ditawarkan di 27 politeknik seluruh negara bagi pengambilan tahun depan.

Pengambilan pertama bermula 1 November hingga 31 Disember depan untuk lepasan SPM dan setaraf, sementara pengambilan kedua bermula 10 Januari hingga 4 April 2011 untuk lepasan SPM, Sijil Kemahiran MARA dan sekolah menengah.

Thursday, October 28, 2010

Viva Palestina satukan warga antarabangsa ringan derita rakyat Palestin

Oleh Mohd Zin Kandar
BERITA HARIAN
28 Oktober 2010

Lebih 1.5 juta penduduk Gaza dinafi hak hidup seperti manusia oleh Israel

KONVOI Kemanusiaan Global Jalan Darat ke Gaza Viva Palestina ke-5 (VP-5) adalah usaha penting, khususnya jika dilihat dari perspektif peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak penduduk Palestin. Perjuangan rakyat Palestin yang sudah lebih 62 tahun sering dilihat dan dinilai sebagai satu isu yang seolah-olah tiada penyelesaian.

Pemimpin silih berganti, persidangan demi persidangan dan perjanjian demi perjanjian ditandatangani, tetapi nasib rakyat Palestin masih tidak terbela, malah keadaan lebih buruk berlaku. Kemenangan Hamas pada pilihan raya yang telus dengan dihadiri pemantau Amerika, termasuk Jimmy Carter (bekas Presiden Amerika) pada 2006 bukan diberi sokongan, malah rakyat Gaza ‘dihadiahkan’ dengan hukuman kejam.

Dengan dukungan Amerika dan negara Eropah, Israel menegakkan sekatan makanan dan barang keperluan kepada penduduk Gaza. Sekatan secara menyeluruh yang menghalang penduduk hidup seperti manusia biasa dengan menjadikan Gaza sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’.

Mereka tidak dibenarkan mengimport atau membawa masuk barang makanan, keperluan perubatan, keperluan tenaga elektrik, air, keperluan pendidikan anak dan apa juga barang keperluan untuk 1.5 juta penduduk Gaza. Sekatan oleh manusia zalim berfahaman Zionis menafikan hak asas sesama manusia dan kesannya ialah penduduk Palestin di Gaza kekurangan zat makanan yang kritikal khususnya ibu mengandung, kanak-kanak dan orang tua.

Penyakit yang dihidapi penduduk tidak dapat diubati kerana tidak cukup ubat dan peralatan merawat disebabkan sekatan berkenaan. Proses penyelidikan dan pembangunan tidak dapat dijalankan di sekolah disebabkan bahan dan buku sekolah yang tidak mencukupi.

Usaha sama rejim Israel menindas orang awam di kawasan Tebing Barat Palestin melalui rampasan tanah milik penduduk Palestin untuk meluaskan perumahan Yahudi adalah antara tindakan pencabulan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pembinaan tembok konkrit yang tinggi dan melingkari puluhan kawasan kediaman dan pertanian yang berbaki dan membuat sekatan pemeriksaan yang begitu banyak membuatkan penduduk mengalami kesukaran untuk bergerak dan memperoleh keperluan seharian.

Hasil pertanian tidak dapat dibawa keluar untuk dijual dan ia menyebabkan kedudukan orang Palestin semakin terpinggir dan mundur. Ini adalah suatu tindakan tidak bertamadun oleh bangsa pendatang terhadap bangsa Palestin yang lemah dan ditindas.

Serangan besar-besaran rejim Zionis Israel pada 2008 terhadap Gaza tanpa sebarang sebab adalah tindakan di luar perikemanusiaan terhadap penduduk awam Palestin. Dalam serangan 20 hari itu, menyebabkan pelbagai kerosakan khususnya perumahan, tempat ibadat, hospital, institusi pendidikan dan sekolah yang bernilai berbilion dolar Amerika, manakala serangan terhadap flotila Mavi Marmara pada 31 Mei lalu adalah satu lagi tindakan biadap pencabulan tentera rejim di perairan antarabangsa.

Dunia sudah menyaksikan banyak siri perjanjian ditandatangani dan persefahaman dimeterai Israel dan Palestin atau dengan negara yang berhampiran Palestin. Namun, Israel yang terlebih dulu menodai perjanjian yang mereka tandatangani. Begitulah juga ketentuan yang telah dibuat PBB bagi menangani sebarang isu berbangkit mengenai Palestin. Regim Israel seolah-olah tidak mengindahkan sebarang usaha ke arah kedamaian. Mereka semacam suatu bangsa yang mengatasi sebarang perundangan dunia.

Oleh itu, isu Palestin memerlukan inisiatif yang bersifat dinamik bersesuaian dengan cabaran semasa dan realiti pandangan masyarakat dunia hari ini. Ketua negara khususnya yang aktif mendalami isu Palestin boleh terus berbuat demikian mengikut rancangan mereka, namun pihak NGO yang sudah sekian lama berperanan dalam isu berkaitan juga perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berperanan.

Puluhan tahun NGO berperanan di dalam atau di luar Palestin seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, agensi bantuan dari negara tertentu seperti Islamic Relief Worldwide, Muslim AIDS, Aqsa Foundation dan sebagainya, kini mereka sudah membuat suatu rangkaian yang lebih besar dan lebih ramai NGO terbabit di seluruh dunia dari Eropah ke Amerika, dari Asia ke benua Australia dan New Zealand.

Di bawah inisiatif dan kepemimpinan George Galloway, Viva Palestinia (VP) yang memberi maksud ‘Kemenangan untuk Palestin’ di dalam bahasa Perancis menjadi antara NGO yang menonjol. Melalui beberapa siri aktiviti kempen kesedaran Palestin yang bermula di United Kingdom, VP berkembang dan memiliki cawangan di negara Eropah, Amerika, Afrika dan Asia termasuk Malaysia.

Koordinasi sesama cawangan dan dengan pertubuhan di negara tertentu yang sedia wujud seperti IHH (Turki), Itali dan Aqsa Syarif (Malaysia), Viva Palestina berjaya menganjurkan beberapa aktiviti termasuk konvoi bantuan kemanusiaan dan flotila kapal membawa bantuan untuk Gaza dan Palestin.

Lazimnya, konvoi berkenaan sepenuhnya bermotifkan kemanusiaan iaitu hanya membawa barang-barang bantuan berupa makanan, bahan perubatan, bahan pembelajaran dan bahan-bahan binaan untuk membantu pembangunan semula Gaza.

Inisiatif VP dan pelbagai NGO melalui koordinasi seluruh dunia secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan yang tinggi tanpa mengira bangsa, fahaman politik, kepercayaan mahupun batas geografi. Sukarelawan umumnya bertindak membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel, hanya semata-mata kerana nilai kemanusiaan yang lahir dalam bentuk bantuan sesama manusia. Bagi yang beragama Islam pula, mereka didorong oleh cetusan keimanan dalam diri yang menuntut agar kesusahan dan kesakitan saudara sesama Islam dibantu dan dibela.

Penyertaan 14 rakyat Malaysia dari Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif Malaysia tepat pada masa. Ini bertepatan pula dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Jun 2010 yang menyokong agar NGO terus menghantar sukarelawan dalam setiap misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dianjurkan di peringkat antarabangsa.

Penulis ialah Ketua Konvoi Aqsa2Gaza, Aqsa Syarif Malaysia

Monday, October 25, 2010

ARTIS, 2 ADUN TERIMA DIPLOMA UTM-SPACE

UTUSAN MALAYSIA

25 Oktober 2010


Justin Guka (kiri) bersama Abdul Mijul Unaini (kanan) sama-sama melihat sijil selepas Majlis Penyampaian Ijazah dan Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai semalam.


JOHOR BAHRU 24 Okt. – Penyanyi Azian Mazwan Sapwan, 35, dan dua wakil rakyat dari Sabah merupakan antara graduan pada Majlis Penyampaian Ijazah dan Diploma Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM-SPACE) bagi Graduan Program Kerjasama dan Program Eksekutif 2010 hari ini.

Dua wakil rakyat berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Abdul Mijul Unaini dan ADUN Bingkor, Datuk Justin Guka.

Masing-masing menerima diploma pada sidang ketiga pagi ini dengan Azian menerima Diploma Eksekutif Pengurusan Kewangan, Abdul Mijul mendapat Diploma Pengurusan Projek dan Justin pula menerima Diploma Pengurusan Estet.

Ketiga-tiga mereka menerima diploma itu daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Azian yang merupakan finalis Bintang RTM 1986, hadir ditemani suami, Mohd. Ahrar Zulkarnain Zubir, 38, berkata, kejayaannya hari ini adalah hasil penat lelah dan pengorbanan mereka sekeluarga selama tiga tahun.

“Alhamdulillah, setelah berhempas pulas dengan kerja, pelajaran, nyanyian dan keluarga, saya berjaya menghabiskan pengajian dan mendapat diploma yang saya impikan selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu dan Bukan Belas Bukan Simpati turut menyifatkan kejayaannya adalah lambang toleransi dan kerjasama suami dan anak-anak yang tidak lekang memberi sokongan.

Sementara itu, Abdul Mijul, 50, berharap kejayaan yang dicapainya itu mampu memberi motivasi kepada penduduk kawasan Banggi, Sabah untuk terus mendalami ilmu biarpun usia sudah semakin lanjut.

Perasaan yang sama turut dikongsi rakannya, Justin, 54, yang hadir ditemani ahli keluarga.

Kata bapa kepada enam orang anak itu, sikap inginkan kejayaan perlu ditanam dalam diri para pelajar supaya impian itu dapat dicapai.

PELAJAR KOLEJ KOMUNITI MENINGKAT 60,000 TAHUN DEPAN

UTUSAN MALAYSIA

25 Oktober 2010

KUBANG PASU 24 Okt. - Kerajaan menyasarkan 80,000 pelajar akan dapat mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti pada tahun depan, peningkatan sebanyak 60,000 pelajar berbanding jumlah tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peningkatan itu sekali gus membantu mengurangkan lambakan jumlah tenaga kerja tidak mahir di pasaran kerja dan mengoptimumkan potensi nasional.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 50,000 pelajar tanpa mengira umur disasarkan mengikuti latihan bersifat modular sepenuh masa, manakala bakinya pula modular separuh masa di kolej berkenaan.

Bagi memenuhi sasaran itu, katanya, sebanyak 122 kursus daripada 20 program modular yang boleh diikuti oleh pelajar lepasan sekolah, para pekerja dan masyarakat setempat akan ditawarkan tahun depan berbanding hanya 48 kursus pada tahun ini.

"Usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengupayakan modal insan dalam semua peringkat bagi mewujudkan pekerja berkemahiran tinggi," katanya selepas melancarkan Program Modular Separuh Masa di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra di sini hari ini.

Program modular separuh masa itu merupakan kesinambungan kepada Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan yang merupakan antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti.

Ia merupakan pendekatan baru yang lebih fleksibel bagi memboleh dan menggalakkan masyarakat mendapatkan latihan kemahiran.

Mohamed Khaled berkata, pada masa ini dianggarkan 70 peratus golongan pekerja di negara ini memasuki pasaran kerja dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

GAJI LULUSAN PUSAT KEMAHIRAN SERENDAH RM300

UTUSAN MALAYSIA

25 Oktober 2010

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pemuda UMNO bimbang usaha untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mempelajari latihan kemahiran akan terjejas berikutan gaji rendah yang diperoleh mereka.

Wakil pergerakan itu, Mohd. Gasing Saling (gambar) berkata, pelajar terbabit yang lulus daripada pelbagai pusat latihan kemahiran termasuk kolej komuniti dan Pusat GiatMara hanya menerima gaji antara RM500 hingga RM700 sebulan.

"Bahkan di Sabah ada pelajar yang keluar daripada pusat latihan ini menerima gaji RM300 sebulan sedangkan paras kemiskinan kita RM700 sebulan dan ke bawah," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kalabakan berkata, masalah gaji rendah itu jika tidak diatasi akan menyebabkan golongan berkenaan terpinggir apabila Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020.

"Kita perlu fikirkan secara bersama apakah pendekatan terbaik untuk memastikan pelajar yang keluar ini mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

"Kalau boleh kita juga mahu jumlah ini ditingkatkan kepada RM3,000 sebulan bagi membolehkan mereka membeli rumah pertama," katanya.

Mengarusperdanakan pendidikan teknikal, latihan vokasional

MINGGUAN MALAYSIA
24 Oktober 2010

Malaysia berhasrat meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Oleh itu, enrolmen dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) perlu ditambah dan kualiti latihan secara keseluruhan dipertingkatkan untuk meningkatkan dengan ketara tahap kemahiran tenaga kerja.

TEVT bertujuan menambah bekalan modal insan berkemahiran di Malaysia melalui penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dan keupayaan dalam bidang teknikal dan vokasional.

TEVT menjurus kepada penyediaan kemahiran yang boleh digunakan dengan segera dalam pasaran pekerjaan. TEVT menjadi pilihan pendidikan perdana di kebanyakan negara maju.

Model binari atau dwi-laluan pendidikan yang fleksibel diguna pakai di kebanyakan negara berpendapatan tinggi.

Model ini membolehkan pelajar menukar aliran antara akademik dengan teknikal atau vokasional yang mempunyai prospek kerjaya yang setara.

Kadar purata enrolmen pelajar yang memasuki aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus, berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

Penambahbaikkan peluang, akses dan kualiti TEVT untuk laluan teknikal adalah sama penting dengan penambahbaikkan laluan akademik pendidikan tertiari.

Pendekatan dwi-laluan pendidikan yang sedang diusahakan akan memberi peluang kepada pelajar untuk menukar aliran antara TEVT dengan akademik seperti yang ditunjukkan dalam pendidikan TEVT di peringkat sekolah menengah yang mempunyai dua aliran utama iaitu teknikal dan vokasional. Aliran teknikal mempunyai lebih banyak komponen akademik manakala aliran vokasional mempunyai lebih banyak komponen hands-on.

Kemahiran TEVT memberi manfaat secara langsung kepada majikan, pekerja serta sektor industri yang berkaitan. Faedah yang diperoleh bergantung kepada gabungan kemahiran pekerja.

Oleh itu, kos berkaitan TEVT perlu dibiayai bersama antara kerajaan, majikan, industri dan pelajar berdasarkan kepada faedah yang diperoleh.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), empat strategi berikut akan diguna pakai untuk mengarusperdanakan dan memperluas akses kepada TEVT yang berkualiti:

lMenambah baik persepsi terhadap TEVT dan menarik minat lebih ramai pelajar;

lMembangunkan tenaga pengajar TEVT yang lebih efektif;

lMempertingkat dan mengharmonikan kualiti kurikulum TEVT selaras dengan keperluan industri; dan

lMemperkemas penyampaian TEVT.

Penambahbaikkan persepsi terhadap TEVT dan menarik minat lebih ramai pelajarTerdapat banyak peluang untuk penyedia TEVT awam dan swasta menarik lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pengajian untuk mengikuti latihan TEVT dan meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran dalam pasaran pekerjaan.

Bagi tujuan ini, penekanan akan diberi untuk meningkatkan nilai dan daya tarikan TEVT kepada pelajar, penyedia latihan dan industri.

Publisiti diperhebatDalam tempoh RMK-10, kempen media di peringkat nasional akan dilaksana secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan penambahbaikkan persepsi terhadap TEVT.

Kumpulan sasar utama adalah pelajar yang berpotensi dan ibu bapa mereka. Kempen akan memberi penekanan terhadap manfaat memasuki pasaran pekerjaan dengan kelayakan TEVT, seperti gaji permulaan, jenis pekerjaan dan laluan kerjaya serta pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk lebih banyak jawatan dalam sektor awam.

Pelbagai saluran penyampaian seperti televisyen, radio, majalah dan selebriti akan diguna untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada kumpulan sasar.

Kaunselor di sekolah akan diberi tanggungjawab untuk membimbing dalam tempoh yang panjang bagi membantu pelajar, bermula dari tingkatan empat berterusan sehingga pelajar berkenaan memasuki pendidikan tertiari.

Langkah ini adalah untuk memastikan lebih ramai pelajar meneruskan pelajaran ke peringkat tertiari. Bagi meningkatkan keberkesanan bimbingan, kumpulan kaunseling yang terdiri daripada kaunselor sekolah akan dibentuk di setiap daerah.

Kumpulan kaunseling ini akan bertanggungjawab untuk menjalinkan hubungan yang erat dengan institusi TEVT dan majikan, serta meningkatkan penyelarasan antara pihak berkepentingan melalui pertukaran maklumat.

Kumpulan ini akan bertanggungjawab menyediakan panduan ke aliran vokasional dan kemahiran di sekolah teknik yang akan dijenamakan semula bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar berkecenderungan teknikal dan meningkatkan kesedaran berkaitan TEVT.

Bagi memberi tumpuan yang lebih tinggi kepada bidang vokasional yang lebih menitik- beratkan kepada latihan hands-on dan menyediakan lebih banyak kursus yang sesuai, sebanyak 69 daripada 88 sekolah teknik akan ditukar menjadi sekolah vokasional dan enam sekolah vokasional baru akan dibina menjelang tahun 2015.

Pembelajaran berasaskan projek Pendekatan pembelajaran berasaskan pengeluaran dan berasaskan projek akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti dan daya tarikan program TEVT kepada majikan dan pelajar.

Pendekatan ini akan menggalakkan penyertaan industri secara langsung dalam program latihan kemahiran, di samping mengoptimumkan penggunaan kemudahan dan peralatan di institusi TEVT.

Pendekatan ini akan menggandakan enrolmen di sekolah menengah aliran vokasional dan kemahiran pada akhir tempoh rancangan yang mana enrolmen semasa adalah seramai 32,000 pelajar. Peningkatan ini akan memberi sumbangan yang ketara dalam menambah bilangan pekerja mahir dan separa mahir.

Kerajaan akan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan menyediakan program sangkutan industri dan pekerjaan kepada pelajar lepasan institusi TEVT

Penambahan bilangan tenaga pengajar yang cemerlang akan dilaksanakan melalui peluasan program tenaga pengajar sambilan.

Langkah ini akan menarik mereka yang berminat untuk menjadi tenaga pengajar di samping terus kekal bekerja di industri.

Tenaga pengajar yang memiliki pengetahuan terkini tentang teknologi dan perkembangan industri akan memberi latihan yang paling relevan dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran pelatih.

Kerjasama antara institusi TEVT dengan industri dalam pertukaran personel akan diperkukuhkan bagi membolehkan tenaga pengajar vokasional menjalani program penempatan di industri bagi mendapat pendedahan dan pengetahuan teknologi terkini.

Pada masa yang sama, tenaga pengajar vokasional dari industri ditempatkan di institusi TEVT bagi memperkukuh kemahiran pedagogi mereka.

Bagi memperkukuh penyampaian latihan dan meningkatkan pengambilan tenaga pengajar, kapasiti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan akan dipertingkatkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan latihan yang baru.

Sebuah pusat latihan tenaga pengajar yang baru akan dibangunkan bagi menambah kapasiti latihan sebanyak 800 setiap tahun.

Selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan menyelaras program latihan pengajar di institusi latihan kemahiran awam yang lain.

Sunday, October 24, 2010

Pendidikan vokasional, kemahiran fokus utama

BERITA MINGGU
24 Oktober 2010

KERAJAAN disaran merombak, menjenamakan dan menstruktur semula sekolah vokasional dan teknik mengikut arus perdana supaya kemasukan pelajar ke sekolah ini menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar.

Sehubungan itu, pembentangan usul agama dan pendidikan mencadangkan supaya pendidikan vokasional dan kemahiran atau VOCTECH dijadikan fokus utama dalam usaha mengarus perdana sistem pendidikan negara supaya menepati keperluan pasaran tenaga kerja, industri dan anjakan ekonomi yang semakin terbuka.

Wakil Perak, Datuk Rosli Husin yang mencadangkan usul berkenaan, berkata sekolah aliran VOCTECH yang berorientasikan sekolah keusahawanan seharusnya dikeluarkan daripada skop kurikulum persekolahan kepada taraf pengajian tinggi.

“Tidak keterlaluan jika kita lihat pelajar lepasan institusi VOCTECH Kementerian Pelajaran sudah memiliki diploma yang setaraf dengan politeknik, kolej universiti dan universiti. Lebih serius jika bahagian pendidikan teknik kementerian dinaik taraf menjadi Jabatan Pendidikan Teknik atau VOCTECH supaya lebih fokus dan dapat mengurangkan birokrasi urus tadbir,’ katanya.

Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, turut mengetengahkan enam kerjaya profesional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, jurutera dan juru ukur yang tidak menunjukkan jumlah Melayu dan Bumiputera melebihi atau mengatasi jumlah bukan Melayu, sedangkan majoriti di negara ini ialah Bumiputera.

Ketika menyokong usul berkenaan, wakil Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria menyifatkan usaha menjadikan VOCTECH sebagai pendidikan arus perdana adalah sesuatu yang radikal, tetapi sangat tepat dengan keperluan industri masa kini.

Wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling meminta Kementerian Pelajaran memberi penekanan terhadap penerapan pendidikan vokasional dan kemahiran sejak pada peringkat sekolah rendah lagi dalam transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2016.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Syed Mehdhar Syed Abdullah, pula memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).