Minda Pengarang
BERITA HARIAN, 17 April 2010
USAHA mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing memerlukan pelan tindakan bersepadu. Ia bukan tanggungjawab satu atau dua kementerian. Apabila kerajaan mengambil daya usaha melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Keutamaan Negara (NKRA), maka wajar juga jika dikaji serta diteliti keperluan mewujudkan makmal khas merumus langkah membanteras pendatang asing tanpa izin dan mengawal kemasukan pekerja asing berdaftar. Kedua-dua golongan ini sebenarnya mengancam kepentingan negara dalam pelbagai bentuk selain meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dan menghilangkan daya saing warga tempatan untuk memperoleh pekerjaan di tanah air sendiri. Ini belum dikira soal pelbagai kesan sosial yang mereka sumbangkan. Kehadiran mereka juga mesti dilihat dari sudut keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara yang mereka nikmati. Majikan yang membawa masuk pula mungkin ada agenda tersendiri sama ada ekonomi, sosial dan mungkin ada elemen politik.
Apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji penstrukturan semula kadar levi pekerja asing termasuk menaikkan kadarnya, langkah itu cukup baik dan mesti dilaksanakan. Mungkin kadar levi lebih tinggi tidak akan mengekang kecenderungan tegar sesetengah majikan tempatan daripada mengambil pekerja asing. Selagi majikan ada sifat tamak dan tidak mahu memahami serta enggan bertanggungjawab maka apa saja dasar yang dilaksanakan kerajaan berhubungan permasalahan ini sukar mencapai matlamat. Mereka sewajarnya lebih matang dan memahami dasar serta disusuli dengan tanggungjawab bukan mementingkan soal keuntungan semata-mata.
Justeru, usaha mahu membanteras pendatang asing tanpa izin serta mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing tidak akan tercapai kecuali mendapat kerjasama semua pihak khususnya majikan selain rakyat. Majikan mesti mengetahui bahawa kerajaan ada kerangka yang mengandungi dasar, perundangan, peraturan dan penguatkuasaan serta operasi dalam soal ini. Tetapi jika mereka bersifat pasif (sengaja tidak mahu tahu untuk melepaskan diri) terhadap keempat-empat elemen itu dan meletakkan semua komitmen menanganinya pada bahu kerajaan maka sukar untuk menguruskan permasalahan dua golongan berkenaan.

Mesti diingat, dasar berkaitan digubal untuk majikan dan rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab. Dasar bukan milik kerajaan dan mahu membebankan rakyat atau komuniti perniagaan. Majikan tidak boleh berterusan dengan sikap mengambil kesempatan atas apa juga ‘ruang dan peluang’ dalam sistem penguatkuasaan dan perundangan untuk mengeksploitasi tenaga kerja asing demi kepentingan diri sendiri. Senario ini jauh berbeza dengan sifat majikan dan rakyat di negara maju yang memiliki kesedaran tinggi selain matang serta bertanggungjawab untuk bersama kerajaan dalam menangani pendatang asing tanpa izin serta pergantungan kepada tenaga kerja asing kerana golongan itu mengancam kepentingan mereka.
No comments:
Post a Comment