UTUSAN MALAYSIA, 10 JUN 2010
Oleh NURUL ANUAR KARI pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru para majikan dan komuniti perniagaan mengambil inisiatif memahirkan semula tenaga kerja Malaysia melalui penyediaan latihan sambil bekerja serta tawaran program pendidikan lanjutan.
Perdana Menteri berkata, para majikan juga perlu mempunyai tanggungjawab terhadap jalan penyelesaian bagi memahirkan semula tenaga kerja negara yang sebahagian besarnya hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya ingin melihat lebih banyak lagi syarikat menawarkan program perantisan yang memberi latihan kepada lepasan baru universiti dan para pekerja mereka.
"Komuniti perniagaan perlu ada usaha untuk meningkatkan semua aspek operasi dan pengurusan, termasuk pembinaan tenaga kerja yang bernilai tambah.
"Dengan itu, kita akan mampu menjana output berkualiti lebih tinggi dengan menggunakan sumber tenaga manusia tempatan yang berkemahiran tinggi, selari dengan matlamat kita untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my di sini.
Jelasnya, tinjauan pendapat dalam blog tersebut mendapati kebanyakan responden menyertai sistem tenaga kerja dengan hanya kelayakan SPM atau lebih rendah.
Oleh itu, beliau mengambil kesempatan mengingatkan rakyat supaya terus meningkatkan kelayakan pendidikan dan kemahiran kerja mereka bagi mencapai aspirasi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
"Saya amat berbangga dengan tenaga kerja kita tetapi dengan kebanyakan daripada mereka hanya berbekalkan SPM semata-mata, ini tidak selari dengan aspirasi menjana sebuah ekonomi yang berpendapatan tinggi.
"Saya mengambil peluang ini untuk memotivasikan dan membangunkan pekerja kita supaya lebih maju untuk mempercepatkan pertumbuhan yang kita perlukan dengan meningkatkan pendidikan dan kemahiran diri.
"Tenaga kerja negara perlu dimahirkan semula supaya semua rakyat Malaysia dibekalkan dengan pengetahuan yang bertepatan untuk memenuhi keperluan majikan," ujarnya.
Jelas Najib, pelajaran tidak seharusnya terhenti di peringkat sekolah atau universiti sahaja tetapi perlu diteruskan sepanjang usia bekerja setiap individu.
"Saya sangat menggalakkan semua pembaca dalam lingkungan usia bekerja mengambil kesempatan sedia ada untuk meningkatkan kemampuan dan pengetahuan diri.
"Kebiasaannya, saya mendorong mereka yang kurang bernasib baik supaya melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi hari ini menggesa semua rakyat Malaysia mencari jalan untuk mendaftarkan diri mereka dalam apa jua saluran pendidikan yang praktikal termasuklah sekolah vokasional dan politeknik.
"Janganlah kita terus mengehadkan kemampuan dan pendidikan sendiri pada tahap SPM sahaja," tegasnya.
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
No comments:
Post a Comment