Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Saturday, April 17, 2010

MAJIKAN TAMAK PUNCA LAMBAKAN PEKERJA ASING

Minda Pengarang

BERITA HARIAN, 17 April 2010

USAHA mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing memerlukan pelan tindakan bersepadu. Ia bukan tanggungjawab satu atau dua kementerian. Apabila kerajaan mengambil daya usaha melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Keutamaan Negara (NKRA), maka wajar juga jika dikaji serta diteliti keperluan mewujudkan makmal khas merumus langkah membanteras pendatang asing tanpa izin dan mengawal kemasukan pekerja asing berdaftar.

Kedua-dua golongan ini sebenarnya mengancam kepentingan negara dalam pelbagai bentuk selain meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dan menghilangkan daya saing warga tempatan untuk memperoleh pekerjaan di tanah air sendiri. Ini belum dikira soal pelbagai kesan sosial yang mereka sumbangkan. Kehadiran mereka juga mesti dilihat dari sudut keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara yang mereka nikmati. Majikan yang membawa masuk pula mungkin ada agenda tersendiri sama ada ekonomi, sosial dan mungkin ada elemen politik.

Apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji penstrukturan semula kadar levi pekerja asing termasuk menaikkan kadarnya, langkah itu cukup baik dan mesti dilaksanakan. Mungkin kadar levi lebih tinggi tidak akan mengekang kecenderungan tegar sesetengah majikan tempatan daripada mengambil pekerja asing. Selagi majikan ada sifat tamak dan tidak mahu memahami serta enggan bertanggungjawab maka apa saja dasar yang dilaksanakan kerajaan berhubungan permasalahan ini sukar mencapai matlamat. Mereka sewajarnya lebih matang dan memahami dasar serta disusuli dengan tanggungjawab bukan mementingkan soal keuntungan semata-mata.

Justeru, usaha mahu membanteras pendatang asing tanpa izin serta mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing tidak akan tercapai kecuali mendapat kerjasama semua pihak khususnya majikan selain rakyat. Majikan mesti mengetahui bahawa kerajaan ada kerangka yang mengandungi dasar, perundangan, peraturan dan penguatkuasaan serta operasi dalam soal ini. Tetapi jika mereka bersifat pasif (sengaja tidak mahu tahu untuk melepaskan diri) terhadap keempat-empat elemen itu dan meletakkan semua komitmen menanganinya pada bahu kerajaan maka sukar untuk menguruskan permasalahan dua golongan berkenaan.

Mesti diingat, dasar berkaitan digubal untuk majikan dan rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab. Dasar bukan milik kerajaan dan mahu membebankan rakyat atau komuniti perniagaan. Majikan tidak boleh berterusan dengan sikap mengambil kesempatan atas apa juga ‘ruang dan peluang’ dalam sistem penguatkuasaan dan perundangan untuk mengeksploitasi tenaga kerja asing demi kepentingan diri sendiri. Senario ini jauh berbeza dengan sifat majikan dan rakyat di negara maju yang memiliki kesedaran tinggi selain matang serta bertanggungjawab untuk bersama kerajaan dalam menangani pendatang asing tanpa izin serta pergantungan kepada tenaga kerja asing kerana golongan itu mengancam kepentingan mereka.

KADAR LEVI PEKERJA IKUT TEMPOH KONTRAK

BERITA HARIAN, 16 April 2010
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/04/16

Usaha kurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar

PUTRAJAYA: Majikan yang berhasrat menggaji lebih ramai pekerja asing atau mahu memanjangkan tempoh kontrak mereka mungkin perlu membayar kadar levi lebih tinggi bagi memastikan rakyat asing berkenaan hanya digunakan dalam sektor memerlukannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penstrukturan semula kadar levi yang sedang dikaji, antara lain mempertimbangkan cadangan menetapkan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh mereka bekerja di sini.
“Hakikatnya, majikan menggaji ramai pekerja asing untuk tempoh lama perlu membayar levi lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai kontrak kerja lebih singkat.

“Ini secara tidak langsung mendorong majikan hanya mengambil pekerja asing apabila benar-benar perlu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Levi pekerja asing kini ditetapkan mengikut sektor iaitu RM1,200 bagi perkilangan dan pembinaan; RM1,800 bagi pekerja restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan runcit dan borong, perniagaan tekstil, barangan logam, lusuh dan terpakai, spa dan urut refleksologi, hotel serta kedi.

Sementara itu, pekerja asing di sektor pulau peranginan perlu membayar levi RM1,200; RM600 bagi pekerja rumah kebajikan; RM540 bagi pembantu rumah kedua, dan RM360 bagi pekerja asing di sektor perladangan serta pembantu rumah pertama.
Menyusuli keputusan itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengemas kini pangkalan data majikan dan pekerja asing untuk diguna pakai dalam usaha membanteras kemasukan pekerja asing tanpa izin dan mengurangkan jumlah pekerja asing sah sedia ada.

Hishammuddin berkata pendekatan itu lebih berkesan bagi mengenal pasti majikan yang mendera pekerja asing, melakukan kesalahan berkaitan Akta Imigresen atau terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Katanya, statistik Jabatan Imigresen antara 2007 hingga 2009 menunjukkan 269 majikan didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1963, manakala 137 orang didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bagi tempoh dua tahun bermula Februari 2008.

Beliau yakin dengan adanya pangkalan data itu, rekod kemasukan dan kepulangan pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Kita mahu majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka, terutama mengawal selia bagi memastikan mereka memenuhi tempoh kontrak dan benar-benar pulang selepas ia tamat, tanpa terus tinggal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementeriannya juga sudah menyiapkan laporan berhubung prestasi syarikat memperoleh bekalan pekerja asing sejak sistem membekal dan mengurus pekerja asing dilaksanakan pada 2005.

Katanya, semua syarikat akan dinilai jika mematuhi prosedur sedia ada yang menggariskan pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan permintaan serta keperluan guna tenaga dan bukannya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Wednesday, April 14, 2010

MAJIKAN PEKERJA ASING DIBERI LEBIH TANGGUNGJAWAB

UTUSAN MALAYSIA, 14 April 2010

PUTRAJAYA 13 April – Majikan yang mengambil pekerja asing selepas ini akan diberikan tanggungjawab yang lebih terperinci bagi memastikan tidak timbul lagi isu negatif membabitkan warganegara asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perkara yang dikaji oleh makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan 23 Mac lalu.

Menurutnya, makmal tersebut yang operasinya akan berakhir 23 April, setakat ini berjaya menggariskan beberapa cadangan untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warganegara asing yang komprehensif serta berkesan.

“Dalam tempoh dua minggu terakhir, makmal tersebut akan memperinci dan memperkemaskan laporan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas cadangan itu diperakui oleh jawatankuasa tersebut, ia akan dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal berkenaan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perbincangan dalam makmal berkenaan meliputi aspek-aspek iaitu sistem dan proses; penawaran dan permintaan; penguatkuasaan dan perundangan.

“Dalam aspek perundangan, kita telah meminta makmal untuk meneliti keperluan bagi memperincikan tugas dan tanggungjawab majikan dalam keseluruhan proses pengambilan pekerja asing.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi peringkat kemasukan pekerja, sepanjang tempoh keberadaan di negara ini dan ketika pekerja tamat tempoh permit dan perlu keluar dari negara ini,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menstruktur semula kadar levi yang antara lain menimbangkan cadangan penetapan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh bekerja.

HAD PEKERJA ASING KEPADA 1.5 JUTA

UTUSAN MALAYSIA, 14 April 2010
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 April – Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengehadkan jumlah pekerja asing di negara ini dalam lingkungan 1.5 juta orang menjelang tiga tahun lagi. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing ketika ini didapati meningkat kepada 1.8 juta orang ekoran pemulihan sektor industri.

“Sebenarnya kita berjaya mengurangkan pekerja asing kepada 1.5 juta orang tahun lalu tetapi mereka dibawa masuk semula setelah industri kembali pulih.

“Kita harap jumlah mereka boleh dihadkan kepada 1.5 juta orang sahaja bagi memenuhi beberapa sektor yang tidak dapat dielakkan daripada menggunakan pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua menteri itu mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan pada 23 Mac lalu. Makmal tersebut melibatkan 14 kementerian, 11 agensi dan kira-kira 30 organisasi majikan serta pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing.

Berdasarkan statistik, daripada 1.8 juta pekerja asing di negara ini, jumlah tertinggi adalah dari Indonesia (50.9 peratus) diikuti Bangladesh (17.4 peratus), Nepal (9.7 peratus), Myanmar (7.8 peratus), India (6.3 peratus) dan Vietnam (4.2 peratus).

Sebanyak 39 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan (19 peratus), perladangan (14 peratus), pembantu rumah (12 peratus), perkhidmatan (10 peratus) dan pertanian (sembilan peratus)

Menurut Subramaniam, makmal berkenaan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil tetapi pada masa sama menerima hakikat negara ini masih memerlukan pekerja asing.

“Dalam sektor tertentu kita masih perlukan pekerja asing tetapi perlu dipastikan jumlah mereka dikurangkan pada satu tahap yang boleh kita uruskan.

“Apa yang kita harap hasil daripada makmal ialah sistem pengurusan pekerja asing iaitu mereka dibawa masuk secara sah dan kemudian akan balik ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja,” katanya.

Beliau berkata, hanya melalui kaedah berkenaan, hasrat kerajaan untuk menguruskan pekerja asing secara baik dapat dicapai.

“Isu ini sebenarnya ialah bagaimana menguruskan mereka yang datang kerana ada yang masuk tetapi tidak pulang manakala ada yang datang melalui cara lain.

“Harap melalui makmal tersebut, penyelesaian dapat diambil bagi membolehkan pekerja asing diuruskan dengan baik,” katanya.

Tuesday, April 13, 2010

PELAJAR PENDIDIKAN VOKASIONAL MAMPU BERGAJI TINGGI

UTUSAN MALAYSIA, 13 April 2010

INISIATIF Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan sistem pendidikan vokasional di Perancis sebagai model dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah sangat signifikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara strategi MEB adalah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan fokus ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik. Selain daripada golongan miskin dan orang kurang upaya, mereka yang mencapai tahap akademik yang rendah juga boleh digolongkan sebagai kurang bernasib baik. Justeru, dengan memberikan mereka pendidikan vokasional dan kemahiran, pelajar yang tercicir akademik juga boleh menikmati pendapatan tinggi.

Masyarakat sewajarnya juga memberi sokongan padu terhadap misi kerajaan untuk menambah jumlah peratusan pelajar aliran vokasional dan mengenal pasti mereka yang berpotensi mengikuti aliran tersebut daripada tingkatan satu lagi. Malahan saya berpendapat usaha mengenal pasti kecenderungan pelajar memilih aliran vokasional sewajarnya bermula dari sekolah rendah lagi dan mereka disalurkan ke aliran vokasional bermula dari tingkatan satu.

Persepsi masyarakat yang meletakkan pelajar aliran vokasional sebagai kelas kedua atau pelajar tercicir tidak lagi sepatutnya timbul. Ini kerana pelajar yang mengikuti aliran vokasional adalah berdasarkan bakat dan minat, bukan lagi keputusan peperiksaan.

Penulis juga mencadangkan agar kerajaan dalam proses pemilihan pelajar memasuki aliran vokasional turut membuka peluang kepada pelajar cemerlang. Satu ujian berdasarkan bakat dan kebolehan hendaklah dijalankan untuk mengenal pasti bakat dan aliran yang diminati oleh pelajar. Dengan cara ini, pendidikan vokasional akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pelajar yang dipilih memasuki aliran tersebut bukan kerana mereka tidak mencapai tahap kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan kebolehan psikomotor cemerlang mereka.

Daripada segi infrastruktur, saya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin bahawa infrastruktur komprehensif perlu disediakan terlebih dahulu sebelum sistem pendidikan vokasional secara insentif dilaksanakan. Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan sumber tenaga pengajar untuk menyokong kelancaran pelaksanaan aliran vokasional di negara ini. Begitu juga dengan model kurikulum vokasional yang hendak dirujuk dan diguna pakai. Selain daripada Perancis, disarankan kerajaan melihat beberapa negara lain di Eropah dan Amerika. Ini kerana berdasarkan fakta sejarah pendidikan vokasional yang berdasarkan latihan, ia bermula di Switzerland pada tahun 1740-an dan berkembang pesat di AS pada 1800 hingga 1900. Di AS, terdapat negeri yang mendedahkan pendidikan vokasional di peringkat rendah dan fokus pendidikan vokasional mereka berteraskan pekerjaan.

Bagi sumber tenaga pengajar, kerajaan sebenarnya telah mempunyai modal insan yang ramai, berkemahiran dan berdaya saing. Ini kerana sistem pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran bukanlah asing di Malaysia, malah telah bermula sejak awal 1900-an lagi.

Pada masa ini, pelajar dan graduan aliran teknik, vokasional dan kemahiran dilahirkan antaranya dari Kementerian Sumber Manusia (Institusi Latihan Perindustrian), Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Pusat Latihan Pengajar dan Latihan Lanjutan dan Institut Teknikal Jepun Malaysia ); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Institut kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Pusat Giat Mara); Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Kolej Pertanian dan Institut Pertanian) serta institut pendidikan swasta seperti German Malaysian Institute dan Malaysia France Institute. Dalam erti kata lain, Malaysia mempunyai modal insan yang mencukupi untuk menjadi tenaga pengajar dalam sistem pendidikan vokasional di negara ini.

Kalau dahulu, dalam konteks pelaksanaan PPSMI, kerajaan terpaksa melatih semula guru-guru dalam melaksanakan dasar tersebut, adalah diyakini kerajaan tidak lagi perlu melatih semula guru-guru sedia ada kerana institut pendidikan teknik dan vokasional seperti UTHM, UTM dan UPM telah pun melatih dan melahirkan guru-guru yang berketerampilan untuk mengajar pendidikan vokasional.

Aspirasi kerajaan dapat direalisasikan hanya dengan menambah kemasukan guru pelatih baru ke institusi-institusi pendidikan teknikal dan kami akan menyambutnya dengan inspirasi melahirkan guru profesional yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena glokal.

Oleh itu, saya berpendapat adalah sangat tepat usaha kerajaan untuk meletakkan pendidikan vokasional berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendidikan akademik.

Dr. Ahmad Esa
Fakulti PendidikanTeknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Monday, April 12, 2010

LATIHAN VOKASIONAL TEKNIKAL PERLU PERANCANGAN AWAL

BERITA HARIAN, 12 April 2010


Oleh Zakaria Mohd Yusof
b-zyusof@utm.my
2010/04/12

PENGUMUMAN Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu harus disambut positif.

Pengumuman itu seharusnya memberi sinar kepada kelompok pelajar yang kurang berkemampuan untuk tidak lagi menerima tekanan akademik berorientasikan peperiksaan.

Pastinya ini menjadi cabaran kepada pegawai di kementerian untuk merangka strategi terbaik bagi memastikan hasrat kerajaan seperti diumumkan itu menjadi kenyataan. Untuk itu, pihak terbabit wajar merangka dasar berkaitan kerangka yang harus dijadikan panduan untuk memastikan arah kecenderungan sebenar pelajar seawal Tingkatan Satu.

Sebarang bentuk pelan tindakan yang hendak dilakukan di peringkat sekolah mesti didasarkan kepada tiga fasa, iaitu membina minat, membina kemahiran dan membina kerjaya.

Membina Minat - fasa ini mempunyai dua peringkat berbeza iaitu Peringkat 1 (Tingkatan Satu hingga Tiga) dan Peringkat 2 (Tingkatan Empat dan Lima). Membina minat seharusnya ditumpukan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menjurus kepada penerokaan minat pelajar antara lain menjadikan mata pelajaran Vokasional sebagai sandaran kecenderungan minat.

Pelajar harus diperkenalkan dengan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara meliputi tenaga kerja am, tenaga kerja mahir, tenaga kerja semiprofesional dan tenaga kerja profesional.
Dalam tempoh dari Tingkatan Satu hingga Tiga, sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Mereka kemudian dibimbing dan didorong mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan corak keperluan tenaga kerja negara mengikut sektor. Kecenderungan harus ditentukan pada akhir tahun Tingkatan Tiga.

Peringkat kedua membabitkan pelajar di Tingkatan Empat dan Lima. Fasa ini memerlukan penyediaan asas kepada kemahiran berdasarkan kecenderungan pelajar. Latihan amali amat penting di fasa ini yang akan menentukan di institusi kemahiran yang mana bersesuaian dengan kecenderungan pelajar berkenaan. Justeru, mereka perlu dibekalkan maklumat lengkap mengenai pelbagai jurusan di institusi latihan kemahiran. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar yang mempunyai tahap pencapaian akademik rendah atau sederhana.

Membina Kemahiran - peranan ini seharusnya berlaku di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) yang mana pengurusannya perlu meningkatkan promosi serta menggandakan hubungan dengan majikan berpotensi mengikut bidang. Usaha ini menjadi lebih mudah jika pelatih mempunyai minat dan pengetahuan terhadap bidang latihan yang menjadi pilihan hasil pemupukan minat di sekolah. Namun, ILKA didapati tiada kerangka program yang jelas dan kesannya ILKA menjadi pilihan terakhir walaupun untuk mereka yang lemah akademik.

Di peringkat membina kemahiran, prospek dan laluan kerjaya harus diberi gambaran dengan lebih jelas oleh tenaga pengajar untuk memberi harapan kepada pelatih yang memilih bidang kemahiran tertentu. Untuk itu, tenaga pengajar perlu dibekalkan input berkaitan dari semasa ke semasa bagi memudahkan proses memupuk minat berlaku secara berterusan di ILKA di samping proses membina kemahiran yang menjadi fokus utama di situ.

Ketika ini, ada lebih 250 ILKA di seluruh negara. Ini tidak termasuk institusi kemahiran lain seperti politeknik, kolej komuniti serta sekolah teknik dan vokasional. Dengan bilangan ILKA yang ada, negara seharusnya berupaya melahirkan lebih 50,000 belia berkemahiran setiap tahun dan ini mampu untuk menjadi galang ganti kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang membawa keluar wang negara yang dilaporkan mencecah RM18 bilion pada 2008.

Membina Kerjaya - buat masa ini tidak dapat dipastikan ke manakah perginya lulusan institusi kemahiran ini. Sikap kebanyakan majikan yang terlalu memberi keutamaan kepada pekerja asing haruslah dibendung dengan dasar yang jelas.
Dasar penempatan belia berkemahiran yang menghendaki setiap sektor menerima lulusan ILKA perlu digubal bagi meningkatkan keyakinan belia seterusnya memastikan masa depan mereka terbela. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak mendapat manfaat daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan kerajaan.

Bagi mengekalkan minat pelatih sebaik menamatkan latihan, skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam wajar diwujudkan kepada mereka yang mempunyai sijil kemahiran ILKA. Mengambil kira usaha menyediakan latihan ini memerlukan perbelanjaan besar, prospek kerjaya khusus untuk belia berkemahiran ini tidak boleh tidak mesti dirangka dengan pendekatan lebih strategik dan menguntungkan kerjaya belia, seterusnya masa depan negara.

Justeru, memperkasa ILKA supaya sentiasa relevan perlu diberi keutamaan dalam usaha menarik minat pelajar untuk menjadikan ILKA sebagai tempat membina kerjaya pilihan dan bukannya menimba ilmu pendidikan kelas dua.

Prof Madya Zakaria Mohd Yusof ialah pensyarah di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai dan boleh dihubungi melalui: b-zyusof@utm.my

Thursday, April 08, 2010

KEMENTERIAN KENAL PASTI PELAJAR CENDERUNG BIDANG VOKASIONAL

BERITA HARIAN, 8 April 2010

KEMENTERIAN Pelajaran akan mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu bagi membolehkan mereka memasuki jurusan itu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui cara itu pelajar yang tidak cenderung dalam akademik boleh disalurkan ke sekolah vokasional dan teknik selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), berbanding sekarang sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia berminat mencontohi sistem pendidikan Perancis yang agak luar biasa apabila 50 peratus pelajarnya yang kurang berminat dalam bidang akademik, disalurkan ke aliran vokasional dan teknik. Di Malaysia, katanya, hanya 10 peratus pelajar mengikuti aliran itu.

Perkara itu turut dibincangkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Menteri Pelajaran Perancis, Luc Chatel di sini, kelmarin.

"Di Perancis, bidang vokasional dan teknikal diberi perhatian apabila pelajar yang cenderung dalam bidang itu diambil lebih awal.

"Kita akan meneliti perkembangan pelajar kita dari Tingkatan Satu dan sebelum Tingkatan Tiga,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri hari kedua Sesi ke-184 Mesyuarat Lem-
baga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengumumkan akan menukar status 68 daripada 87 sekolah teknik menjadi sekolah vokasional bermula tahun depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Perancis turut berminat mempelajari kaedah penyediaan sekolah berasrama penuh seperti di Malaysia untuk pelajar miskin cemerlang di negaranya.

Sementara itu, berucap pada sesi Ke-184 Unesco, semalam, Muhyiddin mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kumpulan Negara Maju (G-20) merangka pelan tindakan untuk membantu negara kurang membangun dalam bidang pendidikan, supaya sasaran pendidikan untuk semua (EFA) tercapai menjelang 2015.

Katanya, bantuan negara maju semakin mendesak berikutan tempoh untuk mencapai sasaran EFA hanya tinggal kurang lima tahun.

Muhyiddin diberi penghormatan sebagai perwakilan pertama berucap pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, program pembangunan bidang pendidikan untuk negara kurang membangun melalui inisiatif Dana Amanah Kerjasama Malaysia-Unesco yang menyaksikan Malaysia membantu melatih dan membina keupayaan guru negara terbabit akan dilancarkan pada Jun ini.

Katanya, bagi menjayakan rancangan itu, Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova di Kuala Lumpur, pertengahan tahun ini.

Melalui inisiatif itu, Malaysia memperuntukkan US$5 juta sebagai geran pelancaran, bertujuan memastikan matlamat EFA tercapai. Selain itu, kerajaan turut menyumbang US$S1 juta setiap tahun kepada dana berkenaan.

Pengumuman mengenai komitmen Malaysia itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco ke-35, September tahun lalu

SEKOLAH VOKASIONAL PERANCIS DIKAJI

UTUSAN MALAYSIA, 8 April 2010

PARIS 7 April - Kerajaan akan meneliti dan mempelajari pengalaman Perancis yang berjaya menarik 50 peratus daripada para pelajarnya mengikuti persekolahan aliran vokasional berbanding hanya 10 peratus di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara bakal dilakukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar di sekolah vokasional di Malaysia ialah mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang tersebut sejak sekolah rendah atau menengah rendah. Menurutnya, peningkatan jumlah pelajar daripada aliran vokasional amat penting untuk menampung keperluan negara pada masa depan berikutan penumpuan kerajaan pada masa ini terhadap sektor perindustrian berteknologi tinggi.

Jelasnya, hasrat Malaysia untuk bekerjasama dengan Perancis dalam bidang pendidikan khususnya berkaitan aliran vokasional itu disampaikan beliau semasa mengadakan kunjung hormat ke atas rakan sejawatnya, Luc Chatel di pejabatnya di sini semalam.

"Chatel memaklumkan bahawa di Perancis, kerajaan menyediakan sekolah-sekolah yang mencukupi untuk menampung kemasukan 50 peratus daripada keseluruhan pelajar-pelajarnya dalam sekolah aliran vokasional bagi memastikan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dapat disediakan untuk sektor industri.

"Di Malaysia, bukan sahaja peratusan pelajar vokasional kita masih kecil iaitu 10 peratus malah kemudahan dan kelengkapan pembelajaran untuk pendidikan berasaskan kemahiran di sekolah berkaitan perlu ditambah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini kebanyakan pelajar di Malaysia masih kurang berminat memasuki sekolah-sekolah vokasional kerana ia masih dianggap sebagai sekolah menempatkan pelajar-pelajar yang tercicir dalam akademik semata-mata.

Sehubungan itu, tambahnya, Kementerian Pelajaran akan memantapkan sekolah-sekolah vokasional dan mengkaji untuk menambah lebih banyak sekolah aliran itu.

Menurutnya, ini bagi memastikan infrastruktur secukupnya disediakan terlebih dahulu sebelum Malaysia mencapai peratusan pelajar aliran vokasional yang tinggi seperti di Perancis.

"Kementerian akan memulakan usaha ke arah meningkatkan jumlah pelajar vokasional ini dengan mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berminat dalam akademik bermula dari sekolah rendah atau tingkatan satu, dua dan tiga untuk dimasukkan ke aliran vokasional.

"Usaha menggalakkan dan memantapkan sekolah vokasional dalam sistem persekolahan penting untuk Malaysia memenuhi permintaan industri pada masa depan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, Malaysia juga bercadang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan negara ini bagi kerjasama melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bahasa Perancis bagi keperluan mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa itu sebagai subjek pilihan.

Tambahnya, dalam pertemuan dengan Chatel semalam, turut dibincangkan adalah mengenai bagaimana melaksanakan pendidikan asas bermula dari prasekolah dan usaha mengurangkan buta huruf atau kegagalan menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) di kalangan pelajar.

Menurutnya, kerjasama dalam bidang berkaitan dengan Perancis amat penting dalam usaha Malaysia mencapai matlamat setiap murid sudah menguasai 3M ketika berada dalam tahun tiga persekolahan.

"Chatel pula ingin berkongsi pengalaman dengan Malaysia dalam menyediakan sekolah berasrama berikutan cadangan Perancis untuk membuka sekolah-sekolah sedemikian bagi kemudahan anak-anak penduduk miskin di negara ini," katanya. - utusan