Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, November 26, 2010

Pendidikan Finland tekan kemampuan pelajar berfikir, berdikari

BERITA HARIAN, 26 November 2010
Oleh Dr Mohd Puad Zarkashi

DALAM artikel disiar pada Rabu lalu, penulis menerangkan mengenai mengapa Finland menjadi rujukan Kementerian Pelajaran dalam usaha kementerian memperkasakan pendidikan vokasional. Kali ini kita melihat pula apakah komponen menyebabkan sistem pendidikan vokasional di Finland begitu dinamik sehingga memungkinkan ia mendapat tempat pertama dalam kajian Program for International Student Assessment (PISA).

Finland adalah antara negara dalam Kesatuan Eropah yang sederhana besarnya dengan keluasan 338,000 kilometer persegi dan dengan penduduk 5.25 juta orang. Sebanyak 92 peratus penduduknya bertutur dalam bahasa rasmi negara itu iaitu Finnish, manakala selebihnya menggunakan bahasa Swedish sebagai bahasa rasmi. Dari segi sejarahnya, Finland pernah menjadi sebahagian daripada Sweden dan mencapai kemerdekaan pada 1917 daripada Empayar Russia.
Umumnya, sistem pendidikan vokasional di Finland mempunyai tiga tahap iaitu pendidikan rendah dan menengah rendah yang dikenali sebagai pendidikan komprehensif selama sembilan tahun, pendidikan menengah atas selama tiga tahun dan akhir sekali pendidikan tinggi. Pecahan pelajar dan bilangan institusi di negara itu menunjukkan 596,000 pelajar berada di 3,953 sekolah komprehensif, 119,000 pelajar di 441 sekolah menengah atas, 144,000 pelajar di 177 kolej vokasional (pendidikan vokasional peringkat menengah atas), 97,000 pelajar di 31 politeknik dan 150,000 pelajar di 20 universiti di seluruh Finland.

Sistem pendidikan Finland bersifat ‘disentralisasi’ yang mana Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (MEC) menentukan dasar umum pendidikan ditetapkan Parlimen Finland dan kerajaan. Ia juga bertanggungjawab menyediakan peruntukan kewangan untuk pendidikan umum, pendidikan vokasional, politeknik dan universiti. Di Malaysia tugas ini dijalankan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Jika di Malaysia Kementerian Pelajaran bertanggungjawab sepenuhnya menyelia pentadbiran sekolah, di Finland keadaan sebaliknya berlaku. Di setiap kerajaan tempatan diwujudkan Jabatan Pendidikan yang diberi tanggungjawab dalam semua hal berkaitan sekolah termasuk dalam hal melantik pengetua sekolah, menyediakan bajet untuk semua sekolah seliaannya dan menentukan kaedah pelaksanaan kurikulum.

Pendekatan terhadap pendidikan umum di Finland juga berbeza yang mana hanya ada satu peperiksaan awam iaitu pada peringkat akhir menengah atas yang dinamakan Matriculation Examination yang dikendalikan oleh Matriculation Examination Board. Sistem pendidikannya juga tidak menetapkan saiz kelas kecuali untuk pelajar berkeperluan khas iaitu antara enam hingga 10 orang.

Finnish National Board Of Education (FNBE), satu badan yang menentukan kerangka kurikulum yang akan dilaksanakan di seluruh negara akan menyediakan kurikulum teras, manakala Jabatan Pendidikan di kerajaan tempatan dan pihak sekolah pula akan menyediakan peraturan kurikulum yang dibuat berdasarkan keperluan setempat. Guru yang ditugaskan mengajar akan menentukan metodologi pengajaran dan bahan pengajaran yang akan digunakan.
Jadual waktu sekolah pula adalah seperti di universiti yang mana pelajar boleh datang dan pulang mengikut jadual yang ditetapkan. Ibu bapa juga boleh mengikuti perkembangan anak secara ‘online’ manakala pihak sekolah akan menyediakan pangkalan data yang lengkap tentang murid untuk disemak oleh ibu bapa.

Kurikulum untuk pendidikan menengah atas disediakan untuk tiga tahun. Pendidikan menengah atas tamat dengan National Matriculation Examination (NME).

Pendidikan vokasional peringkat menengah atas disediakan di kolej vokasional. Selain itu kelayakan vokasional juga boleh diperoleh melalui program perantisan atau melalui ujian kompetensi. Pendidikan vokasional dipandang tinggi dan diterima sebagai satu alternatif oleh rakyat Finland hinggakan statistik 2008 menunjukkan enrolmen pelajar 41 peratus pada peringkat menengah atas.

Pendidikan vokasional peringkat menengah atas di Finland adalah percuma dan makan minum pelajarnya juga ditanggung kerajaan.

Jika kita perhatikan ia sangat berbeza dengan sistem pendidikan negara kita dan perbezaan yang paling ketara ialah pendidikan di Malaysia dijalankan secara berpusat. Selain itu, ciri utama lain ialah pendidikan di Finland tidak terlalu tertumpu kepada peperiksaan tetapi lebih bersifat menjadikan pelajar mampu untuk berfikir dan berdikari.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pelajaran

No comments: