BERITA HARIAN, 16 April 2010
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/04/16
Usaha kurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar PUTRAJAYA: Majikan yang berhasrat menggaji lebih ramai pekerja asing atau mahu memanjangkan tempoh kontrak mereka mungkin perlu membayar kadar levi lebih tinggi bagi memastikan rakyat asing berkenaan hanya digunakan dalam sektor memerlukannya.
“Ini secara tidak langsung mendorong majikan hanya mengambil pekerja asing apabila benar-benar perlu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.
Levi pekerja asing kini ditetapkan mengikut sektor iaitu RM1,200 bagi perkilangan dan pembinaan; RM1,800 bagi pekerja restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan runcit dan borong, perniagaan tekstil, barangan logam, lusuh dan terpakai, spa dan urut refleksologi, hotel serta kedi.
Sementara itu, pekerja asing di sektor pulau peranginan perlu membayar levi RM1,200; RM600 bagi pekerja rumah kebajikan; RM540 bagi pembantu rumah kedua, dan RM360 bagi pekerja asing di sektor perladangan serta pembantu rumah pertama.
Menyusuli keputusan itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengemas kini pangkalan data majikan dan pekerja asing untuk diguna pakai dalam usaha membanteras kemasukan pekerja asing tanpa izin dan mengurangkan jumlah pekerja asing sah sedia ada.
Hishammuddin berkata pendekatan itu lebih berkesan bagi mengenal pasti majikan yang mendera pekerja asing, melakukan kesalahan berkaitan Akta Imigresen atau terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Katanya, statistik Jabatan Imigresen antara 2007 hingga 2009 menunjukkan 269 majikan didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1963, manakala 137 orang didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bagi tempoh dua tahun bermula Februari 2008.
Beliau yakin dengan adanya pangkalan data itu, rekod kemasukan dan kepulangan pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.
“Kita mahu majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka, terutama mengawal selia bagi memastikan mereka memenuhi tempoh kontrak dan benar-benar pulang selepas ia tamat, tanpa terus tinggal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Hishammuddin berkata, kementeriannya juga sudah menyiapkan laporan berhubung prestasi syarikat memperoleh bekalan pekerja asing sejak sistem membekal dan mengurus pekerja asing dilaksanakan pada 2005.
Katanya, semua syarikat akan dinilai jika mematuhi prosedur sedia ada yang menggariskan pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan permintaan serta keperluan guna tenaga dan bukannya untuk mengaut keuntungan semata-mata.
No comments:
Post a Comment