Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Sunday, November 07, 2010

Rakyat disaran miliki kemahiran tambahan

MINGGUAN MALAYSIA

7 November 2010


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sijil kepada Saridah Kamsuri yang menyertai kursus kemahiran pada perasmian Program Keusahawanan Kolej Komuniti Wilayah Johor di Kolej Komuniti Pagoh, Muar, Johor, semalam. Turut sama isteri beliau, Noorainee Abd. Rahman.

MUAR 6 Nov. - Rakyat Malaysia disaran memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran tambahan untuk meningkatkan pendapatan dan menjadi tenaga kerja yang setanding seperti di negara maju.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara memerlukan tenaga kerja yang memiliki nilai tambah dan berkemahiran dalam pelbagai bidang supaya sasaran menjadi negara maju pada 2020 dapat dicapai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, setakat ini lebih 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya memiliki tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan perkara itu perlu diperbaiki supaya lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dilahirkan.

"Seperti di Australia, rakyatnya akan ambil masa untuk kembali belajar seperti dalam bidang perhotelan, pelancongan dan bakeri untuk tempoh tiga atau enam bulan dan mereka boleh gunakan (kemahiran tambahan) untuk tambah pendapatan.

"Di Malaysia, lulus SPM saja rakyat terus masuk pasaran kerja dan bekerja dengan mana-mana pihak tetapi tiada kemahiran tertentu. Mereka ini yang harus kita bawa ke pusat latihan untuk belajar kemahiran baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Keusahawanan Kolej-kolej Komuniti Wilayah Johor 2010 di Kolej Komuniti Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Pengarah Kolej Komuniti, Prof. Madya Dr. Kamarudin Kasim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada rakyat untuk mempelajari pelbagai kemahiran baru menerusi kursus yang disediakan di kolej-kolej komuniti di seluruh negara.

"Bidang-bidang tertentu sebagai tambahan kemahiran ini amat penting supaya kita tidak bergantung kepada satu kelayakan akademik saja.

"Sebab itu pembelajaran sepanjang hayat diberi penekanan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia penting untuk menjadi negara maju dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Mengenai cadangan menaik taraf Kolej Komuniti Pagoh menjadi sebuah Kolej Komuniti Induk di selatan tanah air, Muhyiddin menyokong cadangan itu dan akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Setakat ini masih tiada (keputusan), namun pembangunan Hab Pendidikan Pagoh memang dirancang dan kolej komuniti dapat menjadi sebahagian daripada konsep pembangunan ini," katanya.

No comments: