Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, November 26, 2010

Pendidikan Finland tekan kemampuan pelajar berfikir, berdikari

BERITA HARIAN, 26 November 2010
Oleh Dr Mohd Puad Zarkashi

DALAM artikel disiar pada Rabu lalu, penulis menerangkan mengenai mengapa Finland menjadi rujukan Kementerian Pelajaran dalam usaha kementerian memperkasakan pendidikan vokasional. Kali ini kita melihat pula apakah komponen menyebabkan sistem pendidikan vokasional di Finland begitu dinamik sehingga memungkinkan ia mendapat tempat pertama dalam kajian Program for International Student Assessment (PISA).

Finland adalah antara negara dalam Kesatuan Eropah yang sederhana besarnya dengan keluasan 338,000 kilometer persegi dan dengan penduduk 5.25 juta orang. Sebanyak 92 peratus penduduknya bertutur dalam bahasa rasmi negara itu iaitu Finnish, manakala selebihnya menggunakan bahasa Swedish sebagai bahasa rasmi. Dari segi sejarahnya, Finland pernah menjadi sebahagian daripada Sweden dan mencapai kemerdekaan pada 1917 daripada Empayar Russia.
Umumnya, sistem pendidikan vokasional di Finland mempunyai tiga tahap iaitu pendidikan rendah dan menengah rendah yang dikenali sebagai pendidikan komprehensif selama sembilan tahun, pendidikan menengah atas selama tiga tahun dan akhir sekali pendidikan tinggi. Pecahan pelajar dan bilangan institusi di negara itu menunjukkan 596,000 pelajar berada di 3,953 sekolah komprehensif, 119,000 pelajar di 441 sekolah menengah atas, 144,000 pelajar di 177 kolej vokasional (pendidikan vokasional peringkat menengah atas), 97,000 pelajar di 31 politeknik dan 150,000 pelajar di 20 universiti di seluruh Finland.

Sistem pendidikan Finland bersifat ‘disentralisasi’ yang mana Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (MEC) menentukan dasar umum pendidikan ditetapkan Parlimen Finland dan kerajaan. Ia juga bertanggungjawab menyediakan peruntukan kewangan untuk pendidikan umum, pendidikan vokasional, politeknik dan universiti. Di Malaysia tugas ini dijalankan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Jika di Malaysia Kementerian Pelajaran bertanggungjawab sepenuhnya menyelia pentadbiran sekolah, di Finland keadaan sebaliknya berlaku. Di setiap kerajaan tempatan diwujudkan Jabatan Pendidikan yang diberi tanggungjawab dalam semua hal berkaitan sekolah termasuk dalam hal melantik pengetua sekolah, menyediakan bajet untuk semua sekolah seliaannya dan menentukan kaedah pelaksanaan kurikulum.

Pendekatan terhadap pendidikan umum di Finland juga berbeza yang mana hanya ada satu peperiksaan awam iaitu pada peringkat akhir menengah atas yang dinamakan Matriculation Examination yang dikendalikan oleh Matriculation Examination Board. Sistem pendidikannya juga tidak menetapkan saiz kelas kecuali untuk pelajar berkeperluan khas iaitu antara enam hingga 10 orang.

Finnish National Board Of Education (FNBE), satu badan yang menentukan kerangka kurikulum yang akan dilaksanakan di seluruh negara akan menyediakan kurikulum teras, manakala Jabatan Pendidikan di kerajaan tempatan dan pihak sekolah pula akan menyediakan peraturan kurikulum yang dibuat berdasarkan keperluan setempat. Guru yang ditugaskan mengajar akan menentukan metodologi pengajaran dan bahan pengajaran yang akan digunakan.
Jadual waktu sekolah pula adalah seperti di universiti yang mana pelajar boleh datang dan pulang mengikut jadual yang ditetapkan. Ibu bapa juga boleh mengikuti perkembangan anak secara ‘online’ manakala pihak sekolah akan menyediakan pangkalan data yang lengkap tentang murid untuk disemak oleh ibu bapa.

Kurikulum untuk pendidikan menengah atas disediakan untuk tiga tahun. Pendidikan menengah atas tamat dengan National Matriculation Examination (NME).

Pendidikan vokasional peringkat menengah atas disediakan di kolej vokasional. Selain itu kelayakan vokasional juga boleh diperoleh melalui program perantisan atau melalui ujian kompetensi. Pendidikan vokasional dipandang tinggi dan diterima sebagai satu alternatif oleh rakyat Finland hinggakan statistik 2008 menunjukkan enrolmen pelajar 41 peratus pada peringkat menengah atas.

Pendidikan vokasional peringkat menengah atas di Finland adalah percuma dan makan minum pelajarnya juga ditanggung kerajaan.

Jika kita perhatikan ia sangat berbeza dengan sistem pendidikan negara kita dan perbezaan yang paling ketara ialah pendidikan di Malaysia dijalankan secara berpusat. Selain itu, ciri utama lain ialah pendidikan di Finland tidak terlalu tertumpu kepada peperiksaan tetapi lebih bersifat menjadikan pelajar mampu untuk berfikir dan berdikari.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pelajaran

Friday, November 12, 2010

48,327 calon UPSR dapat semua A

UTUSAN MALAYSIA

12 November 2010

PUTRAJAYA 11 Nov. - Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.

''Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

"Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.

''Pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun menandakan pencapaian mereka semakin baik," katanya.

Abd. Ghafar berkata, bilangan calon istimewa pada tahun ini bertambah sebanyak 184 orang dan pencapaian baik mereka meningkat sebanyak 1.97 peratus manakala GPN bagi pencapaian keseluruhan meningkat sebanyak 0.02 peratus.

Menurut Abd. Ghafar, bagi prestasi mengikut pelajaran pula diukur mengikut Gred Purata Mata pelajaran (GPMP) dan analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dibuat secara berasingan memandangkan bilangan waktu pembelajaran berbeza dan kertas soalan disediakan tidak setara.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun bagi Bahasa Melayu Penulisan bagi Gred A menurun sebanyak 8.9 peratus.

''Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK secara keseluruhannya meningkat dengan mencatatkan nilai GPMP sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

''Di SJK pula, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bagi Gred A menurun masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.4 peratus, bagaimanapun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris meningkat 2.69 peratus berbanding 2.8 peratus tahun lalu.

''Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, peratusan calon mendapat Gred A meningkat iaitu masing-masing 1.9 peratus dan 1.7 peratus daripada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud diduduki semua pelajar Tahun Enam sebagai memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, keputusan ujian itu yang dilaksanakan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

''Daripada keputusan ujian ini, kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional serta seni menunjukkan penurunan ketara pada tahun ini.

''Bagaimanapun, kecenderungan ini mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ujian tersebut telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi, kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan dan harus digunakan di peringkat nasional untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti pada masa depan.

Minda Pengarang: Keputusan cemerlang UPSR perjelas sistem pendidikan berkesan


BERITA HARIAN
12 November 2010

PENGUMUMAN keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam menyaksikan seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki ujian itu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Keputusan tahun ini mencatatkan peningkatan 10.02 peratus atau 156 calon berbanding tahun lalu yang merekodkan sebanyak 48,171 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Pada keseluruhannya, pencapaian calon UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN) dan buat pertama kalinya, ia berjaya mencecah kadar melebihi 10 peratus.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, ketika menganalisis keputusan UPSR 2010, berkata pencapaian calon luar bandar yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran juga meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus merapatkan lagi jurang pencapaian gred A antara bandar dan luar bandar dari 0.20 mata (mengikut GPN) kepada 0.04 mata. Sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang dilantik ke jawatan itu sejak 8 November lalu, pastinya Abdul Ghafar mempunyai tugas berat untuk memastikan pencapaian ini dapat dipertingkatkan pada tahun depan dan mengatasi catatan terbaik tahun ini.

Bagi bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, beliau sudah melaksanakan tugasnya dengan baik dan meninggalkan legasi cemerlang untuk diteruskan Abdul Ghafar. Peningkatan jumlah calon cemerlang secara automatik menurunkan peratusan angka pencapaian minimum – semua gred D atau E – kepada 3.39 peratus daripada 3.99 peratus tahun lalu. Begitu juga jumlah calon mendapat minimum gred C turut menurun sebanyak 1.37 peratus tahun ini.

Kita juga gembira dengan keputusan UPSR 2010 yang memperlihatkan prestasi calon di luar bandar dan daripada kalangan murid istimewa menunjukkan peningkatan. Perkembangan positif ini menunjukkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran sekolah di luar bandar dan murid istimewa bertambah baik dan berkesan. Peningkatan prestasi ini juga disumbangkan daripada hasil idea, inovasi dan pendekatan pembelajaran yang dapat menarik minat, sekali gus pelajar mudah faham subjek yang diajar.

Ujian Aptitud atau potensi diri membabitkan pelajar Tahun Enam yang dimulakan tahun lalu diakui berkesan dan daripadanya, pihak sekolah berjaya mengumpul maklumat murid mengenai minat, potensi dan kecenderungan mereka. Keputusan ujian itu turut diambil kira sebagai antara syarat pemilihan memasuki sekolah berasrama penuh, selain keputusan cemerlang UPSR dan maklumat latar belakang calon. Ujian Aptitud berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

Keputusan ujian tahun lalu memperlihatkan kecenderungan pelajar pada bidang teknik, vokasional dan akademik. Bagaimanapun, tahun ini keputusan ujian itu menunjukkan peningkatan mendadak kecenderungan pelajar terhadap bidang sosial dan budaya serta sukan.

Walaupun keputusan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana kecenderungan itu mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber, ia turut memberi petunjuk bahawa sistem pendidikan negara perlu berubah mengikut keperluan semasa dan bukan hanya berorientasikan peperiksaan.

Ujian ini yang antara lain mahu mengesan pola pemikiran dan keperibadian murid sewajarnya memasukkan elemen memupuk nilai murni, pemikiran kritis serta kepantasan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional. Kita perlu akui kemampuan sahsiah diri amat diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja yang mantap dan berwibawa.

Sunday, November 07, 2010

Rakyat disaran miliki kemahiran tambahan

MINGGUAN MALAYSIA

7 November 2010


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sijil kepada Saridah Kamsuri yang menyertai kursus kemahiran pada perasmian Program Keusahawanan Kolej Komuniti Wilayah Johor di Kolej Komuniti Pagoh, Muar, Johor, semalam. Turut sama isteri beliau, Noorainee Abd. Rahman.

MUAR 6 Nov. - Rakyat Malaysia disaran memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran tambahan untuk meningkatkan pendapatan dan menjadi tenaga kerja yang setanding seperti di negara maju.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara memerlukan tenaga kerja yang memiliki nilai tambah dan berkemahiran dalam pelbagai bidang supaya sasaran menjadi negara maju pada 2020 dapat dicapai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, setakat ini lebih 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya memiliki tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan perkara itu perlu diperbaiki supaya lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dilahirkan.

"Seperti di Australia, rakyatnya akan ambil masa untuk kembali belajar seperti dalam bidang perhotelan, pelancongan dan bakeri untuk tempoh tiga atau enam bulan dan mereka boleh gunakan (kemahiran tambahan) untuk tambah pendapatan.

"Di Malaysia, lulus SPM saja rakyat terus masuk pasaran kerja dan bekerja dengan mana-mana pihak tetapi tiada kemahiran tertentu. Mereka ini yang harus kita bawa ke pusat latihan untuk belajar kemahiran baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Keusahawanan Kolej-kolej Komuniti Wilayah Johor 2010 di Kolej Komuniti Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Pengarah Kolej Komuniti, Prof. Madya Dr. Kamarudin Kasim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada rakyat untuk mempelajari pelbagai kemahiran baru menerusi kursus yang disediakan di kolej-kolej komuniti di seluruh negara.

"Bidang-bidang tertentu sebagai tambahan kemahiran ini amat penting supaya kita tidak bergantung kepada satu kelayakan akademik saja.

"Sebab itu pembelajaran sepanjang hayat diberi penekanan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia penting untuk menjadi negara maju dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Mengenai cadangan menaik taraf Kolej Komuniti Pagoh menjadi sebuah Kolej Komuniti Induk di selatan tanah air, Muhyiddin menyokong cadangan itu dan akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Setakat ini masih tiada (keputusan), namun pembangunan Hab Pendidikan Pagoh memang dirancang dan kolej komuniti dapat menjadi sebahagian daripada konsep pembangunan ini," katanya.

Muhyiddin syor setiap rakyat miliki kemahiran tambahan

BERITA MINGGU
7 November 2010

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran tambahan yang dapat meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus memastikan negara memiliki tenaga kerja setaraf negara maju.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu penting kerana pada masa ini lebih 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa memiliki kemahiran yang diperlukan bagi membantu mereka memasuki bidang pekerjaan.

“Itu pandangan saya supaya setiap orang sekurang-kurangnya mempunyai satu kemahiran asas seperti dimiliki negara maju lain kerana tenaga kerja yang mempunyai nilai tambah dan berkemahiran penting untuk kita mencapai sasaran menjadi negara maju,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Kolej-Kolej Komuniti Wilayah Johor 2010 di Pagoh, dekat sini semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang kepada rakyat untuk belajar pelbagai kemahiran menerusi kursus jangka pendek termasuk di kolej komuniti seluruh negara.

Ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Mukim Gersik di Ledang selepas itu, beliau meminta orang ramai menguasai maklumat dan memahami dasar kerajaan bagi menangkis dakyah pihak tertentu terutama pembangkang yang memutarbelitkan isu sehingga boleh menjejaskan usaha membangunkan negara.

“Tak pernah kita (kerajaan) nak bawa sesuatu kesan buruk, tak pernah kita mahu merosakkan hidup rakyat dan bawa bencana. Dasar kita sejak dulu untuk rakyat, malangnya pembangkang sengaja menyalah tafsir dengan kata kerajaan tak telus, tak bantu rakyat, lebih tertumpu pada kepentingan suku sakat dan pelbagai lagi tohmahan,” katanya.