BERITA HARIAN
12 November 2010
PENGUMUMAN keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam menyaksikan seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki ujian itu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Keputusan tahun ini mencatatkan peningkatan 10.02 peratus atau 156 calon berbanding tahun lalu yang merekodkan sebanyak 48,171 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.Pada keseluruhannya, pencapaian calon UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN) dan buat pertama kalinya, ia berjaya mencecah kadar melebihi 10 peratus.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, ketika menganalisis keputusan UPSR 2010, berkata pencapaian calon luar bandar yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran juga meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus merapatkan lagi jurang pencapaian gred A antara bandar dan luar bandar dari 0.20 mata (mengikut GPN) kepada 0.04 mata. Sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang dilantik ke jawatan itu sejak 8 November lalu, pastinya Abdul Ghafar mempunyai tugas berat untuk memastikan pencapaian ini dapat dipertingkatkan pada tahun depan dan mengatasi catatan terbaik tahun ini.
Bagi bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, beliau sudah melaksanakan tugasnya dengan baik dan meninggalkan legasi cemerlang untuk diteruskan Abdul Ghafar. Peningkatan jumlah calon cemerlang secara automatik menurunkan peratusan angka pencapaian minimum – semua gred D atau E – kepada 3.39 peratus daripada 3.99 peratus tahun lalu. Begitu juga jumlah calon mendapat minimum gred C turut menurun sebanyak 1.37 peratus tahun ini.
Kita juga gembira dengan keputusan UPSR 2010 yang memperlihatkan prestasi calon di luar bandar dan daripada kalangan murid istimewa menunjukkan peningkatan. Perkembangan positif ini menunjukkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran sekolah di luar bandar dan murid istimewa bertambah baik dan berkesan. Peningkatan prestasi ini juga disumbangkan daripada hasil idea, inovasi dan pendekatan pembelajaran yang dapat menarik minat, sekali gus pelajar mudah faham subjek yang diajar.
Ujian Aptitud atau potensi diri membabitkan pelajar Tahun Enam yang dimulakan tahun lalu diakui berkesan dan daripadanya, pihak sekolah berjaya mengumpul maklumat murid mengenai minat, potensi dan kecenderungan mereka. Keputusan ujian itu turut diambil kira sebagai antara syarat pemilihan memasuki sekolah berasrama penuh, selain keputusan cemerlang UPSR dan maklumat latar belakang calon. Ujian Aptitud berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.
Keputusan ujian tahun lalu memperlihatkan kecenderungan pelajar pada bidang teknik, vokasional dan akademik. Bagaimanapun, tahun ini keputusan ujian itu menunjukkan peningkatan mendadak kecenderungan pelajar terhadap bidang sosial dan budaya serta sukan.
Walaupun keputusan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana kecenderungan itu mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber, ia turut memberi petunjuk bahawa sistem pendidikan negara perlu berubah mengikut keperluan semasa dan bukan hanya berorientasikan peperiksaan.
Ujian ini yang antara lain mahu mengesan pola pemikiran dan keperibadian murid sewajarnya memasukkan elemen memupuk nilai murni, pemikiran kritis serta kepantasan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional. Kita perlu akui kemampuan sahsiah diri amat diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja yang mantap dan berwibawa.
No comments:
Post a Comment